Islam Di Barat, Muslim di Timur.


(review oleh Ir Ramadhan UIA)

Buku : Islam Di Barat, Muslim di Timur.
Penulis: Dr Zulkifli Hassan

Bismillahirahmanirrahim.

Saya membayangkan ketika melihat muka depan buku ini adalah sebuah keadaan dan masyarakat yang mempraktiskan dan menjunjung tinggi nilai-nilai Islam di benua barat. Manakala, dari satu sisi imaginasi saya adalah masyarakat di bahagian dunia Islam yang sibuk bertelagah kerana perkara-perkara di langit dan keadaan sekitar yang hambar. Mungkin sahaja imaginasi saya itu salah. Tetapi asbab wujudnya imaginasi seperti itu adalah daripada pemerhatian terhadap masyarakat tempat saya tinggal dan juga keadaan semasa yang terjadi di tempat majoriti umat Islam. Entah kenapa saya merasakan bahawa dunia Islam ini sangat miskin budaya-budaya Islam di amalkan dan sangat kaya dari aspek pembangunan material. Berbeza dengan dunia majoriti bukan Islam dan dipimpin pula oleh pemimpin bukan Islam mereka kaya dengan budaya-budaya Islam dan kaya juga dengan pembangunan material.

Terlalu banyak ibrah yang diperoleh daripada buku ini. dan ibrah itu harus diteladani dan dipraktis supaya ianya tidaklah tinggal sebagai ibrah sahaja. Dalam esei saya ini, saya hanya mampu untuk menyentuh beberapa aspek. Terlalu banyak perkara dalam buku ini yang perlu dihadam dan difaham oleh pembaca sendiri. Saya hanya mampu menukilkan beberapa poin yang pada saya patut di ambil iktibar.

Dr Zulkifli membuka catatan travelog beliau dengan menceritakan kisah semasa beliau berada di bumi Haramain( Mekah dan Madinah). Dalam catatan beliau tergambar krisis disiplin dalam kalangan umat Islam yang ditonjolkan oleh perbuatan jemaah haji di sana. Bagi seorang pengkaji yang ingin mengkaji corak pemikiran umat Islam, seharusnya kajian itu dijalankan di sini pada musim haji, kerana di sinilah terkumpulnya pelbagai jemaah haji dari segenap sudut dunia.

Antara masalah disiplin yang tergambar di sini adalah tiada sikap toleransi di antara jemaah. Mereka bertolak-tolak hingga ada yang dipijak semasa melakukan ibadah di sekeliling ka’abah. Saya hairan, kenapa perlu melakukan perkara demikian? Adakah kerana mengejar barakah? Adakah kerana ingin mengejar perhatian Allah? Jika perkara itu yang menjadi perhatian mereka, kenapa tindakan mereka kearah itu tidak dilakukan dengan penuh disiplin dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Yang paling penting bersabar dalam menanti giliran untuk melakukan ritual ibadat itu. Tidak kiralah untuk mencium hajar al-aswad itu, atau mahu minum air zam-zam atau mahu menyentuh pintu ka’abah itu, sabar dan hormat itu penting. Bukankah prinsip Islam itu adalah sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada iman. Kalau kita mahu ke syurga, biarlah masuk syurga ramai-ramai, janganlah memijak kepala orang lain demi untuk masuk syurga sendirian.

Selain itu, Dr Zulkifli turut mencatat beberapa jemaah haji ( saya pasti beberapa itu adalah ramai) gagal memanifestasikan satu lagi prinsip Islam iaitu kebersihan. Usai berbuka puasa sampah dibuang merata-rata. Dan mengharapkan para petugas di sekitar kawasan itu untuk membersihkan sampah-sampah mereka. Menurut Dr Zulkifli para petugas di kawasan masjidil haram dan Nabawi adalah professional dan sangat mesra jemaah. Umat Islam patut mencontohi sikap para petugas itu. Dengan hal-hal yang disampaikan dalam buku ini, saya yakin jika tiadanya petugas-petugas, pasti kawasan sekeliling masjidil haram dan Nabawi itu kotor.

Masalah kebersihan turut terjadi pada sisi lain bumi umat Islam. Dr Zulkifli ketika mengunjungi Kaherah, Mesir mencatat akan masalah kebersihan yang berlaku di sana. yang menjadi pertikaian adalah, di bumi Mesir itu tertegak Universiti tertua yang melahirkan ramai ulama’ yang hebat-hebat, namun kenapa soal prinsip yang ada kaitan dengan hubungan sesama insan ini dipandang sepi?

Dr Zulkifli turut mengunjungi Jepun. Beliau memuji adab,disiplin dan kebersihan negara itu. Kita sedia maklum bahawa negara itu bukanlah tertegak dengan agama Islam. Malah masyarakat bukan majoriti dan pemimpinnya adalah bukan Islam. Namun ironinya, nilai-nilai Islam yang mementingkan kemakmuran sejagat dipraktiskan oleh mereka. Mereka sangat peka pada disiplin lebih-lebih lagi soal masa, kebersihan, adab dan etika dan lain-lain lagi. Saya pasti perkara-perkara seperti itu jarang ditemui di belahan bumi umat Islam.
Tentang soal kebersihan, sistem pengurusan dan pelupusan sampah disini sangat terbaik seperti pernah digambarkan dalam satu rancangan TV, al-Khawater. Pengacara itu mendakwa tempat pelupusan sampah mereka (di Jepun) tiada masalah bau busuk. Saya menonton bagaimana sampah-sampah di tempat pelupusan sampah itu diuruskan dengan baik menggunakan teknologi moden. Ini adalah satu contoh pengajaran yang patut kita ikuti iaitu menggunakan teknologi moden demi untuk menegakkan prinsip agama. Jangan hanya mementingkan pembangunan menara cakar langit sahaja, jika di bumi ini kita biarkan sampah-sampah terbiar tanpa dicakar menggunakan pencakar.

Dr Zulkifli mencatat bahawa masyarakat Jepun amat teliti dengan masa. Masa adalah komponen penting dalam kehidupan. Masyarakat Jepun tidak berkompromi dengan masa. Mereka tidak boleh bertolak-ansur jika pengangkutan awam tiba lewat walaupun seminit. Budaya ini sangat asing di negara umat Islam. Kita ambil contoh Malaysia. Sistem pengangkutan awam memaksa pengguna untuk menghabiskan masa berjam-jam untuk menanti di stesen dan terminal demi untuk ke sebuah destinasi.

Meskipun dalam perkongsian saya, saya tidak menyebut perihal negara belahan barat. Namun di sini saya cuba untuk membawa mesej yang tersirat di sebalik buku ini iaitu, tidak kira di mana kita berada, barat ataupun timur, jika budaya-budaya Islam itu diamalkan tak mustahil untuk umat Islam berdiri seiring dengan umat-umat lain.

Mungkin terlalu banyak aspek negatif yang saya paparkan di sini mengenai umat Islam. Namun itulah realiti. Kita terlalu sibuk menjaga hubungan dengan Allah seperti solat, puasa, haji dan lain-lain hingga kita lupa untuk menjaga hubungan kita dengan manusia, dengan alam, dan dengan bumi. Sedangkan buah daripada hubungan baik kita dengan Allah adalah melahirkan insan yang tawadhu’, yang membumi tingkah lakunya. Mungkin lebih kita dari mereka (golongan bukan Islam) adalah aqidah kita pada Allah, tapi lebih mereka dari kita adalah mereka mengamalkan buah-buah daripada pengamalan aqidah itu.


Saya hairan pada orang yang sangat menjaga dan memperjuangkan aqidah, namun sikap mereka, pemikiran mereka, tingkah laku mereka sangat-sangat bertentangan dengan intipati perkara yang mereka perjuangkan itu. Jika mereka itu benar-benar kuat pegangan dalam aqidah, saya yakin negara yang dipimpin dan masyarakat dalam negara itu tidak semundur seperti hari ini. mundurnya sangat memberi fitnah pada agama. Jika Tuhan mereka itu benar-benar Allah, maka masalah kebersihan dan pengurusan masa itu tidak terjadi kerana Allah sangat mementingkan kebersihan hingga ia menjadi separuh pada iman kita dan Allah turut bersumpah ke atas masa demi menunjukkan peri pentingnya masa itu. Jadi mari kita refleksi diri, Tuhan yang kita sembah ini adalah Allah atau ego kita sahaja.

Comments

  1. tidakkah kita lebih baik membandingkan negara-negara yang dikatakan lebih maju itu dengan negara Islam sesungguhnya yaitu saudi bukankah negara tersebut adalah yang terkaya dan sangat menjaga kebersihan, tidakkah kita lihat berapa banyak pekerja yang rela menjadi tukang bersih-bersih masjid nabawi disetiap sisinya bukankah itu tindakkan yang mulia, mungkin jika dibandingkan dengan negara Islam lain selain arab saudi akan sangat jauh bandingannya karena negara tersebut termasuk negara miskin

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

PENGENALAN “MANUSIA TIDAK MEMILIKI DAN TIDAK DIMILIKI”

Review Buku : Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri, karangan Za’ba.

Anwar Ibrahim Berpesan Buat Generasi Muda Islam