Langkau ke kandungan utama

Tan Malaka & Tuhan


Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal?
Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?'

Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Sebentar. Persoalan ini tidak segampang (dalam ertian Indonesia) itu. Persoalan ini harus diteruskan lagi, kerana masalah orang Islam tidak selesai semata-mata masuk Islam. Jika Tan Malaka bertuhan dan Tuhannya menurut versi Islam, persoalannya akan berlanjutan kepada Islam yang mana? Islam Sunnah, atau Islam Syi'ah? Islam Muktazilah atau Asha'irah? Salafi atau Wahabi? Dan so on, dalam setiap aliran punya cabang dan ranting masing-masing. Ini adalah persoalan personal yang tidak mudah. Manusia adalah makhluk yang paling sering berkonflik, sentiasa mencari musuh atau sedaya upaya mahu membezakan dirinya dengan yang lain. Dia mahu mencari apa perbezaan dirinya dengan yang lain. Dia tidak akan puas jika semuanya sama. Dia mesti berbeza. Ini bukan sifat buruk atau baik. Ini adalah sifat asasi manusia yang sentiasa mahu melihat dirinya, alirannya, pendapatnya sebagai sesuatu yang unik.


Bertuhan, suatu pertunjukan atau penghayatan?
Kita masih lagi di persoalan ini. Jika kita berkeras mengatakan Tan Malaka tidak bertuhan, soalan harus ditanyakan, adakah bertuhan itu mesti ditunjukkan (sebuah pertunjukan)? Adakah tidak boleh seseorang itu bertuhan, tanpa perlu menunjukkan?

Apa yang perlu seorang Tan Malaka lakukan untuk menunjukkan dia bertuhan? Adakah dia perlu memakai kopiah atau songkok? Adakah dia perlu memakai kain pelekat, menyimpan janggut dan pergi awal ke masjid? Apa?

Ramai orang mengaku bertuhan hari ini, tetapi mereka jauh lebih buruk dari Tan Malaka, apakah pertunjukan mereka membawa erti? Apakah pertunjukan mereka membawa kepada penghayatan?

Ketika saya berdiri di depan Tuhan, saya adalah seorang Muslim, tetapi ketika saya berdiri di depan banyak orang, saya bukan seorang Muslim, kerana Tuhan mengatakan bahawa banyak iblis di antara banyak manusia.
Kenyataan ini sempat membingungkan sarjana Prof. Dr. Syed Hussein Alatas, yang menuangkan kebingungannya terhadap pernyataan ini dalam bukunya, 'Kita Dengan Islam, Tumbuh Tidak Berbuah'.
Ya, benar meski Tan Malaka seorang komunis, adakah ianya mesti bermaksud Tan Malaka seorang atheist? Ini adalah sebuah persoalan yang rumit untuk seorang yang dahsyat. Kita tidak ada jawapan yang mudah dalam persoalan seberat ini. Persoalannya seperti bagaimana nak mendudukkan Islam dalam neraca dialektika materialisme? Atau bagaimana nak mendudukkan dialektika materialisme dalam neraca Islam? Ada komunis yang atheist (materialis) tidak selesa Islam digandingkan dengan komunis. Ada komunis yang beragama, tidak ada masalah Islam dan komunis. Dan hujah kedua-dua kubu ini berasas, kuat dan perlu dipertimbangkan.

Dalam portal Merdeka.com (Indonesia) dituliskan, "..Meski komunis tak berarti Tan Malaka adalah seorang atheis. Dalam tulisannya yang berjudul 'Islam dalam Tinjauan Madilog' tahun 1948, Tan Malaka banyak bercerita soal dirinya dan Islam dalam pandangan Madilog.

"Saya lahir dalam keluarga Islam yang taat... Masih kecil sekali saya sudah bisa tafsirkan Al-Qur'an, dan dijadikan guru muda. Sang Ibu menceritakan Adam dan Hawa dan Nabi Yusuf. Tiada acap diceritakannya pemuka, piatu Muhammad bin Abdullah, entah kerana apa, mata saya terus basah (menangis) mendengarnya. Bahasa Arab terus sampai sekarang saya anggap sempurna, kaya, merdu jitu dan mulia," kata Tan Malaka.


Tan Malaka & Islam
Adapun begitu, sebelum kita masuk pada persoalan Tan Malaka & Tuhan, bagaimana Tan Malaka & Islam?

Pengetahuannya tentang Islam, not bad. Dia bukanlah seorang komunis yang tidak tahu apa-apa tentang Islam. Sepertimana ramai lagi pemimpin komunis yang lahir dalam ranah (tanah, budaya, adat, keluarga, kerabat) Islam, pengetahuannya tentang Islam sangat rencam, dan bahkan boleh dikatakan lebih baik dari ramai orang Islam pada masanya, dan hari ini.

Dari semua sumber dan buku yang dibacanya itu, Tan mendapat kesimpulan, perjalanan sejarah terpengaruh kepada faktor masyarakat, politik dan ekonomi. Hal itu terjadi sebelum Nabi Muhammad saw lahir dan setelah wafat.

... sejarah-Islam dalam lebih kurang 1200 tahun sesudahnya Muhammad saw (wafat) yakni sejarah yang condong pada politik seperti pengangkatan Imam baru, partai Ali atau meneruskan pilihan yang demokratis seperti pengangkatan Abu Bakar, Umar dan Usman; perbedaan mazhabnya Imam Syafii, Hanafi, Hambali dan Maliki satu aliran Islam ke arah kegaiban (systisisme) pada satu fatihah (Imam Gazali) dan kenyataan (rationalisme), sampai ketiadaannya Tuhan-tuhan (atheisme, pada lain pihak (moetazaliten); pergerakan Islam yang baru kita kenal sekarang seperti Wahabi, Muhammadiyah dan Ahmadiyah.

Tan Malaka & Kristian (Nasrani)
Pengaruh Islam dan Nabi Muhammad tersebut, menurut Tan, menjalar ke agama Kristian. Hal ini dapat dilihat pada aliran Protestan yang memandang Tuhan sebagai rohani tidak lagi harus dengan simbol patung Jesus Kristus.

"Jadi pada Protestan nyata pengaruh Islam buat seseorang yang tiada digelapi oleh dogma (kepercayaan) agamanya sendiri. Muhammad bin Abdullah menganggap Tuhan itu semata-mata rohani dan berada di mana-mana. Seseorang Muslim bisa bersambung langsung dengan Dia, tidak perlu memakai kasta Rabbi atau pendeta sebagai perantraan atau sebagai tengkulak. Kelangsungan perhubungan manusia dan Tuhan itulah yang menjadi salah satu perkara buat Protestan umumnya, Cromwell dan tenteranya khususnya ketika berperang dengan parti Katholik dan raja-raja Katholik. Ini terjadi juga sesudah lebih kurang seribu enam ratus lima puluh (1650) tahun sesudah Nabi Isa wafat atau lebih kurang 1000 tahun sesudah Nabi Muhammad wafat. Pun di sini nyata buat orang yang berfikiran objektif (tenang) pengaruhnya Islam atau Nasrani seperti juga pada Yahudi," katanya.

Dalam buku Tan Malaka & Tuhan, karangan Ki. H. Ashad Kusuma Djaya, disebutkan "..Tuhan yang dengan sifat "gigit dibalas gigit" pada masa Nabi Musa dan Daud menurut Tan Malaka boleh bertukar sifat tatkala bangsa Yahudi sampai ke tingkat sejarah Nabi (Raja) Sulaiman. Berbeza lagi sifat Tuhan pada tahap Nabi Isa. Tuhan untuk Nabi Isa tidak bermakna seperti yang diertikan oleh ahli falsafah atau para rabbi. Nabi Isa juga tidak memakai logika dan dialektika. Maknanya Tuhan buat dia ialah maknanya yang boleh dimengerti oleh kebanyakan kaum miskin, yang bukan lulusan sekolah tinggi..,"

Rujukan:-
Buku:
1.Tan Malaka & Tuhan (Ki H. Ashad Kusuma Djaya)
2. Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah (Syed Hussein Alatas)

Majalah:
1. Agama Menurut Tan Malaka (Muhammad Hafizuddin dalam Majalah KUBUZINE #001)

Link Internet
1. https://www.merdeka.com/peristiwa/anggap-tan-malaka-anti-islam-baca-dulu-ini-untuk-pencerahan.html
2. https://www.berdikarionline.com/tan-malaka-dan-islam/


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk