Langkau ke kandungan utama

TEOLOGI KIRI: Dr. Abdul Munir Mulkhan

Oleh: Benz Ali

'Agama sudah mati. Jika Nietzsche mengatakan Tuhan telah mati, aku mengatakan pula agama sudah mati, lebih fokus, khusus dan serius, Islam itu sendiri telah mati. Agama adalah tidak berguna, jika tidak mampu menyelesaikan permasalahan umat manusia. Dan wahyu-wahyu adalah tidak berguna jika manusia itu tidak wujud.'

Ini adalah inti kepada apa yang akan aku kumandangkan pada sesi mengupas buku karangan Dr. Abdul Munir Mulkhan berjudul 'Teologi Kiri: Landasan Gerakan Membela Kaum Mustadh'afin, yang diberikan pengantar kata oleh Kuntowijoyo, seorang sasterawan intelektual yang pernah menulis, 'Muslim Tanpa Masjid' dan 'Radikalisasi Petani'.

Bukan aku seorang yang mengatakan tentang kematian agama ini. Mulkhan menyebutkan bahawa tesis dari Fukuyama dan Huntington mengatakan bahawa di masa hadapan, agama akan bankrap, agama akan muflis apabila agama sudah tidak mampu memberikan apa-apa nilai guna, memberikan apakah faedah-faedah kepada penganutnya, selain membius penganutnya dengan dosa, dengan pahala, ancaman dari neraka dan balasan dari syurga, seperti agama tidak berguna untuk kehidupan di bumi. Sekarang, mari kita bertanya, apakah gunanya agama kepada umat manusia, jika yang miskin makin miskin, yang kaya makin kaya, yang derita bertambah menderita, yang zalim makin zalim?

Okey, di luar cover buku terbitan Kreasi Wacana ini, menerbitkan sejumlah perenggan yang menggoda orang miskin sepertiku untuk membaca,

'Dalam memahami agama, kaum tertindas sesungguhnya tidak terlalu memerlukan tafsir baru agama. Namun yang lebih ditunggu oleh mereka adalah kehadiran agama yang mampu memecahkan persoalan kemanusiaan secara objektif. Kerana itu perbincangan teologi dalam buku ini bukan untuk merumuskan sebuah konsep teologi. Namun memahamkan bahawa perbincangan teologi harus sampai pada kenyataan bahawa berbagai permasalahan kemanusiaan harus diatasi oleh mereka yang mengaku ber-Tuhan.

'Kesalehan adalah kepedulian atas kemanusiaan dan pembelaan kepada kaum tertindas. Bagi Teologi Kiri, pembelaan kaum tertindas (buruh, orang miskin dan lemah) adalah tugas suci agama sebagai realisasi misi utama Islam dalam kehidupan sosial. Dan untuk itu, penulis buku ini menekankan betapa pentingnya membawa ritual keagamaan menjadi aksi kemanusiaan. Lebih jauh lagi buku ini mengubah persepsi bahawa membela kaum buruh, orang miskin, mereka yang tertindas dan diperlakukan tidak adil adalah merupakan ibadah dan amal saleh yang sama pentingnya dengan Pergi Haji dan Puasa. Iman dan ketakwaan seseorang adalah tidak hanya dilihat dari pemenuhan rukun iman dan rukun Islam, melainkan juga pemihakan praktis pada kepentingan kaum mustadh'afin.'

Malangnya apabila anda baca buku ini dari muka surat ke muka surat, anda akan kecewa seperti aku kerana hampir 60% dalam buku ini menyentuh tentang politik Indonesia yang tidak penting untuk kita di Malaysia.

Akan tetapi 40% lagi adalah sangat berguna sama sekali menyebabkan aku berani mengatakan 40% inilah tesis yang sepatutnya didengung-dengungkan untuk kepentingan bersama, terutama rantau kita yang tidak habis-habis mahu berkiblatkan Barat atau Timur Tengah, seolah-olah otak kita ini tidak cukup baik untuk memikirkan sendiri.

Hadi Purwanto dalam sekapur sirih buku ini menulis,
'begitu banyak orang berusaha menafsirkam dunia lewat pemahaman akan 'kehendak Tuhan', padahal sesungguhnya yang diperlukan adalah bagaimana merubah dunia ini sehingga mampu memberi kesejahteraan kepada umat manusia.' Perlu diingat, bahawa Marx juga pernah menuturkan hal yang serupa

The philosophers have only interpreted the world, in various ways; the point, however, is to change it.

Tulis Purwanto lagi, ‘beratus ribu orang ingin mencapai tahap ma’rifah dengan belajar memahami Tuhan sebagaimana Tuhan memahami diri-Nya. Kemudian mereka berusaha memahami eksistensinya sendiri atas dasar persepsinya tentang Tuhan dan segala kehendaknya. Apakah yang mereka telah menghasilkan? Tanya Purwanto.

Kata Purwanto, ‘agama ada untuk manusia bukan untuk kepentingan Tuhan’, justeru itu teologi seharusnya tidak melulu membicarakan Tuhan tanpa menghiraukan persoalan objektif manusia.’

Teologi Kiri dalam konteks ini adalah teori ketuhanan yang berorientasikan kemanusiaan. Dengan pemaknaan teologi seperti ini, maka pembicaraan konseptual agama senantiasa berkaitan dengan persoalan real hidup manusia.

Teologi yang lebih banyak membicarakan Tuhan harus dilanjutkan dan dihubungkan dengan persoalan kemanusiaan. Kita diingatkan pesan Nabi saw,

‘tafakkaruu fi khalqillah walaa tafakkaruu fi dzaatillah’ yang bermakna, ‘berfikirlah tentang makhluk Allah, jangan fikirkan tentang zat Allah. Kerana itu membaca karya ini, kita diajak untuk mengembalikan persepsi tentang Tuhan itu sebagai wilayah pengembaraan luas dari masing-masing orang yang ‘tahu diri’/’kenal diri’. Biarlah tiap-tiap manusia itu memahami Tuhan ‘Sebagaimana persangkaan hamba-hambaNya berangkat dari segala yang dimilikinya.

Aku tidak dapat meninggalkan terus prakata ini kerana prakata Purwanto ini terlebih baik dari prakata Kuntowijoyo sendiri. Maka aku tetap ingin menuliskan kembali kata-katanya,

‘praktik keagamaan tidaklah selalu neutral, cara beragama kita ketika kita berkuasa adalah akan sangat berbeza dengan pada saat kita sedang ditindas oleh penguasa. Hal ini akan berimplikasi pada bagaimana cara kita memandang agama dan menafsirkan ajarannya. Mengapakah agama di tangan para Nabi bisa berkembang organic bersama masyarakat untuk memecahkan persoalan manusia pada zamannya, sedang kini tidak lagi? Padahal manusia sekarang juga melakukan ritual agama yang sama?

Di sisi lain masalah sosial moden saat ini lebih banyak dihasilkan oleh praktik dan logika kapitalisme, bukan kerana ketidaktaatan kepada Tuhan. Berbondong-bondong orang telah datang ke masjid untuk solat dan jutaan mereka pergi naik haji, tetapi apakah yang telah berlaku?

Tiada apa-apa yang telah berlaku, kerana ritual mereka adalah ritual tanpa makna, ritual yang tidak mampu menyebabkan mereka beraksi.

‘ketaatan pada Tuhan seharusnya berimplikasi kepada pemecahan masalah kemanusiaan. Agama sewajibnya mampu dijadikan praksis sosial untuk mengatasi masalah manusia. Teologi yang selama ini hanya berbincang-bincang sama ada Tuhan itu bersemayam di atas arasy, Tuhan itu di mana-mana harus dipatahkan, dan dikembalikan ke tempat asalnya agama itu, dengan kata lain, apakah fungsinya agama itu? Hanya berbicara hubungan individual manusia dengan Tuhan atau apa?

Dan Purwanto menegaskan, teologi seharusnya dilanjutkan ke hubungan sosial manusia dengan Tuhan. Dari teologi individual ke teologi sosial, dan itu membawa erti paling radikal, paling militant dan paling bermakna sama sekali, iaitu teologi harus mengembalikan ritual menjadi aktual, menjadi aksi.

Akhirnya dari Purwanto, ‘agenda di atas mungkin tugas ideologi. Namun ideologi yang pernah hidup dan mendominasi dunia moden mengabaikan nilai-nilai ketuhanan dan spiritual. Sedangkan teologi lama mengabaikan persoalan kemanusiaan. Buku Teologi Kiri ini ingin merangkul keduanya. Sehingga menjadi: Ideologi yang berketuhanan dan Teologi yang berkemanusiaan.’

Seterusnya Mulkhan menulis, pada bab satu akan dibahas mengenai maksud ‘Teologi Kiri’ yang sebenarnya telah pun tercermin dalam judul, iaitu ‘landasan gerakan membela kaum mustadh’afin yang lebih popular di kalangan akademik dengan terma ‘kaum proletar’. Penggunaan kosa kata ‘mustadh’afin’ (kaum tertindas) bukan sekadar mencari pijakan teologi melainkan juga didasari argument intelektual mengenai perbezaan akar sosial kedua kosa kata tersebut. Mustadh’afin tidak selalu terkait dengan struktur masyarakat industri, walaupun ia muncul akibat pola produksi yang tidak adil.’

Disebabkan seperti yang disebutkan di atas tadi, bahawa hanya 40% sahaja yang berguna dalam kupas buku ini, maka disebutkan bab-bab yang menarik perhatian seperti Bab 1: JALAN BARU MENCARI TUHAN, kemudian pada Bab 4: TEOLOGI KIRI DALAM BINGKAI IDEOLOGI FUNGSIONAL, pada fasal ke-5, iaitu Teologi Tani dan Buruh dan pada Bab 5 iaitu bab terakhir: TEOLOGI KIRI: DARI RITUS (ritual) KE AKSI (actual), mempunyai beberapa fasal yang menggugat seperti, 1. Dakwah Pemihakan Kaum Mustadh’afin, 2. Etika Kemanusiaan Dalam Ajaran Islam, 6. Dari Kiamat Menuju Kebangkitan, 7. Monopoli Makna Islam, 8. Syurga Untuk Semua, 10. Menjadikan Zakat Untuk Manusia, dan terakhir, 11. Menghadirkan Kembali Tuhan yang Hidup.

‘Selama ini, istilah Kiri dimaksudkan untuk memberi label bagi gerakan dan aktiviti yang gigih memperjuangkan nasib buruh dan kaum miskin yang cenderung menjadikan Marxisme sebagai rujukan paradigmatik. Tidak jarang labelisasi dengan istilah Kiri ini dimaksudkan untuk meletakkan sebuah pemikiran dan aktiviti ke dalam kelompok yang anti Tuhan dan atau komunis. Ironinya, aktiviti dan gerakan atau pemikiran sedemikian seringkali merupakan bentuk pemihakan dan pemberdayaan kaum tertindas, kaum miskin dan diperlakukan tidak adil. Mereka itulah majoriti penduduk Indonesa (Negara Mulkhan) yang pada umumnya menyatakan memeluk Islam.’

‘secara normative, pembebasan seseorang atau sekelompok orang dari derita kemiskinan, dari kebodohan dan ancaman ketertindasan, serta perlakuan tidak adil adalah merupakan tujuan pokok pewahyuan ajaran Islam. Tidak peduli apakah si miskin, si bodoh, si tertindas itu memeluk Islam, memeluk agama atau kafir. Islam adalah berkepentingan untuk membebaskan mereka dari segala penderitaan hidupnya. Di sini pulalah sebenarnya terletak misi utama ajaran Islam, inti akhlak dan tujuan utama dari berbagai ritual atau ibadah seperti zakat, fitrah, korban, sedekah lainnya.’

Dalam kataku sendiri, maka jika agama sudah tidak berupaya untuk membebaskan manusia dari beban kemiskinan yang telah membelenggunya semenjak sekian lama, terus menerus bertapa berteleku berdoa bertafakur di dalam masjid dengan berqasidah-qasidah jiwang, sementara di luar dari masjid, dunia adalah seperti neraka, maka apakah gunanya lagi agama? Bukankah agama sudah mati?

Aku hendak memberikan interpretasiku sendiri tentang buku ini, akan tetapi setiap kalimat dalam 40% buku ini adalah sangat penting untuk disampaikan. Maka aku akan menyambungkan lagi tulisan ini pada bahagian kedua tidak lama lagi dan begitulah agama yang aku tesiskan sudah mati. Jika agama tidak berupaya untuk membebaskan umat manusia, apakah gunanya lagi kita beragama?

Jika ada orang beragama tidak mampu menyelesaikan masalah kemiskinan, kelaparan, kebuluran, penindasan, kekejaman, kezaliman, apakah perlu kita mengikutinya lagi? Sementara di hujung dunia lain, adanya kubur seorang lelaki, yang seumur hidupnya bermati-matian berusaha menuliskan sebuah idea pembebasan, yang mana ketika dia mati, ideanya telah menjadi sebuah ‘motor’ yang menggerakkan umat manusia dari seluruh daerah tertindas untuk bangkit melawan pemeras dan sampai sekarang, kita boleh melihat betapa sosok-sosok yang menganut ‘Sosialisme’ sebagai satu cara hidup lebih zuhud berbanding kebanyakan ulama’-ulama’ yang tidak berguna itu, yang tidak mewarisi ‘sunnah kezuhudan’ Nabi saw.

Tulis Mulkhan lanjut, ‘Islam bagi Teologi Kiri bukanlah ajaran Tuhan tentang bagaimana umat manusia ‘memanjakan’ atau ‘mengurusi’ Tuhan melalui berbagai ritual yang suci, melainkan sebuah ajaran tentang tugas manusia mengurusi dunia dan diri manusia itu sendiri. Teologi Kiri mencuba melakukan kritik dengan aksi terhadap praktik ibadah dan ritual di kalangan pemeluk Islam yang cenderung lebih sibuk ‘mengurusi Tuhan dan mengabaikan urusan kemanusiaan.’

Kegampangan ini berterusan sampai, kata Mulkhan ‘seluruh ibadah sosial seperti zakat, fitrah, korban dan sedekah dilakukan untuk memperoleh pahala dari Tuhan dengan memberikan sejemput makanan atau daging kepada manusia-manusia miskin. Seluruh bentuk ritual ini selalu dinyatakan atas nama dan demi Tuhan, dan kerana itu tidak peduli apakah ritual sedemikian secara fungsional memang membebaskan seseorang atau sekelompok orang dari kemiskinan, kebodohan, ketertindasan dan perlakuan tidak adil.’

Sampai bilakah kita harus memberikan zakat? Apakah kita tidak meneliti falsafah yang terkandung di sebalik zakat?

Sampai bilakah orang miskin itu harus menagih zakat daripada orang kaya? Dan seperti biasa, agamawan-agamawan akan bertugas membius minda kita dengan mengatakan, ‘kemiskinan’ tetap akan ada sampai bila-bila.

Dan ulama’ seperti itu terus mabuk dengan kegilaannya pada dunia.

Kritik Mulkhan lagi seterusnya kepada Ahl Sunnah wal Jamaah, sebuah aliran establishment Muslim paling poyo di planet bumi ini ketika ini, ‘Dalam hubungan begitulah, teologi atau yang lebih dikenal sebagai ilmu tauhid, yang disusun 1000 tahun lalu, adalah teologi yang sudah usang, yang tidak lagi sesuai dengan segala persoalan yang dihadapi umat manusia dan pemeluk Islam. Teologi Sunni atau Ahl Sunnah wal Jamaah adalah teologi usang yang tidak mendorong kerja kreatif, tetapi selalu menunggu Kehadiran Tuhan dalam setiap kali manusia menghadapi persoalan. Inilah makna praksis dari kritik Karl Marx tentang agama sebagai racun dan kritik Nietzsche tentang kematian Tuhan, kerana agama sebagaimana tafsir dan praktik ritual pemeluknya, sudah tidak berguna bagi kehidupan umat manusia.’

TAMAT BAGIAN 1



Ulasan

  1. Blaja xabis dh nk berceramah..aku xnampak satu hadis atau ayat quran pun kau pakai..dalam khutbah terakhir nabi pesan apa? Cer check blk..marx la..nezethi la..aku xpaham knp kau rujuk buku yg lain..quran n hadis kn ada

    BalasPadam
  2. Dua dasar agama Islam. Mengajar bagaimana hubungan antara manusia dengan tuhan dan hubungan manusia dengan manusia. Arrasul bekerja keras dalam mendidik umatnya dalam dua hal ini. Malangnya isu hubungan manusia dengan manusia seolah2 diketepikan. Ramai yang menyangka redha Tuhan hanya perlu diraih dengan usaha2 individu sahaja. Sangkaan ini adalah salah sama sekali. Adakah seorang muslim boleh merasa selamat apabila ia berjaya berulang alik ke masjid utk bersolat jemaah 5 kali sehari namun jiran disebelah rumahnya kelaparan tidak punya makanan? Membela musthadafin adalah tonggak ajaran Islam. Namun sayangnya ia dipandang enteng dek salah faham dalam beragama

    BalasPadam
  3. Buku ini penuh dengan idiologi dan pemikiran sesat...

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk