Langkau ke kandungan utama

LANGIT PETANG – Manusia Dan Hidupnya

LANGIT PETANG – Manusia Dan Hidupnya
oleh: Hamka Mohamad
Tidak banyak penerbit buku yang cuba mengangkat kembali karya-karya sasterawan negara yang pernah menjulang hati rakyat suatu ketika dahulu. Tidak ada lagi penerbit yang cuba mengembalikan sastera ke peringkat yang lebih tinggi martabatnya, selain mengharapkan DBP yang kian hari kian lari dari landasan asal matlamatnya. Tidak ada lagi penerbit yang cuba melaungkan karya-karya Usman Awang, Keris Mas, Pak Sako, Arenawati, Samad Ahmad, Masuri S.N dan ramai lagi karyawan negara suatu ketika dahulu yang berdiri teguh dalam arena sastera negara. Mungkin ada, namun jumlahnya tidak banyak. Tertarik dengan Lejen Press, yang jarang sekali aku membeli mahupun membaca karya penulisnya, namun kali ini, Langit Petang yang berjaya diterbitkan mereka hasil nukilan A Samad Said telah membawa aku satu pengharapan untuk aku melihat karya sastera tidak lagi dilacurkan oleh sesetangah penerbit kini.

Tidak seperti buku-buku puisinya, Pak Samad cuba merungkai dengan cara yang tersendiri bagi mendalami hakikat sebuah kehidupan manusia yang tidak lain tidak bukan hanya terletak dibawah langit nan luas terbentang. Membaca karya ini seolah-olah memberi gambaran bahawa kehidupan ini adalah suatu yang amat singkat untuk dibazirkan, malah manusia akan mudah lupa kaki yang mereka pijak di tanah rata bumi ini punyai Tuan yang menciptakan. Begitulah perjalanan hidup yang cuba diketengahkan Pak Samad, berbeza puisi-puisi dalam Di Atas Padang Sejarah yang menceritakan pengalaman hidupnya melangkaui batas masa lampau sejarah kemerdekaan dalam dirinya.

Langit Petang menceritakan perjalanan hidup seorang pesakit Luekimia yang mahu tidak mahu terpaksa menerima hakikat bahawa perjalanan hidupnya akan berakhir dan begitu singkat untuknya bernafas di muka bumi ini lagi. Membaca karya ini seolah-olah aku khayal dengan banyak bait-bait falsafah kehidupan yang telah ditekankan oleh Sasterawan Negara ini. Tidak dilupakan juga watak utama yang sangat mencintai dunia sastera telah mendorong perjalanan karya ini lebih menarik dan santai untuk dibaca. Melalui penceritaan kehidupan watak utama (Hafiz), Pak Samad cuba menghidupkan lagi pelbagai watak yang menjadikan pendorong  Hafiz yang menghidap penyakit Luekimia ini untuk terus mencari saki baki kehidupan yang tidak dapat dirungkai olehnya sendiri. Hafiz yang mengetahui perjalanan hidupnya tidak lama, maka mengambil keputusan untuk keluar melihat alam dan mentafsir sendiri hakikat sebuah kehidupan, dengan cara menulis, mengembara, dan membaca pada bila-bila masa sahaja. ‘Bukankah begitu banyak perkara atau peristiwa yang masih tidak dimengerti manusia,’ kata Hafiz. ‘Bukankah itu tugas setiap orang untuk mengkaji dan menafsirnya?’ Kisah hidup Hafiz juga tidak lari oleh seorang wanita (Zakiah) yang menjadi pendamping semangat hidupnya yang juga seorang pelacur yang ingin menuntut dendam lelaki. Namun, setelah kematian Hafiz, banyak perubahan yang telah dilakukan oleh Zakiah yang cuba diolah oleh Pak Samad untuk menunjukkan pada pembaca bahawa setiap manusia tidak lari dari membuat kesilapan dan juga boleh berubah ke arah kebaikan.

Karya ini begitu santai, hingga pembaca dapat menilai sendiri hakikat hidup ini adalah seperti alam. Hidup ini adalah berpindah randah. Begitu juga yang terjadi apabila Pak Samad menekankan soal alam yang telah dirosakkan oleh tangan kaki manusia kini. ‘Memang manusia sentiasa mengalahkan alam, Hafiz teringat semula. Manusia meruntuhkan bukit, merebahkan hutan, mencemarkan sungai, tapi akhirnya manusia itu sendiri yang kalah. Betapa pun, selain dari sesekali menjadi penghukum, alam sebenarnya lebih banyak memberi nikmat kepada penghuninya -manusia’. Oleh kerana itu, tangan-tangan manusia ini tidak dapat mengalahkan alam yang menghukum mereka dengan banjir, gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya supaya setelah memberi nikmat kepada penghuninya yakni manusia. ‘Manusia dengan air yang diminumnya dan air yang akan ditelannya’. Faham?

Watak yang menjadi pembakar semangat perjalanan Hafiz yang berpenyakit ini tidak lain tidak bukan ialah Ariff, seorang pejuang kemerdekaan yang tidak langsung dikenang atau tidak mahu dikenang langsung oleh negara. Namun, Ariff sendiri tidak kisah soal itu lantaran ingin melihat tanah airnya kekal merdeka dan aman, hingga tidak ada lagi pertumpahan darah seperti pernah dilaluinya ketika rusuhan 13 Mei. Perjalanan hidup Ariff mungkin berbeza dengan anak muda seperti Hafiz yang hidup ingin mengembara tika usia memberontak timbul dalam diri. ‘Betapa besar pun kita.. ya.. betapa besar pun kita, jika kita tidak cukup-cukup bersatu, ingat, jika kita tidak cukup-cukup bersatu, kita mudah ditentang orang’. Dari sini kita boleh lihat latarbelakang seorang sasterawan yang hidup pada masa kemerdekaan tetap tidak akan pernah putus untuk menulis perihal negaranya yang pernah dijajah suatu ketika dahulu. Mungkin, Pak Samad ingin generasi seterusnya tetap teguh tidak melupakan sejarah kemerdekaan yang menjadi titik tolak negara dalam keadaan aman sekarang.

Aku melihat karya ini lebih menekankan falsafah kehidupan yang aku sendiri pun tidak pernah terfikir luasnya akal seorang sasterawan yang mengalami liku-liku hidup yang resah dalam perjalanan nafasnya di muka bumi ini. Aku tidak membaca Salina, Cinta Fansuri dan novel-novel Pak Samad yang lain, namun aku yakin dan percaya, bahawa sepanjang perjalanan tulisanya ini adalah lahir dari kehidupan sebenar yang dilalui oleh beliau suatu ketika dahulu. Adalah sangat berbeza orang yang menulis untuk masyarakat, dan orang yang menulis untuk seni semata. Maka, lahirlah jua konsep ‘seni untuk masyarakat’, bukan?


‘Manusia tidak terbentuk dari darah dan dagingnya saja. Cita-cita itu juga inti manusia, sesuatu yang melandaskan arah hidupnya. Mengapa mesti dipatahkan atau dipisahkan manusia dari cita-citanya?’

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk