Langkau ke kandungan utama

APA ITU PENCERAHAN KANT?


((M. AIMAN ISMAIL))

PENCERAHAN DAN AGENDA PROJEK PEMBODOHAN

Aku akan bahagikan ulasan ini kepada tiga bahagian iaitu (1) Apa itu Pencerahan?; penjelasan mengenai Pencerahan yang dibawa oleh Kant - mengikut kefahaman aku. (2) Projek Pembodohan; aku akan cuba mendefinisikan istilah Projek Pembodohan. (3) Bagaimana Pencerahan melawan Pembodohan?; Aku akan mengulas mengenai esensi pencerahan yang boleh diambil iktibar dalam gerakan melawan Pembodohan.


Apa itu Pencerahan

Perenggan pertama dalam esei Kant ini bagi aku amat menarik untuk kita teliti maknanya. Menurut Kant:

“Pencerahan adalah kemunculan seseorang dari ketidakmatangannya yang sendiri dipikul. Ketidakmatangan merupakan ketidakupayaan seseorang untuk menggunakan kefahamannya tanpa panduan orang lain. Ketidakmatangan ini adalah sendiri dipikul apabila sebabnya bukanlah kekurangan dari segi kefahaman, tetapi kekurangan azam dan keberanian untuk menggunakannya tanpa panduan orang lain. Sapare Aude! Beranilah menggunakan kefahaman sendiri! Itulah cogan kata Pencerahan.”


Dari petikan ini dapat kita lihat secara ringkas apakah maksud Pencerahan yang dibayangkan oleh Kant. Dalam kata lain, Pencerahan itu adalah pemberdayaan individu untuk menggunakan pengetahuan dan ilmu yang dia punyai. Syarat utama bagi pencerahan pula adalah keberanian, seperti slogan Pencerahan itu, “Sapare Aude!”.


Kekurangan azam atau kemalasan serta sifat penakut adalah antara sifat yang menghalang seseorang itu untuk menjadi ‘tercerah’.


Projek Pembodohan

Menurut kefahaman aku Projek Pembodohan itu adalah, percubaan untuk mereduksikan keupayaan individu kepada tahap yang paling minimal, agar tidak mendatangkan ancaman buat sesebuah pihak; penguasa, agamawan, politikus mahupun siapa-siapa sahaja.


Analoginya seperti sebuah pada meter pengukur minyak yang ada dalam tangki motor. Ada tahapan yang paling rendah, kosong, iaitu E, dan ada juga tahap yang maksimal, penuh, F. Pembodohan itu apabila sesebuah pihak mengawasi dan sentiasa memastikan golongan-golongan target pembodohan hidup itu hanya sentiasa berada pada tahapan E.


Aku gelar ini tahap keperluan yang minimal; untuk terus hidup, bernyawa, agar penunggang motor itu mampu mengerah upaya motor itu tadi agar dia mampu sampai menuju destinasinya. Minyak yang diisi itu cukup-cukup makan sahaja, sekadar memenuhi keperluan minimal untuk kelangsungan hidup atau survival motor itu tadi.


Aku lihat bentuk ini berlaku dalam masyarakat kita. Kerajaan ternyata melakukan pelbagai korupsi dan memungkiri janji, perbuatan yang aku kira, sebab yang sudah kukuh untuk kita tukar semuanya. 

Pada saat-saat getir PRU13 yang dirasakan kedudukan mereka tergugat, maka muncullah pelbagai bantuan dan insentif. Begitu juga dalam bajet dan belanjawan tahunan, insentif yang melimpah ruah yang ditumpukan buat anak muda – yang pada kefahaman aku kurang membantu ekonomi Negara – hanya semata-mata untuk meraih semula kepercayaan yang kian goyah.


Kepercayaan yang goyah itu amat berbahaya buat para penguasa. Revolusi Perancis bagi aku satu contoh yang amat jelas. Ekonomi meruncing, golongan petani terasa tertindas yang amat sangat, dan penguasa ketika itu gagal untuk meraih kembali keyakinan masyarakat.


Konklusi yang boleh aku nyatakan, penguasa di Malaysia berjaya melaksanakan agenda Projek Pembodohan mereka. Walhasilnya, muncullah frasa-frasa seperti “Intelektual kangkung”, “Kematian Intelektual di Malaysia”, “Mahasiswa robot”.


Untuk lebih jelas lagi, aku meminjam istilah daripada kaedah usul dalam islam iaitu (1) keperluan, (2) kemahuan, (3) kesempurnaan. Aku hanya meminjam istilah ini sahaja dan anologi ini tiada kaitan dengan tafsiran istilah-istilah itu mengikut mana-mana ilmuwan.


\Aku membayangkan ketiga-tiga peringkat ini disusun secara vertikal, hierarki, daripada bawah ke atas, dengan keperluan itu yang paling bawah, di atasnya ialah kemahuan dan yang paling atas adalah kesempurnaan.


Apa yang aku maksudkan dengan mereduksikan keupayaan individu kepada tahap yang paling minimal adalah yang di tahap keperluan itu; malahan pembodohan itu direduksikan lagi kepada tahap yang paling minimal dalam peringkat keperluan itu sendiri - iaitu kelangsungan hidup (survival).


Mengapa perlu direduksikan sampai begitu? Mengapa pula tidak dihapuskan sahaja individu itu untuk mengelakkan ancaman? Jawapan aku mudah; kerana mereka (penguasa) itu tadi masih berhendakkan akan tenaga dan khidmat daripada individu-individu (rakyat) itu.


Aku teringat pada filem “12 Years a Slave” yang mengisahkan perjuangan seorang hamba untuk mendapatkan kebebasan. Watak utamanya, Solomon Northup, seorang ahli muzik yang asalnya bebas tapi telah diculik lalu dijual sebagai hamba. Dia telah disoal oleh pemiliknya sama ada dia tahu membaca atau menulis, maka dia telah menafikannya, padahal dia adalah seorang yang berpelajaran yang mampu membaca dan menulis. Sambung pemiliknya lagi, “tugas seorang hamba itu hanya untuk berkhidmat buat tuannya, maka dia tidak perlu untuk membaca dan menulis”.


Konklusi aku, pembodohan itu adalah untuk mereduksikan keupayaan kita semua, individu yang bebas dan merdeka, menjadi hamba. Hamba sang penguasa yang gilakan harta dan kuasa. Penguasa yang sudah jauh melepasi tahap keperluan dan sedang berada di puncak kesempurnaan yang dipandu oleh nafsu yang tidak pernah pernah akan berhenti. Mereka akan terus menghisap darah individu-individu lain, memeras keringat kita dan seterusnya, habis sepah madu dibuang. Apabila dirasakan sudah tidak bermanfaat maka kita akan disingkirkan begitu sahaja. Itulah dunia penguasa yang gila.


Mungkin daripada itulah timbulnya kata-kata “Sekolah bukan penjara, Universiti bukan kilang”. Dan ingin aku menambah, “Para pekerja dan buruh, mereka adalah hamba, kepada penguasa kapitalis yang gila”.


Sekali lagi aku nyatakan, tujuan  Projek Pembodohan adalah untuk menjadikan kita hamba, untuk menambahkan lagi kekayaan dan kekuasaan penguasa.


Bagaimana Pencerahan melawan Pembodohan?

Jika difikirkan, sifat Pencerahan(cahaya) itu amat berlawanan dengan Pembodohan(kegelapan). Bagi aku, usaha untuk melawan Pembodohan itu tersirat dalam cogan kata Pencerah itu sendiri; Beranilah berfikir, beranilah menggunakan kefahaman sendiri!


Dalam usaha kita mendobrak Pembodohan, sudah semestinya akan dihalang sang Penguasa. Menurut Kant:

“Justeru itu para penjaga yang telah mengawasi mereka dengan baik hati berusaha mempastikan agar majoriti manusia menganggap jejak langkah menuju kematangan suatu yang amat menyusahkan dan juga amat bahaya.”


Sambung Kant lagi:

“Setelah membisukan haiwan belaannya sambil berhati-hati memastikan  bahawa makhluk-makhluk diam ini tidak berani melangkah tanpa pedati haiwan yang tersangkut padanya(penjaga/penguasa), penjaga-penjaga pun menunjukkan mereka bahaya yang akan mengancam jika mereka cuba berjalan sendirian.”


Melalui pendidikan, sang penguasa akan cuba menyuburkan sifat konformiti dan patuh dalam diri. Menurut Noam Chomsky, sistem pendidikan kita adalah untuk meng-indoktrinasi. Mendidik anak-anak yang asalnya punyai kemampuan hebat untuk menjadi orang-orang yang bodoh, yang hanya pandai melakukan tugasan-tugasan bodoh dan hanya tahu menjadi seperti kakak tua, mengungkapkan kembali semua yang telah dihafal tanpa faham sepatah pun apa yang dikatakannya.


Maka pendidikan itulah yang dianggap sebagai ‘berjaya’ buat sang Penguasa. Melahirkan generasi ultra-konformis yang penakut, dan apabila ada orang yang berbeza dengan mereka, maka akan diberikan pelbagai label, agar individu-individu lain juga takut untuk menghampirinya.


Seperti yang disebut tadi, ubat kepada Pembodohan ini adalah berfikir. Fikir dengan kemampuan yang kita ada, biar sedikit mana pun. FIkir ! Apabila diajar suatu perkara, fikir, cabar. Jangan hanya tahu menjadi orang yang menerima sahaja bulat-bulat apa yang disampaikan.


“Mereka itu ulama’, mereka lebih tahu.” “Mereka punyai PhD dalam bidang itu.” “Mereka lebih tahu...”


Adakah itu bermakna mereka itu sentiasa betul? Sedangkan nabi Muhammad sendiri perlu ditegur Allah melalui satu surah dalam Al Quran. Penguasa, ulama, ilmuwan dan intelektual itu mungkin lebih maksum daripada nabi, sampai mereka tidak boleh ditegur, tidak boleh diragukan segala kenyataan yang dikeluarkan daripada mulut-mulut mereka.


Melalui Pencerahan, penekanan kepada pemberdayaan daya fikir insan akan menjadi penawar kepada segala kebodohan. Fikir! Cabar! Lawan! Apabila semua orang berfikir, mencabar, melawan apa yang dirasakan salah bagi mereka, maka akan berkuranglah kejayaan Pembodohan yang dijalankan para penguasa, justeru kita akan melihat wacana-wacana ilmu akan bangkit kembali, memugar keintelektual-an masyarakat. Semua individu berhak menjadi intelektual – bukan hanya para lepasan universiti – kerana setiap orang daripada kita punyai akal untuk membezakan baik dan buruk.


Tujuan kita berfikir pula bagi aku, perlu ditetapkan untuk mencari kebenaran, untuk menghasilkan kebaikan umum buat setiap individu.


Bagi aku, ada satu nilai yang perlu dipraktikkan buat setiap invdividu yang mahu berfikir; itulah KEJUJURAN. Jujur dalam mencari kebenaran. Jujur pada diri sendiri. Jujur pada matlamat fikir itu sendiri. Pada pendapat aku, hanya orang jujur yang akan dapat kebaikan yang hakiki. Kebaikan yang betul-betul bermanfaat buat semua.


Sekian sahaja. Sebarang permasalahan dan percanggahan pendapat dan ide, boleh dilontarkan terus pada aku.

Terima kasih.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk