Langkau ke kandungan utama

Pak Kassim, Mencari Jalan Pulang!



Oleh: Razdey Ruslin

Seperti buku memoir yang lain, buku ini menceritakan tentang riwayat hidup penulis, iaitu Kassim Ahmad, bermula dari usia kanak-kanak sehingga sekarang dan juga bagaimana beliau berjumpa Islam dan ‘kembali ke pangkuan ibu’ setelah 36 tahun mencari jalan pulang semenjak usianya 17 tahun. Selain kisah hidup beliau, dalam buku ini juga beliau selang selikan dengan pemikiran, falsafah, sastera, politik dan teologi yang sememangnya menjadi minat beliau.

Tidak keterlaluan jika aku katakan bahwa buku ini adalah salah satu daripada buku-buku kontroversi yang aku baca yang mengubah pemikiranku dan memberi impak yang agak besar kepada aku. 

Sebagai perkongsian kepada pembaca, buku-buku yang memberi impak kepada aku adalah pertama, “Antitesis” (jika aku tidak membaca buku ini, mungkin aku tak akan pernah membaca buku-buku yang akan aku nyatakan sebentar lagi), “Allah, Kebebasan dan Cinta” (buku yang diharamkan. Ajaibnya, aku pertama kali mengenal cinta Tuhan bukan selepas membaca buku tasauf/sufisme, tapi setelah usai membaca buku yang ditulis oleh ‘perempuan liberal lesbian yang sesat’ ini), “Perempuan Nan Bercinta” (diharamkan juga. Mengubah pandangan aku sedikit sebanyak tentang mazhab syiah) dan buku “Pergolakan Pemikiran Islam (mengubah pandangan aku tentang pemikir bebas/free-thinker). Buku Kassim Ahmad, seperti buku-buku kontreversi yang aku nyatakan tadi, turut mengubah cara pandang dan pemikiran aku serba sedikit, walaupun bukan semuanya aku bersetuju. Apa pemikirannya yang mengubah cara pandang aku? Aku akan nyatakan sebentar lagi.

Humanisme (tentang Manusia-Tuhan)
Pertama sekali, beliau mengubah cara pandang aku terhadap humanisme dan berjaya menjawab persoalan tentang humanisme yang telah lama bersarang di kepalaku. Beliau menjawabnya di dalam bab kedua, iaitu “Masuk Sekolah”. Persoalan apa yang dijawab beliau? Begini, aku bersetuju dengan pemikiran humanisme, iaitu manusia adalah pusat kepada segala aktiviti. Bahawa manusialah yang menyebabkan terjadinya sesuatu kejadian. Seorang humanis akan berkata begini, “jika aku ada masalah, aku sendirilah yang menyelesaikannya dan bukannya Tuhan.” Aku bersetuju bahwa apa yang berlaku adalah akibat perbuatan manusia, dan manusia adalah pusat kepada segala aktiviti (ini adalah logik), tapi sebagai seorang yang berTuhan, aku tidak dapat menerima pandangan humanis yang seakan menolak kekuasaan Tuhan, malah sehingga ada yang menolak kewujudan Tuhan. Jadi, persoalan yang timbul adalah, bolehkah seorang humanis pada masa yang sama adalah seorang teis? 

Atau lebih mudah, bolehkah aku menerima pemikiran humanisme (manusia adalah pusat kepada segala aktiviti, dan bukannya Tuhan) tapi pada masa yang sama tetap memilih untuk berTuhan dan tetap mengakui kekuasaan Tuhan?

Menurut Kassim Ahmad, “dua perkara harus dibezakan, iaitu pengetahuan Tuhan dan perbuatan Tuhan. Tuhan tahu sejak azali apa yang akan berlaku, tetapi Dia tidak mentakdirkan perlakuan itu, kecuali dalam ertikata perkara-perkara itu berlaku mengikut undang-undang-Nya.” Umpamanya, Dia tidak mentakdirkan kau membaca review buku ini, tetapi Dia tahu dari azali yang kau akan membaca review buku ini. Ini perbuatan kau, yang kau sendiri lakukan dan berpusat daripada pilihan dan aksi kau sendiri.

Sambung Kassim lagi, “namun demikian, kita juga tahu bahawa bentuk-bentuk hayat lain, seperti tanah dan logam (hayat yang tak bernyawa, tak bergerak), pokok dan binatang (hayat bernyawa, tetapi tak berakal). Mereka wujud dan bergerak mengikut undang-undang determinisme atau takdir. Jadi, ada tiga jenis hayat: yang tak bernyawa (logam), yang bernyawa tak berakal (pokok dan binatang), dan yang bernyawa dan berakal (manusia).” Ini selaras dengan pemikiran humanisme, di mana manusia itu berdarjat lebih tinggi daripada speisis lain dan manusialah yang mengawal speisis lain (logam, pokok, binatang). Ini yang membuatkan sebahagian tokoh humanis merasakan bahawa manusialah Tuhan, dan sekaligus menolak kekuasaan atau kewujudan Tuhan.

Namun bagi Kassim pula, manusia sebagai khalifah Tuhan di Bumi, dengan menggunakan akal kreatifnya memang boleh bertindak terhadap dunia dan mengubah dunia (dunia dalam ertikata Alam Semesta), tapi manusia bukanlah Tuhan. Sebaliknya, manusia cuma diberi kedudukan yang hebat oleh Tuhan, sehingga memerintahkan para malaikat sujud kepada manusia – bahawa manusia mempunyai ciri-ciri yang boleh menjadikan dia Tuhan. Dengan kata lain, menurut Kassim Ahmad, dia Manusia-Tuhan.
Menurut Kassim lagi, keistimewaan manusia ialah ketika ia diciptakan, secebis roh Tuhan ditiupkan ke dalam dirinya. Inilah yang menyebabkan manusia boleh berfikir, mengetahui dan mencipta. Konsep manusia sebagai khalifah bermakna manusia bersifat raja yang boleh menentukan destininya sendiri (free will). Manusia raja. Inilah makna “Manusia-Tuhan”.

Kesimpulannya, seorang yang berTuhan memang boleh menerima pemikiran humanisme (iaitu manusia ialah pusat kepada segala aktiviti dan manusia yang menentukan destini sendiri) dan pada masa yang sama tetap memilih untuk berTuhan dan memilih untuk mengakui kekuasaan Tuhan. Manusia memang pusat kepada segala aktiviti, tapi manusia tetap bukan Tuhan.

Kesimpulan  bahawa ‘seorang humanis boleh menjadi seorang teis pada masa yang sama’, diperkuatkan lagi setelah aku jauh membaca buku ini, iaitu setelah aku mendapati bahawa seorang ahli falsafah bernama LaRouche adalah seorang humanis katolik. Dan diperkuatkan lagi setelah aku membaca sebuah tesis yang bertajuk “Ali Syari’ati tentang Humanisme” oleh pelajar filsafat dari Indonesia di mana beliau menyatakan bahawa pada masa-masa awal kebangkitan humanisme (iaitu pada abad ke-14), meskipun orientasi berfikir beralih dari Tuhan ke manusia, namun Tuhan masih dianggap sebagai pencipta dan mempunyai autoriti mutlak (Ted Honderich, 1995). Bermakna, golongan humanis terawal adalah humanis dan teis pada masa yang sama.

Survival of the Fittest (tentang Falsafah Kiri dan Kanan)
Umum mengetahui bahawa Kassim pernah menjadi ketua Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PRSM). Tetapi dalam buku ini, beliau mengkritik keras marxisme, malah beliau ada menyatakan yang ajaran-ajaran Das Kapital dan Communist Manifesto tidak lebih revolusioner daripada ajaran Quran.

Buku ini (di dalam Bab 10 Mengajar di SOAS) juga mengubah sedikit pegangan aku sebagai seorang kiri (leftist) tentang falsafah kiri dan kanan. Sebelum pergi lebih jauh, elok kiranya aku membezakan terlebih dahulu antara falsafah kanan dan kiri ini (menurut kefahaman aku yang tidak seberapa).

Falsafah kiri mempercayai atau memperjuangkan sosial ekualiti, dan melawan sosial hierarki dan sosial inekualiti. Manakala falsafah kanan pula mempercayai bahawa sosial inekualiti adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Kanan berpegang pada falsafah Thomas Hobbes iaitu manusia secara semula jadinya adalah “solitary, poor, nasty, brutish and short” (bagiku, semua ciri-ciri ini adalah metafora kepada jahat). Oleh itu, manusia akan sentiasa bersaing, dan hakikat persaingan itulah yang menyebabkan sosial inekualiti tidak dapat dielakkan. Namun, kiri pula tidak bersetuju dengan kanan bahawa manusia itu jahat. Menurut kiri, manusia dilahirkan pure dan bersih, dan sistem (kapitalisme) itulah yang menjadikan manusia itu jahat. Jika sistem baik, maka baiklah ia.

Disebabkan falsafah kiri yang memperjuangkan sosial ekualiti, maka mereka menyokong sistem ekonomi sosialisme (alat pengeluaran dimiliki secara publik) untuk mewujudkan masyarakat tanpa kelas dan seterusnya egalitarianisme. Dan kanan pula, menyokong kapitalisme atau pasaran terbuka (alat pengeluaran dimiliki secara persendirian) dan membenarkan persaingan antara korporat-korporat di dalam aktiviti ekonomi, dan secara automatik membenarkan wujudnya kelas sosial (bawah-menengah-atasan)

Sebelum mula membaca buku Kassim ini, aku tidak pernah nampak kerelevanan falsafah kanan (atau aku cuba menafikannya? Mungkin). Senang cakap, tiada hujah yang kuat untuk aku menerima falsafah kanan. Malah, falsafah kanan bahawa manusia secara semula jadi adalah jahat adalah bertentangan dengan ajaran agama aku yang mengatakan bahawa manusia itu dilahirkan seperti kain putih, dan ini selaras dengan falsafah kiri!

Namun, setelah sampai membaca hingga ke bab 10, ternyata pegangan aku digoncang. Kassim menulis, “bangsa atau speisis yang lemah, yang tidak berdaya dari segi fizikal dan juga mentalnya, untuk terus hidup dalam pertarungan kehidupan yang Tuhan ciptakan, akan lenyap, diganti dengan yang lebih layak mengikut kaedah survival of the fittest.” Nah, pertarungan kehidupan atau persaingan inilah yang diklaim oleh kanan sebagai sesuatu yang natural. Oleh itu, sosial inekualiti dan penindasan juga adalah sesuatu yang natural dan tidak boleh dielakkan, dan hal ini dipersetujui oleh ramai ekonomis termasuk ekonomis moden yang sedang meningkat naik, Thomas Piketty. 

Tambah Kassim, survival of the fittest ataupun sunnah ini disebut dalam Quran, 5:54. Dan setelah merujuk ayat Quran tersebut, buat pertama kalinya aku sepertinya boleh menerima falsafah kanan, walaupun aku masih berpegang pada kiri.

KESIMPULAN
Di awal pembacaan, aku tertanya-tanya, adakah Kassim betul-betul menemui jalan pulang. Usai membaca, aku masih tidak pasti tentangnya. Tapi apa yang pasti, Kassim mengakui bahawa beliau telah pulang kepada Islam. Dan Islam Kassim pula, bukan seperti Islam kebanyakkan di luar sana. 

Dalam buku ini, beliau masih banyak menggoncang tradisi orang Melayu Islam yang bagi beliau adalah jumud seperti kepercayaan kepada benda khurafat, dan pembacaan Quran yang dilagukan tapi tidak faham pun isi ajaran Quran! Dan beliau juga tidak menarik semula pemikiran/pandangan beliau di dalam buku kontroversi beliau, “Hadis – Satu Penilaian Semula”.


Aku tidak hairan kenapa beliau begini, kerana beliau sememangnya seorang yang kuat membaca dan sangat idealist. Dan riwayat hidup beliau ini, wajib dibaca oleh semua! 

Ulasan

  1. agak sukar untuk dibaca kalau di belakang artikel ada gambar yang menganggu perhatian dan saiz huruf yang sebegini kecil.

    saya pohon tuan blog mengambil kira kritikan yang saya harap membina dari saya ini. terima kasih.
    (dan saya tak baca lagi artikel ni. cuma berminat untuk baca lepas-lepas ni,bila ada masa).

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk