Ulasan novel Kunang Pesisir Morten


Oleh : Faris Imran

Membaca helaian demi helaian di setiap mukasurat seolah-olah membawa pembaca ke zaman kanak-kanak yang penuh dengan keindahan dan pengembaraan. Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk merasai suasana kampung samada dilahirkan di bandar atau dilanda banjir kemodenan, buku ini amat sesuai dibaca.

Pembaca dikenalkan dengan watak Dhia dan Adi, 2 ‘pengembara’ cilik di Kampung Morten, pesisir Sungai Melaka yang saban hari terus ceria menelusuri kehidupan mereka sebagai masyarakat kelas kedua. Maksud kelas kedua di sini tidak bermaksud sebagai pengkastaan bangsa, tetapi kedudukan. Mengangkat tema perpaduan kaum sebagai topik utama, pengkastaan bangsa tidak seharusnya masuk dalam glosari pembaca.

Bagi mereka yang gemar membaca novel detektif karya Sir Arthur Conan Doyle, Edgar Allan Poe dan Agatha Christie, sedikit peringatan agar tidak membawa gaya pemikiran sebegitu semasa pembacaaan novel ini. Agak malang sedikit kerana penulis memberi terlalu banyak klu dan simbolik terhadap kelakuan watak.

Akan tetapi, hal ini dapat dimaafkan kerana ini mungkin cubaan pertama penulis menceburkan diri dalam bidang penulisan novel. Ini juga bertepatan dengan hubungkait atau metafora antara jalan cerita dan tajuk novel ini sendiri.

Krisis kecil yang dihadapi oleh 2 watak yang pembaca kenal di awal cerita membawa kepada pengenalan watak utama nombor 3, Lim. Watak Lim boleh digambarkan sebagai seorang yang berfikiran terbuka untuk berkawan dengan Dhia dan Adi yang berlainan bangsa ketika sentimen bangsa masih tinggi dek kekangan bahasa dan pergaulan.

Tidak dapat tidak, penulis turut menyentuh akan perangai hodoh manusia berbangsa Melayu melalui krisis utama yang ditimbulkan di klimaks penceritaan khususnya dan sedikit sebanyak perangai perempuan Melayu Melaka amnya. Harus diingatkan bahawa watak Dhia walaupun menetap di Melaka, tetapi perwatakannya sangat berbeza dengan perempuan Melayu Melaka kerana asal-usulnya.

Penggunaan Bahasa Melayu yang tidak menyeluruh sedikit sebanyak mencacatkan pembacaan pembaca yang ingin menikmati karya novel Melayu asli. Walaupun dengan penggunaan bahasa saintifik, ini tidak bermaksud penggunaan Bahasa Inggeris boleh digunakan sewenangnya. Walaubagaimanapun, pemilihan kata Bahasa Melayu amat bertepatan dengan situasi dalam plot penceritaan yang menjadikan ia mudah diteka akan perwatakan sesuatu watak.

Secara keseluruhannya, novel ini amat sesuai untuk pembacaan hujung minggu. Dengan ketebalan 212 mukasurat, tidak mustahil pembacaan dapat dihabiskan di hujung minggu. Melainkan pembaca membuat kerja sambilan seperti yang dianjurkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Haji Ahmad Bin Haji Maslan atau mengikut perangai pelajar yang menghabiskan hujung minggu dengan melepak di kafe-kafe hipster.

Tidak dilupakan, ketika ulasan buku Kunang Pesisir Morten ini ditulis, berlaku sedikit pergolakan dalam pemilihan teks KOMSAS pelajar iaitu buku Pantai Kasih. Bagi saya, tidak salah untuk memberi pelajar membaca buku yang mengandungi adegan erotis sebabak dua, asalkan mentaliti atau tahap pemikiran pelajar Malaysia sudah berkembang sehingga mampu membezakan antara yang baik dan buruk. Atau ini usaha terdesak Kementerian Pendidikan untuk menanam minat membaca ke dalam jiwa masyarakat Malaysia, tujuan itu masih tidak diketahui saat ini.

Marilah kita bersama melihat perkembangan ‘drama’ nasional ini disamping memberi komentar dan teguran (baca : makian dan cercaan) kepada pihak yang sepatutnya sepanjang ia berlangsung. Jangan risau. Kamu tidak perlu ijazah dalam bidang sastera dan penulisan kerana bukankah rakyat hakim negara?


Nota kaki : Buku ini termasuk dalam senarai 100 buku melayu wajib baca. Sebaris dengan buku-buku Usman Awang, A Samad Said, Shahnon Ahmad, Pak Sako, Faisal Tehrani, S Othman Kelantan, Keris Mas, Arena Wati dan Harun Aminurrashid sebagai pemula. Buku Tamar Jalis dan Tun Sri Lanang pun ada dalam senarai 100 buku wajib baca ini.

Comments

Popular posts from this blog

PENGENALAN “MANUSIA TIDAK MEMILIKI DAN TIDAK DIMILIKI”

Review Buku : Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri, karangan Za’ba.

Anwar Ibrahim Berpesan Buat Generasi Muda Islam