Langkau ke kandungan utama

'Aku Ingin Jadi Peluru', Menyelam ke Dasar Pemaknaan “Peluru” dan Teori Semiotik Peirce.



            Judul sesebuah karya mempamerkan tema. Dalam naskhah kumpulan puisi ‘Aku Ingin Jadi Peluru’ karya Wiji Thukul, beliau telah memilih perkataan ‘peluru’ untuk dijadikan perlambangan bagi keseluruhan puisi – puisinya. Mari kita selidiki serba sedikit permaknaan peluru yang digunakan oleh Wiji Thukul ini.

            Sebelum kita pergi lebih mendalam lagi, mari kita memahami Teori Semiotik Peirce terlebih dahulu. Dalam menyusun teori semiotik, Peirce sangat sedar bahawa kehidupan manusia dikelilingi tanda dan tanda berperanan penting dalam kegiatan manusia berfikir. 

Tanpa tanda, manusia tidak dapat berkomunikasi (Panuti Sudjiman dan Aart van Zoest, 1992: vii) dan tidak  dapat melakukan aktiviti kehidupan secara berkesan.

            Salah satu tanda yang penting dalam kehidupan manusia ialah bahasa. Bahkan bahasa itu adalah sistem tanda yang paling asas bagi manusia. Di luar sistem bahasa juga tanda sebenarnya merupakan sejenis bahasa yang tersusun dan bermakna (Kris Budiman, 1999: 107-108).

            Kris Budiman, Panuti Sudjiman, dan Aart van Zoest  telah menyentuh tentang tanda dan peranan tanda dalam kehidupan manusia. Walau bagaimanapun, sebelum sesuatu itu muncul sebagai tanda dan sebelum manusia dapat mentafsirkannya, sesuatu itu sebenarnya telah terlebih dahulu mempunyai prosesnya. Proses ini menjadi satu daripada asas yang penting dalam pemikiran Peirce sewaktu menyusun teori semiotiknya.
           
Dalam usaha untuk membuktikan sesuatu itu muncul sebagai tanda yang menjadi asas kepada manusia berfikir dan bertindak, berperasaan dan menyatakan perasaannya, Peirce telah merumuskan dan mendefinasikan istilah firstness, secondness  dan thirdness yang berhubung dengan representamen, objek dan  interpretant.

            Pada representamen, terdapat tiga jenis tanda, iaitu qualisign, sinsign, dan legisign.

            Pada objek terdapat tiga jenis tanda yang berhubung dengannya, iaitu  ikon, indeks dan simbol. Pada interpretant, terdapat tiga jenis tanda iaitu rheme, discisign  dan argument.

            Berdasarkan tanda-tanda tersebut, Peirce menyatakan bahawa sesuatu itu menjadi tanda apabila sesuatu itu memasuki semiosis yang melibatkan triadic, iaitu representamen, objek, dan interpretant pada satu sisi tidak ada kesudahannya.

            Gambaran umum susunan semiotik Peirce yang disebut dalam istilah yang digunakan itu tidak mungkin membantu kita memahami tentang sesuatu yang muncul sebagai tanda dan tanda dapat ditafsir oleh manusia. Walau bagaimanapun, memahami jenis – jenis tanda tersebut secara satu persatu berupaya menggambarkan bagaimana sesuatu tanda itu dan bagaimana tanda mempengaruhi fikiran dan perasaan manusia untuk bertindak dan beremosi.

Bagi Peirce, firstness tidak memiliki hubungan dan bebas daripada benda – benda yang lain (Paul Cobey dan Litza Jansz, 2002: 27). Penjelasan Paul Cobey dan Litza Jansitu menunjukan firstness ialah sesuatu atau apa – apa pun.

            Contoh firstness ialah warna. Warna tidak berhubungan dan bebas daripada apa – apa sahaja. Kerana warna adalah firstness, maka warna tidak akan muncul sebagai tanda dan tidak mempunyai makna. Justeru, hitam bukanlah tanda kejahatan, putih bukan tanda kebaikan, dan merah bukanlah tanda keberanian.
         
   Jika warna – warna tersebut dianggap sebagai tanda dengan makna yang dikatakan itu, maka anggapan itu tidak lain daripada kemungkinan. Kemungkinan hitam itu tandanya jahat, kemungkinan putih itu tandanya baik, dan kemungkinan merah itu tandanya berani. Akan tetapi, ada kemungkinan yang lain lagi.

Kemungkinan hitam itu tandanya sedih, kemungkinan putih itu tandanya menyerah, dan kemungkinan merah itu tandanya berhenti. Kemungkinan ini akan memungkinkan kemungkinan yang lain pula kemungkinan hitam itu tandanya menawan, putih itu tanyanya bayi dan merah itu tandanya darah. 

            Kerana kemungkinan inilah, maka Peire mengatakan firstness hanyalah sebuah kemungkinan dan lebih difahami dalam bahasa perasaan (Paul Cobley dan Litza Jansz, 2002: 27). Oleh sebab firstness lebih difahami dalam perasaanlah maka emosi dalam firstness mesti jelas kerana yang ada hanya oneness. Bagi Peirce, firstness berpengalaman dalam masa yang panjang.

            Peirce memaksudkan secondness sebagai mod dalam perhubungan yang muncul pada masa tertentu dan tidak berterusan.

            Contoh secondness ialah angin lintang. Di tepi lebuh raya dalam daerah Alor Gajah, Melaka, terdapat tiang yang bergantungan karung angin. Pemandu kenderaan di lebuh raya dari Kuala Lumpur ke Johor akan melihat karung angin itu di tepi lebuh raya sebelah kanannya. Pemandu kenderaan dari johor akan melihat karung angin itu di tepi lebuh raya sebelah kirinya. 

Jika karung angin menegak dan menghala ke lebuh raya itu. Pemandu kenderaaan seharusnya membiarkan angin lintang berlalu dan menyambung semula perjalanannya apabila melihat karung angin itu ke bawah semula kerana karung angin itu telah menandakan angin lintang telah berakhir.

            Angin lintang jelas berlaku dalam masa yang tidak berterusan. Malah, ia berlaku dalam masa tertentu sahaja. Oleh itu, angin lintang adalah secondness.    

            Paul Coubley dan Litza Jansz (2002: 28) menjelaskan bahawa Peirce menganggap thirdness ialah kewujudan yang paling bermasalah kerana thirdness ialah undang – undang atau peraturan yang berlaku secara umum.

Walaubagaimanapun, thirdness menghubungkan fristness dengan secondness. Contoh hubungan ini dijelaskan oleh Paul Cobley dan Litza Jansz seperti yang berikut: A memberi B sebuah hadiah C. Jadi logiklah C telah mempertautkan A dan B.

            Contoh hubungan yang diberikan oleh  Paul Cobley dan Litza Jansz  dapat di permudahkan seperti berikut: A ialah firstness, B ialah secondness, dan C ialah thirdness  oleh itu, thirdness yang menjadi perantara yang menghubungkan  firstness dengan secondness dalam satu hubungan atau dengan erti kata lain, thirdness bermaksud pengantara yang melalui firstness dan melalui secondness yang dibawa dalam satu hubungan.

            Seperti yang telah disebut, dalam firstness, perasaan mestilah jelas. Akan tetapi, perasaan itu hanya pada tahap mungkin dan umum. Dalam secondness terdapat tanda individualiti dan tindak balas. Apabila seseorang menyedari perasaannya sedih kerana sesuatu sebab, maka perasaannya terganggu.

Gangguan perasaan ialah konsep umum iaitu thirdness. Oleh itu, perhubungan antara perasaan sebenarnya ditentukan  oleh peraturan  yang berlaku secara umum.

            Meskipun pada tahap thirdness dan tahap firstness ialah ketogeri umum, tetapi umum pada tahap firstness ialah kemungkinan dan umum pada tahap thirdness ialah keperluan. Oleh itu thirdness ialah pengalaman intelek.


 Kategori Tanda

            Berdasarkan firstness, secondness dan thirdness, pierce menghubungkannya dengan tiga kategori tanda, iaitu repsentamen atau tanda ialah firstness, objek ialah secondness, dan interpretant ialah thirdness.

            Sebagai tanda yang pertama, representamen juga seperti interpretant kerana representamen membawa interpretant pada objek tertentu sehingga terbentuk sebuah hubungan yang berkesan, dan menjadi objek tertentu itu dapat diterima dan dijadikan dasar perilaku atau peraturan yang tertentu  dengan tanda dapat berfungsi pada sesuatu kejadian (Paul Cobley dan Litza Jansz 2002: 29). Dengan erti kata lain, repsentamen atau tanda ialah benda yang mewakilli benda lain: Objeknya.

            Sebelum sesuatu itu muncul sebagai repsentamen, ia merupakan firstness. Oleh sebab itu, representamen  dapat menjadi qualisign (firstness), iaitu kualiti yang berfungsi sebagai tanda, sinsign (secondness), benda atau perkara yang khusus dalam ruang sementara yang berfungsi sebagai tanda, dan legisign (thirdness), yang merupakan tanda yang konvensional.

            Awalan quali dalam qualisign ialah kualiti yang berfungsi sebagai tanda. Dalam firstness, warna tidak muncul sebagai qualisign kerana warna hanyalah kualiti semula jadi. Akan tetapi, agar warna dapat berfungsi sebagai tanda, maka warna haruslah ditanamkan atau tertanam dalam sesuatu. Oleh itu, qualisign ialah tanda yang berdasarkan sifat (Aart van Zoest, 1993: 19) atau kualiti.

            Beraneka jenis warna yang kita dapat lihat dalam kehidupan ini. Daun – daun berwarna hijau, kuning, dan perang. Bunga dengan pelbagai jenis  warna kembang – merah, putih, ros, kuning, biru dan unggu. Buah – buahan juga masak dengan warna merah dan kuning. Laut biru. Awam hitam tatkala mendung dan putih tatkala cerah.

            Gambaran ringkas tentang unsur – unsur alam tersebut sudah mencukupi untuk kita mengatakan bahawa dunia dan kehidupan ini sebenarnya penuh warna-warni. Untuk kita mengatakan tidak ada warna pun kita mesti menyebut warna juga. Akan tetapi semua warna yang kita sebut itu muncul sebagi tanda kerana warna – warna tersebut telah tertanam  atau ditanam dalam sesuatu – dalam daun, bunga, buah, laut dan awan. Semuanya ialah qualisign – tanda yang berdasarkan kualiti.

            Awalan sin pada sinsign ialah singular dan sinsign ialah tanda yang berdasarkan kemunculannya pada kenyataan atau tanda yang berupa-pernyataan individu (Aart van Zoest, 1993: 18-19).

            Setiap individu mempunyai caranya yanga tersendiri untuk menyatakan kehadirannya atau untuk menyatakan sesuatu. Sewaktu beberapa orang sedang mengatai diri seseorang, maka seseorang itu datang. Mereka menyedari kedatangannya. Dia terdengar mereka mengatainya. Untuk menyatakan kehadirannya pada waktu mereka mengatainya, dia berdehem. Dehemnya itu ialah sinsignnya – pernyataan dirinya: kehadirannya dan berhentilah mengatainya!

            Kita dapat menyebut sejumlah sinsign yang lain sebagai tanda pernyataan  individu. Cara jeritan individu juga sinsign kerana setiap nada jeritannya itu merupakan pernyataan dirinya: Meminta pertolongan, terkejut, gembira, takut, kagum, dan sebagainya.

            Sikap individu juga ialah sinsingn kerana sikap merupakan pernyataan dirinya:  Marah, sabar, benci, rindu takut, berani  dan sebagainya.

            Dunia kesusteraan Melayu moden menyajikan kepada pembaca karya kreatif, imaginatif  yang tinggi dan rendah mutunya. Puisi, cerpen, novel dan drama ialah ciptaan individu yang dapat diteliti mutunya, setiap karya itu merupakan sinsign penyair/pengarangnya.

            Jika kita mencari kovensi sastera dalam puisi seseorang penyair mapan, sukar untuk kita temukan metafora klise seperti “buah hati” kerana penyair sering mencipta metafora baru dan asli.

            Judul – judul juga merupakan sinsign kepada novelis. Saudagar Besar dari Kuala Lumpur ialah sinsign kepada Keris Mas, Hari – hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto ialah sinsign kepada Anwar Ridhwan. Ranjau Sepanjang Jalan ialah sinsign kepada Shahnon Ahmad dan Salina ialah sinsign kepada A. Samad Said. 

            Malah pantun juga merupakan sinsign kepada pemantunnya – pernyataan dirinya dalam menyatakan sesuatu, seperti yang diungkapkan pemantun dalam pantun. 

            Awalan Lex dalam legisign ialah hukum dan peraturan yang berlaku secara umum, sebuah konvensi dan sebuah kod. Oleh itu legisign mengimplikasikan sebuah singsign, sebuah second yang mengkaitkannya dengan sebuah third (Aart van Zoest, 1993: 18-20).

            Bahasa ialah contoh yang terbaik untuk legisign. Setiap bahasa bagi sesuatu bangsa itu memiliki hukum dan peraturan yang berlaku secara umum, sebuah kod dan sebuah kovensi. 

Oleh itu, bangsa yang berkomunikasi dalam bahasanya memahami setiap tanda dalam bahasanya kerana tanda tersebut telah terlebih dahulu berada dalam fikirannya. Tanda tersebut telah diiktirafkan dan diamalkan secara meluas dalam lingkungan masyarakat dan budayanya.

            Sebagai legisign, bahasa juga mengaplikasikan sebuah sinsign, iaitu sebuah second yang mengkaitkannya dengan sebuah third. Metafora klise atau sering disebut sebagi simpulan bahasa “buah hati” yang telah disebut sepintas lalu dalam penjelasan tentang sinsign, sebenarnya ialah legisign kerana “buah hati” telah menjadi hukum peraturan berlaku  secara umum, sesebuah kod dan kovensi yang menjadi milik masyarakat Melayu secara keselurahannya.

            Walau bagaimanapun, “buah hati” seperti khazanah simpulan bahasa yang lain juga – “anak emas”, “ayam tambatan”, “buaya darat”, “kaki bangku” dan “telinga kuali” antaranya – tetap mengimplikasikan sebuah sinsign, sebuah second kerana setiap simpulan bahasa itu mestilah bermula daripada individu yang mengunakannya. Hanya tidak mungkin kita akan menemukan pencipta simpulan bahasa kerana zaman telah melenyapkan penciptanya.

            Simpulan bahasa berkembang daripada sinsign, iaitu sebuah third yang mengimplikasikan sebuah second. Tetapi sinsign sebenarnya berkembang kepada legisign, iaitu sebuah second yang telah menjadi sebuah third. Simpulan bahasa “buah hati” pada mulanya ialah perbuatan individu. Oleh itu, ia merupakan sinsign, sebuah second. Kemudian masyarakat Melayu secara umumnya telah menerima simpulan bahasa tersebut dan digunakan secara meluas. Maka simpulan bahasa tersebut telah berkembang kepada legisign sebuah third.
           

Aart van Zoest (1993: 23) menggunakan istilah denotatum bagi menggantikan objek. Objek juga mencakupi lingkungan yang luas. Berdasarkan penjelasan Aart van Zoest, Objek dapat dikatakan  sebagai sesuatu yang konkrit, yang abstrak, yang dapat difikirkan, peristiwa, benda dan sebagainya.

            Pelbagai  jenis tanda tersebut dikategorikan oleh Peirce ke dalam tiga jenis, iaitu ikon, indeks dan simbol.  

            Puji Santosa (1993: 10) mengatakan ikon ialah suatu yang melaksanakan fungsi sebagai penanda yang serupa dengan bentuk objeknya. Dengan erti kata lain, Ikon ialah tanda yang merujuk pada objeknya berdasarkan keserupaan.

            Sesetengah pengkaji menggunakan perkataan persamaan, kemiripan, kesepadanan dan hubungan yang bersifat alamiah bagi menggantikan keserupaan antara penanda dengan bentuk objeknya itu. Pemilihan tersebut tidak lebih daripada sinonim sahaja.

            Ikon, seperti qualisign, ialah sebuah first. Pemahaman tentang ikon akan lebih jelas dengan melihat beberapa contoh.

            Gambar P.Ramlee ialah tanda yang merujuk kepada P.Ramlee. Lukisan yang menggambarkan keindahan perkampungan Melayu tanda yang merujuk pada kampung Melayu. Peta Terangganu ialah tanda yang merujuk pada tempat – tempat  yang terdapat di terangganu. Ukiran yang menyerupai seekor burung helang, seperti yang terdapat di kuah, Langkawi ialah tanda yang merujuk pada burung helang.

            Hubungan tanda dengan objek seperti yang telah diberikan itu bukanlah hubungan yang bersifat rujukan sahaja antara tanda dengan objeknya, tetapi yang lebih penting ialah tanda itu sebenarnya telah menjalankan fungsi sebagaimana objeknya.

            Menurut Aart van Zoest (1993: 27), ikon memang mempunyai daya pikat, kerana daya pikatlah maka iklan banyak menggunakan ikon. Begitu juga dalam politik, ikon aktor politik sering ditampilkan dalam media, terpampang dengan banyaknya pada poster pada musim pilihan raya dalam kawasannya untuk tujuan memikat undi.

            Ikon menjanjikan kenikmatan estetika dan keghairahan, kata Aart van Zeoest (1993: 27) lagi – dan kita dapat menambahnya dengan mengatakan selagi seseorang menyukai ikon tersebut.

            Indeks ialah tanda yang merujuk pada denotatum (Aart van Zoest, 1993: 24), iaitu tanda merupakan pada objeknya. Indeks juga ialah tanda yang menunjukkan kaitan antara penyakit dengan gejalanya kerana ia merupakan fenomena sains, iaitu sains perubatan (Mana Sikana, 1998: 183).

            Indeks, seperti juga sinsign, sebuah second. Indeks, antaranya dapat dikategorikan sebagai tanda yang  berdasarkan sebab akibat, gejala signal, yang menunjukan arah, peribadi dan perasaan.

            Indeks sebab akibat sering dianggap sebagi tanda yang benar dan konkrik. Manusia dalam kehidupannya, sebahagiannya berfikir dan berperasaan dalam tanda indeks. Seseorang yang melihat kepulan asap di udara, secara spontan mengetahui bahawa ada sesuatu yang telah terbakar, atau api telah membakar sesuatu, asapnya telah menjadi tanda pada objeknya, iaitu api.

            Terdapat beberapa contoh indeks yang berupa signal. Ketukkan pintu, bunyi tapak kaki, siren ambulan dan deringan telefon ialah indeks dalam kategori signal.

            Ketukkan di pintu ialah signal bahawa seseorang telah datang ke rumah kita. Bunyi tapak kaki ialah signal bahawa ada seseorang yang sedang berjalan. Bunyi siren ambulan ialah signal bahawa ada orang yang sedang sakit dalam ambulan itu yang dikejarkan ke hospital atau ambulan itu dalam perjalanan untuk mengambil orang sakit kerana kemalangan dan sebagainya. Deringan telefon di pejabat atau telefon bimbit ialah signal bahawa seseorang sedang menelefon kita. 

            Simbol ialah tanda yang arbitrary dan konvensional (Dani R. Hasanudin dan Tedi Ruhiyat, 2006: 94).

            Simbol dikatakan sebagai tanda yang arbitrary kerana simbol muncul secara sewenang – wenangnya dan berdasarkan sesuka hati sesuatu masyarakat  itu. Dengan erti kata lain, pada simbol tidak terdapat asas yang berdasarkan pemikiran dan pertimbangan untuk menamakan sesuatu itu sebagai tanda. Konvensional kerana secara konvensional suatu simbol itu telah diterima dan digunakan secara meluas dengan pengertian yang sama dalam sesuatu masyarakat itu. Simbol seperti  juga legisign, merupakan sebuah third.

            Simbol mestilah dipelajari. Setiap individu mempelajari simbol dan makna dalam masyarakat dan budayanya. Pembelajaran itu berlaku secara langsung dan tidak langsung. sewaktu usia kecilnya.

Secara tidak langsung, Individu mempelajari simbol sewaktu usinya kecilnya. Ibu bapa dan orang  terdekat dengan mula mengajarkan simbol kepadanya. Sewaktu bermain dia mula mempelajari simbol dari rakan – rakannya. Apabila usahanya meningkat dia mempelajari simbol dari masyarakat dan perjalanan hidupnya. Simbol memperkaya pemikiran dan pengalaman hidupnya.

            Secara langsung, sekolah menjadi tempat formal untuk guru – guru memindahkan  simbol dalam minda pelajar. Guru bahasa melayu menggunakan simbol untuk mengajar para pelajar tentang hukum – hakam bahasa. Guru kajian tempatan menggunakan simbol untuk mengajari para pelajar tentang kesesuaian tanah dengan tanaman di Malaysia, antaranya.

            Aart vanzoest (1993: 78) telah melihat betapa pentingnya peranan simbol dalam karya sastera. Menurutnya, “dengan memasukkan simbol baru ke dalam sastera, para simbolis memperluas kemungkinan penggunaan bahasa puitis.”

            Simbol – daripada kemunculannya – kelihatan lebih banyak digunakan dalam pembicaraan ilmu. Simbol adalah ilmu.

            Dalam karya – karya sastera, ilmu disajikan secara denotasi dan konotasi, malah, simbol yang menyirat makna konotasi sangat penting dalam meningkatkan mutu karya sastera.

            Disiplin ilmu yang lain menolak konotasi. Konotasi menimbulkan ketaksaan atau ambiguiti. Makna menjadi kabur dan tidak jelas pada konotasi. Undang – undang, sains perubatan, sains computer, geologi, dan sebagainya lagi ialah disiplin ilmu  yang meminggirkan konotasi dan mementingkan denotasi.

            Simbol yang bersifat local, iaitu bahasa sebagai simbol dalam karya sastera dan disiplin ilmu yang lain telah dipaparkan. Akan tetapi, simbol yang bersifat universal tidak harus dilupakan juga. Simbol ini dapat difahami dengan fahaman yang sama dalam lingkungan besar masyarakat dunia. 

            Lampu isyarat sering menjadi contoh popular dalam menjelaskan simbol universal. Simbol hijau, kuning dan merah telah difahami pengguna jalan raya di seluruh dunia dan dengan penuh yakin mereka yang berdisplin mematuhi simbol yang muncul dalam bentuk warna itu pada lampu isyarat.

            Simbol ialah tanda yang meyakinkan, kata Aart van Zoest (1993: 27) dan dengan pasti dia mengatakan bahawa simbol lebih banyak dalam laporan dingin dan dalam ilmu. Tambah Aart van Zoest (1993: 11) lagi, Simbol menyebabkan kita memperoleh kepuasan intelek.

             Pierce memaksudkan interpretant sebagai tanda yang telah pun berada dalam minda seseorang  dan sebaik sahaja seseorang melihat sesuatu tanda, maka seseorang  telah mengenal pasti tanda itu dengan nilai sama yang ditunjukkan oleh tanda itu atau nilainya berkembang lebih jauh lagi dalam minda seseorang itu. (Aart van Zoest, 1993: 28)

            Oleh sebab interpretant ialah hasil interpretasi, maka Kris Budiman (1999: 51) mengatakan sering kali kita menginterpretasikan sebuah ikon melalui simbol atau simbol melaui ikon.
      
      Interpretant tidak dapat dipisahkan daripada representemen dan objek yang membentuk triadik. Dalam interpretant terdapat juga tiga jenis tanda rheme, discisign dan argument.
           
Paul Cobley dan Litza Jansz (2002: 34) mengatakan rheme ialah tanda kemungkinan dan Alex Sobur M. Si (2003: 42) mengatakan bahawa rheme memungkinkan seseorang menginterpretasikan sesuatu kerana pilihannya sahaja.

Kedua-dua kenyataan daripada kedua-dua orang peneliti simeotik Peirce ini memperlihatkan bahawa rheme ialah tanda yang memungkinkan sesuatu interpretant itu terjadi.

            Dalam menjalani kehidupan , kita tidak terlepas daripada berfikir dalam tanda rheme. Seseorang yang bersahabat dengan kita,  tiba-tiba mula menjauhkan dirinya daripada kita memungkinkan kita mengagakkannya dengan beberapa kemungkinan.

Kemungkinan dia tidak mahu berkawan  dengan kita lagi kerana dia telah berkecil hati dengan kita. Kemungkinan seseorang itu telah memburukkan kita kepadanya sehingga menjadikan dia membenci kita. Di samping itu, tentulah terdapat beberapa kemungkinan lain lagi. Kemungkinan – kemungkinan itu bermain – main dalam fikiran kita.

            Jika kita memilih salah satu kemungkinan itu dan ditafsirkannya, maka pilihan itu hanyalah berdasarkan rheme.
           
Discent Sign tanda yang sesuai dengan fakta (Paul Cobeley dan Litza Jansz, 2002: 34), iaitu tanda yang memberi maklumat tentang sesuatu (Alex Sobur M.Si 2003: 42). Discent sign  ialah tanda yang menampilkan sesuatu kenyataan bagi sesuatu perkara
       
     Dalam kehidupan kita setiap hari, discent sign muncul dalam pelbagai bentuk. Terdapat discent sign yang berbentuk larangan, seperti penjual barangan langsung di larang masuk ke sesebuah pejabat. Penggunaan perpustakaan dilarang bising dalam perpustakaan dan sebagainya. Discent sign memberi keterangn untuk kita menyampaikan gambaran mental kita.

Argument ialah tanda yang merupakan penilaian seseorang terhadap sesuatu dan penilaian itu mempunyai kebenarannya (Alex Sobur m.s 2003: 43) Oleh itu argument ialah tanda yang memberi  alasan tentang sesuatu perkara itu berlaku berdasarkan bukti yang lengkap.

Begitulah serba sedikit perkenalan teori Simeotik yang diperkenalkan oleh Peirce.  Kembali semula kepada naskhah ‘Aku Ingin Jadi peluru’ oleh Wiji Thukul.  Umum mengetahui peluru itu bersifat mencederakan dan membunuh, begitulah jika ia ditafsir secara denotasi (eksplisit; dinyatakan dengan tepat dan jelas, tanpa dikias-kias, tersurat).
  
Tetapi pada sudut konotatif (implisit; dinyatakan secara tidak langsung atau tidak terang – terangan, tersirat.) ia juga merupakan pertahanan dari ancaman dalam erti kata lain ia merujuk kepada pembelaan. Kita ambil contoh sajak beliau yang berjudul “Nyanyian Akar Rumput” :

jalan raya dilebarkan
kami terusir
mendirikan kampung
digusur
kami pindah – pindah
menempel di tembok – tembok
dicabut
terbuang
kami rumput
butuh tanah
dengar!
Ayo gabung ke kami
Biar jadi mimpi buruk presiden!

(m/s17; Aku Ingin jadi Peluru)


Pada  sajak “Nyanyian Akar Rumput” kita dapat melihat bagaimana Wiji Thukul menjadi peluru dan sajak menjadi setenggar (senjata api), manakala sasarannya pula ialah presiden.

Apabila kita singkap secara menyeluruh, sajak ini menceritakan tentang kaum kecil yang terusir akibat pembangunan yang tidak terancang. Pada pengakhiran sajak ini, Wiji Thukul mengajak kaum – kaum yang tertindas ini untuk berdemonstrasi.

Apabila kita menyelam ke struktur konotasinya,  “
jalan raya dilebarkan, kami terusir...” merujuk pada golongan gelandangan. “mendirikan kampung, digusir, kami dipindah – pindahkan...” boleh dirujuk pada penempatan setinggan. Manakala “menempel – nempel di tembok, dicabut, terbuang...”  merujuk pada golongan pengemis.

 Ketiga – tiga kelompok ini merupakan golongan yang dipinggirkan oleh kerajaan atau pun penguasa.  Kemelaratan  mereka tidak diendahkan malah ditindas. Sebagai peluru Wiji Thukul memainkan peranannya sebagai pembela kepada golongan yang tertindas serta mengajak kelompok itu agar turut serta bersama dengannya.

Pemaknaan simbol dalam sajak ‘Nyanyian Akar Rumput’ ialah judul sajak ini. Di mana perkataan ‘nyanyian’ itu ialah indeks, manakala yang menjadi ikon ialah akar rumput. Dalam pengkajian permaknaan sajak atau puisi Wiji Thukul, ia memerlukan tautan antara perkataan yang terbina untuk mencari maksud sebenar. Jika tidak, sebagai pembaca kita cuma mengamati denotasinya sahaja.

Akar Rumput disimbolkan sebagai golongan yang tertindas, manakala yang menjadi ikon ialah ‘presiden’ dan selebihnya ialah indeks yang membawa makna konkrit. Biarpun  begitu terdapat juga perkataan yang dapat di bedah dari segi konsep permaknaannya. Sebagai contoh :

 “kami rumput, butuh tanah...” dapat disimbolkan dengan keperluan, tempat tinggal dan sebagainya. Dan pada baris inilah merupakan titik klimaks sajak ‘Nyanyian Akar Rumput’. Oleh kerana Wiji thukul  ingin menjadi peluru, maka sajaknya telah menembak presiden agar mengalami mimpi buruk. Sebagai peluru Wiji cenderung kepada pembelaan.

Dalam sajak yang berjudul ‘Puisi Sikap’ Wiji telah melontarkan protes kepada penguasa. Beliau telah menyampaikan dengan tegas dan jelas dari hati seorang kaum kecil. Hal ini dapat kita perlihatkan pada baris :
....setelah kehidupan ini
maka akan kuceritakan kepada semua mahkluk
bahwa sepanjang umurku dulu
telah kuletakkan rasa takut itu pada tumitku
dan kuhabiskan hidupku
untuk menentangmu
hey penguasa zalim.
(m/s: 73; Aku Ingin Jadi Peluru)

Sajak ini bersifat secara langsung dan telus tanpa meletakkan pemaknaan yang sarat. Pembaca juga mudah untuk memahami isi yang tersirat.  Pada awal rangkap sajak ini Wiji memperlihatkan kepada pembaca sikap penguasa yang hanya mahu bercerita tetapi tidak mahu mendengar. Dalam erti kata lain hanya tahu memerintah tetapi tidak mahu menerima nasihat. Walaupun pihak penguasa mempunyai angkatan tentera yang hebat, tidak sedikit pun rasa gentar terpalit di dadanya kerana rasa takut itu telah diletakkan pada tumitnya.


“Telah kuletakkan rasa takut itu pada tumitku”. Rasa takut yang diletakkan pada tumit kaki itu adalah simbol kepada keberanian yang menyifatkan dirinya sebagai peluru untuk menentang kezaliman.  Pada baris sajak ‘Puisi Sikap’ kita dapat amati bagaimana beliau meletakkan semangat perjuangan. Secara tidak langsung ia adalah gambaran diri beliau.

Kita susuri pula sajak yang berikutnya iaitu ‘Kucing, Ikan Asin dan Aku’. Puisi  ini menceritakan keprihatinannya terhadap sesekor kucing. Keseluruhan sajak ini menggambarkan nasib beliau dan kucing tersebut adalah sama, kurus dan  kelaparan oleh  itu kedua – duanya memerlukan makanan. Biar pun sajak  ini kelihatan seakan ringan tetapi mempunyai makna tersirat yang mendalam.

“seekor kucing kurus
menggondol ikan asin
laukku untuk siang ini
aku meloncat
kuraih pisau
biar kubacok dia
biar mampus!
Ia tidak lari
tapi mendongak
menatapku
tajam
mendadak
lunglai tanganku
-aku melihat diriku sendiri
lalu kami berhahagi
ku beri ia kepalanya
(batal nyawa melayang)
aku hidup
ia hidup
kami sama – sama makan”
(m/s:67; Aku Ingin Jadi Peluru)

Awalan baris sajak ini kelihatan Wiji memberontak apabila haknya dicuri. Namun setelah disedari bahaya yang mencuri haknya itu lebih derita darinya, maka ia sanggup berkongsi. Tiadalah berlaku kematian. Sajak ini lebih menyatakan kasih sayang antara sesama kehidupan.

Watak Aku dan Kucing dalam puisi ‘Kucing, Ikan Asin dan Aku” memainkan peranan dalam penggerak kepada penghayatan yang meletakkan makna. Ikan Asin merupakan ikon kerana ia mempunyai qualisingn yang secara tidak lansung menjadi simbol sehingga ia menjadi perebutan antara watak Aku dan Kucing malah hampir membunuh. Namun atas persefahaman yang lahir dari hati nurani seorang insan. Maka watak Aku sanggup berkongsi makanan dengan watak Kucing. Ini kita dapat lihat pada penghujung sajak iaitu :
                                   
“... lalu kami berhahagi
ku beri ia kepalanya
(batal nyawa melayang)
aku hidup
ia hidup
kami sama-sama makan”
(m/s:67; Aku Ingin Jadi Peluru)

Seterusnya mari kita lihat pula puisi ‘Bukan Kata Baru’ puisi  ini menceritakan tentang bagaimana kehidupan seorang buruh yang diperas oleh kapitalis (kaum pemodal). Saat mereka menyuarakan kata hati (mengadakan demonstrasi) kaum pemodal segara meminta bantuan pihak militer atau tentera sehingga membuatkan kelompok ini menjadi terbungkam (terdiam). Mereka tidak dapat menuntut hak mereka malahan makin ditindas. Sebagai peluru, Wiji tentunya tidak akan berdiam diri. Dia lebih rela bertarung dari duduk berdiam diri.



Apa yang dapat kita simpulkan di sini Kumpulan puisi ‘ Aku Ingin Menjadi Peluru” telah menyentuh aspek dalam mengajak pembaca terus bersemangat untuk berjuang dalam menentang penindasan yang dilakukan oleh penguasa – penguasa yang terdiri dari kaum pemodal serta badan kerajaan. Puisi – puisinya telah meninggalkan makna yang tersurat serta tersirat. Selain itu Wiji Thukul juga turut menyertakan puisi yang bersifat kemasyarakatan serta pengalaman hidup beliau dalam naskah ini. Dengan menyifatkan dirinya sebagai peluru, puisi sebagai setinggar, pembacalah yang menarik picu untuk melayangkan peluru ke sasarannya.  


Bibliografi : 1. Mohamad Shahidan, Semiotik Peirce Penandaan dan Pemaknaan 2009: Quest Ahead Sdn Bhd. 2. Dinsman, Wacana Budaya Berdakwah sana-sini, tetapi…Harakah 2012.
3. Wiji Thukul, Aku Ingin Jadi Peluru 2004: Indonesia-TERA.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk