Oleh: Bilis Sinis a.k.a Mohamed Rozaidy
Buku setebal 301 halaman ini memakan
masa yang agak lama untuk aku habiskan dan hadam. Percaya atau tidak, aku sempat menghabiskan pembacaan sebuah
kompilasi cerpen sebelum aku menamatkan pembacaan aku terhadap buku ini.
Seperti buku-buku lain, buku ini juga tidak terlepas daripada jangkaan aku
melalui ulasan-ulasan ringkas dan juga saranan-saranan penerbitnya sendiri
iaitu Republik Buku yang aku baca di media sosial sebelum aku membacanya kulit
ke kulit. Jangkaan aku pada awalnya ialah buku ini bakal mendedahkan sisi
pandang bagaimana wahyu yang diturunkan kepada Nabi-nabi terdahulu itu dapat
menghidupkan kembali jiwa manusia di suatu tempat hatta di seluruh dunia
sekalipun, dan bagaimanakah mesej wahyu itu dibawa oleh nabi-nabi yang
betul-betul bersungguh (all out) untuk menyampaikan risalah Tuhan supaya
manusia menyembah hanya kepada-Nya dan bukan kepada sembahan-sembahan lain.
Malangnya, jangkaan aku sedikit
meleset.
Terbahagi kepada 3 bahagian dengan
beberapa bab di bawahnya, buku ini dimulakan dengan bahagian pertama yang
menghuraikan perihal misi Nabi-Revolusioner dan kemudiannya penulis membawa
pembaca budiman kepada pembongkaran apakah maksud kebenaran sebelum dibawa ke
bahagian selanjutnya. Di bahagian kedua, kisah-kisah nabi terdahulu (tidak
semua) dipilih dan dihuraikan dalam konteks pembawaan mesej keserataan sosial,
cinta kasih dan kebenaran kepada masyarakat. Maka aku bertemu ayat-ayat yang
menghuraikan misi para nabi yang sebenarnya bukan sahaja membawa mesej tauhid,
akan tetapi membawa mesej keadilan sosial dan sebagainya. Beralih ke bahagian
tiga, sedikit ulasan daripada penulis berkenaan fungsi Nabi-Revolusioner yang
berpandukan wahyu dibandingkan dengan revolusioner moden yang acapkali
melibatkan pembawaan ilmiah (ilmu yang tidak berdasarkan wahyu kata penulis)
dalam mencipta perubahan dan melawan kezaliman dalam realiti hari ini.
Perbandingan itu secara tidak langsung merumuskan bahawa untuk zaman kini,
wahyu masih diturunkan kepada manusia dalam bentuk ilmu pengetahuan sepertimana
yang disebutkan dalam buku ini, pada halaman 299:
“Allah
masih mewahyukan kebenaran – tetapi melalui ilmu pengetahuan dan bukan melalui
agama.”
Maka tugas kita sebagai pembaca adalah
mengeluarkan pandangan atau bahagian penulisan yang mana yang kita setuju dan
tidak ketinggalan, kita perlu mengeluarkan bahagian atau pandangan buku ini
yang memerlukan perbincangan lanjut, untuk dikongsikan rasional di sebaliknya
dengan pembaca yang lain.
Aspek yang aku setuju dengan buku ini
:
1. Buku ini membuka minda dan mata
jiwa pembaca di luar sana berkenaan hakikat perjuangan nabi-nabi terdahulu yang
sebenarnya membawa suara kebenaran dan kesetaraan sosial dalam masyarakat
termasuk melawan kerosakan dan kezaliman yang dibawa oleh pemimpin korup dan
zalim yang ada pada masa kini. Dalam erti kata lain, kesyumulan perjuangan nabi
dalam membawa mesej kiriman wahyu Tuhan (Islam) itu perlu dinatijahkan kepada
masyarakat dan mesej keadilan sosial dan melawan penindasan juga penting untuk
diperjuangkan. Mungkin untuk sebahagian daripada kita, Islam hanya datang dalam
erti kata menyuruh orang memeluk Islam semata-mata tetapi sebenarnya hakikat
wahyu adalah lebih daripada itu tanpa mengabaikan satu mesej daripada
mesej-mesej yang lain. Penulisan buku ini yang kerap memberi imej tumpu kepada
kesetaraan sosial dan perjuangan membebaskan manusia daripada belenggu
perhambaan kepada manusia dalam desakan feudal yang memerintah sangat menarik
dan mungkin akan dapat mencipta perubahan jika diamati dan dihayati. Pendek
kata, aspek kesyumulan Islam itu dapat digarap dengan lebih dalam jika mesej
pembawaan keadilan sosial ditumpukan oleh pejuang-pejuang berideologikan agama
Islam pada masa kini dengan realiti hari ini.
2. Pemerkasaan unsur jihad dan
penglibatan aspek hijrah sebagai strategi perjuangan juga diberikan tumpuan.
Dalam erti kata lain, jika sesuatu perjuangan itu diasaskan daripada sudut
pandang panduan wahyu, sepatutnya jihad (bersungguh-sungguh) termasuk perang
dan hijrah perlu dirangkumkan dalam strategi. Mungkin jika mahu digambarkan
dengan lebih mudah, kita boleh membayangkan satu imej sekumpulan manusia yang
sedang berperang, berhenti seketika untuk mengumpul tenaga dengan bersembunyi
di satu kawasan lain sebelum datang semula dan bertempur dengan lebih hebat
bagi memastikan kemenangan memihak kepada mereka. Maka, aspek ini aku setujui
memandangkan unsur strategi itu yang menjadi cadangan utama. Apabila difikirkan
semula, jika sesuatu perjuangan untuk membela kebenaran itu tidak disusun
dengan strategi yang mapan, maka besar kemungkinan perjuangan itu akan menemui
kegagalan dan jalan buntu.
3. Aku sangat suka dengan buku yang
menghuraikan perkara atau isu-isu yang bertepatan dengan tajuk yang diberikan
di kulit luar buku tersebut. Buku ini bukan sekadar himpunan artikel akan
tetapi ianya adalah huraian ringkas akan fungsi wahyu dan revolusi. Hal ini
memuaskan hati aku, Alhamdulillah.
Aspek yang boleh dibincangkan lagi :
1. Penumpuan yang diberikan kepada
kesetaraan sosial yang perlu diperjuangkan dalam buku ini melangkaui mesej
sebenar penurunan wahyu iaitu membawa manusia kembali menyembah Tuhan yang Esa
iaitu Allah S.W.T. Pada pandangan aku, wahyu diturunkan kepada para nabi
membawa mesej yang serupa iaitu untuk mengajak manusia kembali menyembah Tuhan
yang Esa. Kemudian, dengan asbab penerimaan hubungan perhambaan kita (manusia)
kepada Tuhan (Allah), maka disyariatkan kita dengan beberapa arahan untuk
diikuti sebagai manifestasi ketaatan kepada Tuan kita yang tidak berbelah bahagi.
Dalam manifestasi yang dinamakan syariat itu, terdapatnya tumpuan kepada
beberapa hal yang merangkumi perjuangan kesetaraan sosial dan perjuangan
membebaskan rakyat yang tertindas serta menghapuskan perhambaan kepada sesama
manusia dengan digantikan unsur perhambaan itu hanya kepada Allah. Hal ini
sangat logik kerana apabila semua manusia hanya menghambakan diri kepada Tuhan
yang Esa (Allah), secara tidak langsung, tidak wujud kelas dalam kehidupan,
kasta atau apa jua klasifikasi yang diada-adakan untuk menindas manusia lain.
Mungkin dari sisi pandang yang lain, penulis cuba menyatakan bahawa
memperjuangkan kesetaraan sosial itu ialah wajib sepertimana wajibnya mentaati
syariat Allah yang lain untuk membuatkan pengamalan Islam pada hari ini
benar-benar syumul. Hal ini dinyatakan di halaman 233 buku ini. Jika penulis
menulis dengan maksud ingin menumpukan aspek perjuangan mengangkat kesetaraan
sosial lebih daripada aspek tauhid dan kepatuhan kepada Allah dalam elemen
syariat yang lain, aku memilih untuk tidak bersetuju.
2. Satu persoalan yang bermain di
fikiran aku selama aku menghadam buku ini ialah, adakah idea yang digarap oleh penulis adalah berdasarkan pemahamannya
terhadap ajaran al-Quran, atau adakah penulis menggunakan ayat al-Quran sebagai
hujah untuk menguatkan pandangan peribadinya? Jika keadaan pertama yang
dipilih penulis, maka aku bersetuju kerana aspek yang cuba dibawa melalui
penulisan buku ini lebih cenderung kepada memartabatkan keadilan sosial yang
kian pudar pada hari ini (atau ketika penulisan ini dihasilkan) padahal aspek
keadilan sosial juga adalah salah satu perkara yang ditumpukan dalam Islam.
Tetapi, jika penulis menggunakan ayat al-Quran sebagai hujah untuk menguatkan
idea yang cuba dibawanya, aku memilih untuk tidak bersetuju. Hal ini kerana,
antara adab kita dengan al-Quran yang merupakan wahyu daripada Allah ialah kita
mengambil ajarannya untuk kita praktikkan dan bukan kita menggunakan ayat-ayat
al-Quran untuk mengatakan kaedah pemikiran kita adalah betul. Idea sepatutnya
datang daripada al-Quran, berdasarkan ajaran yang ditekankan dan melalui
prinsip-prinsip yang Tuhan ajarkan dalam al-Quran. Malangnya untuk kebanyakan
kita, dalil hanya dijadikan hiasan untuk mencantikkan pegangan daripada
pemikiran kita yang entah betul atau salah itu. Aku mohon berbeza dalam hal
ini.
3. Pada halaman 92, penulis ada
menyatakan bahawa pertembungan antara Allah dan syaitan juga bersifat alegoris atau kiasan. Jika diteliti
semula, mungkin pembaca akan salah faham terhadap pernyataan ini dengan menganggap
bahawa pertembungan itu adalah satu perkara yang simbolik dan tidak benar
(real). Akan tetapi, aku memilih untuk berpegang bahawa pertembungan tersebut
tidaklah bersifat alegoris semata-mata, tetapi ianya pertembungan yang
sungguh-sungguh berlaku. Syaitan memang memusuhi anak Adam dan dia melanggar
perintah Allah. Jika penulis memilih pendapat yang mengatakan bahawa hal
demikian hanya sekadar satu alegoris, aku memohon untuk berbeza dalam hal ini.
Andai kata kefahaman aku berkenaan perkataan ‘alegoris’ dalam konteks ini tidak
tepat, mohon teguran daripada para pembaca.
Manakala pada halaman 111, istilah ‘classless society’ digunakan. Istilah
ini mungkin mengejutkan sesetengah pembaca kerana kita sudah terlalu terbiasa
hidup dalam masyarakat yang berlainan kelas dan taraf hidup sehinggakan kita
seolah-olah sudah percaya bahawa classless society tidak wujud sama sekali.
Disebabkan itu, sukar untuk sebahagian kita untuk menerima bahawa sebenarnya
semua manusia sama di sisi Tuhan yang menurunkan wahyu dan sebenarnya, kelas
sosial itu tidak wujud dan tidak perlu wujud.
4. Membaca buku ini juga makin
menggoyangkan keyakinan aku kepada persoalan layakkah sesuatu bangsa itu
mendapat hak keistimewaan di mana-mana negara. Mungkin perbincangan tentang isu
ini perlu diperhalusi dan lebih banyak pembacaan perlu dilakukan. Perkara yang
ingin aku bangkitkan dalam poin ke 4 ini ialah pada halaman 88, penulis ada
menyatakan bahawa korupsi, diskriminasi dan beberapa jenis kejahatan yang lain
juga berpunca daripada hak istimewa yang diberikan kepada kelas sosial
tertentu. Berbeza dengan pandangan Tun
Dr Mahathir yang menggunakan istilah ‘diskriminasi
positif’ dalam menjustifikasikan kelebihan yang diberikan kepada orang
Melayu di Malaysia, penulis seakan-akan mengatakan bahawa sepatutnya hak
istimewa kepada mana-mana bangsa atau kelas sosial (bangsawan, pemerintah atau
rakyat) tidak wujud untuk mengangkat keadilan sosial yang sebenar mengikut
ajaran wahyu.
5. Antara permasalahan buku ini yang mengelirukan aku ialah penggunaan ayat al-Quran sebagai hujah tanpa
memberikan huraian lanjut atau rujukan kitab tafsir yang digunakan untuk
menjelaskan hujah-hujah yang diberikan atau dikeluarkan berdasarkan dalil
tersebut. Hal ini kerana, penjelasan yang lebih lanjut daripada ayat al-Quran
yang digunakan dalam buku ini akan menjadi sangat terhad dalam maksudnya jika
hanya terjemahan literal digunakan tanpa disertakan penghayatan mendalam
terhadap struktur bahasa Arab yang digunakan dalam al-Quran. Dengan berbekalkan
semata-mata terjemahan, kekeliruan dan salah faham dalam menafsirkan akan
membuatkan khazanah yang tersimpan dalam al-Quran gagal dijumpai semaksimum
mungkin dan dalam aspek buku ini, konteks penggunaan ayat al-Quran tersebut
mungkin akan tersasar daripada maksudnya yang asal. Seperkara lagi untuk
diketahui pembaca ialah keperluan untuk menyemak semula kisah Nabi Yusuf yang dinyatakan dalam buku ini yang aku khuatiri
bercanggah daripada kisah sebenar yang digariskan dalam al-Quran. Kisah Nabi Musa
juga memerlukan pemerhatian dan semakan semula yang serupa.
6. Sepanjang meneliti kisah Nabi Isa
yang dinyatakan dalam buku ini, penulis beberapa kali menyatakan bahawa Isa
disalib (antaranya di halaman 199 dan 200). Aku mohon berbeza dalam hal ini
kerana dalam al-Quran sendiri telah menyatakan bahawa Nabi Isa tidak disalib
seperti yang tertera dalam surah An-Nisa’ (surah ke 4), ayat 157-158. Dalam hal
ini aku mohon untuk berbeza dengan penulis jika penulis ingin mengatakan bahawa
Nabi Isa disalib sama ada secara analogi atau realiti.
7. Pada halaman 238 dan 239, penulis
menyatakan beberapa hujah pertikaian berkenaan fungsi solat yang hanya menjadi
amalan ritual luaran dan tidak ditumpukan nilai dan mesej utama amalan tersebut
yang salah satu daripadanya akan menatijahkan masyarakat yang mementingkan
keadilan sosial dan anti-diskriminasi dan korupsi. Aku bersetuju dengan penulis
berkenaan hal keadaan orang yang solat sepatutnya tidak berkompromi dengan
kejahatan dan korupsi sepertimana yang disebutkan dalam surah Al-Maarij (surah
ke 70) ayat 23-34. Tafsiran daripada ayat-ayat daripada surah ke-70 dalam
al-Quran ini menunjukkan bahawa masalah etika akan selesai dengan penghayatan
nilai-nilai solat yang sebenar. Orang yang solat juga tidak kekok dan takut
untuk memberi kesaksian dan berdiri bersama kebenaran. Mohon tidak
disalahfahamkan kenyataan penulis ini kepada kefahaman bahawa solat itu tidak
perlu dilakukan secara luaran mengikut cara yang diajar oleh Nabi S.A.W akan
tetapi tuntutan menunaikan solat secara luaran dan aplikasi nilai solat dalam
kehidupan seharian itu sama-sama penting dan tidak boleh dipandang enteng.
Itulah menunaikan solat dalam erti kata sebenar. Pada halaman 245, penulis juga
memberi komentar kepada tuntutan zakat yang hari ini menjadi ritual luaran
semata-mata dan tidak dihayati maksudnya dalam erti kata yang sebenar dalam
membantu masyarakat yang kurang berkemampuan dan sebagainya. Hal ini mempunyai
persamaan dengan hujahnya berkenaan amalan solat yang pada hari ini sekadar
menjadi ritual luaran yang kontang penghayatan.
8. Pada halaman 272, penulis
menggariskan perbezaan pertempuran yang berlaku pada zaman Nabi-nabi terdahulu
dibandingkan dengan zaman sekarang. Pada zaman dahulu, perbezaan ketara antara
kejahatan dan kebaikan sangat jelas kelihatan. Nabi dan para pengikutnya
berdasarkan pembawaan wahyu kiriman Tuhan, membawa mesej dan perjuangan
menegakkan kebenaran, sedangkan raja-raja zalim, kaum penindas dan pelopor
korupsi yang lain duduk di satu ektrem yang lain yang merujuk kepada pengamal
kejahatan dan diskriminasi. Hari ini, kita dapat melihat bahawa pejuang
kebaikan berdasarkan wahyu terkadang itu bercampur dengan unsur korupsi dan
diskriminasi begitu juga dengan kumpulan penjahat yang menggunakan agama untuk
mengiyakan kejahatan yang mereka lakukan. Usaha untuk mengenalpasti pembawa
kebaikan dan pembawa kejahatan pada zaman ini adalah sukar kerana ‘asap’nya
kian menebal. Mungkin atas faktor ini, penulis mencadangkan supaya ‘ilmu’
digunakan menggantikan penggunaan wahyu untuk melawan kebatilan.
9. Penggunaan ilmu yang dimaksudkan
oleh penulis dalam mengenalpasti kebaikan dan kejahatan itu merangkumi aspek
penggunaan pemerhatian, kajian, pembacaan dan penelitian dalam mengesan unsur
penindasan yang dilakukan oleh koruptor yang wujud dengan pelbagai wajah yang mengelirukan.
Bahkan, pada halaman 240, istilah Islam Qurani dan Islam Feudal digunapakai
menunjukkan bahawa salah guna terma Islam itu sendiri sudah wujud. Dalam isu
ini aku tidak mempunyai sebarang masalah dengan penulis dalam hal penggunaan
penelitian (ilmu) dalam mengenal kebenaran dan kebatilan disamping hanya
berdasarkan wahyu semata-mata, akan tetapi aku berpegang bahawa daripada wahyu,
prinsip-prinsip dan ilmu untuk mengenal kebaikan dan kejahatan itu sudah diajar
kepada manusia. Tinggal lagi kita perlu mempelajari kaedah penggunaan
instrumen-instrumen tersebut untuk memudahkan kita melakar garis beza antara
dua kumpulan ini. Maka, aku ingin tegaskan bahawa bukanlah wahyu sudah tidak
relevan untuk melawan kejahatan dan menegakkan kebenaran dan agama (Islam)
tidaklah satu agama yang gagal untuk membebaskan, akan tetapi penghayatan kita
terhadap wahyu (al-Quran) yang perlu ditambah dan diperhalusi dan pengamalan
kita dalam beragama perlu lebih syumul (menyeluruh) dalam usaha untuk kita
mengembalikan keadilan dalam masyarakat dan menewaskan koruptor dan penguasa
zalim pada hari ini.
Konklusi.
Buku Wahyu dan Revolusi ini memberikan
imej tumpu terhadap aspek sosial yang digariskan daripada wahyu kurniaan Tuhan
kepada insan. Mungkin, penyampaian dan penterjemahan buku ini perlu kepada
penambahbaikan supaya mesej utama yang disampaikan oleh Quran iaitu penyembahan
hanya kepada Tuhan yang Esa (Allah) atau unsur tauhid itu ditekankan sekaligus
menekankan kesamarataan sosial yang dapat dinikmati hasil daripada kepatuhan
kepada syariat Tuhan dan penerimaan bahawa semua manusia ialah hamba kepada
Allah. Seperkara lagi, tidaklah wahyu itu sudah tidak relevan dan perlu
digantikan dengan ‘wahyu’ baru iaitu ilmu untuk kita melawan penindasan, tetapi
sebenarnya wahyu yang sudah diturunkan itu perlu ditelusuri dengan lebih
mendalam menggunakan akal dan kecerdikan yang sudah diberikan oleh Tuhan kepada
kita untuk kita kembali membawa keseimbangan dalam kehidupan baik dari aspek
penyembahan kepada Tuhan yang Esa, kesamarataan sosial, politik, ekonomi
mahupun kekeluargaan. Dalam hal ini pengembalian ruh solat dan zakat perlu
dilakukan dalam usaha kolektif agar ianya tidak terus menjadi ritual kontang.
Allah telah mewahyukan kebenaran.
Tinggal lagi, manusia perlu menggunakan ilmu dan kecerdikan untuk memahaminya
dan bertindak dengannya dalam erti kata yang sebenar.
Mohon masa pembaca untuk menghadam
ulasan buku ini dan mohon kritikan jika terdapat salah dan silap di mana-mana.
Tahniah Republik Buku atas usaha
penterjemahan buku yang hebat ini! Tahniah juga kepada semua pembaca!
Wallahua’lam.
Ulasan
Catat Ulasan