Langkau ke kandungan utama

Kata Pengantar Komrad Aaron untuk #BukuHijauUntukPemula



Kata Pengantar
Komrad Aaron Dinesh,
Bekas Angkatan Rakyat Muda, Parti Rakyat Malaysia.

Setelah lama tidak diterbitkan, Buku Hijau selama ini telah menjadi sebuah artifak sejarah suatu zaman (tepatnya 28 tahun yang lalu) di mana ramai anak-anak muda yang gemar mempelajari Falsafah Politik dan Ideologi belum lahir. Zaman itu adalah Perang Dingin, dan banyak hal yang kita lihat sekarang di dunia adalah hasil bentukan dan perkembangan dari satu pertentangan yang penuh dengan debat, perisikan (espionage) dan perang proxi. Hitam dan Putih itu adalah standar/orde (trend politik antarabangsa) yang kita perlihatkan dan persoalan ‘Siapakah yang anda harus memihak?’ menjadi penentu kelangsungan dan kemapanan sesebuah negara. Dunia politik moden pada masa itu seperti sebuah papan catur yang luas dan tidak boleh lari dari hitam dan putih ini (Dunia sekarang hampir sama cuma pemainnya sahaja yang berbeza). Tetapi kita harus tahu bahawa tidak semua adalah hitam dan putih, sebenarnya banyak tokoh pemikir dan pemimpin ketika itu yang ingin memilih jalan yang lain dengan cara ‘Mendapat yang terbaik di antara kedua-duanya’, atau ‘menolak terus bahagian atau unsur kedua-duanya’ dan menciptakan sesuatu yang sesuai dan relevan dalam pembangunan masyarakatnya.

Buku Hijau menjadi satu contoh (atau kelainan) di zaman itu yang juga merupakan sebuah medan perang Idea, bahawa seorang sosok (Muammar Gaddafi) ingin menetapkan halatuju yang lain dalam perebutan antara Helang (Amerika Syarikat) dan Beruang (Uni Soviet). Paradigma Helang dan Beruang ini sesuatu yang dilihatnya dalam lensa atau kanta yang lebih jelas untuk mengenalpasti kelemahan kedua Binatang (ideologi) Politik ini. Ianya mengulang hal yang asas dahulu iaitu melihat pada diri sendiri (konteks setempat) dan situasi dunia (ketika itu) di mana wujud peminggiran negara-negara kecil yang tidak semaju atau kuat seperti Helang dan Beruang ini dalam pembangunan fizikal mahupun mental. Di zaman Perang Dingin ini sampailah saat-saat akhir wujudnya Negara Jamhariyah Libya (di bawah pimpinan Muammar Gaddafi) Buku Hijau telah menjadi sebahagian kuasa lunaknya (Soft Power) dan ianya diedarkan dengan meluas kepada aktivis-aktivis politik untuk dijadikan sumber inspirasi dan pengajian di seluruh dunia.

Dalam artikel ini saya akan memberikan penerangan atau beberapa pendapat ringkas tentang apa yang saya ingat terhadap sosok Muammar Gaddafi terutamanya pada konteks semasa beliau dijatuhkan (Tahun 2011) dari sudut pandangan peribadi yang disusuli pula dengan penerangan saya tentang asal-usul dan konteks lahirnya idea utama Buku Hijau itu sendiri iaitu Third Universal Theory.





1. Satu Pengalaman Peribadi mengenal Sosok Muammar Gaddafi

Kebangkitan dunia Arab (Arab Spring) adalah salah satu aksi perlawanan massa rakyat yang amat gagah, berani dan menginspirasi yang pernah berlaku di dunia Arab dan juga sejarah awal abad ke 21. Ia adalah satu kebangkitan rakyat yang tidak mungkin terjadi tanpa pengorbanan dan keberanian orang ramai untuk meraih satu kehidupan yang lebih baik tanpa rasa lapar untuk melangsungkan hidup dan tidak berasa takut untuk bersuara atau mengkritik kuasa-kuasa dan struktur sedia ada (secara politik, ekonomi dan ketenteraan) yang menekan mereka dengan kejam dan memerintah atas ketamakan. Kuasa rakyat kelihatan begitu jelas dan perkembangannya diikuti lewat media massa oleh rakyat serata dunia pada masa itu (Disember 2010 -  Oktober 2011).

Saya masih ingat peristiwa ini dengan segar sekali dan sebenarnya inilah peristiwa yang memicu satu minat yang lebih mendalam tentang Politik Antarabangsa dan perkembangan isu-isu semasa di Timur Tengah ataupun secara lebih luasnya dipanggil Dunia Arab. Yang sering didengar atau identik dengan Timur Tengah dalam pemikiran saya sepanjang waktu membesar sampai peristiwa itu hanyalah  Konflik Israel - Palestin dan tempat-tempat yang tercatat di dalam Al-Kitab (Bible) dan Injil seperti Yerusalem dan Damsyik. Saya juga harus berterima kasih kepada sekumpulan pelajar Arab yang saya pernah kenal dan berkawan, dari merekalah sifat ingin tahu saya tentang politik, sejarah dan isu-isu semasa dunia Arab dan agama Islam itu dijawab dan dikongsi oleh mereka secara rambang dan juga kadang-kadang rinci. Pandangan-pandangan mereka terutamanya pelajar-pelajar Saudi yang saya kenal agak pro/berpihak kepada Kerajaan Saudi tetapi masih menjadi salah satu sumber yang masih diingati dan berbekas pada minda saya sehingga hari ini.

Sepanjang Kebangkitan Dunia Arab saya telah membeli Majalah Times setiap minggu dengan harganya yang mahal iaitu RM 10 senaskah (Harga tahun 2010 - 2011) untuk mendapatkan segala maklumat tentang perkembangan Kebangkitan Rakyat Arab terutamanya di Mesir. Slogan utama pada masa itu adalah “The People want to overthrow the regime!” dan inilah yang menjadi laungan rakyat yang marah tetapi penuh bertenaga demi mengubah keadaan. Pengaruh kebangkitan ini juga ‘menjangkiti’ rakyat Iran yang baru selepas dua tahun (2009) turun berdemo dan tidak puas hati membantah pilihanraya tahun 2009 turun sekali lagi untuk menunjuk perasaan dengan hebat.

Fenomena kebangkitan rakyat ini marak dari penghujung dunia Arab di Barat iaitu Maghribi sampailah ke penghujung paling Timurnya iaitu Iraq tetapi sebenarnya tidak hanya terbatas di Dunia Arab tapi juga telah mempengaruhi Rakyat Iran untuk bangkit dan protes. Semua negara yang dilandai fenomena kebangkitan ini tidak mengalami kesudahan yang sama tetapi kebanyakannya berjaya membuang dictator-diktator mereka dengan cara yang aman.

Mereka yang tumbang adalah Ali Abdullah Saleh di Yaman yang kemudiannya diganti dengan Mansor Hadi sebagai Presiden Yaman, Hosni Mubarak yang menjadi tumpuan utama antara semua negara Arab meletak jawatan setelah 3 bulan ditekan secara konsisten. Di antara semua ‘Diktator-diktator’ ini yang telah dibuang (digantikan atau dilucutkan kuasanya) Muammar Gaddafi pemimpin Libya yang sangat kontroversial ini telah dibunuh pada 20 Oktober 2011 setelah berbulan-bulan (dari bulan Mac) negaranya  dilumpuhkan oleh Perang Saudara. Tidak seperti nasib ‘Diktator-diktator’ lain yang mengundur secara aman dan sukerela atau melarikan diri seperti Zine El Abidine Ben Ali (bekas presiden Tunisia), Muammar Gaddafi mati dengan cara yang sangat kejam iaitu disula oleh orang-orang yang menangkapnya dan sebelum Kolonel ini dibunuh dengan sebegitu rupa dia sempat bertanya ‘Apa yang saya telah buat pada anda?’ dan saya masih ingat bila video itu menular di SosMed banyak yang komen dan kata bahawa itu padah yang patut diterimanya dan inilah hukuman yang layak diterima seorang Penindas!

Selepas dibunuh dengan sebegitu ngeri, saya berfikir dan menanya diri saya yang naif dan kurang berpengetahuan itu beberapa soalan. Yang terkeluar dari benak fikiran saya pada masa itu adalah ‘kenapa dia harus mati dengan sebegitu rupa?’ dan ‘Apakah ini adil untuk dilakukan pada seorang walaupun dia telah melakukan kesalahan yang paling dasyhat sekalipun?’, ‘Di mana letaknya hak seseorang didakwa menurut proses mahkamah?’ dan ‘kenapa mereka tidak mempunyai kesedaran itu?’. Kesedaran atau amalan bahawa pembicaraan itu adalah satu keperluan dan menyerahkan ini kepada  mahkamah untuk menentukan sama ada beliau harus mati atau tidak, itu langsung tidak terlintas di fikiran pembunuh-pembunuhnya.

Emosi dan sifat kebinatangan kita (sebagai manusia) mungkin yang menjadi sebab kenapa mereka bertindak begitu. Perang membuat manusia rakus, benci dan sifat ingin kekal hidup sahaja yang menjadi keutamaan dan kadang atas nama ‘keadilan dan kesejahteraan’ dan matlamat-matlamat politik mereka. Saddam Hussin, 8 tahun sebelum itu ditangkap dengan cara hormat dan diberi layanan yang baik oleh tentera Amerika Syarikat. Dia kemudiannya dibicarakan di mahkamah sehingga dijatuhkan hukuman mati pada tahun 2006 oleh ICC (International Criminal Court) tetapi pemberontak-pemberontak dan pengkhianat-pengkhianat ini tidak mematuhi undang-undang Internasional. Jika mereka tidak mengakui atau diakui oleh Konvensi Geneva tentang Perang kenapa mereka tidak sekurang-kurangnya bertindak atas ajaran agama (saya andai mereka ini beragama), dan sudah tentu tidak ada mana-mana ajaran agama pada hari ini menghalalkan tindakan seperti ini. Ya, dalam perang dan politik membunuh lawan itu satu tindakan yang betul dan harus dibuat untuk mengurangkan pertentangan dan mendominasi!

Kali pertama saya mendengar tentang Libya itu sendiri adalah dari permainan Command and Conquer Red Alert dan dari situlah saya mencari pengetahuan dan membaca sedikit tentang seorang pemimpin yang bernama Muammar Gaddafi. Pernah juga saya memotong gambarnya dari majalah National Geographic, gambar beliau mengenakan gaya biasanya iaitu memakai cermin mata hitam, berserban dan memakai jubah hijau atau cokelat. Saya pasti ramai yang tahu gayanya ini, saya juga menjadi tertarik dengan gayanya dan apabila mengetahui tentang kelantangannya saya menjadi lebih berminat mengkaji tentang politik dan dasarnya di kemudian hari (sedekad atau lebih selepas itu). Seperti mana saya perkatakan awal tadi kebangkitan Arab ini tidak terbatas di dunia Arab dan Iran yang terkeluar dari sebuah kawasan sosio-budaya dan geografi Arab juga mengalami gegarannya. Di sebelah Utara dari Libya menyeberangi lautan Mediterania negara Itali bekas penjajah Libya telah ‘mendapat’ semangat kebangkitan anak muda dan rakyat. Dunia Arab hasil daripada liputannya yang luas dan kecanggihan teknologi media. Rakyat Itali turut keluar beramai-ramai dan turun protes menuntut dan menekan Silvio Berlusconi untuk meletak jawatan atas berbagai sebab dari penglibatannya dalam bermacam kes korupsi sampailah skandal seksnya dengan seorang budak perempuan bawah umur.

Pada masa yang sama (Februari 2011) di Wisconsin, Amerika Syarikat dilandai juga dengan aksi protes yang besar-besaran. Warga pekerja di sana turun melawan dan membantah satu undang2 (Wisconsin Act 10 - Wisconsin Budget Repair Bill)  dan menyatakan sikap setiakawan mereka pada massa rakyat Dunia Arab yang bangkit dan terus maju dalam membuang para penindas mereka! Pada bulan-bulan yang mengasyikan dan mendebarkan inilah satu berita telah diterbitkan tentang satu pesta Bunga - Bunga yang selalu diadakan dan dilayan dengan seronok sekali oleh Silvio Berlusconi dan apa yang dilaporkan dalam berita yang saya baca pada masa itu adalah Muammar Gaddafi juga pernah menjadi tamu dan berseronok-seronok ketika menghadirinya. Pesta Bunga - Bunga ini adalah mirip dengan imej-imej Pool Party yang di dalam Filem Hollywood atau Elite Industri Filem di LA, berseronok dengan ramai wanita cantik dalam keadaan separuh telanjang ini hangat di media dan seperti biasa menjatuhkan kedua-dua pemimpin negara ini (Itali dan Libya) sebagai manusia-manusia yang tidak bermoral walaupun isunya adalah hal yang peribadi. Tetapi Muammar Gaddafi ini bukanlah manusia yang tidak pernah ada kontroversi. Libya di bawah pimpinannya sering dicap sebagai sebuah International Pariah State dan pada masa yang sama beliau juga adalah seorang lantang ketika di persidangan rantau Arab (Arab League) dan Perhimpunan PBB.

Sepanjang pemerintahannya masih berjalan, dia telah menjadi seorang Political Superstar bertaraf antarabangsa dengan kelantangan dan kepelikan pada sikap dan gaya. Beliau telah dituduh oleh Pihak Barat (Amerika dan sekutu-sekutunya) sebagai pendana yang besar dalam isu International Terrorism untuk waktu yang lama. Libya pada waktu itu dikatakan sebuah negara yang terlibat sebagai pendana dan pengedar utama senjata kepada beberapa kumpulan penganas seperti IRA (Irish Republican Army) iaitu satu kumpulan gerila kiri yang menginginkan Ireland Utara membebaskan diri dari cengkaman United Kingdom yang masih memegang wilayah itu untuk beratus tahun, Al Rukun di Amerika Syarikat yang merupakan satu geng jalanan yang berancang untuk melemahkan Pemerintah Amerika secara internal/domestic. Hal yang biasa di dengar atau diketahui secara umum oleh pemimpin-pemimpin di rantau ini (Asia Tenggara) adalah MNLF (Moro National Liberation Front) yang di kepalai oleh Nur Misuari dikatakan mendapat bekalan senjata dan kewangan dari Muammar Gaddafi untuk Bangsa Moro berdiri bebas dari kekuasaan Manila. Pada 1986, Libya telah diserang oleh Jet Pesawat Amerika yang menjatuhkan bom ke atas Tripoli (Ibu Negara Libya) sebagai balasan ke atas apa yang dituduh sebagai penglibatan Libya dalam pengebomban Discotheque ‘La Belle’ di Berlin pada tahun yang sama. Libya terus dicap terlibat dengan satu lagi pengemboman pesawat Pan Am Flight 103 yang meragut 243 nyawa, Muammar Gaddafi menafikan penglibatannya dalam memberi arahan meletupkan pesawat itu tetapi akhirnya beliau sendiri ambil tanggungjawab atas syarat UN untuk mencabut sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negaranya dan membayar pampasan sebanyak 2.7 $ US Billion pada keluarga mangsa-mangsa letupan itu.

Saya masih ingat dua perkara yang lawak dan menarik mengenai beliau sewaktu menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu lama dulu. Berbanding pemimpin-pemimpin negara lain yang semua disediakan penginapan rasmi oleh kedutaan masing-masing, beliau memilih untuk mengarahkan delegasinya memacak khemah di Tanahnya Donald Trump (Presiden Amerika Syarikat sekarang) sebagai penginapan rasmi mereka sepanjang Perhimpunan itu. Dia sebagai seorang anak watan Arab yang dari latar belakang Badwi (Bedouin) tidak melupakan asal usulnya dan lebih selesa tidur di dalam sebuah khemah. Hal yang lucu itu juga seperti satu promosi pada budaya Arab Badwi dengan gaya hidupnya yang tradisional itu. Hal yang lagi satu itu yang saya ingat sepertinya telah menjadi satu strategi pengiklanan yang baik iaitu membuatkan dirinya diiringi sekumpulan wanita Ethiopia sebagai kakitangan dan pengawal keselamatannya. Tindakan ini membuatkan dia seperti seorang hero agenda Womens Empowerment dan hal ini adalah sesuatu yang melawan norma seorang pemimpin Arab pada masa itu.

Semua ini yang saya ceritakan adalah suasana dunia Arab ketika beliau masa memerintah Negara Libya di ambang kejatuhannya. Perhatian tentang Buku Hijau itu sendiri pernah mendapat liputan di media dalam bentuk Interview di awal pemerintahannya (tahun 70an, 80an dan 90an). Selepas itu Libya dan Gaddafi banyak dikaitkan sebagai sebuah Pariah State yang membantu kekejaman Global Terrorism yang mengorbankan orang ramai yang tidak bersalah untuk mencapai objektif politik sesuatu kumpulan yang didanainya itu. Itu yang selalui dipaparkan tentangnya tetapi bagi saya itu tidak sehebat kelantangan dia memarahi pemimpin Arab yang terlalu dekat dengan Amerika Syarikat. Dia berkata dengan tegas bahawa mungkin Amerika adalah kawan mereka pada hari ini tetapi nasib mereka juga boleh berubah seperti apa yang terjadi pada Saddam Hussien.

Inilah suasana dunia dan peristiwa-peristiwa yang dikaitkan dengan dirinya di ambang maut sepanjang Januari sehingga Oktober 2011. Media arus perdana di Barat dan Timur telah memainkan peranan yang besar untuk membunuh karakternya dan melancarkan propaganda untuk menaikan semangat rakyat Libya dibelah Timur (Benghazi) untuk memulakan pemberontakan. Pihak NATO (North Alliance Treaty Orgazation) telah menetapkan ‘No Fly Zone’ untuk memastikan bahawa satu intervensi (campurtangan) ketenteraan akan dilancarkan oleh mereka (NATO). Campurtangan NATO pada bulan Mac 2011 telah dibenarkan oleh PBB untuk menghalang Gaddafi terus melakukan apa yang dikatakan pencabulan hak asasi secara besar-besaran dengan mengunakan kekerasan seperti menembak dan mengebom rakyat sendiri mengunakan Pesawat Perang (jet). NATO yang diketuai Sarkozy dan Obama pada masa itu telah melancarkan serangan ke atas Libya dengan intensif sekali, pemberontak di Libya juga mendapat bantuan senjata untuk mengalahkan Gaddafi.

Seperti yang telah dikatakan di awal, Libya adalah kes yang malang. Terjunam ke dalam perang saudara kemudiannya campurtangan oleh Nato dan pemberontak yang mengkhianat untuk membawa ‘Demokrasi’ kepada Libya. Mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka sedang buat akan memerangkap Libya dalam keadaan tidak stabil dan bergolak untuk waktu yang lama. 8 tahun dari tahun Gaddafi dijatuhkan  dengan cara ketenteraan, Libya masih tidak dapat membangun dan sedang direbutkan. Libya dibahagi pada dua wilayah secara penguasaan politik. Rakyat Libya yang menikmati infrastruktur yang terbaik di benua Afrika dan kualiti hidup yang jauh lebih baik terpaksa mengambil semacam satu pertaruhan untuk mendatangkan ‘Demokrasi’ dan ‘kebebasan’ itu terpaksa meringkuk dengan harapan bahawa semua ini akan berakhir. Saya tidak berkata bahawa Gaddafi ini semuanya baik, mungkin ada pelanggaran hak asasi tetapi kini hak yang paling asasi (fundamental ) itu tidak ada, telah pergi begitu sahaja. Libya selepas pemerintahan Gaddafi adalah satu contoh tentang apa yang kononnya kebangkitan rakyat telah memakan rakyat.

Libya sebelum di peringkat awal sebelum kejatuhannya telah disusupi oleh agen-agen asing, diberi sokongan oleh NATO untuk memberikan Libya kepada mereka yang kononnya lebih layak mengurusnya dan mengawal sumber minyaknya. Libya yang sudah lama memiliki segala hasil bumi dan minyak di wilayahnya terpaksa menyerahkan semua aset-aset ini pada kepentingan asing. Kalau anda melihat bendera Libya sekarang itu adalah sebenarnya bendera lama Libya sebelum Pemerintah Jumuhriyanya Gaddafi berkuasa, ini bagi saya adalah langkah keterbelakang! Dan amat parah, kehilangan semua hak kebajikan yang pernah disediakan!. Libya sekarang terpaksa bergantung pada bantuan kewangan dari Amerika Syarikat dan negara lain. Sewaktu Arab Spring di Libya itu sedang berlaku rakyat yang marah dengan Gaddafi tidak dapat meruntuhkan dan memecahkan Tugu Gaddafi kerana tugunya tidak pernah dibuat dimana-mana. Mereka sebaliknya membakar Buku Hijau dan merosakan pusat-pusat pengajian Buku Hijau di seluruh negara. Buku Hijau ini yang merupakan satu panduan bagi Revolusi Libya telah dibakar tetapi masih ada yang ingin mempelajarinya dengan kritis dan ini menjadi asas untuk Saif Al Islam Gaddafi (anak kedua  Gaddafi) dalam percubaannya untuk bertanding dalam Pemilihan Presiden Libya pada bulan Disember 2019.





2. Asal Usul dan konteks lahirnya Buku Hijau

Perang Dingin seperti yang dipelajari di sekolah atau mana-mana kelas Pendidikan Am adalah satu zaman di abad ke 20 yang berlangsung setelah habisnya Perang Dunia Kedua sehinggalah tumbangnya Soviet Union dan Blok Timur pada 1991. Dunia pada zaman ini terbelah menjadi dua kutub, dua blok dan dua aliran pemikiran yang amat dominan. Dua negara yang mewakili berkejaran dan bersaing dengan sengit dalam fasa sejarah dunia moden ini adalah Amerika Syarikat yang mewakili Sistem Ekonomi Kapitalis dan Uni Sovyet (Soviet Union) yang membawa Corak Pembangunan Sosialisme.

Menurut Bapak Noam Chomsky dari sudut yang lain Amerika Syarikat dan Uni Sovyet ini adalah dua sistem propaganda yang mengunakan label Komunisme dan Kapitalisme untuk kepentingan Daulah Pemerintah (State Machinery) merebut apa sahaja yang penting dari segi Geopolitik dan Ekonomi. Pihak Sovyet Union dan Amerika menurutnya lagi hanya mengunakan ideologi untuk kepentingan kelas berkuasa atau Pemerintah, contohnya Amerika mengunakan ‘Komunisme’ untuk menakutkan rakyatnya dengan hujah berkaitan penolakan Hak kebebasan dan Anti Agama (Godless Communists) yang mengancam kehidupan dan budaya Amerika Syarikat dan dunia bebas. Kebebasan bagi Amerika Syarikat adalah anugerah yang paling agung yang manusia perlu ada setelah beratus tahun menjadi hamba. Rusia (Uni Sovyet pada masa itu) menganggap Amerika ini adalah negara yang ingin meluaskan ekonomi Kapitalis yang mengekploitasi kelas pekerja dan mengalakan rasisme. Internasionalisme menjadi slogan pada masa itu iaitu bagi pandangan saya satu bentuk globalisasi yang rancangan dan falsafahnya adalah untuk mencipta satu dunia dimana manusia tidak kira bangsa dan agama adalah sama dari segi dirinya menjadi subjek kepada eksploitasi Kapitalisme dan perubahan yang berbentuk revolusiner harus berlaku untuk mengubah keadaan ini. Kedua-dua mereka ini (Amerika Syarikat dan Uni Sovyet) telah bertungkus lumus menyebarkan soft power-nya (Kuasa Lunak) dalam bentuk, mesej-mesej politik, acara seni dan budaya. CIA sendiri misalnya telah mendanai dengan baik beberapa institusi budaya untuk mempromosikan seni Abstract Impressionism sebagai tanda pencapaian kreativiti dan kebebasan artis-artis dan rakyat Amerika.

Perang Dingin diingati juga oleh orang yang hidup di zaman itu sebagai ‘The Nuclear Age’. Hasil daripada kemenangan Pihak Sekutu dalam Perang Dunia Kedua telah memulakan satu Nuclear Arms Race di antara Uni Sovyet dan Amerika Syarikat kerana ia adalah superweapon terbaru dan sangat berbahaya dari segi kemampuannya untuk menghancurkan sebuah bandaraya berjuta orang dan  menghancur ulang tamadun manusia untuk beberapa kali jika menjadi satu Perang ‘panas’ . Efeknya pada alam sekitar sangat teruk dan ujian nuklear sering dikecam kerana hal ini. Kesannya bukan sahaja membunuh ekosistem dalam beratus kilometer persegi ia juga membuatkan kawasan-kawasan itu susah untuk diduduki dan menelan berbillion-bilion dari bajet pertahanan kedua negara ini.

Ketakutan itu dialami oleh ramai orang dan bermulalah satu obsesi tentang Perang Nuklear sehingga kebanyakan kota utama di dunia ada tempat melindung diri bawah tanah jika diserang bom nuklear. Ada yang mengatakan Mutually Assured Destruction ( MAD ) itu akan membuat dunia lebih aman kerana  kedua-dua kuasa besar itu ada superweapon tersebut maka pertentangan kuasa itu hanyalah akan dingin dan tidak mungkin suhunya menjadi panas (Perang secara langsung)! Doktrin Mutually Assured Destruction (MAD) ini dikritik oleh John McCoy sebagai satu perkara yang tidak dapat menghentikan kemungkinan untuk menjadi satu Nuclear Holocaust (Kemusnahan besar-besaran). Dunia pada masa itu telah telah hampir 9 kali dihancurkan oleh Perang Nuklear dan yang paling diingati oleh ramai adalah Cuban Missile Crisis tahun 1962. Doktrin itu kemudiannya digantikan dengan Star Wars atau nama formalnya iaitu Strategic Defense Initiative. Doktrin baru ini adalah dasarnya Presiden Ronald Reagen  dn ia berfokus pada pelaburan teknologi senjata pertahanan yang beraras tinggi seperti menempatkan sistem pertahanannya di Angkasa lepas bagi mengelakkannya dari dihancurkan Uni Sovyet dan bereksprimen dengan teknologi Laser seperti pedang-pedang (Light Saber) dalam filem Star Wars. Kegilaan terakhir inilah yang dikatakan melemahkan ekonomi kerana menelan kewangan negara Uni Sovyet sebelum tumbang selain daripada Perang Afghanistan yang memakan masa 9 tahun untuk berakhir setelah Uni Sovyet mengundur diri.

Pada peringkat awal Perang Dingin banyak negara bekas Tanah Jajahan telah mendapat kemerdekaannya, proses ini dinamakan Decolonialization. Proses Decolonialization adalah hasil usaha dua faktor yang penting iaitu perjuangan gerakan rakyat di negara-negara untuk dimerdekakan dan komitmen negara penjajah seperti Inggeris dan Perancis walaupun tidak semuanya berhasil merdeka secara aman kerana pihak penjajah ingin melambatkan proses itu untuk menjamin siapa yang akan berkuasa dan memerintah dan menjamin aset-aset mereka di bekas tanah jajahan. Proses ini juga telah mengubah komposisi PBB yang baru ditubuhkan pada masa itu dan memulakan satu era hubungan kuasa yang baru di mana pemenang-pemenang Perang Dua Kedua ingin mencorak dunia mengikut kepentingan mereka. Negara-negara yang baru merdeka ini dinamakan Third World (Dunia Ketiga) dan hubungan mereka dengan Dunia Pertama agak lain sedikit yang disebut sebagai Neo-Kolonialisme. Teori Neo-Kolonialisme ini yang hangat disebut oleh Presiden Soekarno dan intipatinya adalah hubungan menjajah secara langsung dalam keseluruhan atau semua aspek sudah tidak ada lagi. Yang ada sekarang ada bentuk hubungan kuasa yang berbeza iaitu kekuasaan ekonomi dan pengaruh politik dalam bentuk hegemoni. Penjaga baru aset bekas-bekas penjajah  merupakan pemerintah negara-negara yang baru wujud ini dan ini bermaksud semua pelaburan dalam bentuk ladang dan lain-lain masih dimiliki mereka (Bekas Penjajah).

Pada tahun 1955, Persidangan Bandung berlangsung di Indonesia, ramai pemimpin negara-negara baru merdeka ini telah berkumpul di Bandung untuk berjumpa (bersidang) dan berbincang mengenai hala tuju mereka dalam dunia yang baru ini iaitu satu dunia yang sudah hampir tidak ada Kolonialisme tetapi apa yang sedang berlangsung adalah persaingan dua kuasa baru iaitu Amerika Syarikat dan Sovyet Union. Perjumpaan mereka lebih kurang seminggu ini telah dihadiri oleh tokoh-tokoh besar pada masa itu contohnya Jawaharlal Nehru (Presiden India), Gamal Abdel Nasser (Presiden Mesir), Kwame Nkrumah (Presiden Ghana), dan Josef Broz Tito (Presiden Yugoslavia). Persidangan Bandung telah dihadiri oleh lebih 30 negara yang sudah merdeka dan ada yang juga separa-merdeka (masih berstatus jajahan tetapi menguruskan hal ehwalnya sendiri), perhimpunan itu telah mencatat sejarah sebagai yang pertama mengumpulkan semua negara Asia dan Afrika ini untuk berbincang dan menjana idea-idea yang baru untuk mengubah nasib mereka dengan sifat masih dominan dan tidak seimbang Dunia Pasca-Perang dunia kedua. Persidangan ini telah mencapai beberapa komitmen yang penting iaitu kerjasama antara negara (Inter – cooperation) dunia ketiga dari aspek pembangunan (ekonomi), melindungi HAM (Hak Asasi Manusia) dan menghormati kedaulatan negara masing-masing, menghentam diskriminasi berdasarkan kaum secara internasional dan menekankan keamanan dalam dunia antara semua bangsa dan negara.

Persidangan ini tidak berakhir sebagai begitu sahaja, ‘The Spirit Of Bandung’ ini menjadi langkah pertama sebelum tertubuhnya N.A.M (Non Aligned Movement) di Belgrade, Yugoslavia pada tahun 1961. N.A.M sepanjang Perang Dingin menjadi Jalan Ketiga berdasarkan kerjasama yang erat antara Negara-negara dunia ketiga dan menjadi satu forum perbincangan negara-negara ini dalam isu-isu berkenaan masalah Bi-polarisasi kuasa dan pembangunan dari segi sosio-ekonomi bagi mencapai kemakmuran dan kesamarataan. Badan ini (N.A.M) tetap wujud hingga ke hari ini (2019) walaupun Perang Dingin sudah lama berakhir. Sebab masih wujudnya N.A.M ini adalah adalah dunia Pasca Perang Dingin adalah bersifat Unipolar iaitu hanya satu Negara atau Kuasa yang menjadi hakim, pendakwaraya dan polis dalam dunia iaitu Amerika Syarikat. Negara-negara bekas koloni ini masih terpinggir dan tidak dapat membangun dengan lancar dan berdikari kerana masih ada model kebergantungan ini dengan pusat kuasa (iaitu Amerika Syarikat).

Gaddafi lahir di dalam sebuah khemah luar sedikit dari kota Sirte pada tahun 1942, tanggal dan bulan lahirnya tidak diketahui. Beliau lahir pada zaman Penjajahan Itali dan Libya pada masa itu merupakan antara 4 Tanah Jajahannya di Afrika (yang lagi tiga adalah Ethiopia, Somaliland dan Eriteria). Itali sebagai negara yang lambat dalam perlumbaan menjadi sebuah kuasa Kolonial Imperial menyerang Libya pada tahun 1911 dan memegangnya sehingga kekalahannya Itali dalam Perang Dunia kedua. Libya dipecahkan menjadi 3 zon, Tripolitania dan Cyrenaica di bawah urus tadbir oleh Inggeris dan Fezzan diurus Perancis. Selepas beberapa tahun ditadbir oleh dua negara ini, Idris Sanussi mengistiharkan dirinya sebagai Emr bagi wilayah Cyrenaica tetapi pihak PBB menasihatinya supaya digabungkan ketiga-tiga wilayah tersebut menjadi sebuah Kerajaan pada 1952. Sejurus selepas kemerdekaannya Libya pihak Anglo-Amerika ingin membuka kem tentera di sana atas sebab-sebab strategik iaitu Wheelus Airbase yang pada zaman itu merupakan kem tentera Amerika yang terbesar di luar Amerika Syarikat. Bendera Libya yang dikibarkan sekarang adalah bendera Libya pada masa zaman Idris Sanussi sebelum ia ditukar pada awal pemerintahan Gaddafi. Libya pada masa itu adalah antara Negara yang paling miskin di dunia Arab dan Afrika, tanahnya tidak diteroka sampailah tahun 1956 apabila konsesi penerokaan atau cari gali minyak diberikan pada syarikat luar negara. Galian bawah tanah untuk menjumpai minyak telah berjaya pada tahun 1959 dan inilah permulaan industri minyak di Libya.

Ekonomi Libya pada waktu itu mula meningkat dari tahun 1961 setelah siap terbinanya saluran paip yang mengalirkan minyak sejauh 167 km. Libya sudah mula menjadi kaya tetapi hasil kekayaan ini tidak menitis ke bawah. Pengagihan kekayaan dan kekurangan kemudahan awam yang asas membuatkan orang ramai terpinggir. Muammar Gaddafi adalah seorang pelajar Kolej Kadet Tentera di Benghazi dan dunia Arab pada waktu itu juga terkena tempiasnya perang dingin. Dunia Arab sudah terkenal pada waktu itu dengan Gamal Abdel Nasir, pemimpin negara Mesir menjadi seorang gergasi Anti-Imperialis bagi orang Arab dan Dunia Ketiga. Nama beliau (Gamal Abdel Nasser) melonjak naik kerana pendiriannya untuk merampas Terusan Suez dari pihak Inggeris dan Perancis. Terusan ini dimiliknegarakan dan beberapa langkah ala ekonomi Sosialis telah diimplementasikan pada zamannya seperti land reform. Semangat Nasionalisme Arab pada zaman itu telah diikut dengan luas oleh ramai orang pada masa itu dan tidak hairanlah bahawa Muammar Gaddafi juga terpengaruh oleh semangat dan idea ini. Beliau (Muammar Gaddafi) menjadi pendengar Radio Cairo-Voice Of The People dan dikatakan menghafal pidato-pidato Nasser. Itu sudah tentu pada zamannya di Kolej Tentera mempengaruhinya untuk memikirkan masa depan atau visi pembangunan yang adil untuk rakyat Libya. Sama seperti Nasser yang berlatarbelakangan tentera beliau melancarkan pengambilalihan kuasa pada tahun 1969 pada usia yang muda iaitu 28 tahun.

Pemuda yang berani mencabar realiti ini telah memiliknegarakan industri minyak dan menutup kem tentera Amerika Syarikat di Libya. Tindakan yang berani ini telah membuatkannya mendapat perhatian Uni Sovyet dan Libya pun menjadi sekutunya. Hal ini mula membuat Gaddafi dan Libya dipandang dengan serius. Sosialismenya Gaddafi ini adalah satu yang sangat berteraskan kepada nilai-nilai masyarakat setempat dan agama Islam dijadikan agama rasmi. Gaddafi yang dikatakan terinspirasi oleh Mao Tse Tung yang mempunyai Buku Merah (Maos Little Red Book), dia pula menerbitkan sebuah buku yang formatnya hampir sama yang bernama Buku Hijau (Green Book) dan didalam buku ini terkandunglah idea utama Muammar Gaddafi iaitu Third Universal Theory. Idea ini adalah inovasi politik hasil dari pemikiran Muammar Gaddafi. Ia merupakan sintesa antara Kapitalisme dan Komunisme tetapi mempunyai kelaina daripada kebanyakan sintesa atau idea-idea alternatif yang ada pada zaman itu seperti Nasionalisme dan Sosialisme Arab dan Dunia Ketiga.

Third Universal Theory ini adalah satu cara dalam soal bagaimana kita hendak membangunkan satu masyarakat atau sistem sosio-politik dan ekonomik yang berdasarkan pada prinsip atau konsepsi Jamahriya. Jamahriya adalah satu terma yang diciptakan oleh Muammar Gaddafi yang membawa maksud ‘Peoples Authority’ atau ‘The State of the Masses’.

Beliau menjelaskan bahawa sejarah dunia telah melalui dua fasa umum yang penting dari segi perkembangan politik. Fasa pertama adalah zaman Monarki dimana Raja (atau Sultan) memilik segala tanah dan dan apa-apa sahaja di tanah itu dengan bantuan bangsawan. Pada zaman itu ketaatan menjadi dogma yang utama dan Raja dianggap atau diterima oleh orang ramai sebagai ‘God`s gift to earth’. Fasa kedua pula adalah zaman Republic yang menjadi kenyataan selepas berlakunya dua revolusi yang besar ini, iaitu Revolusi Amerika 1776 dan Revolusi Perancis 1789. Kedua-dua revolusi ini adalah pertentangan rakyat dan bangsawan. Di zaman ini idea-idea pencerahan tentang kemampuan manusia berfikir dan mempunyai kuasa inherennya sendiri menjadi ideologi pergerakan. Keterikatan pada bangsawan dan raja telah dikalahkan tetapi segolongan kelas yang lain telah menjadi penguasa sebenar  Republic ini. Pendirian Struktur Politik Republic ini adalah sebenarnya kejayaan kaum Pemodal yang memperkudakan rakyat petani untuk membuang Monarki. Pada awalnya Republic ini hanyalah kekuasaan segolongan manusia-manusia yang bijak dan mempunyai harta. Manusia yang tercerah ini yang selalunya akan memikir dan mengurus rakyat. Rakyat seperti telah memilih ‘Raja-raja’ baru ini yang akhirnya lebih berkuasa untuk rakyat. Di dunia sekarang Demokrasi Liberal telah melalui satu perubahan yang lebih terbuka dan lebih konsultatif (Lebih mengambil kira suara dan pendapat rakyat), mekanisme ini ditambah baik kata penyokong-penyokongnya tetapi apa yang bagi Gaddafi menjadi masalah sebenar adalah masalah perwakilan dalam demokrasi sendiri. Rakyat di sebuah kawasan parlimen yang berpuluh atau beratus ribu pengundi atau orang terpaksa diwakili oleh seseorang untuk menyuarakan dan berdebat buat diri mereka, apa yang diajukan oleh Gaddafi adalah kekuasaan itu harusnya diletakkan langsung pada tangan rakyat untuk bersuara dan menentukan halatuju mereka daripada membiarkan ahli-ahli politik dan wakil rakyat menentukan semua yang berkaitan isu tempatan, nasional dan internasional.

Menurut Third Universal Theory ini daripada memilih wakil-wakil rakyat mereka untuk menjadi otak dan suara, manusia harus menjangkau dua fasa (tahap) Monarki dan Republic (Demokrasi perwakilan) sebagai solusi kehidupan dan struktur politik yang selalu menjadi masalah. Sebelum semua ini dibuat asas ekonomi dan sosial itu haruslah di tangan rakyat seperti contoh dalam kes Libya minyak (Petroleum) sepenuhnya dimilik rakyat dan hasil pendapatan minyak itu digunakan secara langsung untuk menyediakan asas yang memberikan rakyat atau masyarakat kuasa untuk bebas menguruskan diri mereka sendiri tanpa kerisauan bahawa mereka akan lapar atau terbeban. Dalam ertikata yang lain Third Universal Theory ini adalah satu demokrasi yang tidak ada parti politik yang memerintah negara tetapi rakyat yang benar-benar memerintah melalui Jamahirya. Jamahirya (Peoples Congresses)adalah satu musyawarah rakyat setempat mendiskusikan semua hal dan boleh dibuat di mana-mana sahaja dalam kawasan itu. Badan pelaksana kehendak rakyat ini yang dinamakan Peoples Committee membahagikan tugas kepada beberapa sub committee yang akan fokus pada aspek tertentu dalam masyarakat seperti sosial dan ekonomi. Setiap usul itu akan menjadi panduan asas dan amanah untuk dilaksanakan Popular committes, mereka yang dipilih oleh peoples congresses boleh dilucutkan atau dipersoalkan untuk memastikan bahawa proses pelaksanaan itu mencapai hasil yang baik.

Konsep dan amalan Jamahiriya ini adalah sebuah demokrasi yang menekankan penglibatan orang ramai dalam membuat keputusan daripada memberikan kuasa eksekutif kuasa menentukan dasar (Direct and participatory Democracy). Ini berlainan dengan Sosialisme ala Soviet yang merupakan satu kediktatoran sebuah parti politik yang tidak mengekspresikan semangat demokrasi sebenar. Sosialisme Soviet itu juga terlalu berpusat di atas manakala hierarki kuasa yang bermula di Libya pada tahun 70an bermula dari bawah, segala luahan dan idea diekspresikan di Peoples Congresses yang boleh bertempat dimana sahaja (masjid atau mana-mana ruang awam) dan keputusan dari ini dibawa ke atas untuk diperincikan dan dilaksanakan oleh Peoples Committee dan peringkat yang paling atas iaitu General Peoples Congresses. Keputusan di peringkat yang paling atas kemudiannya secara automatik haruslah mengalir ke bawah dengan dilaksanakan oleh badan-badan yang anggotanya dipilih tadi dan terikat pada amanah dan undang-undang (Duties of the popular committes). Gaddafi disini tidak ada sebarang jawatan yang rasmi. Dia hanya mempunyai gelaran yang dipanggil Pemimpin revolusi tetapi kuasa atas sesebuah tempat itu tidak boleh mencampuri urusan tempat itu. Dia hanya mewakili Libya di peringkat antarabangsa sebagai formaliti yang selaras dengan sistem dunia sekarang yang berbentuk negara bangsa. Hakikatnya dia tidak mempunyai apa-apa hak atas keputusan masyarakat setempat dan tugas kepimpinannya sangat terbatas dan mungkin dalam hal formaliti pengurusan sebuah wilayah yang mempunyai sempadan dan komander dalam hal pertahanan dan ketenteraan.

Third Universal Theory yang juga dinyatakan sebagai visi antarabangsa untuk mencapai keamanan sejagat. Di dalam aspek sosial Third Universal Theory menerangkan bahawa setiap masyarakat mempunyai rantaian-rantaian sosialnya (Social Chain) yang sedia ada iaitu dari keluarga sampailah ke peringkat negara. Negara yang bermula dari keluarga sebenarnya adalah sebuah keluarga yang besar dan harus mempunyai semangat solidariti atau kekeluargaan pada orang ramai dalam peringkat nasional ini. Dari segi sosial, teori ini menekankan bahawa wanita dan lelaki itu bezanya cuma haid dan boleh mengandungkan anak. Hal ini nampak jelas dan seperti sesuatu yang pasti semua orang akan mengetahui dengan umum, hal yang nyata ini baginya adalah hakikat menjadi manusia dan pembahagian gender. Baginya ini tidak meniadakan kesamarataan di antara dua gender ini dan kedua wanita dan lelaki mempunyai akses kepada kebajikan sosial yang sama (Pendidikan, Hak bersuara dalam Jamahariya dan kesihatan). Baginya lagi menjaga anak adalah tanggungjawab ibu dan tanggungjawab itu adalah satu tanggungjawab yang semulajadi dan menafikan hal ini adalah menafikan hak dan peranan ibu sebagai penjaga kepada anak-anak. Libya tidak mempunyai tadika atau tempat asuhan kanak-kanak kerana ia menekankan bahawa keluarga yang harus bertanggungjawab ke atas anak-anak mereka pada umur mereka masih kecil untuk merapatkan hubungan kasih sayang dan waktu bersama. Hal ini di dalam Buku Hijau adalah bab yang selalu menerima kritikan kerana telah menekankan sebab-sebab biologikal sebagai penentuan kelakuan atau sikap seorang manusia. Dari segi ekonomi pula tempat kerja menjadi milik bersama menggunakan dan segala keputusan dibuat oleh mereka. Segala hasil tenaga kerja mereka hanya diperahkan untuk kepentingan bersama dan pengukuhan kekayaan kepentingan bersama. Setiap pekerja di dalam satu perusahaan adalah rakan kongsi dan bukan lagi pekerja. Inisiatif ini tidak hanya belaku dari tempat produksi barangan (kilang) tetapi juga di sektor pelayanan, pemilik-pemilik lama perusahaan ini diberi pampasan dan menjadi sebagai sebahagian pengurusan kilang-kilang dan syarikat-syarikat ini untuk mengkayakan negara dan mengukuhan kekayaan sosial masyarakat dan warganegara Libya.

Di dalam Buku Hijau terdapat banyak hal atau aspek disentuh yang menjadi panduan tetapi di dalam pengantar ini disentuh pada dasar teori ini iaitu Jamhariyah atau ‘State of the masses’. Apa yang diceritakan tadi dijalankan di Libya dan selalu diberikan penekanan. Mungkin sebab Libya menjadi pengeluar minyak yang membuatkan eksperimen-eksperimen ini berjaya dijalankan atau populasinya yang kecil membuatkan ianya mudah disusun dengan sebegitu rupa. Apa yang penting adalah kritik dan jawapan idea ini bagi kita memikirkan sesuatu yang baru untuk kita capai di dunia ini bagi menyelesaikan sebahagian besar masalah pengurusan ekonomi dan wadah individu bagi menentu kepentingan bersama dan melaksanakan kepentingan bersama.





3. Penutup

Idea dalam kehidupan manusia tidak boleh dipisahkan dari realti yang kita alami di dunia ini. Realiti ini sistem moden ini adalah ketiga situasi atau konteks yang besar iaitu peringkat Internasional, Nasional dan lokal. Ketiga hal ini secara umum adalah hal yang akan diketahui atau diambil tahu manusia dan di tafsirkannya dari bacaan dan pemerhatian ini boleh dirumuskan dalam satu prinsip iaitu ‘Konteks yang membentuk manusia dan manusia yang membentuk konteks’. Pada masa Third Universal Theory ini dirangkumkan dalam Buku Hijau dunia sedang berada dalam Perang Dingin, persoalan ideologi menjadi satu perdebatan yang besar oleh semua orang dari negara yang ekonominya mengikut aliran Sosialis atau Kapitalis sehinggalah masyarakat biasa. Kepentingan ideologi ini menjadi persoalan asas dalam dua hal menurut saya iaitu ‘Bagaimana manusia hendak menguruskan kelompoknya dan kekayaan ( resources )? ’ dan ‘siapa yang hendak menguruskannya?’. Setiap orang manusia adalah seorang pemikir politik secara langsung atau tidak langsung sebenarnya.

Ideologi tidak boleh lari daripada persoalan kuasa, setiap masyarakat mempunyai kuasanya tersendiri tetapi aspek kuasa politik, sosial dan ekonomi yang dimanifestasikan dalam apa-apa institusi yang ada  dalam Negara atau masyarakat tersebut. Kuasa itu pula datang dari dua hal iaitu posisi (di mana letaknya anda dalam masyarakat) untuk menjadi agent of change, atau pelaku perubahan. Dalam contoh Muammar Gaddafi dan Buku Panduan (Buku Hijau) hasil renungan dan pemikirannya ini sendiri adalah satu kajian sejarah idea atau asal usul kepada idea tersebut. Satu corak yang istimewa saya lihat di dunia arah adalah Nasionalisme dan Pegawai-pegawai tentera yang patriotik seperti contoh Naser di Mesir yang menjadi idea yang dominan kerana dunia baru sahaja melalui apa yang dinamakan dekolonialisasi (Decolonization). Hasil pendidikan yang moden telah menjadikan ramai dari pemimpin ini mempelajari sejarah hubungan kuasa antara Penjajahan dan jajahan. Mereka juga telah melihat bagaimana terpinggirnya masyarakat mereka di zaman kolonial dan pasca kolonial dari segi pembangunan dan pendidikan. Pada masa itu Uni Sovyet menyokong gerakan anti kolonial sebagai satu fasa pembebasan daripada penjajah untuk menguruskan hal ehwal dan ekonomi mereka sendiri tetapi walaupun sudah bebas negara-negara ini tetap mempunyai hubungan yang tidak seimbang kerana kurang orang-orang yang berpengetahuan dan masih bergantung pada negara-negara bekas penjajah mereka dari segi ekonomi. Negara seperti Uni Sovyet menyalurkan banyak bantuan untuk pembangunan bekas-bekas koloni yang menyebelahinya dalam perlumbaan besar yang dinamakan Perang dingin ini dan banyak dari negara-negara ini yang pembebasannya digerakkan oleh kaum Kiri Komunis mengikut model pembangunannya tanpa mengambil kira dengan lebih kritis keadaan tempatan yang mempunyai keunikannya sendiri.

Muammar Gaddafi sebagai pemikir telah melihat kepentingan peranan agama dan budaya di Libya sebagai satu keunikan yang berakar dan menjadi penyatuan dasar masyarakat Libya dan pada masa yang sama melihat model ‘ Single Party Rule’ sebagai sesuatu yang bermasalah kerana sifat top-down -nya yang tidak demokratik dan menyatakan aspirasi massa rakyat. Dengan Gabungan Nasionalisme Arab yang awal, Kritikan kepada Sosialisme yang dipimpin Parti dan akar budaya sosio-agama telah melahirkan Third Universal Theory sebagai satu alternatif kepada alternatf yang sedia ada ( Sosialisme Sovyet) yang dikatakan lebih sesuai untuk sesuai masyarakat Dunia ketiga. Selain Buku Hijau, terdapat idea-idea lain yang menjadi Sosialisme atau Pembangunanisme Jalan Ketiga yang juga boleh dikaji secara perbandingan dengan Marhaenism di rantau ini.

Kepentingan mengkaji idea-idea pada masa yang lalu adalah tugas yang harus dibuat untuk melihat pencapaian dan batas sesuatu idea itu di zamannya dan mengutip intipati atau esensi (prinsip)nya untuk dikembangkan pada masa kini. Muammar Gaddafi sudah tiada tetapi idea-ideanya masih ada, idea-idea ini sesuatu yang sudah tentu mengancam elit-elit penguasa kalau dimobilisasi dan dijadikan popular untuk menghentam dan merobohkan kuasa mereka dalam sistem yang sedia ada. Kuasa rakyat melalui jamahariyah ini tidak akan membenarkan elit mengawal atau mempermainkan hidup mereka.

Ulasan

  1. http://hotbetqq.com/ Merupakan Situs Sbobet Bola Online Terpercaya, Agen Judi Taruhan Bola Terpercaya Di Indonesia dan Permainan Live Casino Online Terbaik Dengan Memberikan Segala Fasilitas Bonus Menarik Kepada Semua Pemain Dengan Pelayanan Yang Cepat Dan Ramah

    http://agenorientalcasino.rocks/ Merupakan Agen Oriental Casino, Agen Live Casino Terbaik dan Terpercaya Se Indonesia dengan menggunakan Server Oriental Game

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk