Langkau ke kandungan utama

REVIU MUHAMMAD SAW DAN KARL MARX TENTANG MASYARAKAT TANPA KELAS TULISAN MUNIR CHE ANAM


((ELHAM ABDUSSALAM))




            Pembacaan saya bermula pada bulan Ogos 2014 dan berakhir empat bulan setelahnya.  Sudah menjadi kebiasaan untuk saya meletakkan penanda baca/sticky notes pada helaian mukasurat kegemaran yang mengandungi fakta-fakta baru.  Ternyata untuk buku ini saja, lebih 20 penanda baca telah saya buat menunjukkan betapa buku ini sarat dengan topik dan ide-ide kritis yang tidak hanya menghuraikan pemikiran Karl Marx malah menggandingkan doktrin beliau dengan ajaran-ajaran agama langit yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.  Walaupun perbandingan yang dibuat penulis boleh dicabar jika kita turut membaca Kritik Ali Syari'ati terhadap Marxisme, Munir Che Anam berjaya melorongkan sungai pandangan pembaca ke denai yang lain untuk direnungkan.

Sejarah mana-mana agama tauhid pun akan membawa kita kepada periode penentangan antara puak yang lemah dan puak yang kuat.  Agama Hanif misalnya akan membawa kita ke cerita pembakaran Nabi Ibrahim a.s. yang didokong oleh longgokkan kayu api mencekau langit Babilonia hasil kerahan raja maha zalim Namrud bin Kan’aan.  Watak protagonis Nabi Ibrahim a.s. yang dalam perjalanan suci mencari kebenaran yang ditentang oleh Namrud yang antagonistik menjadi lembar inspirasi orang-orang di jalan salik yang berpegang pada kalimah ‘Maqsud ila Allah’.  Agama Islam tampaknya tidak ketinggalan daripada suasana ini apabila Nabi Muhamad SAW di era pre-Islam dan ketika proses Islamisi itu sedang berlaku menampakkan begitu banyak sekali konflik yang melibatkan pertembungan hak kebebasan dan konflik tatanan sosial antara mustadhafin dan mustakbirin.  

Sejarawan Montgomery Watt menceritakan bahawa Makkah semenjak dulu lagi telah menjadi kota penting pada jalur perdagangan internasional.  Berikutan sumber air yang tidak terpadam yakni telaga Zam-Zam dan kelebihan geografikal yang terletak pada pusat lintas perdagangan ke Suriah, Yaman, Thoif dan Najd menjadikan Mekah sebagai kota yang sangat membangun dari segi ekonomi lantas menjadikan orang Arab Quraisy sebagai pelopor ekonomi tersohor pada zaman itu (1).  Kerana sambutan yang sangat menggalakkan di Mekah, praktis riba dan penindasan berleluasa.  Orang-orang kaya memperbudak orang-orang miskin, perempuan sekadar sedap-sedapan dan perhambaan merajalela.  Patricia Crone mempunyai perspektif yang lain tentang kemajuan ekonomi dan politik Mekah pada waktu itu.  Menurut Crone, kemajuan Mekah bersandar pada Kaabah yang ketika itu menjadi pusat penyembahan berhala yang mendapat sambutan raksasa (2).   Menurut Reza Aslan, terdapat 360 berhala tersimpan di dalam dan sekitar kaabah yang diterima sebagai dewa atau tuhan bagi jazirah Arab.  Kaabah turut dianggap sebagai axis mundi bagi alam lantas dianggap sebagai tempat penuh karomah dan ajaib bagi Arab Pagan (3).  Crome menyifatkan kemajuan Mekah adalah kerana Kaabah menjadi tumpuan ibadat dimana para Kahins dan Syeikh mengambil kesempatan atas sambutan ini untuk mengutip wang dan membajak nama sebagai orang suci yang mengawal Kaabah.  Apa pun perspektif tentang kemajuan Mekah pada era itu, kesemuanya menggambarkan pengaruh kapitalisme yang dibawa oleh ‘orang suci’ dan ‘tempat suci’ telah lama ada.  

Kedatangan Muhammad SAW merubah semua ini.  Muhammad SAW datang dengan membawa mesej untuk menghapuskan penimbunan harta, menolak riba, merejam sistem ekonomi yang berat sebelah dan mewujudkan masyarkat egaliter yakni masyarkat tanpa kelas, yang tidak berbeza pada sandaran suku atau warna kulit tapi semata-mata iman teradap Tuhan Taala.   Toha Husayn menulis satu kesimpulan yang menarik: “saya dapat mengatakan dengan suatu keyakinan jika dia berdakwah sebatas hanya masalah keesaan Tuhan tanpa menyerang sistem sosial dan ekonomi, mengabaikan perbedaan yang kuat dan yang lemah, kaya dan miskin, budak dan tuan dan tidak melarang praktik riba, maka suku Quraisy akan senang hati menerimanya” (4)Apa yang dapat difahami, penentangan kafir Quraisy terhadap Islam bukanlah kerana mesej tauhid yang disampaikan (kerana agama Tauhid telah lama bertapak di Mekah melalui agama Hanif dan Nasrani) tetapi kerana Muhammad SAW melaksanakan agama yang bukan sekadar teoritikal dan sembahan semata-mata tetapi praktis dalam erti kata membuang segala bentuk busuk penindasan di sekeliling baginda.  Merenung akan hal ini, tidak pelik untuk saya katakan seandainya Baginda SAW masih ada sekarang pastilah tangan Baginda sendiri yang akan memecahkan tembok-tembok kapitalisme yang sekarang sedang bersarang seperti anai-anai buta di Arab Saudi, malah kaki baginda sendiri lah yang akan memijak Kiub Kaabah yang semata-mata menjadi punca periuk nasi oligarki Saudi.

Arwah Karl Marx muncul berdekad-dekad setelah Muhammad SAW.  Dilahirkan di Jerman dan anak kepada Rabbi Yahudi, Marx sebenarnya terbiasa dengan persekitaran orang-orang yang kuat agama.  Marx berjinak-jinak dengan ide Hegel dan sosialis bawah tanah Perancis setelah berpindah ke Paris.  Ketika di Paris lah Marx mula merasakan kesengsaraan hidup menjadi orang buangan dan banduan.  Penderitaanya terus berlaku apabila dihimpit kemiskinan setelah berpindah ke London.  Sepanjang hidupnya yang gemilang Marx memperhatikan kesengsaraan hidup kaum buruh rentetan Revolusi Perancis 1779 lalu bergabung dengan Engels pada 1848 dan menerbitkan The Communist Manifesto.  Setelah kematiannya, Sidney Hook mencatatkan tiga impak besar Marx yang mempengaruhi masyarakat iaitu Materialisme Historis, teori perjuangan kelas dan teori nilai/teori nilai lebih.

Sosialisme dalam Islam dan Sosialisme Barat

Saya pernah ditanya oleh professor di universiti tentang apakah komunisme dan sosialisme?  Saya memberi jawapan yang mudah bahawa komunisme adalah gerakan berbasis politik yang memperjuangkan konsep sosialisme dengan radikal sedangkan sosialisme telah ada sebelum komunisme (gerakan London Owenite sebagai contoh).  Sosialisme adalah pokok yang terbahagi kepada banyak cabang dan sosialisme itu sendiri anti kepada radikalisme yang tidak berperikemanusiaan seperti Komunisme ala Stalin dan corak pemerintahan Khrushchev dalam Soviet Union ketika Perang Dingin.  Mesej utama sosialisme, menurut saya adalah mewujudkan masyarakat tanpa kelas, kesamarataan dari segi status sosial dan dalam dunia sosialisme, tidak ada yang boleh membezakan taraf saya dengan si dia hanya kerana rumah si dia lebih besar dari saya.  Perkara ini saya terjemahkan dengan mudah namun dari sudut akademik boleh dikira sebagai masyarakat egaliter.  Masyarakat egaliter tidak asing dalam Islam.  Islam menggunakan istilah jami’ al tauhid (5), masyarakat yang menyaksikan status Yang Paling Tuan itu hanyalah milik Tuhan melalui kalimah syahadah yang agung TIADA TUHAN SELAIN ALLAH.  Fazlur Rahman menekankan betapa egalitarianisme itu esensi dalam Islam apabila menuliskan:

sejak semula, Islam melalui ajaran prinsip moral dan berlakunya hukum dalam kenyataan, pembaharuan masyarakat merupakan bagian dari inti ajaran islam… Faktor paling fundamenta dan dinamis dari etika sosial dalam Islam adalah egalitarianisme…” (6)

Seterusnya, Mansour Fakih turut pernah menuliskan bahawa Islam pada dasarnya merupakan agama pembebasan umat manusia (7).  Memiliki pendapat yang senada dengan beliau adalah Muhammad Ahmad Khalfallah yang mengemukakan bahawa pada dasarnya Muhammad SAW adalah seorang yang revolusioner dala ucapan dan perbuatannya  Baginda SAW bekerja demi perubahan pada ekonomi dan struktur masyarakat sosial (8). 

Terdapat banyak dalil Qurani yang mencatatkan tentang konsep sosialisme dalam Islam.  Perhatikan suratul Qashash ayat 5:

‘Dan kami hendak memberi kurnia kepada orang yang tertindas di bumi itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi’

Perhatikan juga hadis berikut yang mendokong konsep egalitarianisme, hak buruh dan sosialisme serta menemplak sistem kapitalisme:

Tiga orang yang aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat iaitu orang yang berjanji dengan namaku kemudian ingkar, orang yang menjual orang merdeka yang telah dijadikan hamba kemudian mereka memanfaatkan harganya dan orang yang memperkerjakan buruh lalu tidak menyelesaikan upahnya. (9)

Selari dengan konsep sosialisme Barat yang melarang pemilikan oleh kelompok minoriti masyarakat (yakni kapitalis, baron, tuan tanah, tuan pabrik), Bani Sadr menguraikan bahawa hal sama turut dikongsi dalam Islam.  Menurut beliau, Islam melarang pemilikan secara malkiyatul zar (penindasan) sebaliknya membolehkan pemilikan atas usaha kerja (malkiyatul khas) (10).  Pendapat ini selaras dengan ide Marx bahawa di dalam masyarakat sosialis, pemilikan bersama oleh masyarakat adalah penting hingga tak ada sekelompok yang menghisap kelompok yang lain atau menindas yang lain (11).  Selain dari itu, Islam turut menekankan hak-hak tenaga kerja yang meliputi pemberian gaji pada masa, hak istirehat, hak perlindungan dan hak bekerja sebatas kemampuan sesuai dengan hadis:  mereka hamba kamu adalah saudara yang diamanhkan Allah, maka berilah makanan dan pakaian, dan janganlah memberi pekerjaa yang tidak mampu dikerjakan olehnya, atau jika kamu kehendaki hendaklah kamu membantunya (12).  Hal ini tidak lari dari tujuan produksi dalam masyarakat sosialis yang menjamin kebutuhan pekerja dengan menyempurnakan produksi sosial atas dasar bersama.  Pembahagian tugas dalam masyarakat sosialis dilaksanakan dengan prinsip semua orang bekerja menurut kesanggupannya dan menerima menurut apa yang dikerjakannya. 

Sebagai rujukan, prinsip sosialisme yang terkandung dalam Al-Quran adalah seperti berikut:
1.      Melawan eksploitasi terhadap orang miskin
4:7, 8:39, 4:418, 7:137, 9:103, 22:39, 2:190, 9:36, 2:191, 59:7, 89:6
2.      Menentang monopoli ekonomi
104:6, 7:31, 59:7, 9:34, 2:219, 2:275, 30:39, 104:1, 7:31, 57:7, 51:19, 2:190, 6:142, 10:12, 26:151, 51:34, 42:5, 44:31, 17:16, 28:5, 4:75
3.      Membea kaum mustadhafin
17:16, 28:5, 4:75, 62:2, 22:45, 107:1, 2:264, 42:8
4.      Menegakkan keadilan dan kesamarataan
7:29, 4:135, 5:8, 9:34, 55:8, 11:84, 2:188, 2:275, 2:278

Penolakan Marx terhadap agama: benarkah?

Dalam hidupnya, Marx pernah menulis 8 buah karya dalam bidang falsafah, 8 dalam bidang sejarah dan politik dan 5 karya dalam bidang ekonomi.  Menurut pengamatan saya, Marx hanya pernah menerbitkan hanya satu karya yang menyentuh aspek keagamaan, itu pun tidak secara terus melainkan mengkrtik agama Feurbach yang tidak dapat menyelesaikan permasalahan manusia menerusi Theses on Feurbach pada tahun 1845.  Lalu, adakah benar tokoh yang terkenal dengan frase: religion is the opium of the masses di dalam karyanya yang tak pernah siap iaitu A Contribution to the Critique of Hegel’s Philosophy of Right ini benar-benar menyampaikan risalah anti-agama?

Melihat ke dasar, Karl Marx tidak pernah benar-benar menolak agama, kerana itu saya tidak pernah bersetuju dengan penyataan bahawa setiap komunis semestinya agnostic/atheis (namun, adakah Marx seorang komunis sedangkan sebelum matinya Marx, beliau pernah berkata: aku melihat begitu banyak komunis dan aku tidak tahu apakah aku ini juga komunis).  Sikap Marx teradap agama bertitik tolak dari beberapa hal. Pertama, kerana agama berada di luar batas-batas logika.  Agama tidak dapat difahami semata-mata dengan logika, seperti kata reformis Islam dari India, Allama Iqbal, agama adalah cetusan akal dan irfani. Marx yang terkenal dengan dialektika materialisme tidak dapat menerima konsep yang luar dari batas empiris, kerana perkara-perkara ghaib tidak dapat dibahaskan.  Alasan kedua sikap Marx terhadap agama adalah kerana agama dilihat sebagai candu masyarakat yang disalahfungsikan untuk melestarikan status quo tokoh agama bangsawan bangsat dan mendukung sistem kapitalisme di Eropah.  Menurut Marx, agama dijadikan sebagai alat justifikasi bagi tindakan elitis dan paham kapitalisme yang merenggut leher rakyat.  Melalui agama, kaum tertindas dipaksa untuk bersabar dan redha dengan sistem tidak adil yang lahir dari tangan-tangan manusia sendiri sedangkan kaum-kaum miskin ini mempunyai potensi untuk bangkit dan melawan hegemoni aparat kapitalis, yang dari perjuangan suku proletarian ini akan mewujudkan masyarakat sosialis global.  Agama, menurut pandangan Karl Marx, tidak menjadi agen moral yang aktif malah menjadikan penganut-penganutnya pasif dan anti-revolusioner. 

Mengakhiri catatan saya, ingin saya menitipkan pesan Ali r.a. buat renung-renungan:

“bukan orang yang tertindas, dan bukan penindas
Bantulah orang-orang yang tertindas melawan kaum penindas”

Senarai rujukan:

1.         W. Montgomery Watt, Mohammad At Mecca (1953) Oxford University Press, Hlm. 3
2.         Patricia Crone, Meccan Trade And The Rise Of Islam
3.         Reza Aslan, No God But God (2011) Arrow Books, Hlm 7
4.         Toha Husayn, Al-Fitnah Al-Kubra (1970) Oxford University Press, Hlm 18
5.         Asghar Ali Engineer, Islam And Liberation Theology: Essays On Liberative Elements In Islam (1990) Sterling Publishers Pt Ltd, Hlm 88
6.         Fazlur Rahman, "Islam" dalam The Encyclopedia Britannica Vol Xii, Hlm. 669
7.         Mansour Fakih, Merekonstruksi Realitas Dengan Perspektif Gender Sebuah Pengantar (1997), Sekretariat Bersama Perempuan Yogyakarta, Hlm 1-7
8.         Muhammad Ahmad Khalfallah, Muhammad Wa Quwwa Al Muwadadah (1973), Hlm 113
9.         Hadis Riwayat dari Abu Hurairah, Al-Bukhari, Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-Ijarah, Bab Ismi Man Mana'a Ajr Al-Ajr, Vol Ii, Hlm 68, Hadis Nombor 2270
10.       Abu Hasan Bani Sadr, Islam In Transition (1982), Oxford University Press, Hlm 230
11.       Ken Budhha Kusumandaru, Karl Marx, Revolusi, Hlm 102

12.       Hadis Riwayat Abu Dzar Al-Ghifari, Sahih Bukhari, Kitab Al-Adab, Bab Ma Yunha Min As-Siai’wa Al-La’n, Vol VII, Hlm 85

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk