Langkau ke kandungan utama

Review Buku : Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri, karangan Za’ba.


Oleh: Mohamed Rozaidy

Aku percaya membaca itu untuk mencari makna, aku percaya membaca itu untuk membuka minda.

Pertama kali aku melihat kulit buku ini beserta penulisnya yang merupakan seorang tokoh yang digelar pendeta, aku mula bertarung dengan kata-kata yang dipilih untuk dijadikan tajuk buku ini. Sama ada buku ini akan menceritakan berkenaan perangai seseorang yang dipengaruhi oleh dirinya sendiri atau buku ini sebenarnya ingin mengulas berkenaan perangai seseorang yang suka bergantung kepada dirinya sendiri (tidak bergantung kepada orang lain dalam melakukan sesuatu). Setelah selesai membaca, maka aku katakan definisi kedua itu lebih tepat dalam konteks penghuraian daripada penulis.

Antara perkara yang mengecewakan aku tentang buku ini ialah aku terpaksa membaca dahulu pengenalan yang ditulis oleh Asmah Haji Omar. Pengenalan ini seolah-olah cuba merumuskan intipati buku ini yang sebenarnya membuatkan aku tidak puas hati. Sesuatu buku itu cukup sekadar diletakkan prakata sebagai pembuka selera pembaca. Tidak perlu berceloteh panjang lebar atau membuat rumusan di awal buku, itu pendapatku.

Untuk mengulas berkenaan buku ini, aku memilih untuk menumpukan kepada beberapa perkara yang berkisar berkenaan intipati penting buku ini.

1. Kritikan kepada orang Melayu yang kebanyakannya selalu berharap kepada orang lain dalam mengerjakan sesuatu.
2. Teguran kepada penuntut ilmu yang taqlid buta (mengikut secara buta tuli) tanpa dipersoalkan dahulu ilmu yang dituntut itu.
3. Peringkat manusia mencapai kesempurnaan.
4. Kepentingan ‘faham’ dalam perbuatan.
5. Keistimewaan buku ini.

Pertama, kritikan kepada orang Melayu ini disampaikan dengan kiasan tetapi mesej yang cuba disampaikan berkait rapat dengan kerja buat orang Melayu pada tiap-tiap hari. Contohnya, sikap ibu bapa orang Melayu yang ingin menumpang kesenangan anak-anak, turut ditegur dalam buku ini melalui kata-kata orang tua-tua: “Berharap kepada anak, buta mata sebelah; Berharap kepada orang, buta mata keduanya.” (halaman 6)

Kedua, Pendeta Za’ba kelihatan menegur tajam sikap orang Melayu yang hanya menurut sahaja amalan-amalan yang dikerjakan oleh orang tua-tua dahulu tanpa ditimbang dahulu rasionalnya, baik buruknya melainkan diikut sahaja bulat-bulat. Dapat dilihat bahasa yang digunakan ketika mengulas fenomena ini amat tajam dan direct. Penggunaan akal dalam meneliti sesuatu perkara sebelum diikut dan penggunaan akal dalam mengkaji ilmu-ilmu yang terdahulu samada ianya betul atau salah juga diselit kepentingannya dalam kritikan di bawah poin yang kedua ini. “Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan pengetahuan sendiri menguji benar salahnya. Kerana sesungguhnya perbuatan demikian itulah yang dikatakan bertaklid buta.” (halaman 32)

Di bawah kibaran poin yang ketiga, penulis memberikan tingkatan kebajikan dan tingkatan kejahatan yang masing-masing terbahagi kepada tiga peringkat (3 kebaikan dan 3 kejahatan). Apa yang menakjubkan aku ialah pada ketika membicarakan berkenaan hal ini, Pendeta Za’ba memberi satu perkaitan bahawa meninggalkan 3 peringkat kejahatan dan mendaki 3 peringkat kebaikan itu sebenarnya membawa kepada tahap kesempurnaan seorang insan persis seperti penciptaan alam yang mengambil tempoh 6 masa (3+3 = 6). “Maka iaitu bersetujulah dengan suatu peraturan undang-undang alam yang masyhur yang menetapkan tiap-tiap suatu mesti melalui enam peringkat dalam perkembangan dan perjalanan kemajuannya sebelum sampai kepada peringkat kesempurnaan yang di atas sekali.” (halaman 89)

Teguran yang besar juga dilakukan pada poin yang keempat iaitu berkenaan betapa orang Melayu hanya mementingkan aspek manfaat sesuatu amalan, perbuatan atau seumpamanya di akhirat semata-mata, dan tidak memfokuskan kepada manfaatnya kepada manusia di dunia. Apabila cara fikir manusia itu mengabaikan salah satu daripada duanya (iaitu dunia dan akhirat), maka keberhasilan dalam menyampaikan manfaat sesuatu kerja buat itu kepada orang ramai akan terhalang. Mungkin perkara itu dibuat sambil lewa tanpa perancangan rapi kerana terlalu mengharap kepada habuan akhirat dan melupakan kepada kesungguhan yang perlu diberikan untuk menjayakan sesuatu di dunia supaya manusia mendapat sedikit sebanyak manfaatnya.

“Tentang adakah atau tidak manfaatnya kitabnya itu kepada orang-orang yang menggunakannya kelak tidaklah dikiranya, hanya yang diharap-harapnya pertolongan kitab itu kepada dirinya sendiri sahaja!” (halaman 111).

Aku tutup review buku ini dengan poin kelima. Di antara keistimewaan buku ini ialah penulis menggunakan rujukan ayat Quran secara terus di samping bait-bait syair Arab untuk menguatkan hujahnya. Pendedahan tentang mazhab-mazhab lain dalam Islam contohnya seperti mazhab zohiri juga dinyatakan bersama beberapa mazhab yang lain dalam usaha menerangkan kepentingan keterbukaan dalam bermazhab. Di antara keistimewaan lain buku ini ialah kritikan yang diberikan adalah berkenaan beberapa aspek yang menjadi amalan utama masyarakat Melayu umumnya, dalam usaha menyedarkan mereka bahawa mereka sedang hanyut dalam kejahilan dan kritikan itu diberikan tanpa menghiraukan pembaca akan terasa hati atau tidak.

Mungkin aku berbeza pendapat dengan penulis dalam soal berharap kepada syafaat Nabi Muhammad S.A.W di akhirat nanti dan beberapa isu yang lain, tetapi, dapat aku katakan, buku setebal 142 muka surat ini sememangnya dapat mengetuk kotak pemikiran supaya akhirnya kita menjadi lebih bersungguh-sungguh dan lebih teliti dalam amalan seharian.

Maka aku ulang kata-kata aku di awal tadi; Aku percaya membaca itu untuk mencari makna, aku percaya membaca itu untuk membuka minda.


Selamat membaca!

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk