Langkau ke kandungan utama

EROPAH MODEN: Perjalanan Sebuah Revolusi Perancis; Sebab dan Akibat (Part I)






by; Sadiq Jebat (Abam Kacak)

Seperti yang kita tahu, perbahasan tentang revolusi dan reformasi baru sahaja dibuat di Restoran Amjal disampaikan oleh mereka yang mempunyai latar belakang yang sudah menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan juga mereka yang bergelar aktivis. Tetapi persoalan yang ingin saya lontarkan di sini adakah pendengar yang hadir pada hari itu cukup faham tentang sejarah reformasi dan revolusi atau sekadar datang untuk mencukupi masa lapang? Saya yakin yang hadir di KuBu hari ini mengharap sesuatu perkara yang lebih baik berbanding pada malam itu, ini kerana pada malam itu lebih berbentuk kepada forum yang disampaikan oleh 5 orang panelis berbanding pada hari ini kita berkumpul dalam keadaan kelompok pembincangan yang lebih kecil. Maka saya minta jika ada soalan atau persoalan yang diragui minta dilontarkan terus TETAPI sebelum itu saya merayu dengarkan apa yang saya ingin sampaikan terlebih dahulu tentang maksud revolusi pada pandangan saya.

Sebelum saya menjengah kepada tajuk pokok kita hari ini tentang Revolusi Perancis saya ingin tegaskan bahawa maksud revolusi yang saya fahami adalah; sebuah cara atau metod untuk mendobrak sistem yang lama dan menggantikan kepada sistem yang baharu secara terancang atau tidak. Apabila kita bercakap tentang sistem maka saya ingin tegaskan sistem adalah satu tatanan yang membentuk kita atau satu hegemoni yang dicipta untuk melancarkan proses perjalanan sesuatu kehidupan sosial atau lebih dikenali sebagai teori sistem. Maka itu adalah definisi ringkas yang saya fahami, untuk kita panjangkan lagi pembincangan berkenaan sistem mungkin kita boleh dipindahkan pembincangan ini kepada minggu-minggu mendatang.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pendahuluan

Revolusi Perancis kerap kali diambil sebagai sebuah revolusi yang banyak dilihat sebagai revolusi pertama yang mampu menggegar dunia Eropah. Malahan menurut Alfred Cobban revolusi Perancis ini tidak sama seperti mana revolusi Amerika dan juga Inggeris. Ini kerana jika kita melihat dari pelbagai sudut perjalanan sejarah revolusinya sendiri terdapat banyak kekeliruan dari segi tercetusnya revolusi, malahan revolusi itu sendiri adalah revolusi pertama untuk membentuk sebuah negara Republik pertama di Eropah. Izinkan saya senaraikan beberapa sub-topik untuk memudahkan kefahaman kita semua; seperti yang ditulis oleh Qasim Ahmad beliau membahagikan kepada—

Ø  Latar Belakang Masyarakat.
Ø  Susun Lapis Masyarakat.
Ø  Keadaan Sosioekonomi.
Ø  Pergerakan Kesedaran.
Ø  Prolog kepada Revolusi.
Ø  Kejatuhan Bastille.
Ø  Pencetusan Revolusi.
Ø  Kelab-Kelab Politik.
Ø  Pengukuhan Revolusi.
Ø  Perlembagaan Sivil Gereja.
Ø  Ancaman Terhadap Revolusi.
Ø  Perpecahan berterusan.
Ø  Kejatuhan Girondin.
Ø  Zaman Ganas.
Ø  Kejatuhan Robespierre.


Maka kita punya 15 sub-topik untuk memahami pembincangan kita hari ini, sebelum itu saya ingin tegaskan lagi sekali di sini, revolusi Perancis melalui peringkat yang banyak, manakala pembincangan saya ini hanya tercetusnya revolusi sehingga kepada zaman jatuhnya Robespierre Maxiemmillan. Ini kerana sosok tubuh Robespierre dianggap sangat kejam hatta begitu di Perancis punya satu hari menyambut kehebatan sosok tubuh ini membawa semangat revolusi di Perancis hatta Marquis de Lafayette lebih dikenali sebagai seorang Jeneral yang banyak membawa revolusi itu ke hadapan tetapi watak Robespierre lebih dikenali kerana beliau dijolok dengan cara pemerintahannya yang menengah atau selalu ingin menjadi yang tengah.


Latar Belakang Masyarakat

Eropah sewaktu abad ke-18 adalah sebuah benua yang negaranya banyak dipimpin oleh monarki atau pemerintahan berkuasa mutlak. Bukan kerana tiada sistem yang bagus tetapi kerana sistem monarki adalah sistem yang mampu mengawal dan membentuk masyarakat yang baik pada abad itu sendiri. Walaupun begitu kita harus fahami dari segi konteks setengah sejarawan di sana menganggap bahawa monarki Eropah bukanlah bermaksud pemerintahan berkuasa mutlak—kerana mereka (baca: pemerintah) masih terhalang dengan beberapa institusi atau badan yang menghadkan kuasa-kuasa mereka untuk melaksanakan sesuatu.

Ini dapat dilihat daripada tindakan pemerintah yang melantik orang penting di kalangan rakyat seperti golongan bangsawan, daerah kekuasaan atau hak istimewa untuk mengekalkan kuasa monarki dan juga mendapat sokong daripada pihak-pihak tertentu. Selain daripada kepentingan bangsawan, baron, knight dan daerah kekuasaan golongan raja ini harus juga mengekalkan hubungan yang baik dengan pihak Gereja, ini kerana pada zaman itu Institusi Gereja sendiri telah terpisah daripada pemerintahan di bawah kuasa-kuasa raja. Maka hubungan-hubungan itu harus dijaga untuk kepentingan kedudukan golongan raja jua akhirnya. Oleh sebab itu, seperti yang ditegaskan Qasim Ahmad merujuk kepada Palmer—pihak raja bukanlah memerintah mengikut cita rasanya sendiri tetapi dihadkan oleh mereka yang juga punya kepentingan dalam kerajaan.

Secara ringkasnya sejarawan tidak berbeza pendapat dalam mengatakan bahawa pemerintahan di Eropah bercorak kebangsawanan dan feudal. Apabila saya mengatakan Perancis adalah sebuah negara Republik pertama kita harus faham maksud republik pada konteks masa itu dan sekarang. Pada waktu itu sememangnya sudah wujud negara republik seperti Belanda, Venice, Genoa, Swiss, Poland atau Daerah-daerah Bersekutu, sebenarnya republik itu tidak serupa kefahaman kita seperti republik yang sekarang di mana lebih menekankan sistem pendemokrasian, iaitu rakyat mampu mengundi untuk menentu pemerintah mereka. Malahan pada masa itu, Perancis dan di Eropah tidak lagi terdedah kepada sistem undi sebelum Revolusi Perancis.

Kendatipun menurut Rude, monarki Rusia sangat autokratik tetapi revolusi Perancis juga yang membawa perubahan pertama di Eropah. Jangan pula kita melihat England pada waktu itu, ini kerana Inggeris telah mendahului negara-negara jiran mereka terlebih dahulu dalam pembangunan sistem-politikal iaitu selepas revolusi 1688.


Susun Lapis Masyarakat

Tidak dapat dinafikan setiap negara akan punya susun lapis masyarakatnya yang tersendiri begitu juga di Perancis yang kita boleh kelaskan kepada 3 kelompok besar iaitu Estet Pertama, Estet Kedua dan juga Estet Ketiga atau kelas paling bawah. Estet Pertama adalah mereka yang berada di pihak Geraja, dikenali sebagai paderi atau biskop. Mereka ini adalah golongan paling atas kerana pada abad ke-11 berlaku satu revolusi iaitu Revolusi Papal iaitu pihak Gereja mula mengasingkan kuasa negara dan politik bahawa mereka akan mewujudkan satu entiti kuasa Gereja atau dipanggil Institusi Gereja di mana apabila seseorang raja itu ingin menjadi Raja mereka wajib untuk mengangkat sumpah untuk mempertahankan agama Kristian sepanjang pemerintahannya.

Institusi agama di Perancis amat kaya dan paling kukuh kedudukannya lebih kukuh daripada kerajaan Perancis itu sendiri. Ia mengendalikan rumah anak yatim, universiti, harta (berupa tanah), cukai serta lain-lain. Daripada sumber kekayaan ini menjadikan pihak agama mampu berdiri sendiri malah membayar gaji para agamanya. Dek kekayaan institusi agama inilah yang menyebabkan institusi agama menjadi tumpuan kepada pihak pemberontak.

Estet Kedua pula dipenuhi mereka yang diberi gelaran, pangkat atau hak istimewa oleh raja. Perlu kita tahu sebelum Eropah terbentuk seperti sekarang, tanah Eropah terbahagi kepada banyak daerah-daerah kecil yang sering berperang sesama mereka sendiri. Sama juga yang dilalui di Perancis, sebelum Perancis dapat menggabungkan tanah-tanah ini raja perlu memujuk atau memberi ganjaran seperti pangkat kepada pemimpin sesebuah daerah kecil ini untuk menyokong raja terus berkuasa. Hak yang istimewa kebiasaannya adalah sumbangan tanah untuk dipegang—berkuasa mengutip cukai daripada rakyat yang menghuni dan juga bebas daripada membayar cukai kepada kerajaan.

Manakala rakyat atau mereka yang tidak termasuk dalam kedua-dua kelompok itu adalah kelompok yang dipanggil Estet Ketiga iaitu golongan petani yang miskin sehingga kepada saudagar antarabangsa yang kaya. Perlu saya terangkan dengan lebih jelas, bangsawan dan saudagar atau borjuis adalah dua entiti yang berbeza. Bangsawan adalah mereka yang diberi pangkat, hak keistimewaan atau kuasa oleh raja manakala saudagar yang kaya adalah mereka yang berniaga atau mempunyai sesuatu untuk diniagakan. Selain itu juga, rakyat yang paling teruk dan banyak adalah rakyat bawahan yang langsung tidak diberi hak politik seperti mengundi (awal revolusi) juga tidak mempunyai tanah pun.

Perlu jelas, penerangan saya tentang estet itu bukan sahaja berlaku di Perancis tetapi negara kebanyakan di Eropah. Hatta begitu, golongan petani Perancis lebih beruntung kerana sebelum revolusi mereka sudah mempunyai hak milik tanah sendiri berbanding negara-negara monarki yang lain.


Keadaan Sosioekonomi

Bahagian ini agak rumit untuk dibincangkan kerana penulis (Qasim Ahmad) telah menyatakan dari pelbagai sudut pandang sejarawan namun begitu saya cuba meringkaskan tetapi tidak menghilangkan fakta-fakta yang patut kita ketahui tentang perjalanan tercetusnya revolusi Perancis. Jika dibincangkan semua pandangan tokoh sejarawan saya bimbang kita tidak punya masa yang cukup juga kefahaman untuk berjinak-jinak dalam memahami sejarah revolusi Perancis.

Saya catatkan beberapa tokoh yang membahas tentang keadaan sosioekonomi ini adalah;

-          Rude
-          Tocqueville

Menurut Rude yang tidak bersetuju dengan Tocqueville adalah mengatakan bahawa kestabilan ekonomi itu sendiri yang mencetuskan revolusi kerana rakyat sudah tidak sabar untuk membuang kuasa raja secara total. Hujah ini yang ditolak oleh Rude, kerana tingkas Rude, tidak sewajarnya sebagai rakyat kau tidak mengenang budi kepada kerajaan. Jika sudah terkawal sesuatu ekonomi itu maka terbuktilah sistem itu masih baik dan mampu menjaga hak rakyat.

Rude membidas lagi kepada Tocqueville bahawasanya golongan petani banyak yang menerima bala daripada kemelesetan ekonomi. Bidas Rude, walaupun petani sudah mempunyai tanah persendirian tetapi tanah yang diperoleh sangat kecil jikalau musim menuai, tuaian yang diambil itu sendiri tidak mencukupi untuk ahli keluarga petani itu sendiri. Bagi Rude, hujah Tocqueville tidak kukuh untuk menggambarkan bahawa kestabilan ekonomi menyebabkan revolusi Perancis.

Rude juga mengelaskan peringkat keruncingan ekonomi ini kepada dua peringkat iaitu peringkat pertama sewaktu perang Kemerdekaan Amerika di mana Perancis telah campur tangan pada tahun 1778. Apabila kemelesetan ekonomi berkelodak tuan tanah dan juga pihak berkepentingan tetap mengekalkan cukai yang lama maka masalah ekonomi ini terus menjadi punca utama kepada tercetusnya revolusi. Peringkat kedua iaitu kekurangan bekalan makanan kerana hasil tuaian yang tidak baik, malapetaka ini menyebabkan harga gandum meningkat secara mendadak.

Oleh sebab masalah yang dihadapi oleh para petani ini telah membawa ke sektor perindustrian. Pengangguran memuncak naik manakala pekerja yang bergaji kecil perlu melakukan kerja lebih masa atau kerja sampingan untuk menampung belanja membeli roti—bekalan makanan harian. Di sini saya ingin membawa kata-kata Rude yang dirujuk daripada buku Qasim Ahmad:

Petani dan tukang di bandar serta pekerja telah disatukan oleh kebencian yang sama terhadap pemerintah, tuan tanah, saudagar dan mereka yang melakukan spekulasi. Golongan [bawahan] ini menyertai revolusi dalam keadaan kepapaan dan kesusahan yang kian meruncing dan bukannya dalam keadaan ‘kemakmuran’ [yang kian bertambah].

Namun harus diingat bahawa Rude tidak menolak bahawa sememangnya ekonomi Perancis pada waktu itu sedang meningkat naik dan beliau tidaklah menolak hujah Tocqueville membabi buta tetapi memandang kepada aspek jurang perbezaan ekonomi yang amat ketara di antara golongan petani yang miskin dan golongan borjuis. Ini yang ditegaskan Rude bahawa Tocqueville tidak mengelih kepada isu itu.


Prolog kepada Revolusi
Prolog atau pembuka kepada revolusi disetujui sejarawan isu campur tangan Perancis dalam Perang Kemerdekaan Amerika adalah isu yang penting. Mendasari permasalahan ini, Raja Louis telah menghubungi golongan bangsawan menerusi Menteri Kewangan. 

Sebenarnya tindakan Raja Louis ini telah menampakkan ketempangan kepimpinan sendiri kerana beliau boleh meneruskan agenda itu tanpa perlu meminta kebenaran daripada golongan bangsawan.

Maka daripada usul yang dihantar daripada Raja Louis kepada Menteri Kewangan itu dipersetujui oleh golongan bangsawan tetapi mereka mengenakan beberapa syarat penting untuk menjaga kepentingan kuasa mereka iaitu; mereka meminta untuk lebih mengutamakan golongan bangsawan  iaitu Noblesse d’Eppe dalam jawatan tinggi dalam kerajaan. Babak inilah dikatakan sebagai kebangkitan golongan bangsawan iaitu golongan bangsawan itu sendiri sedar akan kepincangan dalam politik monarki.

Golongan bangsawan tidak sewenang-wenangnya untuk memberi hak kepada Raja Louis bagi mengutip cukai daripada mereka kecuali perlu dilakukan sidang parlimen. Daripada sidang parlimen inilah suara rakyat dikumpul dan dilihat sendiri bahawa rakyat mula mengeluarkan bibit-bibit kebencian kepada Raja Louis—sistem ekonomi. Walaupun begitu masih belum wujud pada waktu itu suara rakyat untuk bertindak antimonarki tetapi harapan rakyat kebanyakan Raja Louis dapat mengubah masalah ini secara drastik.

Masalah mula timbul apabila pengundian dalam menetapkan pembayaran cukai, Estet Pertama dan Estet Kedua lebih memonopoli persidangan parlimen. Maka jika Estet Pertama dan Estet Kedua bersatu untuk sesuatu usul maka akan merumitkan kelompok Estet Ketiga kerana undian dikira melalui suara Estet bukan suara majoriti semua ahli parlimen. Tetapi setelah berlaku perubahan dalam perkembangan politik hari itu, ahli perwakilan daripada Estet Ketiga telah ditambah sekali ganda dalam jumlah dahulu. Walaupun begitu Estet Ketiga tetap juga tidak berpuas hati kerana sistem ini lebih menekankan pengundian melalui blok.

Oleh sebab itu dari perihal itulah, Estet Ketiga mula menunjukkan belang harimau mereka dengan menubuhkan Dewan Kebangsaan, iaitu parlimen negara. Mereka telah disekat oleh raja untuk memasuki persidangan jujukan daripada peristiwa itu, mereka mula berkumpul di gelanggang tenis untuk mogok terhadap sistem yang bobrok itu kerana setelah mereka menang secara adil tetapi masih disekat suara mereka. Bahagian yang menarik adalah di mana mereka mula mengisytiharkan di mana sahaja Dewan Kebangsaan berkumpul maka di situlah tempatnya mereka bersidang.

Permulaan kepada pemberontakan boleh dikatakan berpunca juga daripada peristiwa ini, berjujukan dari ini setengah golongan paderi (clericals) mula menyokong golongan Estet Ketiga dan juga didahulukan oleh Ketua Paderi. Ketakutan raja mula tampak jelas apabila raja mula seperti ingin berkompromi dengan pihak Estet Ketiga—memujuk persatuan Dewan Kebangsaan supaya mengekalkan perbezaan estet yang lain dan juga mencadangkan untuk mengurangkan kuasa monarki sehingga menjadi monarki berpelembagaan.

Segala tawaran oleh Raja Louis ditolak mentah malah tiada sambutan dari rakyat kebanyakan bukan itu sahaja, Estet Pertama dan Estet Kedua juga tidak mengendahkan tawaran raja itu. Walaupun kedengaran mungkin tawaran raja itu adalah impian golongan miskin dan kelas menengah tetapi kata sejarawan ini menunjukkan tawaran raja itu sudah terlambat, telah tiba masanya untuk golongan revolusioner ini menunjukkan tujuan sebenar mereka iaitu menjatuhkan kuasa raja sepenuhnya.


Kejatuhan Bastille

Tempo revolusi mula memarak dalam jiwa rakyat jelata maka di sini lah bermulanya kejatuhan kuasa raja, Kejatuhan Bastille. Apabila Bastille mula di rampas kuncinya dan ditawan oleh pihak pemberontak maka permulaan kepada kejatuhan institusi raja jelas kelihatan. Daripada peristiwa ini juga kita dapat melihat bahawa 7000 wanita berarak bersama Marquis de Lafayette dengan membawa gandum dan roti serta Raja Louis bersama mereka. Pihak pemberontak juga telah meminta raja untuk menyokong revolusi itu bersama mereka. Tidak dapat tidak itu yang harus dilakukan oleh raja, jelas kelihatan bahawa raja sudah seperti kehilangan suara dan kuasa politiknya.

Jujukan dari itu juga, pihak Estet Pertama dan Estet Kedua yang tidak bersetuju dengan pihak Estet Ketiga telah melarikan diri ke negara jiran dan dipanggil sebagai Emigres—mana pihak yang menyokong Emigres maka mereka juga dianggap sebagai pengkhianat revolusi dan harus ditentang. Nyawa raja juga berada di hujung tanduk, hanya menjadi lambang sebelum bertemu ajal beliau di Gilotin. Tetapi tidak Ratu Marie Antoinette iaitu masih berkeras untuk melawan pihak revolusi, malah mencadangkan kepada Raja Louis untuk menyamar sebagai pelayan untuk cuba melarikan diri.

Ratu Marie lebih terkenal dengan sikap borosnya yang melampau, juga sifatnya yang langsung tidak disukai rakyat jelata juga seorang yang mandul tidak mampu mengurniakan anak pun kepada Raja Louis. Tetapi Ratu Marie seorang yang sedikit bijak dalam hubungan diplomatik, beliau rapat dengan pemimpin Austria malahan menghantar surat kepada negara pemerintah Austria untuk membantu Perancis mengembalikan kuasa Raja Louis kembali.

Apakah simbol Bangunan Bastille?—Bastille lebih dikenali sebagai bangunan usang, di sini banduan yang memberontak sebelum ini ditahan malahan bangunan tidaklah dijaga dengan baik, hanya ada beberapa puluh orang tentera. Tetapi kejatuhan bangunan ini daripada sudut politiknya adalah kejatuhan order lama dan kelihatan rejim lama. Dengan kejatuhan Bastille ini juga pihak pemberontak semakin bersemangat untuk meneruskan perjuangan ‘suci’ mereka ini. Pada hari itu, menurut Salvemini; “Selepas 14 julai 1789, raja perancis adalah raja pada nama sahaja.

Tuan tanah diserang oleh golongan petani miskin dan tiada kutipan cukai dibuat lagi, malahan daerah-daerah kecil di Perancis telah menyokong pihak revolusi dan melantik jawatankuasa mereka sendiri, mereka juga punya tentera yang tersendiri. Dalam proses menelurkan idea yang baharu untuk perjalanan revolusi, rusuhan atau pemberontakan diutamakan terlebih dahulu—idea keamanan hanyalah melalui revolusi. Di sini juga saya ingin membawa kritikan Edmund Burke, kata Burke revolusi Perancis adalah satu gerakan pembaharu sistem yang tidak teratur malahan membawa keburukan pada masa akan datang. Setelah rakyat bertungkus-lumus melawan rejim yang lama akan muncul golongan tentera membaham (baca; ambil alih) politik baharu itu.


Pencetusan Revolusi

Persoalan tentang pencetus ini banyak sejarawan berbeza pendapat dalam menentukan siapa pembawa kepada tercetusnya revolusi—pihak rakyat bawahan, atau kelas menengah borjuis atau kelas bangsawan yang mahukan hak keistimewaan daripada Raja Louis. Maka sebelum kita membicarakan tentang kelompok pencetusnya, saya ingin menyenaraikan beberapa sejarawan yang membahas perihal ini;

-          Alfred Cobban
-          Elizabeth Eisenstein
-          Lefebvre
-          Rude

Cobban dan Eisenstein tidak bersetuju jika mengatakan bahawa revolusi Perancis adalah revolusi para borjuis, walaupun ramai sejarawan menulis bahawa gerakan revolusi Perancis lebih kepada gerakan revolusi yang memberi keuntungan kepada golongan borjuis. Ini kerana bilang mereka, permulaan kepada spark revolusi itu sendiri tidak dianggotai oleh golongan borjuis tetapi lebih kepada hak para petani yang tertindas dan rakyat miskin. Ini kerana, ekonomi para borjuis pada waktu itu sudah cukup stabil dan bertujuan untuk meningkatkan lagi kekayaan ekonomi mereka ke tahap maksimum. Oleh sebab itu Cobban menegaskan rakyat kelas bawahan yang miskin dan juga pegawai rendah kerajaan yang begitu marah tidak dinaikkan pangkatlah yang mencetuskan revolusi.

Eisenstein pula mengatakan bahawa golongan bangsawan yang menghasut rakyat jelata supaya membenci dan membentuk satu gagasan antimonarki. Pada peringkat awal, borjuis sendiri yang banyak mengikut dogma golongan bangsawan itu sehingga tercetusnya revolusi Perancis. Ini kita dapat lihat dari sudut pembawa atau ketua kepada gerakkan revolusi dipelopori oleh golongan bangsawan seperti Lafayette dan Mirabeau.

Menurut Lefebvre yang bercanggah pendapat dengan dua tokoh di atas pula; golongan yang banyak mendapat keuntungan daripada revolusi adalah golongan borjuis. Malahan beliau mengelaskan pegawai rendah dan golongan borjuis adalah satu kumpulan yang tidak asing. 

Metod ini dikenali sebagai kuantitatif dan berunsur impressionistic (penonjolan) iaitu mengira bilangan yang paling ramai dalam sesuatu gerakan itu sendiri. Buku yang dicadangkan penulis adalah The Crowd in the French Revolution ditulis oleh Rude.

Rude seangkatan yang bersetuju dengan hujah Cobban malahan mencemuh beberapa tokoh seperti Taine dan Burke kerana mengatakan revolusi Perancis adalah sebuah revolusi yang tidak keruan—tiada halatuju yang jelas. Daripada sumber yang dikumpul oleh Rude daripada rekod polis, mahkamah dan Jawatankuasa Kesejahteraan Awam—peniaga kecil, ahli pertukangan, buruh dan rakyat miskin kota yang banyak berjasa dalam mencetuskan revolusi itu. Malahan mereka diberi gelaran sebagai sans-culottes­ iaitu pemimpin revolusioner yang bergiat aktif malahan kedudukan sosial mereka lebih tinggi dari golongan yang lain.

Satu lagi masalah dalam pengkajian tentang revolusi Perancis adalah mengatakan golongan minoriti yang telah membawa arus revolusi ini manakala golongan majoriti adalah masyarakat yang tidak cergas atau aktif dalam pembentukan pra-revolusi. Sedangkan menurut Rude hujah sebegitu hanyalah berlandaskan andaian seperti yang dijelaskan di atas iaitu punya unsur impressionistic, berbeza dengan hujah Rude dalam bukunya yang membawa data yang lebih konkrit berbanding sejarawan yang mengkritik revolusi Perancis seperti Taine dan Burke.

Kita harus faham, di mana-mana sahaja gerakkan revolusi semestinya pada akhirnya revolusi sesuatu tompok kuasa perlu diserahkan kepada golongan minoriti untuk membawa satu gagasan politik yang lebih baru. Ini tidak dinafikan dalam sistem politik hari ini. Oleh sebab itu ramai sejarawan yang bersetuju dengan Rude menyelar setengah hujah sejarawan yang mengatakan bahawa revolusi Perancis dipimpin oleh golongan minoriti sehingga mengabaikan gerakan massa yang jelas terpampang dalam sejarah pembentukan Republik Robespierre.


Rumusan

Secara ringkasnya dapatlah kita faham bahawa revolusi Perancis itu sendiri mempunyai banyak liku-likunya—sebelum berjalan sebuah revolusi itu, kita memerlukan satu keadaaan di mana ekonomi berada di peringkat yang sangat runcing sehingga menggugat rakyat jelata kebanyakan. Persoalan yang saya ingin lemparkan kepada pendengar hari ini; Adakah Malaysia mampu mencapai seperti revolusi Perancis? Izinkan saya menjawa—Tidak! Ini kerana kita masih jauh keterbelakangan dalam membincang hak manusia, ekonomi, dan juga kita semua hari ini masih selesa.

Selesa kerana punya kehidupan yang tidak lagi menggugat kedudukan kita sebagai manusia. Bahkan saya sendiri merasakan kita sendiri bingung dengan definisi revolusi dan reformasi yang menjadi perdebatan orang ramai. Umpama kita membahas maksud sekular di Wikipedia bahasa Melayu sudah lagi tidak relevan. Sekarang terma sekular sudah evolve kepada beberapa maksud yang lebih jelas—punya hala tuju yang lebih tepat kepada nilai kemanusiaan itu sendiri.

Apabila kita mula menjengah kepada terma-terma jargon ini tidak dapat tidak kita harus faham konteks pembincangan bukan main serkap jarang untuk mengelaskan maksud mengikut kepala kita sendiri. Bersikap jujur dengan ilmu adalah penting dan membawa hujah yang konkrit seperti yang ditonjolkan oleh Rude. Itulah cara yang terbaik untuk kita membawa perubahan di Malaysia ini, dengan jujur kepada ilmu kita sendiri.

Akhir kata—saya akan cuba menyambung pembincangan revolusi Perancis bahagian dua pada minggu hadapan (jika berkesempatan) pula. Kita akan melihat kepimpinan kewujudan kelab politik seperti Jacobin, Girondin, dan Cordelier yang mula mencetuskan isu-isu penting dalam hak kemanusiaan sewaktu pertengahan revolusi Perancis. Selain itu pemerintahan Zaman Ganas, juga perlembagaan baru yang telah dibentuk untuk golongan Gereja, serta perpecahan dan ancaman dalam revolusi. Wallahualam.


Yang Kacak—Abam Kacak!

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk