Langkau ke kandungan utama

Emansipasi Wanita dalam Faridah Hanom.



Oleh: Zawani Syafiqah
Faridah Hanom atau naskah asalnya yang bertajuk ‘Setia Asyik Kepada Masyuknya’ atau ‘Shafik Afandi Dengan Faridah Hanom’ adalah sebuah karya klasik oleh pelopor Kaum Muda di Tanah Melayu sebelum merdeka yang kurang dikenali dan diangkat hari ini iaitu Syed Sheikh Syed Ahmad Al-Hadi. Karya klasik yang bersifat romantis ini bukan semata-mata berkisarkan percintaan Faridah Hanom dan kekasihnya Shafik Afandi tetapi juga turut diselitkan isu emansipasi wanita (proses pembebasan wanita dalam agama atau ekonomi untuk mendapatkan hak yang sama rata dengan lelaki) dalam pergelutan adat dan agama. 

Di dalam karya ini, Faridah Hanom ditonjolkan sebagai watak seorang perempuan berbangsa Arab (Mesir) yang bukan sahaja cantik rupa parasnya malah juga beradab dan berpendidikan tinggi; digambarkan bahawa dia fasih Bahasa Perancis dan tinggi ilmu agamanya seperti kebolehan membaca kitab-kitab ulama. Dia juga mempunyai cita-cita yang tinggi dan mulia yakni ingin membebaskan wanita-wanita di Mesir daripada belenggu patriarki yang bukan sahaja mencengkam budaya dan adat Mesir malah turut mempengaruhi pemahaman agama Islam terhadap wanita. Ini dibuktikan melalui kata-katanya di dalam satu babak semasa berbual bersama Shafik Afandi yang mengkritik golongan agamawan (dalam karya ini merujuk pada pak-pak lebai beserban besar) yang wewenang menegah perempuan daripada mempelajari ilmu agama dan dunia dengan menggunakan dalil bahawa wanita itu kurang satu tingkat daripada lelaki;

“Maka siapakah daripada orang yang bersifat dengan sifat manusia yang berpengetahuan tidak memberi guna bagi kaum dan bangsa dan watannya? Allahuma, melainkan pak-pak lebai yang beserban besar yang menjadikan kitab yang dikarang oleh guru-gurunya atau datuk neneknya yang mengandungi segala karut-karut daripada yang Maha Suci kitab Allah dan perkataan RasulNya daripada pecah-belah yang terkandung di dalamnya itu. Maka bagaimanakah kehendak hukuman Tuhan itu memberi kita akal yang boleh mendapat pengetahuan-pengetahuan itu tiba-tiba laki-laki menegah akan kita daripada belajarnya?” (Faridah Hanom ms. 115-116)

Faridah Hanom juga turut mengkritik pemikiran bangsanya yang bersifat patriarki. Jelasnya  wanita-wanita Mesir dilihat tidak lebih sekadar sebuah objek. Perkara ini cuba digambarkan di dalam karya ini yang merujuk pada adat kebiasaan wanita di Mesir hanyalah sebagai ‘kuda tunggangan’ tempat si suami melampiaskan hawa nafsu dan keberadaannya tidak diperlukan lagi apabila tugasnya telah selesai. Faridah Hanom juga turut membandingkan kemajuan bangsanya dan bangsa Inggeris; bahawa bangsa Inggeris itu berjaya kerana lelaki dan wanitanya diberi peluang yang sama rata terutama dalam proses menuntut ilmu dan bahawa orang yang bodoh diperintah oleh orang yang pandai;

“Bukankah orang-orang Inggeris sekarang ini masuk memerintah negeri kita ini kerana kebodohan kita dan kerana kita tidak mengerti cara memerintah negeri bukannya kerana orang-orang Inggeris itu lebih sifatnya daripada kita; bermata empat, bertelinga empat, kaki tangannya sepuluh dua belas, tetapi hanyalah sebab mereka itu lebih pelajaran dan lebih pengetahuan…” (Faridah Hanom ms. 116)

“Adapun kita dengan kebodohan dan kesombongan sekalian laki-laki kita dikeluarkan oleh mereka itu dua bahagian daripada perhimpunan kaumnya iaitulah sebanyak bilangan perempuannya tidak dibenarkan oleh mereka itu sekalian perempuan-perempuan itu masuk bercampur bagi berusaha sama pada mempunyai ikhtiar membantukan kemajuan kaumnya, hanyalah dipaksa oleh mereka itu tinggal selama-lamanya di dalam sifat kuda tunggangannya menunggu dan berhias dengan segala alatan yang menggemarkan penunggannya sahaja” (Faridah Hanom ms. 117)

Selain itu, turut disisipkan isu kesusahan seorang wanita dalam penuntutan penceraian dan dalam karya ini merujuk pada Faridah Hanom yang menuntut cerai terhadap bekas suaminya Badaruddin Afandi dan kepentingan ketua keluarga yang perlu berbincang dahulu dengan ahli keluarga sebelum membuat keputusan yang besar . Ini digambarkan melalui watak ayah Faridah Hanom yang menyetujui peminangan Badaruddin Afandi tanpa meminta persetujuan Faridah Hanom. Dan akhirnya keputusan melulu ini membuatkan dirinya kecewa dan kasihan akan anaknya yang menjadi mangsa.

Di akhir cerita juga turut dinyatakan kelebihan perempuan di dalam agama Islam serta sebab mengapa pembahagian harta pusaka melebihkan lelaki dan bukan wanita dan lagi menarik bilamana Faridah Hanom sendiri yang memahami hikmah ini dan menyetujuinya malah menyerahkan kesemua hartanya untuk dibelanjakan keatas wanita-wanita di Mesir untuk menuntut ilmu. Sudah pastinya perkara ini dilihat agak kontradik kerana kebiasaan wanita yang inginkan kebebasan dan hak sama rata dilihat secara purata oleh masyarakat akan turut juga mengkritik proses pembahagian harta pusaka di dalam Islam. 

Namun rasanya isu emansipasi wanita di dalam karya ini hanyalah 1/7 daripada keseluruhan cerita dan selebihnya banyak manis-manis percintaan di antara Faridah Hanom dan Shafik Afandi sehinggakan saya rasa jika diletakkan buku ini di dapur barangkali akan dihurungi semut yang keliru mana satu gula dan mana satu buku. Haha. Mungkin juga penulis sengaja merangka karyanya seperti ini bersesuaian dengan pemikiran masyarakat zaman buku ini diterbitkan. Betapa puitisnya bahasa yang digunakan oleh Syed Sheikh Al Hadi menggambarkan pengalamannya di dalam dunia sastera Melayu sehingga mendapat jolokan Bapa Wartawan dan Sasterawan Melayu Baru. Sungguhpun, pengunaan bahasa Melayu lama di dalam karya klasik setebal 288 muka surat ini masih boleh difahami dan sangat sesuai dibaca bagi mereka yang ingin mengkaji sastera Melayu klasik atau isu emansipasi wanita.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk