Langkau ke kandungan utama

Ulasan Buku: Peranan Intelektual oleh Usman Awang dan Pramoedya Ananta Toer



Tajuk Buku: Peranan Intelektual
Karya: Usman Awang dan Pramoedya Ananta Toer
Penerbit: INSAN, Institut Analisa Sosial.
Tahun: 1987
Bil. M/S: 29
Pengulas: Sdr. Khalil

            Buku nipis yang setebal 29 muka surat ini, walaupun nampak kecil pada fizikalnya, namun mapan dari segi isinya. Diterbitkan oleh INSAN atau nama penuhnya Institut Analisa Sosial- pengulas tidak tahu sama ada institut ini masih wujud atau barangkali wujud namun sudah bertukar nama-. Buku kecil ini tersedia dengan pandangan dua sarjana yang sudah tidak asing lagi dalam dunia nusantara yang membicarakan sesuatu yang dianggap besar dan juga kadang-kadang orang menyebut topik ini hanya layak diperbincang oleh ilmuwan-ilmuwan sahaja. Namun begitu, jika kita mahu menyebut bahawa perbincangan soal intelektual ini merupakan hanya layak diperbincang sidang ilmuwan sahaja, maka ia sangat kontradik dengan hal yang tersedia dalam buku kecil ini.

Pengulas tidak mahu memanjangkan ulasan dengan menceritakan soal peribadi kedua sarjana ini, cuma mahu mengetengahkan kedua sarjana ini dalam ruang lingkup perbincangan seputar intelektual ini. Usman Awang dan bapak Pram (pengulas lebih suka memanggil dengan gelaran bapak Pram), keduanya punya pengalaman luas dalam masyarakat sehingga pandangan ini seperti yang pengulas katakan sangat kontradik dengan kenyataan bahawa soal ini hanya dibicarakan oleh ilmuwan. Pengulas akan membahagikan ulasan ini kepada dua kelompak, kerana bagi pengulas, kedua sarjana ini punya konteks yang berbeza dalam perbincangan terhadap peranan intelektual.

Peranan Intelektual- Usman Awang.
Permulaan buku ini ditulis terlebih dahulu pandangan Usman Awang terhadap hal intelektual ini. Beliau sebelum mendefinisikan apa itu intelektual, telah mengutarakan satu definisi umum masyarakat ketika itu terhadap intelektual, iaitu, intelektual itu mereka yang berkelulusan universiti, namun ada juga mengatakan intelektual itu orang yang pandai bertutur bahasa inggeris dan membaca buku-buku inggeris, tambah beliau lagi ini menjadi definisi umum bagi masyarakat terhadap siapakah golongan intelektual itu.

            Sebagai seorang penulis, Usman Awang seperti yang dikenal sangat halus caranya dalam bertutur, ia tidak menyalahkan pendefinisian sebegitu kerana katanya dia bukanlah seorang sosiolog. Usman Awang, tambahnya lagi, cuba untuk mendefinisikan intelektual itu menurut pandangannya sebagai seorang penulis.

            Intelektual mesti punya ilmu pengatahuan, itu ciri yang dinyatakan oleh Usman Awang, namun tidak dibiarkan ilmu itu bersendiri, Usman Awang menambah lagi bahawa ilmu itu pula perlu bersama otak (fikiran) yang sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuannya sesuai dengan perkembangan ilmu- tidak jumud dan ketinggalan- supaya ilmunya semakin bertambah kaya dengan variasinya. Demikian itu pula tidak mencukupi bagi Usman Awang, baginya lagi seorang intelektual perlu sentiasa berfikir dan menyumbang hasil (idea) fikirannya pada khalayak.

            Usman Awang lebih terkehadapan dalam mendefinisikan intelektual ini, katanya selain perlu ilmu, fikir serta perlu menyumbang idea, ia mencirikan seorang intelektual itu harus mempergunakan ilmunya buat menganalisa serta mengkaji bagi merumuskan segala perkara dalam kehidupan manusia terutama masyarakat serta alamnya guna mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran.

            Berbanding pendefinisian intelektual oleh tokoh-tokoh seperti S.H. Alatas, Edward Said, Malek Bennabi, Usman Awang dilihat sedikit tegas dalam pendefinisiannya terhadap siapa yang layak digelar intelektual. Tegasan beliau dapat dilihat daripada cirinya yang terakhir iaitu, seorang intelektual harus bangkit dan berani memperjuangkan kebenaran yang dibawa. Berani berkorban dan sanggup turun ke ruangan masyarakat.

            Selain berbicara sekitar siapakah intelektual itu, Usman Awang turut menemplak golongan yang mendabik dada dialah intelektual masyarakat. Pada sebab itulah Usman Awang tiada berminat mengistilahkan intelektual itu harus golongan graduan universiti, katanya tidak kisahlah siapapun sekalipun asalnya mempunyai sikap yang dicirikan oleh beliau sebelum ini. Terkemudian Usman Awang menambah lagi, intelektual itu akan tertolak sekira-kira ada mereka itu mempercayai sesuatu yang tahyul-mahyul.

            Diakhir perbincangan ini, Usman Awang lebih menyeru agar mereka-mereka yang digelar intelektual ini agar menyantuni kehidupan masyarakat secara mendalam dan bukan mendabik dada sahaja. Secara tuntasnya, Usman Awang terlihat sangat berharap agar siapa yang digelar intelektual ini agar terus memperjuang nasib rakyat tertindas dan mahu berani menyatakan yang benar.



Peranan Intelektual- Pramoedya Ananta Toer.
            Di sini Bapak Pram tidak mendefinisikan secara jelas siapa intelektual itu, namun dilihar Bapak Pram lebih suka menjelaskan fungsinya. Namun begitu, Bapak Pram ada juga memetik definisi dari Sahibul Hikayat (?nama? karya) yang dimaksudkan intelektual itu adalah golongan yang menempatkan nalarnya (kemampuan berfikir) sebagai kemampuan pertama yang diutamakan yang bertujuan sebagai akhirnya nanti memahami kebenaran dengan nalarnya sendiri (dan bukanlah ikut-ikutan). Namun Bapak Pram disini tidak berpuas hati jika definisi ini hanya berhenti disini, katanya itu seolah tidak tuntas, belum selesai terhadap diri intelektual dan lingkungannya (masyarakat). Barangkali apa yang mahu dibilang oleh Bapak Pram adalah: penting diri sendiri. Bagi menambahkan ketidakpuashatian Bapak Pram terhadap definisi ini, dinamai pula intelektual ini sebagai intelektual blanko, tiada langsung berfungsi sebaiknya dalam masyarakat.

            Menurut Bapak Pram, intelektual ini adalah hati buat negeranya, perlu berfungsi dan terkehadapan dalam pelbagai soal yang tidak terbatas.

            Seperti yang telah dibicarakan oleh Usman Awang, intelektual itu ditentukan kerana sikapnya, dalam hal ini Bapak Pram juga berpendapat begitu. Hal ini kerana menurut beliau bicara soal sikap itu adalah bicara soal tempat dimana intelektual itu berdiri dan sejauh mana jalan yang telah ditempuh oleh intelektual itu sendiri.

            Sekira-kira pengulas, Bapak Pram dan juga Usman Awang sangat-sangat mahu mengenepikan jika ada kiranya intelektual itu yang masih mempercayai tahyul atau seperti yang dibilang Bapak Pram sebagai budaya kuburan.

            Dalam beberapa hal seputar intelektual ini, Bapak Pram mempunyai idea yang sama dengan Usman Awang di mana beliau mencadangkan agar intelektual ialah golongan yang bersikap sangat kritis dalam berfikir. Beliau ada menyebut soal keberanian seperti yang telah disentuh oleh Usman Awang, namun beliau lebih memperincikan sehingga ke soal budaya dan kerajaan.

            Sebagai konklusinya, Bapak Pram dan Usman Awang ini sekira penulis cuba mengangkat masyarakat ke ruang lingkup keintelektualan ini yang mudah sahaja diragut oleh golongan graduan university yang suka mendabik dada itu. Bagi kedua tokoh ini, keintelektualan itu milik semua jika sekiranya mereka ada usaha kearah itu.

Sekian.

Ulasan

  1. bole dapat lagi ke buku ni? kalau ade kat mane eh?

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk