Oleh: Razdey Ruslin
Seperti buku
memoir yang lain, buku ini menceritakan tentang riwayat hidup penulis, iaitu
Kassim Ahmad, bermula dari usia kanak-kanak sehingga sekarang dan juga
bagaimana beliau berjumpa Islam dan ‘kembali ke pangkuan ibu’ setelah 36 tahun
mencari jalan pulang semenjak usianya 17 tahun. Selain kisah hidup beliau,
dalam buku ini juga beliau selang selikan dengan pemikiran, falsafah, sastera,
politik dan teologi yang sememangnya menjadi minat beliau.
Tidak
keterlaluan jika aku katakan bahwa buku ini adalah salah satu daripada
buku-buku kontroversi yang aku baca yang mengubah pemikiranku dan memberi impak
yang agak besar kepada aku.
Sebagai perkongsian kepada pembaca, buku-buku yang
memberi impak kepada aku adalah pertama, “Antitesis” (jika aku tidak membaca
buku ini, mungkin aku tak akan pernah membaca buku-buku yang akan aku nyatakan
sebentar lagi), “Allah, Kebebasan dan Cinta” (buku yang diharamkan. Ajaibnya,
aku pertama kali mengenal cinta Tuhan bukan selepas membaca buku
tasauf/sufisme, tapi setelah usai membaca buku yang ditulis oleh ‘perempuan
liberal lesbian yang sesat’ ini), “Perempuan Nan Bercinta” (diharamkan juga. Mengubah
pandangan aku sedikit sebanyak tentang mazhab syiah) dan buku “Pergolakan
Pemikiran Islam (mengubah pandangan aku tentang pemikir bebas/free-thinker).
Buku Kassim Ahmad, seperti buku-buku kontreversi yang aku nyatakan tadi, turut
mengubah cara pandang dan pemikiran aku serba sedikit, walaupun bukan semuanya
aku bersetuju. Apa pemikirannya yang mengubah cara pandang aku? Aku akan
nyatakan sebentar lagi.
Humanisme (tentang Manusia-Tuhan)
Pertama sekali,
beliau mengubah cara pandang aku terhadap humanisme dan berjaya menjawab
persoalan tentang humanisme yang telah lama bersarang di kepalaku. Beliau
menjawabnya di dalam bab kedua, iaitu “Masuk Sekolah”. Persoalan apa yang
dijawab beliau? Begini, aku bersetuju dengan pemikiran humanisme, iaitu manusia
adalah pusat kepada segala aktiviti. Bahawa manusialah yang menyebabkan
terjadinya sesuatu kejadian. Seorang humanis akan berkata begini, “jika aku ada
masalah, aku sendirilah yang menyelesaikannya dan bukannya Tuhan.” Aku
bersetuju bahwa apa yang berlaku adalah akibat perbuatan manusia, dan manusia
adalah pusat kepada segala aktiviti (ini adalah logik), tapi sebagai seorang
yang berTuhan, aku tidak dapat menerima pandangan humanis yang seakan menolak
kekuasaan Tuhan, malah sehingga ada yang menolak kewujudan Tuhan. Jadi,
persoalan yang timbul adalah, bolehkah seorang humanis pada masa yang sama
adalah seorang teis?
Atau lebih mudah, bolehkah aku menerima pemikiran
humanisme (manusia adalah pusat kepada segala aktiviti, dan bukannya Tuhan)
tapi pada masa yang sama tetap memilih untuk berTuhan dan tetap mengakui
kekuasaan Tuhan?
Menurut Kassim
Ahmad, “dua perkara harus dibezakan, iaitu pengetahuan Tuhan dan perbuatan
Tuhan. Tuhan tahu sejak azali apa yang akan berlaku, tetapi Dia tidak
mentakdirkan perlakuan itu, kecuali dalam ertikata perkara-perkara itu berlaku
mengikut undang-undang-Nya.” Umpamanya, Dia tidak mentakdirkan kau membaca
review buku ini, tetapi Dia tahu dari azali yang kau akan membaca review buku
ini. Ini perbuatan kau, yang kau sendiri lakukan dan berpusat daripada pilihan
dan aksi kau sendiri.
Sambung Kassim
lagi, “namun demikian, kita juga tahu bahawa bentuk-bentuk hayat lain, seperti
tanah dan logam (hayat yang tak bernyawa, tak bergerak), pokok dan binatang
(hayat bernyawa, tetapi tak berakal). Mereka wujud dan bergerak mengikut
undang-undang determinisme atau takdir. Jadi, ada tiga jenis hayat: yang tak
bernyawa (logam), yang bernyawa tak berakal (pokok dan binatang), dan yang
bernyawa dan berakal (manusia).” Ini selaras dengan pemikiran humanisme, di
mana manusia itu berdarjat lebih tinggi daripada speisis lain dan manusialah
yang mengawal speisis lain (logam, pokok, binatang). Ini yang membuatkan
sebahagian tokoh humanis merasakan bahawa manusialah Tuhan, dan sekaligus
menolak kekuasaan atau kewujudan Tuhan.
Namun bagi
Kassim pula, manusia sebagai khalifah Tuhan di Bumi, dengan menggunakan akal
kreatifnya memang boleh bertindak terhadap dunia dan mengubah dunia (dunia
dalam ertikata Alam Semesta), tapi manusia bukanlah Tuhan. Sebaliknya, manusia cuma
diberi kedudukan yang hebat oleh Tuhan, sehingga memerintahkan para malaikat
sujud kepada manusia – bahawa manusia mempunyai ciri-ciri yang boleh menjadikan
dia Tuhan. Dengan kata lain, menurut Kassim Ahmad, dia Manusia-Tuhan.
Menurut Kassim
lagi, keistimewaan manusia ialah ketika ia diciptakan, secebis roh Tuhan
ditiupkan ke dalam dirinya. Inilah yang menyebabkan manusia boleh berfikir,
mengetahui dan mencipta. Konsep manusia sebagai khalifah bermakna manusia
bersifat raja yang boleh menentukan destininya sendiri (free will). Manusia
raja. Inilah makna “Manusia-Tuhan”.
Kesimpulannya,
seorang yang berTuhan memang boleh menerima pemikiran humanisme (iaitu manusia
ialah pusat kepada segala aktiviti dan manusia yang menentukan destini sendiri)
dan pada masa yang sama tetap memilih untuk berTuhan dan memilih untuk mengakui
kekuasaan Tuhan. Manusia memang pusat kepada segala aktiviti, tapi manusia
tetap bukan Tuhan.
Kesimpulan bahawa ‘seorang humanis boleh menjadi seorang
teis pada masa yang sama’, diperkuatkan lagi setelah aku jauh membaca buku ini,
iaitu setelah aku mendapati bahawa seorang ahli falsafah bernama LaRouche
adalah seorang humanis katolik. Dan diperkuatkan lagi setelah aku membaca
sebuah tesis yang bertajuk “Ali Syari’ati tentang Humanisme” oleh pelajar
filsafat dari Indonesia di mana beliau menyatakan bahawa pada masa-masa awal
kebangkitan humanisme (iaitu pada abad ke-14), meskipun orientasi berfikir
beralih dari Tuhan ke manusia, namun Tuhan masih dianggap sebagai pencipta dan
mempunyai autoriti mutlak (Ted Honderich, 1995). Bermakna, golongan humanis
terawal adalah humanis dan teis pada masa yang sama.
Survival of the Fittest (tentang Falsafah Kiri dan
Kanan)
Umum mengetahui
bahawa Kassim pernah menjadi ketua Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PRSM).
Tetapi dalam buku ini, beliau mengkritik keras marxisme, malah beliau ada
menyatakan yang ajaran-ajaran Das Kapital dan Communist Manifesto tidak lebih
revolusioner daripada ajaran Quran.
Buku ini (di
dalam Bab 10 Mengajar di SOAS) juga mengubah sedikit pegangan aku sebagai
seorang kiri (leftist) tentang falsafah kiri dan kanan. Sebelum pergi lebih
jauh, elok kiranya aku membezakan terlebih dahulu antara falsafah kanan dan
kiri ini (menurut kefahaman aku yang tidak seberapa).
Falsafah kiri
mempercayai atau memperjuangkan sosial ekualiti, dan melawan sosial hierarki
dan sosial inekualiti. Manakala falsafah kanan pula mempercayai bahawa sosial
inekualiti adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Kanan berpegang pada
falsafah Thomas Hobbes iaitu manusia secara semula jadinya adalah “solitary,
poor, nasty, brutish and short” (bagiku, semua ciri-ciri ini adalah metafora
kepada jahat). Oleh itu, manusia akan sentiasa bersaing, dan hakikat persaingan
itulah yang menyebabkan sosial inekualiti tidak dapat dielakkan. Namun, kiri
pula tidak bersetuju dengan kanan bahawa manusia itu jahat. Menurut kiri,
manusia dilahirkan pure dan bersih,
dan sistem (kapitalisme) itulah yang menjadikan manusia itu jahat. Jika sistem
baik, maka baiklah ia.
Disebabkan
falsafah kiri yang memperjuangkan sosial ekualiti, maka mereka menyokong sistem
ekonomi sosialisme (alat pengeluaran dimiliki secara publik) untuk mewujudkan
masyarakat tanpa kelas dan seterusnya egalitarianisme. Dan kanan pula, menyokong
kapitalisme atau pasaran terbuka (alat pengeluaran dimiliki secara
persendirian) dan membenarkan persaingan antara korporat-korporat di dalam
aktiviti ekonomi, dan secara automatik membenarkan wujudnya kelas sosial
(bawah-menengah-atasan)
Sebelum mula
membaca buku Kassim ini, aku tidak pernah nampak kerelevanan falsafah kanan
(atau aku cuba menafikannya? Mungkin). Senang cakap, tiada hujah yang kuat
untuk aku menerima falsafah kanan. Malah, falsafah kanan bahawa manusia secara
semula jadi adalah jahat adalah bertentangan dengan ajaran agama aku yang
mengatakan bahawa manusia itu dilahirkan seperti kain putih, dan ini selaras
dengan falsafah kiri!
Namun, setelah
sampai membaca hingga ke bab 10, ternyata pegangan aku digoncang. Kassim
menulis, “bangsa atau speisis yang lemah, yang tidak berdaya dari segi fizikal
dan juga mentalnya, untuk terus hidup dalam pertarungan kehidupan yang Tuhan
ciptakan, akan lenyap, diganti dengan yang lebih layak mengikut kaedah survival of the fittest.” Nah,
pertarungan kehidupan atau persaingan inilah yang diklaim oleh kanan sebagai
sesuatu yang natural. Oleh itu, sosial inekualiti dan penindasan juga adalah
sesuatu yang natural dan tidak boleh dielakkan, dan hal ini dipersetujui oleh
ramai ekonomis termasuk ekonomis moden yang sedang meningkat naik, Thomas Piketty.
Tambah Kassim, survival of the fittest ataupun sunnah ini disebut dalam Quran,
5:54. Dan setelah merujuk ayat Quran tersebut, buat pertama kalinya aku
sepertinya boleh menerima falsafah kanan, walaupun aku masih berpegang pada
kiri.
KESIMPULAN
Di awal
pembacaan, aku tertanya-tanya, adakah Kassim betul-betul menemui jalan pulang.
Usai membaca, aku masih tidak pasti tentangnya. Tapi apa yang pasti, Kassim
mengakui bahawa beliau telah pulang kepada Islam. Dan Islam Kassim pula, bukan
seperti Islam kebanyakkan di luar sana.
Dalam buku ini, beliau masih banyak
menggoncang tradisi orang Melayu Islam yang bagi beliau adalah jumud seperti
kepercayaan kepada benda khurafat, dan pembacaan Quran yang dilagukan tapi
tidak faham pun isi ajaran Quran! Dan beliau juga tidak menarik semula
pemikiran/pandangan beliau di dalam buku kontroversi beliau, “Hadis – Satu Penilaian
Semula”.
Aku tidak hairan
kenapa beliau begini, kerana beliau sememangnya seorang yang kuat membaca dan
sangat idealist. Dan riwayat hidup beliau ini, wajib dibaca oleh semua!
agak sukar untuk dibaca kalau di belakang artikel ada gambar yang menganggu perhatian dan saiz huruf yang sebegini kecil.
BalasPadamsaya pohon tuan blog mengambil kira kritikan yang saya harap membina dari saya ini. terima kasih.
(dan saya tak baca lagi artikel ni. cuma berminat untuk baca lepas-lepas ni,bila ada masa).
terima kasih atas komentarnya :)
BalasPadam