Langkau ke kandungan utama

'Agree on disagree' dalam Agama dan Hegemoni Negara


*Oleh: Mohamed Rozaidy

Agama dan Hegemoni Negara merupakan salah satu buku karangan saudara Benz Ali. Buku ini tidak seperti buku-buku beliau yang sebelum ini iaitu Antithesis dan Anticonformity yang aku lihat kurang berfokus dari segi aspek kritikan yang cuba disampaikan. Buku ini lebih kepada mengkritik orang-orang kuat dalam agama sekaligus mengkritik salah faham masyarakat dalam memahami dan mengamalkan agama terutamanya agama Islam.

Aku tidak melabel saudara Benz Ali sebagai munafik, kafir atau sosialis seperti kebanyakan orang. Memang pada mulanya aku takut dan risau ketika pertama kali menonton video rakaman Benz Ali yang diletakkan label “Munafik menghina Islam” kerana aku tidak dapat menyediakan jawapan kepada soalan-soalan yang dilontarkan dalam video tersebut. Pada masa yang sama, aku juga tidak setuju dengan label yang diletakkan pada tajuk video tersebut kerana soal siapa munafik ataupun tidak, bukan urusan manusia. Itu pandangan aku.

Selepas aku membaca buku Agama dan Hegemoni Negara, aku terpanggil untuk menulis sedikit ulasan. Ulasan ini merangkumi beberapa hujah atau poin yang diberikan oleh saudara Benz Ali yang aku setuju dan juga beberapa hujah yang aku tidak setuju. Mungkin aku tidak dapat mengulas kesemua perkara yang dinyatakan dalam buku ini, tetapi aku cuba untuk menjawab atau memberi respon aku terhadap beberapa perkara yang mungkin aku pernah terdengar jawapannya.

Tajuk buku ini yang lengkap ialah : ‘Agama dan Hegemoni Negara, Siapa yang mencilok agama?’. Seperti yang aku nyatakan di awal penulisan ini, buku saudara Benz Ali yang terbaru ini berbeza sedikit daripada buku-bukunya yang lain kerana buku ini memang memfokuskan kepada hal agama. Kulit buku ini yang terang-terang mempunyai tulisan kalimah Lailahaillallah, Allah, Rasul dan Muhammad sekali lagi memberikan petunjuk bahawa focus Benz Ali sekarang adalah pada agama Islam.

Buku ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Agama dan Hegemoni Negara, Kritik Sosial, Filem, Politik, Budaya, Agama dan Pembebasan dan Esei Sisipan.

Aku akan senaraikan terlebih dahulu perkara-perkara yang aku setuju dan tidak setuju dengan saudara Benz Ali sebelum aku menyatakan kenapa aku setuju dan kenapa aku tidak setuju dengan perkara tersebut.

Perkara yang aku setuju.
1.      “Tanya soalan mudah ini sahaja, ‘berapa ramai ustaz-ustaz kita yang pandai bahasa Inggeris?’” (Halaman 15)


Aku bersetuju dalam poin tentang penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan ustaz-ustaz yang wujud di Malaysia. Memang tidak dinafikan, kita mempunyai masalah dalam menyampaikan dakwah Islam dengan mesej yang betul hanya kerana yang mendabik diri “faham” dengan kebenaran, tidak mempunyai alat (baca: bahasa) yang sesuai untuk mendekati mad’u yang mempunyai mother tongue language yang berbeza dengan kita. Aku menghormati usaha NGO seperti IPSI umpamanya, yang akan melatih da’i bertutur hujah-hujah dakwah dengan non-muslim dalam bahasa Inggeris. Cuma, aku tidak pasti seramai mana mahasiswa yang gigih menghadiri kelas perbandingan agama yang dianjurkan di USM induk oleh NGO ini.


2.      “Kerana itu setiap aliran (apa sahaja) bila sampai ke tampuk kekuasaan, mereka mudah melupakan asal-usul mereka seperti kacang lupakan kulit” (halaman 25)

Aku bersetuju dalam hal ini kerana kekuasaan itu membutakan. Tetapi sebenarnya, dengan keimanan dan kefahaman tentang di tahap mana pentingnya kekuasaan, perkara ini dapat diubah. Nabi Muhammad s.a.w sendiri ditawarkan kekuasaan, harta dan perempuan (yang merupakan perkara yang sememangnya mengiurkan manusia), tetapi atas kefahaman erti pembawaan Islam yang sebenar, Nabi Muhammad s.a.w menolak tawaran tersebut.

3.      “mereka tidak berani menampilkan apa-apa yang baik tentang musuh tradisi mereka” (halaman 26)


Berkenaan isu terdapat beberapa tokoh yang tidak berani menyatakan kebaikan musuh mereka, aku bersetuju dan sememangnya aku cuba untuk memperbaiki masalah ini dalam kalangan rakan-rakan (sewaktu di kampus) dan juga masyarakat yang aku jumpai setiap hari (keluarga dan jiran). Kalau dilihat di dalam Quran sendiri, dalam surah as-syuara’ (surah ke 26), ada diceritakan tentang kisah Nabi Musa a.s. dan Nabi Ibrahim a.s. yang tidak mengabaikan kebaikan yang telah dilakukan oleh musuh mereka iaitu Firaun dan ayah Nabi Ibrahim a.s. sendiri walaupun mereka ingkar untuk mengakui Allah sebagai Tuhan Yang Esa. Meskipun berbeza dalam pembawaan dan kita bermusuh dalam akidah, tidak bersetuju dalam soal tauhid, al-Quran mengajar kita untuk mengiktiraf kebaikan melalui contoh yang ditunjukkan oleh rasul-rasul yang diutus.


4.      “Maka adalah tidak patut berlaku taat membuta tuli terhadap apa-apa sahaja yang dilakukan oleh ulama’” (halaman 30)


Ketaatan kepada ulama’ secara membuta tuli itu bagiku adalah satu kesalahan andai kata tidak disertakan dengan pertanyaan sopan dan beretika tentang justifikasi arahan itu dikeluarkan. Aku lebih gemar melihat mahasiswa Islam (terutamanya) yang bertanya rasional dan justifikasi sebelum melakukan sesuatu arahan. Sudah namanya mahasiswa, kenapa takut untuk bertanya? Tetapi, we have to learn to ask good questions. Andai kata sudah terang lagi bersuluh justifikasinya, jangan ditanya lebih soalan-soalan semata-mata untuk memenangkan kemalasan diri kita untuk melaksanakan arahan itu.


5.      “Masalahnya pada Muslim, sebab mereka konon-konon dah benar, maka mereka tak perlu mencari lagi, sebab absolute truth ada di dalam poket mereka.” (Halaman 37)

Aku setuju dengan istilah ‘konon-konon’ yang digunakan di sini. This kind of assumption is a tragedy in that muslim individual himself or in a muslim community as a whole. Sebabnya, apabila kita sudah mempunyai satu kepercayaan bahawa kebenaran atau absolute truth itu sudah ada dalam poket kita, kita akan berhenti mencari kebenaran. Tetapi persoalannya sekarang, apakah itu kebenaran? Sepertimana yang disebut dalam surah al-kahfi (surah yang ke 18) ayat yang ke 29. Mesejnya di sini ialah kita sepatutnya terus mencari kebenaran tidak kira kita sudah Muslim atau tidak kerana kefahaman tentang kebenaran sepertimana yang digariskan dalam al-Quran itu tidak dapat diperolehi hanya dengan tulisan “Islam” di IC (kad pengenalan) kita.


6.      “Yang dari haraki terlampau mengagungkan pendekatan gerakan Islam Ikhwan…” (Halaman 38, 39)


Poin yang ke-6 yang aku setuju seperti yang dinyatakan di atas adalah berkenaan sifat extremism yang ditonjolkan sekalipun oleh orang yang baik dan sopan tutur katanya. Seringkali kita melabel orang-orang yang kasar tutur kata dan lantang bersuara sebagai orang yang extreme atau berlebih-lebihan tetapi kita terlupa yang hatta kepada normal distribution graph yang kita pelajari dalam statistics, mempunyai dua extreme region. I really hope those science students get my point regarding this issue. Memang kita mengagumi pendekatan Islam Ikhwan dan beberapa gerakan Islam yang lain. 

Tetapi, jangan terlalu mengagungkan method yang digunakan oleh manusia tetapi dalam masa yang sama, kita seolah-olah menidakkan kenyataan yang manusia daripada pelbagai pelosok dunia ini mempunyai sifat yang berbeza dan hanya boleh didekati dengan kaedah yang berbeza. Soal cara dan waqi’ perlu dititikberatkan. Satu lagi masalah kita sekarang ialah metodologi Quran yang telah terang lagikan bersuluh sesuai untuk sepanjang zaman, kita tidak mahu ikut. Tetapi metodologi manusia yang diperkenalkan mengikut keadaan masyarakat di tempat-tempat tertentu yang mungkin sesuai atau mungkin tidak sesuai dengan masyarakat di tempat kita, terlalu ghairah untuk kita ikuti.

7.      “Apakah bila kita maju, kita kafir, tapi kalau kita menjadi mundur dan bodoh, maka barulah kita Islam? Apakah begitu?”(Halaman 41)


Aku tidak perlu mengulas persoalan sarkastik ini tetapi kenyataan ini jelas menunjukkan kemunduran yang saudara Benz Ali lihat dalam kalangan orang Islam. Jadi, kita perlu bergerak ke arah Islam yang lebih maju dalam masa yang sama, tidak mengabaikan unsur tarbiyyah dan ibadat.

8.      “Dalam masa kejahilan, kesedaran memang merupakan dosa.” (Kata-kata yang dipetik daripada sumber lain - Halaman 52)

Satu kata-kata yang menjelaskan bahawa apabila kita cuba melakukan sesuatu yang benar dalam masa yang sama, seluruh manusia menerima kebatilan itu sebagai perkara biasa, sememangnya kita akan dilhat sebagai pendosa.

9.      “Pada saya orang-orang yang berfikir itu, walaupun hasilnya salah, masih jauh lebih baik daripada orang-orang yang tidak pernah salah kerana tak mahu berfikir.” (Halaman 60)


Hal ini adalah antara sebab kenapa beberapa mahasiswa yang mempunyai buah fikiran, mempunyai hasil penulisan dan mungkin bakat berkarya memilih untuk diam dan tidak berbuat apa-apa. Mereka takut untuk melakukan kesalahan. Jika kita berfikir, perbuatan berfikir itu kontang andai kata tidak ada tindakan susulan. Dalam hal ini aku melihat mahasiswa tidak takut untuk terjebak dalam perkara-perkara lagha di media sosial, tetapi cuma takut dan “berhati-hati” dalam soal ingin meluahkan pendapat melawan kezaliman atau penindasan. Lain halnya jika periuk nasi mereka dikacau.

10.  “Kita perlu menggalakkan pertarungan ide di ruang awam.” (Halaman 64)

Poin yang ke-10, jika dibawa dalam konteks mahasiswa, bagi aku, adalah kegagalan yang terbesar dalam setiap dewan kuliah yang aku hadiri. Kurang pertanyaan-pertanyaan yang bersifat kritikal. Kurangnya perbincangan dalam kalangan mahasiswa apatah lagi antara mahasiswa dengan pensyarah. Andaikata perkara ini dapat diubah, insyaallah, manfaat yang besar dapat kita kecapi bersama.

11.  “mengulama’kan professional, memprofessionalkan ulama’” (Idea lama Ustaz Fadhil Noor - Halaman 71)


Aku bersetuju dengan pandangan Benz Ali supaya idea lama oleh Ustaz Fadhil Noor ini kembali diperkasakan untuk menyelesaikan konflik antara golongan professional dengan golongan ulama’. 
Mungkin sebagai permulaan, kita adakan semula wacana untuk berbincang tentang idea ini. Mungkin boleh ditelusuri semula pembawaan idea ini yang bagaimana yang paling sesuai. Kita mulakan dengan perbincangan, kemudian kita lengkapi dengan tindakan.


12.  Absolute power corrupt absolutely” (Halaman 75)
Aku berpandangan absolute power atau kuasa mutlak ini milik Tuhan. That is why it corrupts when it is given to mankind.


13.  “Kalau intelektualisme yang diperjuangkan oleh gerakan mahasiswa Islam, buku apakah yang telah mereka hasilkan di dalam pergerakan itu?” (Halaman 99)

Sebenarnya aku masih tercari-cari buku apa yang mahasiswa Islam hasilkan. Seriously..

14.  Halaman 96 – 102 : My favourite part.


Tajuk artikel ini ialah, “Gerakan Mahasiswa Islam: Dari Zakar Menuju Faraj”. Aku tidak bersetuju dengan penggunaan perkataan zakar dan faraj di sini. Tetapi beberapa poin dalam artikel ini seperti contohnya, sifat mahasiswa Islam di kampus yang banyak berbicara soal jodoh dan baitul muslim, pergerakan yang tiada hasil, pergerakan yang kurang mengambil tahu isu gelandangan dan beberapa isu lain lagi. Selaku mahasiswa yang pernah bergerak dalam gerakan mahasiswa Islam, aku sudah menyuarakan teguran ini kepada beberapa pemimpin gerakan ini dan beberapa idea telah aku nyatakan untuk memberi ruang gerakan ini melakukan perubahan terutamanya dalam membawa mesej Islam kepada masyarakat.

15.  “Dilenyek pun kita kena, melenyek pun kita kena, lebih baik patuh. Lebih baik jadi bodoh, dan fikir perut sendiri.” (Halaman 117)


Satu lagi kenyataan sarkastik.

16.  “Mungkin perkataan ‘bangang’ itu adalah teman rapat kepada perkataan ‘senang dan kenyang’” (Halaman 120)
Ya. Satu lagi.


17.  “dari agama yang bagi saya, menjawab banyak persoalan saya.” (Halaman 124)


Sememangnya menjadi dilemma untuk sesetengah orang yang mempunyai pelbagai persoalan mengenai Islam, apabila mereka menanyakan soalan tentang Islam kepada orang yang gagal menjawab dengan baik, mereka akan mengatakan bahawa Islam itu tidak mempunyai jawapan. Tetapi, sebenarnya, Islam melalui al-Quran itu sendiri mempunyai solusi kepada pelbagai soalan yang kita ajukan bahkan al-Quran mencabar sesiapa sahaja untuk mencari kelemahan atau kesilapan daripada al-Quran dan andai kata ada soalan dan hujahan yang kuat, al-Quran mencabar sesiapa sahaja untuk menyatakannya. Berbeza dengan manusia yang tidak mampu menjawab soalan-soalan yang diajukan, mereka lebih memilih untuk marah dan menuduh si penanya dengan label ‘lemah iman’ apabila mereka gagal menjawab. Benz Ali mengiktiraf agama yang dia anuti ini sebagai menjawab pelbagai soalannya – this is strange because for a man who question almost every single thing on earth, the Quran actually shut him up.

18.  “orang islam cuma tahu mengkhatam Quran tetapi sangat sedikit sekali yang mahu mengkritis dan mahu mengulangkaji pesan-pesan Tuhan melalui firman-firmanNya di dalam Quran” (Halaman 159)


Aku masih tidak jelas tentang aspek mengkritis itu – Benz Ali maksudkan daripada aspek apa? Tetapi daripada aspek mengulangkaji pesan-pesan Tuhan di dalam Quran itu, aku bersetuju dengan Benz Ali. Contohnya, orang Melayu terkenal dengan budaya membaca surah yasin pada malam jumaat tetapi kebanyakan kita tidak mengetahui kisah-kisah yang dibawakan di dalam surah yasin itu – kisah satu kaum yang dihantar 3 orang rasul untuk mengajak mereka kembali ke jalan yang benar tetapi mereka ingkar (salah satu kisah yang kita terlepas pandang kerana terlalu menjadikan bacaan al-Quran itu ritual semata-mata).

19.  “Orang akan melihat bahawa Dewan Ulama’ dan Majlis Syura PAS adalah dua entiti parti yang tidak berkepentingan” (Halaman 161)


Apabila Dewan Ulama’ dan Majlis Syura PAS dilihat sebagai dua entiti parti yang tidak berkepentingan dan mungkin mereka hanya menumpukan kepada permasalahan ummah/rakyat, maka mungkin PAS akan lebih mendapat sokongan rakyat. Aku tidak arif dalam isu-isu politik tetapi itu hanya sekadar kefahaman aku.

20.  “Bermaksud dengan kata lain, bukan kerja para ulama’ untuk merebut kekuasaan” (Halaman 165)


Ya. Aku juga setuju dengan konsep memberi sesuatu pekerjaan itu kepada ahlinya (orang yang pakar). Andai kata ulama’ itu mahir memimpin, boleh sahaja dia menjadi pemimpin. Tetapi andai kata yang lebih mahir memimpin itu ialah seorang yang bukan ulama’, maka aku berpendapat jawatan pemimpin itu lebih layak diserahkan kepada individu tersebut.

21.  “Adakah di kalangan ulama’-ulama’ PAS yang boleh merumuskan dengan lebih baik kefahaman tentang sifat 20 untuk dummies?” (Halaman 167)


Disebabkan aku tidak mempelajari dengan mendalam mengenai sifat 20, aku juga tertanya-tanya soalan yang sama.

22.  “kesungguhan para nabi dalam mengajukan sebuah revolusi sosial melawan kezaliman yang ganas menekan” (Halaman 170)


Kerana itulah nabi-nabi diperangi oleh orang-orang zalim. Firaun ingin membunuh Nabi Musa kerana Nabi Musa membawa mesej menyembah Allah yang Esa sebagai Tuhan, sekaligus menafikan dakwaan Firaun yang memanggil dirinya Tuhan. Daripada dakwaan itu, Firaun menguasai masyarakat (kuasa politik) dengan menjadi raja. Jadi, Nabi Musa melawan pemimpin yang zalim atau ahli politik yang zalim dalam mesej akidah yang cuba disampaikan. Sepatutnya orang yang mendabik dada mengatakan mereka membawa mesej Islam tidak mengecualikan diri daripada melawan pemimpin zalim dan mereka sepatutnya tidak memihak kepada pemimpin zalim tersebut dengan menggunakan dalil-dalil agama.


23.  “Nifak tak dapat ditutup, walaupun mereka memakai serban tujuh lapis atau kopiah tajam.” (Halaman 181)


24.  “Jika anak-anak muda gerakan Islam, hanya membuntut sahaja tanpa kritis perintah pimpinannya; apakah lagi yang menariknya menjadi muda?” (Halaman 189)

Ya. Akan tetapi menjadi kritis itu perlu diperhalusi dengan akhlak dan tatasusila.

25.  Kenapa kaki-kaki solat dan kaki-kaki yang baik ini semua diam dan tidak progresif? (Halaman 207)


Aku juga melihat perkara yang sama. Mungkin tidak semua kaki-kaki suci ini yang menjadi tidak progresif dan diam sahaja apabila beberapa isu timbul yang memerlukan mereka bersuara tetapi bilangan yang diam ini agak signifikan. Aku masih mencari punca mengapa mereka berkelakuan sedemikian.

26.  “Agama sudah menjadi sebuah ‘pentas reality TV’ yang mempunyai drama dan skrip.” (Halaman 208)


Satu hakikat yang pahit yang aku benci untuk terima. Bermula dengan program Imam Muda kemudian berlanjutan kepada Pencetus Ummah dan Ustazah Pilihan, aku masih tertanya-tanya kenapa mereka yang menyertai program seumpama ini perlu tampil dengan gaya artis. Selalu juga aku tekankan kepada kawan-kawan di universiti, “Ada beza – antara da’i dengan selebriti’.


27.  “Kerana freedom tanpa explanation adalah freedom yang bodoh” (Halaman 223)

Ya. Aku bersetuju kerana hakikatnya kebebasan yang sebenar adalah pada menyerahkan diri kepada Allah. Tiada soalan dan keraguan yang kita lontarkan kepada Tuhan andai kata perintah itu berdasarkan dalil yang jelas dan nyata. Akan tetapi andai kata manusia yang ingin memerintah, atas nama Tuhan, kita akan persoalkan. Tambahan pula jika dia datang dengan dalil yang tidak cukup jelas ataupun tidak tepat konteks.


28.  “Jika orang Islam memperhatikan Quran dari segi ilmu-ilmu lain, sudah semestinya kita lebih kehadapan dalam teori yang membawa kemajuan” (Halaman 227)


Jangan dikatakan ilmu-ilmu lain, andai kata ilmu al-Quran itu kita hadam secara mendalam, aku pasti umat Islam pasti lebih maju daripada sekarang.

29.  “Apakah kita akan membiarkan ‘kaum tidak beriman kepada Tuhan’ mati kelaparan disebabkan semata-mata mereka tiada bertuhan?” (Halaman 270)

Tidak. Umat Islam tidak pilih kasih dalam soal memberi bantuan (sepatutnya). Sedangkan daging korban pun boleh diberi kepada orang bukan Islam yang miskin dan zakat dapat dihulurkan kepada orang bukan Islam yang hatinya sudah jinak dengan Islam (muallaf). Itu bukti bahawa kita tidak perlu menunggu untuk berkongsi akidah untuk membantu sesama manusia.


Perkara yang aku tidak setuju.
1.      “Ketika orang Islam Sunnah mengkritik Syiah (Imamiyah) kerana memaksumkan 12 imam, dia lupa bahawa (doktrin) sunnah memaksumkan kesemua sahabat Nabi saw.” (Halaman 7)


Pada pendapat aku, kalau kita mengikut betul-betul ajaran berdasarkan sunnah, kita akan dapati bahawa para sahabat juga melakukan dosa, tetapi perbezaannya di sini ialah mereka akan segera bertaubat selepas melakukan dosa. Jadi, mereka tidak maksum. Para Nabi sahaja yang maksum.


2.      Ulama’-ulama’ kita sampailah ke hari ini masih tidak mampu menghasilkan terjemahan yang jitu, yang comprehensive, yang membuatkan orang-orang awam mudah faham isi kandungan Quran” (Halaman 15)


Andaikata yang dikatakan ‘ulama’-ulama’ kita’ itu merujuk kepada ulama’ Malaysia, aku akan katakan mungkin perkara ini benar kerana kita susah untuk mendapatkan sumber yang mudah difahami tentang tafsir al-Quran. Tetapi, andai kata istilah ini ingin ditujukan kepada ulama’ Islam secara keseluruhannya, aku akan katakan usaha ini telah ada. Mungkin kita boleh mencari dalam internet tentang bayyinah.tv yang menyediakan rakaman-rakaman pembelajaran tafsir al-Quran dengan bahasa yang mudah difahami. Bahkan, dalam youtube sekalipun, telah terdapat video-video tafsir al-Quran yang mudah difahami oleh Ustadh Nouman Ali Khan dalam bahasa Inggeris. Cuma yang menjadi cabaran untuk kita ialah perbezaan bahasa. Mungkin disebabkan kita tidak fasih berbahasa Inggeris atau susah memahami dialek bahasa Inggeris oleh orang-orang daripada luar Malaysia, kita menghadapi kesukaran dalam memahami mesej daripada kuliah penafsiran al-Quran yang komprehensif ini.

3.      “Jika pelakunya adalah dua orang dari agama yang berbeza, maka yang berat menimpa yang Islam, dan yang ringan kena kepada bukan Islam, dimanakah keadilannya? Dimanakah tarbiyahnya?” (Halaman 89)


Aku tidak setuju dengan kenyataan ini kerana kita perlu menyoal kepada orang yang lebih faqih dan alim dalam bidang ini sebelum membuat konklusi.

4.      Kerasionalan, untuk aku secara peribadi, lama-lama membuatkan kita manusia menjadi semakin ‘waras’ (baca : penakut) yang terlalu mementingkan kepentingan diri sendiri, lebih dari memikirkan orang lain.” (Halaman 135)


Jika kerasionalan itu dinisbahkan kepada kepentingan diri sendiri, sudah semestinya kita akan memilih untuk menjadi penakut (waras) seperti yang dinyatakan di atas. Akan tetapi, bagi aku, melawan kezaliman, kemungkaran dan menyatakan kebenaran itu sendiri adalah satu daripada juzuk kerasionalan. It is a common sense to act against something bad, to correct a mistake and to speak the truth.



5.      “Kita tidak memerlukan atheism untuk mengajar kita membuat kebaikan” (Halaman 147)


Aku kurang setuju kerana dengan atheism itu kita dapat menilai bahawa manusia itu secara fitrahnya mahukan kebaikan. Ia juga menjadi tamparan kepada kita yang mendakwa diri beragama untuk menzahirkan bahawa dengan beragama itu, kita lebih terpanggil untuk berbuat baik jika dibandingkan dengan seorang atheist.

6.      “apakah gunanya agama kepada umat manusia, jika yang miskin makin miskin, yang kaya makin kaya, yang derita bertambah menderita, yang zalim makin zalim?” (Halaman 261)


Aku percaya bahawa dalam konteks ayat ini, Benz Ali cuba menyoal orang yang beragama dan bukannya agama itu sendiri. Kerana andai kata kita beragama dengan erti kata yang sebenarnya, tidak timbul soal yang miskin makin miskin, yang kaya makin kaya, yang derita bertambah derita, yang zalim makin zalim. Disebabkan kita terlalu menyimpang daripada ajaran beragama berdasarkan kalam Tuhan yang sebenar tanpa tokok tambah, agama tidak lagi dapat membetulkan kesalahan. Satu lagi punca kepada permasalahan ini ialah orang yang mendakwa diri beragama itu sendiri yang menggadaikan agama dengan harga yang murah sepertimana yang dinyatakan dalam surah as-syura (surah yang ke-42) ayat ke 14.

7.       “Sama ada beragama atau tidak beragama bukanlah suatu perkara yang penting lagi sebenarnya.” (Halaman 270)


Aku tidak setuju. Persoalan beragama atau tidak itu selamanya menjadi perkara yang penting kerana agama yang sebenar itu datang daripada Tuhan (Allah) yang menjadi panduan hidup kepada manusia.


8.      “Benar. Adalah masalah paling besar pada orang Islam hari ini yang mahu meng-Islam-kan segala perkara.” (Halaman 279).


Aku kurang setuju kerana kita perlu mengaitkan segala perkara yang kita pelajari itu dengan Islam dalam masa yang sama kita harus menyedari bahawa ilmu itu datangnya daripada Tuhan yang telah mengajarkan Nabi Adam tentang nama-nama setiap sesuatu. Maka, segala ilmu yang kita pelajari atau yang kita amalkan, ianya tidak dapat lari daripada hakikat bahawa Tuhan yang mengajarkannya dan ilmu itu sebahagian daripada Islam.

Itu cuma sebahagian daripada beberapa hujah atau mesej yang disampaikan melalui buku ini yang dapat aku kutip kembali setelah habis membaca. Aku akui terdapat beberapa poin yang aku masih mencari jawapan untuk bersetuju atau tidak dengannya kerana perkara itu bagi aku adalah biasa untuk dialami kerana tidak semua perkara dalam dunia ini kita ketahui.

Aku mengakui pada mulanya aku lebih cenderung berpendapat bahawa Benz Ali ini merupakan satu susuk tubuh yang akan mengkritik segala perkara tanpa meletakkan pendirian yang kukuh dan tidak memberikan solusi. Itu persepsi aku yang aku perlu sanggah kerana setelah membaca karyanya yang terbaru ini, aku dapati beliau cuba menyatakan solusi. Contohnya dalam isu ulama’ yang dipandang sebagai tidak mempunyai fungsi dan malas membaca, saudara Benz Ali memberikan beberapa cadangan tentang sepatutnya Majlis Syura Ulama’ PAS menjadi badan tidak berkepentingan dan sebagainya. Aku tidak arif dalam bab struktur organisasi dan cara gerak kerja PAS tetapi aku memandang mulia usaha Benz Ali yang mengkritik dan memberi solusi.
Terima kasih Benz Ali kerana mengkritik.


Mudah-mudahan lebih banyak orang Islam dapat mengkritik dengan adab, ilmu dan keterbukaan minda seperti yang anda tunjukkan. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk