Langkau ke kandungan utama

Nota Penerbit untuk #BukuHijauUntukPemula


Nota Penerbit

Naskhah asal diterbitkan oleh Biro Rakyat Jamahiriya Rakyat Sosialis Arab Libya dan kembali disalin semula oleh team Republik Buku
Selain penambahan nota editor dan kata pengantar dari Komrad Aaron Dinesh, tulisan dalam Buku Hijau edisi (terjemahan) Biro Rakyat Jamahiriya Rakyat dst ini boleh dikatakan disalin semula secara penuh tanpa apa-apa tokok tambah, melainkan sedikit editan berdasarkan perkembangan Bahasa Melayu moden.
Muammar Gaddafi semasa hidupnya adalah seorang pemimpin Dunia Ketiga yang dikenali. Banyak yang telah dilakukannya semasa beliau hidup, antaranya sektor pendidikan dan kesihatan adalah percuma. Meskipun begitu kematian beliau sangat disesali. Pada hari ini Libya sudah menjadi padang jarak padang tekukur akibat invasi dari musuh hasil campurtangan puak pemberontak. Kami sebagai pihak penerbit tidaklah mengatakan bahawa rejim Gaddafi tidak melakukan apa-apa kesalahan, tetapi menjemput pihak luar untuk datang menyelesaikan permasalahan dalaman bukanlah sebuah keputusan yang bijak. Selain Iraq, Afghanistan, Libya pasca Gaddafi adalah living proof tentang penyataan ini. Bagaimanapun #BukuHijauUntukPemula atau judul asalnya The Green Book ini bukanlah berkisah tentang situasi geopolitik di Libya atau tentang Gaddafi, tetapi adalah tentang idea dan pemikiran Gaddafi yang tertuang ke dalam buku ini.

Dalam Bab Parti, Gaddafi berbeza habis dengan aktivis-aktivis sosialis/marhaenis yang percaya kepada vanguard party. Menurut Soekarno, partilah yang memegang obor, yang berjalan di muka, yang menyuluhi jalan yang gelap dan penuh ranjau-ranjau itu sehingga menjadi jalan yang terang. Partilah yang memimpin massa itu di dalam perjuangannya merebahkan musuh dan memegang komando barisan massa. Partilah yang harus mengasih pencerahan pada pergerakan massa, mengasih kesedaran, mengasih keradikalan.[1]

Sementara Gaddafi yang naik berkuasa melalui cara kudeta, mengatakan “..parti adalah merupakan kabilah atau suku zaman moden. Masyarakat yang diperintah oleh satu parti samalah seperti masyarakat yang diperintah oleh satu kabilah atau suku.”

Tentang Orang Gaji menurut Gaddafi ia adalah Hamba di zaman moden ini. Tidak kira diberi upah atau tidak, mereka tetap hamba. Gaddafi menulis, orang gaji: Mereka ini sama ada bergaji atau tidak adalah tergolong ke dalam salah satu kategori hamba bahkan merekalah sebenarnya hamba pada zaman moden ini. Oleh kerana masyarakat sosialis baru didirikan diatas asas berkongsi dalam hasil pengeluaran dan bukannya berdasarkan upah, maka orang-orang gaji ini tidak tertakluk kepada peraturan semulajadi sosialis, kerana mereka menjalankan khidmat-khidmat umum yang tidak bercorak pengeluaran. Khidmat-khidmat seperti ini tidak mempunyai hasil pengeluaran kebendaan yang boleh dibahagi kepada beberapa habuan mengikut peraturan semulajadi sosialis, oleh yang demikian, orang-orang gaji terpaksa bekerja dengan mendapat upah atau tidak dalam suasana-suasana yang buruk.

Seperti yang disebutkan di atas, bahawa Gaddafi membincangkan banyak isu yang selalu dianggap remeh dan jarang dibincangkan, antaranya yang berkait dengan soal wanita dan anak-anak ialah tentang siapa yang akan menjaganya selepas lahir? Peranan ibu atau pusat asuhan?

Perbuatan memisahkan kanak-kanak dari ibu mereka dan mengumpulkan mereka di taman-taman bimbingan kanak-kanak adalah betul-betul merupakan perbuatan menukarkan mereka kepada sesuatu yang menyerupai anak-anak ayam kerana peranan taman-taman bimbingan itu adalah serupa dengan peranan pusat-pusat projek memelihara ayam di mana dikumpulkan anak-anak ayam sesudah ianya ditetaskan… Adalah tidak sesuai bagi keturunan manusia ini serta tidak layak dengan kemuliaannya melainkan sifat keibuan semulajadi.. dengan pengertian bahawa (kanak-kanak mestilah dipelihara oleh ibunya sendiri)

Teori Gaddafi yang termuat dalam Buku Hijau ini nampaknya tidak persis pemimpin Arab/Islam yang sezaman dengan beliau. Gaddafi tidak banyak atau tidak mengutip barang sebaris pun ayat Al-Qur’an atau hadith Nabi untuk menjustifikasikan teorinya tidak seperti Khomeini/Syari’ati di Iran bahkan Hassan Al-Banna/Syed Qutb-Ikhwanul Muslimin di Mesir. Beliau sedaya upaya mengerahkan kekuatan fikrahnya untuk mencari sendiri apa yang sesuai dan perlu disesuaikan dengan situasi semasa. Dalam ertikata lain, jika ada pandangan mengatakan bahawa Gaddafi juga adalah pelopor Sosialisme Islam, “Sosialisme-Islam” versi Gaddafi adalah tidak sama dengan “Sosialisme-Islam” yang diusung oleh Khomeini, Syari’ati, Sibaie, Alatas bahkan Tjokroaminoto sekalipun. Gaddafi membuat versinya sendiri.

Nyatanya Gaddafi mempunyai teori sosialismenya yang tersendiri yang cuba dibezakan dengan teori-teori sosialisme arus perdana. Ia seperti Soekarno yang menuliskan teori NASAKOM, juga seperti Jalal Ali Ahmad seorang pemikir Iran yang mahu rakyat Dunia Ketiga kembali kepada akar tradisi dengan bukunya Occidentosis juga Buku Hijau ini seperti gagasan Frantz Fanon dalam banyak bukunya yang ditulis.

Seteruk-teruk Gaddafi atau sediktator-diktator Gaddafi, seperti disebutkan di permulaan nota ini, beliau telah banyak memberi faedah kepada rakyatnya. Buku Hijaunya meski bukan kitab suci, tetapi pendidikan dan percuma telahpun terealisasi dalam praktik politiknya sewaktu beliau memerintah. Ia tidak langsung boleh dikatakan sekadar retorik seperti yang dilakukan oleh kebanyakan politikus terutama di Malaysia yang banyak mencuri idiom-idiom sosialis tetapi apabila sudah sampai ke tampuk kuasa, mereka tidak melakukannya bahkan lebih teruk lagi dari rejim sebelum ini. Buku Hijau yang dikarang ‘sang diktator’ ini nampaknya boleh dikatakan lebih mulia dari sebarang manifesto yang diluncurkan oleh mana-mana kaum ‘demokrat’ yang tidak menunaikan janji.

Moga kita yang masih hidup dapat memanfaatkan buku yang ditulis oleh beliau yang sudah pergi, dan mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Libya.

Selamat membaca!


[1] Soekarno, Perempuan & Revolusi: Sebuah Biografi Politik dan Intelektual, Ashad Kusuma Djaya, terbitan Kreasi Wacana, ms 236.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk