Langkau ke kandungan utama

The God Delusion: Pandangan Seorang Muslim.







((Sdr. Abdul Rahman Shah))



            The God Delusion, buku penulisan Richard Dawkins, seorang ateis, pakar biologi dan ekologi yang terkenal dalam dunia saintifik dengan tesis terpenting dia, The Selfish Gene. Buku The God Delusion secara pendeknya adalah sebuah buku yang ingin ketengahkan idea bahawa kebarangkalian untuk Tuhan itu tidak wujud adalah jauh lebih banyak daripada kebarangkalian untuk Tuhan itu wujud.


            Walaupun buku ini lebih banyak memberi contoh kelakuan ekstrem mereka yang dari agama berlainan, konsep agama lebih banyak dasarkan agama  Kristian dan Tuhan agama Kristian, Dawkins sendiri dibesarkan dalam keluarga Kristian dan pelajar sekolah agama (Kristian). Dari bab ke bab, penulisan Dawkins tersusun dari menerangkan apa itu agama, kenapa kebarangkalian untuk Tuhan itu wujud rendah, akar kepada agama, akar kepada Tuhan, akar kepada moraliti dan dan kenapa agama tidak mempromosi moraliti (melalui teks Bible), moral zeitgeist, serta menerangkan kenapa ajaran agama itu bermasalah.


            Sebagai seorang Muslim, saya langsung tidak terguris hati, tergugat Iman, atau merasakan buku Dawkins ini adalah “jarum halus” ateis untuk menjatuhkan umat Islam. Tetapi buku ini, dengan contoh-contoh yang diberikan, menarik dari segi memberi hujah balas dan segi memahami bagaimana untuk orang Eropah, Islam dipukul rata sebagai sama sahaja dengan Kristianiti. Banyak contoh yang diberikan adalah contoh mereka-mereka bersikap ekstrem dalam agama dilihat sebagai dogma utama agama oleh Dawkins, tetapi, apabila saya membacanya, saya sedar inilah masalah umat kita, mereka bersikap ekstrem sehingga membuatkan orang tidak percaya pada agama dan Tuhan.

            
Hujah paling menarik dalam buku ini adalah, untuk Dawkins, dunia akan menjadi tempat yang lebih baik, dunia aman, dan tiada peperangan jika semua manusia tidak lagi percaya kepada Tuhan. 

Menariknya, Dawkins ada menyentuh contoh pergaduhan antara peminat bola sepak Glasglow Celtic dan Glasglow Rangers, tetapi masih mengaitkan pergaduhan ini sebagai konflik agama, kerana dari situasi sejarah, peminat Celtic adalah Katolik dan peminat Rangers adalah Protestan. Moraliti juga, mengikut Dawkins adalah produk evolusi dan akan melalui semangat zaman, atau erti kata lain, moraliti itu adalah relatif, tetapi absolut mengikut zaman kita berada, sebagai contoh jika kita mempunyai hamba pada zaman ini, kita berada di pihak yang salah, tetapi jika pada 200 tahun yang lepas, kita tidak bersalah (Untuk peminat falsafah agama dan falsafah moraliti, buku ini banyak rujukan-rujukan dan penerangan kepada falsafah-falsafah tersebut).

            
Untuk melawan hujah ini, adalah senang, satu, manusia itu adalah makhluk yang gila, gila populariti, gila duit, gila kuasa, dan gila semangat kekitaan (sense of belonging). Dan perangai gila ini boleh dilihat di mana-mana, peminat Apple lawan Samsung, peminat Manchester United lawan Liverpool, peminat Liberal lawan Sosialis, peminat Johor DT lawan Kelantan. Apabila semangat kekitaan itu sudah sebati dengan hidup, segala perkara luar atau lawan akan menjadi musuh dan manusia tidak berfikir dua kali untuk bertumbuk tentang hal picisan kerana semangat itu sudah dalam diri. Contoh ini juga boleh dipanjangkan kepada perang-perang antara agama, terutama pada zaman dahulu, tetapi pada zaman ini, hampir tiada perang kerana agama sebagai punca utama, faktor geopolitik adalah sebab utama, walaupun ramai juga manusia zaman ini membuat kerja gila atas nama agama dan nama Tuhan.

           
Mengikut buku ini, Ateisme versi Dawkins merujuk kepada kumpulan manusia yang tercerah mindanya untuk melihat dunia dan manusia ini tercipta dengan sendirinya (Teori-M dalam bidang Fizik dan Teori Evolusi dalam Biologi). Ateisme versi Dawkins adalah sekumpulan manusia yang saintifik, yang berusaha untuk keamanan dan kesejagatan kemanusiaan, dimana semua manusia mendapat hak-hak mereka. Walaupun ramai Ateis mengikut versi Ateisme ini, tetapi ramai juga yang hanya anti-agama dan anti-Tuhan, bukan kerana mereka mengikut pandangan hidup saintifik.

            
Berbalik kepada manusia gila populariti dan semangat kekitaan? Ateisme juga sudah menjadi suatu ikutan popular terutama di Barat kerana psyche mereka sudah tidak percaya pada agama kerana kezaliman dan korupsi agama Kristian kepada kebudayaan mereka. Serta semangat kekitaan itu sudah menubuhkan golongan militan Ateis dan Gereja Ateis. Akhirnya semangat dan ideologi saintifik yang ingin diterapkan hilang begitu sahaja.

            
Kegilaan ini tidak mudah hilang begitu sahaja, kalau bukan gila agama, manusia akan gila bola, kalau bukan gila bola, manusia akan gila gajet, kalau bukan gila gajet, manusia akan gila selebriti, dan macam-macam lagi. Ateisme tidak boleh menyelesaikan masalah kegilaan ini, tetapi kesedaran manusia tentang hidup secara bersederhana seperti juga disyorkan oleh Nabi Muhammad SAW.

            
Berbalik kepada buku Dawkins ini, buku ini juga ada menyenaraikan sebab-sebab kenapa agama itu sifatnya ganas. Disini saya harap pembaca tidak salah faham, saya agak bersetuju dengan sebab-sebab Dawkins (boleh baca sendiri buku ini), bukan kerana agama itu ganas, tetapi kenapa puak ekstremis itu ganas, tidak kisah Gereja Baptist Westboro ke, Taliban ke, Boko Haram ke, golongan Buddha di Myanmar ke, puak ekstremis muncul lebih kurang atas sebab yang sama, tetapi seperti biasa, senarai Dawkins tidak lengkap kerana hal ini mempunyai faktor-faktor beraneka segi.

            
Sebagai tambahan disini adalah senarai saya tentang puak-puak ekstremis di dunia Islam termasuk Malaysia:

1)      Superiority Complex dan Cognitive Dissonance: Perasaan diri lebih hebat dari golongan atau kumpulan yang lain kerana Islam adalah agama benar sambil mendabik dada dan berteriak kehulu kehilir, tetapi realitinya mereka secara dalamnya sedar akan situasi dunia Islam yang kolot, jumud dan lemah menghasilkan sebuah cognitive dissonance diantara umat Islam sehingga daripada membetulkan kesilapan diri, mereka menyalahkan orang lain dan jarum-jarum halus.


2)      Semangat Identiti: Seperti yang sudah disebut, manusia ini gila semangat kekitaan, kejayaan pasukan bola sepak mereka dianggap sebagai kejayaan sendiri, kejayaan orang bangsa mereka dianggap sebagai kejayaan sendiri, jadi untuk melindungi identiti-identiti berharga ini, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk menunjukkan yang ya, mereka komited kepada Liverpool, atau kepada Apple, atau kepada agama masing-masing melalui teriakan di Facebook, melalui pembakaran gereja, melalui pergaduhan, melalui membuat kempen fitnah, atau melalui meletupkan diri sendiri (suicide bombers).


3)      Cara Paling Mudah/Pemalas: Kalau kamu ingin menunjukkan komitmen kepada sesuatu apabila berhadapan dengan pandangan berlainan, mana lagi mudah? Membaca? Belajar dengan lebih lanjut? Bersikap toleran dan objektif dihadapan mereka berlainan pendapat? Atau caci dan maki mereka di Facebook? Membuat status berbaur fitnah di Facebook? Mempercayai segala kata-kata ustaz kamu sebagai 100% benar dan menolak segala pandangan lain? Mana lebih mudah?


4)      Muslim Ritual: Dimana masyarakat beragama Islam kini hanyalah Muslim Ritual. Hanya fokus kepada hal-hal Ibadah, halal-haram, kahwin dan mas kahwin, tetapi bukan pada Islam sebagai cara hidup keseluruhan, hal-hal politik, hal-hal ekonomi, hal-hal flora dan fauna, hal-hal saintifik, hal-hal kemanusiaan, hal-hal kebebasan dan menentang kezaliman. Balik-balik beromantis pada zaman Abbassiyyah tentang sains, beromantis pada zaman Uthmaniyyah untuk hal politik dan lain-lain, sehingga ingin menubuhkan kerajaan yang 100% sama dari segi struktur politik tetapi bukan dari segi falsafah politik Islam.

Sebagai penutup, visi Richard Dawkins untuk keamanan dunia melalui menyembuhkan manusia dari penyakit “agama dan Tuhan” sangat lemah. Tetapi bukti-bukti ekstremis agama yang ditonjolkan dalam buku ini adalah perkara-perkara yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku dalam masyarakat jika tiada gerakkan dari pihak moderat untuk menunjukkan Islam berada di tengah, bukan ekstrem kanan, bukan ekstrem kiri. Serta program-program galakkan pembacaan falsafah hidup sendiri dan falsafah hidup mereka yang lain supaya prejudis dan sifat rasis dapat dibendung.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk