Langkau ke kandungan utama

Kisah Saya Pejuang Islam: Sebuah Ulasan


Oleh: Apis Cuer
Secara Keseluruhan
Dari muka depan buku ini, dapat dijangka bahawa terdapat banyak kisah yang menarik tentang Muslim radikal. Walaupun di situ tertulis Islam radikal, saya berpendapat bahawa tidak ada istilah Islam radikal, Islam jumud, Islam liberal atau Islam ekstremis. Ustaz Wan Ji Wan Husin yang membuatkan diri saya tersedar tentang ini. Islam adalah Islam. Lebih luas dari konteks tersebut dan bebas daripada unsur yang dinyatakan. Macam mana kita nak gabungkan Islam yang bermaksud aman dengan sifat radikal? Aman yang radikal? Atau aman yang jumud? Aman yang bebas? Aman yang ekstremis? Ia tidak dapat disatukan. Yang membawa suatu sifat itu adalah pemeluk agama Islam, iaitu Muslim.

Apa yang ditekankan di dalam buku ini adalah perjalanan menuju Islam dalam haluan yang lebih baik. Banyak rintangan yang dihadapi oleh Ed Husain. Bermulanya dari kisah waktu kecil. Dia seperti Muslim yang lain. Dia memiliki hubungan yang baik dengan cikgu dan orang lain walaupun berbeza agama. Sebenarnya dia hidup dalam persekitaran yang bahaya di Britain. Sekolah menengahnya juga bukanlah tempat yang selamat baginya sampaikan ada tabloid yang mengatakan bahawa sekolahnya itu sekolah yang paling teruk di Britain. Pernah juga sekolahnya terbakar di bahagian bangunan tambahan. Guru juga pernah melakukan protes kerana dilucutkan jawatan. Dan Ed, di dalam kekacauan itu dia lebih selesa menyendiri walaupun dibuli, dicaci dan disisih.

Yang beruntungnya si Ed ini, dia rajin membaca dan taat mendengar kata. Itu yang menjadi tunjang karakternya di dalam kisah ini. Bila datuknya (bukan datuk kandung, cuma dipanggil sebagai datuk kerana hormat kepada ilmu tentang Islam yang tinggi) datang, dia akan turut serta bersama ayahnya dan pengikut yang lain untuk menuntut ilmu daripada datuknya. Ed dipandang sebagai pengikut yang bagus kerana dia sering menolong datuknya dengan membawa buku-buku agama dan serban ke mana sahaja datuknya pergi. Ada masa datuknya akan mendengar bacaan al-Quran Ed dan memperbaiki jika ada kesalahan. Boleh kira rapat juga hubungan mereka berdua biarpun datuknya memiliki ramai pengikut. Ed begitu berminat untuk ketahui lebih lanjut bagaimana menjadi Muslim yang lebih baik. Maka dengan cara itu, Ed setia untuk menuntut ilmu dari datuknya. Namun ada beberapa perkara yang dia masih kurang faham bila datuknya berbicara tentang politik. Datuknya mengutuk keras ke atas Mawdudi dan gerakan yang dibawanya, Jamaatul Islami. Dia tidak mengambil berat bahagian itu kerana dia tidak kenal siapa mereka.

Sampai satu masa, dia rasakan bahawa dia perlu belajar tentang Islam di sekolah. Dia memohon di Jabatan Pendidikan Agama dan subjek itu diajar walaupun permintaannya begitu sedikit. Ini adalah kali pertama Ed mempelajari agama Islam melalui buku. Selalunya ibu bapanya mengajar dengan praktikal, tradisi lisan dan memberi contoh. Buku yang menjadi rujukan mereka pada waktu itu adalah Islam : Beliefs and Teachings oleh Gulam Sawar. Di sinilah titik permulaan keraguan Ed tentang Islam bermula. Sawar menyentuh tentang ‘negara Islam’. Dia tidak pernah tahu tentang wujudnya negara Islam kerana datuknya tidak pernah menyentuh tentang itu. Yang ironinya, Sawar bukan orang yang pakar dalam agama, seorang pensyarah pengurusan perniagaan. Tetapi bukunya dijadikan rujukan di dalam kelas Pendidikan Islam. Nampak di situ bahawa bukunya menyentuh tentang agama, tetapi terdapat mesej yang tertentu kerana terdapat pujian ke atas Jamaatul Islami dan reputasinya kelihatan baik sedangkan datuknya mengutuk Jamaatul Islami.

Abdullah Falik, sahabat sekelasnya merupakan adik kepada ahli Jamaatul Islami. Memang ditakdirkan untuk bertemu, dan di sinilah bermulanya pengembaraan baru jiwa Islam Ed. Dia dibawa ke masjid London Timur, tempat yang ayahnya katakan sebagai pusat ahli Jamaatul Islami berkumpul. Setiba sahaja di sana, dia rasakan suasana yang berlainan dan bertentangan dengan apa yang dijangka. Dia dilayan dengan baik. Malah rasa kagum dengan profesionalisme setiap orang di masjid tersebut. Bila berbincang dengan ahli yang lain, dia menanyakan tentang apa yang dia dengari sebelum ini. Mereka menjelaskan betapa serongnya tuduhan yang dilempar ke atas gerakan Jamaatul Islami dan membersihkan nama Mawdudi. Semakin banyak penjelasan yang diberi, semakin berminatlah si Ed dengan gerakan tersebut.

Cara pandangan Ed mulai berubah setelah mendalami dan menjiwai apa yang dinyatakan dalam karya Mawdudi. Ini bertentangan dengan haluan tradisional yang sebelum ini dia dan keluarganya ikuti. Jalan tradisional lebih kepada penyucian jiwa dan banyak berkait dengan perkara mistik. Mawdudi pula lebih kepada gerakan politik Islam yang mereka rasakan Islam itu perlu menyeluruh dan politik tidak terlepas darinya. Dari saat itu, dia kurang meluangkan masa bersama keluarganya. Dia lebih suka untuk aktif bersama gerakannya dari duduk di rumah. Hubungannya dengan ayah semakin rengang. 

Keadaan menjadi lebih keruh bila ayahnya terjumpa risalah politik di atas meja. Dengan penuh rasa marah ayahnya menjelaskan apa itu Islam. Ed menjadi keliru dan bingung. Jalan mana yang perlu diambil. Kedua-duanya jalan Islam, Cuma kini hatinya lebih sukakan jalan Mawdudi. Sahabatnya  pula mengkritik dan mengatakan bahawa keluarganya bukan orang Islam yang betul. Hatinya pula berat dan rasa bersalah meninggalkan keluarga. Kemudian dia mengambil keputusan untuk bersama dengan gerakan tersebut sampaikan dia tidak pulang ke rumah untuk beberapa hari. Namun, dia dihantar balik ke rumah atas perancangan orang lain. Yang mengejutkan ialah ibu bapanya pun mengalah dan tidak menghalangnya untuk melakukan apa  sahaja yang dia mahu.

Dengan kebebasan yang ada, dia semakin aktif bersama Falik. Gerakan mereka agak berdisiplin. Mereka mesti melaporkan setiap apa mereka lakukan seperti berapa kali solat di masjid, berapa banyak membaca al-Quran, berapa muka surat buku Islam dibaca, berapa banyak masa dihabiskan bersama keluarga, berapa jam yang diperuntukkan terhadap gerakan, berapa ramai ahli disasarkan untuk direkrut. Bagi sesiapa yang memiliki laporan yang tidak memuaskan, akan dipersoalkan dengan tegas dan diminta untuk menambah baik aktiviti harian mereka.  Dia dan Falik sentiasa di atas senarai siapa yang memiliki aktiviti paling banyak. Entah berapa banyak pembincangan telah diadakan, berapa banyak buku mereka telah baca, berapa kali penyebaran risalah yang provokatif, berapa kali hati ayahnya risau dan tersinggung dengan kelakuannya dan berapa ramai pengajar yang tidak berpuas hati dengan cara mereka menjalankan aktiviti.

Namun, ianya tidak berpanjangan setelah Ed bertukar hati dan berpindah kepada gerakan lain yang dia rasa ‘lebih Islam dan global’ iaitu Hizbut Tahrir. Dia terpukau dengan tahap intelektual mereka. Sepertinya mereka lebih mengetahui jalan yang lebih betul jika mahu dibandingkan dengan gerakannya sebelum ini. Secara tidak lansung, lain gerakan bermakna lain pemimpin yang harus diikuti. Kali ini dia banyak merujuk kepada Taqiuddin Nabhani. Di dalam Hizbut Tahrir, dia diajar dengan lebih mendalam bagaimana untuk membina negara Islam dari semua aspek tidak kira ekonomi, politik dan sosial. Maka, tidak hairan kenapa mereka begitu cekap bila diajak berdebat dan dengan senang mereka mematahkan mana-mana kenyataan dari pihak lawan. Pemikirannya semakin berubah dan ideanya lebih radikal jika mahu dibandingkan dengan yang dahulu. Dia hairan bagaimana dia boleh menjadi begitu jumud di waktu lepas.

Tetapi Ed adalah seorang pembaca yang bagus. Dia mulai meragui namun tidak berani menyuarakan apa yang dia rasa tidak kena. Ada perkara yang bercanggah di dalam gerakan tersebut. Pembacaannya luas dan dia ketahui bahawa sesetengah idea gerakan Islam itu sepertinya meniru daripada pemikiran orang lain dan diubah mengikut kerangka Islam menurut fahaman gerakan tersebut. Buat masa itu dia tidak menghiraukan dari siapa idea itu dicedok, yang penting negara Islam dapat dibina. Sehinggalah satu masa dia terpaksa meninggalkan Hizbut Tahrir setelah berlakunya kejadian yang di luar dugaan. Dia sangka apa yang dilakukan adalah tidak berbahaya sedangkan apa yang selalu dia sampaikan itu boleh melibatkan nyawa orang lain.

Pendapat Peribadi
1. Tentang Aktiviti Pengganas
                Terdapat satu kenyataan yang kuat tentang keganasan iaitu ia tidak datang dari agama. Memang sudah menjadi perdebatan lagi-lagi yang antara penganut suatu agama dan orang bukan penganutnya. Untuk kes ini, Muslim, dan bukan Muslim (tidak kira beragama lain atau atheist).  Lantas, apa-apa yang dilakukan oleh pengganas yang membawa panji Islam, Muslim akan mengatakan ,”Dia bukan penganut sebenar. Entah-entah gila. Kalau tak pun dari agama lain, buat di sebalik nama Islam”. Selepas itu, bukan penganut menunjukkan bukti itu dari agama tadi. Dan perbalahan ini berterusan.

Persoalannya, apa agama pengganas? Adakah betul untuk kita menyatakan semua pengganas adalah atheist? Kenapa kita terlalu sukar untuk terima kenyataan ada Muslim adalah pengganas?

Atheist lebih selesa menjauhkan diri dari semua yang berkaitan dengan agama dan kebanyakan daripada mereka percaya yang agama cumalah pencetus peperangan dan manusia mampu hidup aman jika tanpa agama. Konflik demi konflik disebabkan oleh pertembungan sejarah yang sentiasa rapat dengan setiap penganut agama menyebabkan mereka rasa adalah lebih waras meninggalkan agama bagi mengurangkan konflik yang ada. Namun kenyataan yang agama adalah punca utama peperangan tidak berapa kukuh. Kita boleh semak di Google dan lihat berapa peratus yang ada.

Bagaimana pula orang yang beragama dan berkelakuan baik boleh menyertai gerakan ini? Seperti cerita Ed, ada seorang lelaki Muslim berperwatakan baik yang dia pernah jumpa di kedai makan. Dia seorang pelayan. Lelaki itu melayani dia dengan sopan, dan menyenangkan hati. Namun selepas beberapa tempoh, Ed dapat tahu dia menjadi pengebom berani mati. Cerita seperti ini menunjukkan bahawa pengganas itu ada yang masih beragama Islam atau apa-apa agama, Cuma kebaikan mereka diambil kesempatan dengan memutar belitkan ayat kebenaran Islam.

Sama juga masa Ed meninggalkan keluarganya hanya untuk gerakan Islam. Sahabatnya menyuruh dia meninggalkan mereka kerana mereka ‘bukan Islam sepenuhnya’. Jika hendak dilihat betul-betul Islam menyuruh kita menyantuni kedua-dua ibu bapa dan mengikut suruhan selagi mana tidak bertentangan dengan agama. Apa yang dilakukan oleh Ed, sampai ibu bapanya sedih, mengamuk dan hampir tidak peduli dengan dia adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Perkara asas agama pun terlanggar dan bercanggah. 

Bila dia masuk ke dalam Hizbut Tahrir, solat pula tidak terjaga. Dan dia rasa hairan bila melihat orang lain memeluk Islam sebab terpukau dengan gaya politik mereka bawa. Mereka fasih berbahas tentang kepentingan negara Islam, tapi asas agama tidak kukuh. Sedangkan solat pun diambil ringan, inikan perkara lain. Mereka melihat asas itu hanyalah hal peribadi. Adalah ironi bila gerakan yang membuat kenyataan membina negara Islam tanpa mengambil kisah tentang isu-isu rohaniah dan keberkatan dari Tuhan.

Apa puncanya semua ini? Kalau nak kata tidak ada asas agama yang kukuh, rasanya Ed, sudah dari kecil dididik dengan begitu baik, sampaikan menjadi begitu rapat dengan datuknya. Baca al-Quran, solat, zikir sudah dipelajari. Kalau nak kata dari golongan yang susah, Ed datang dari keluarga sederhana. Kalau nak kata dari orang yang jahat, perwatakan Ed adalah berlawanan dengan kenyataan tadi.

Kebanyakan Muslim yang menyertai gerakan seperti ini adalah golongan muda. Mereka memang mengambil berat tentang Muslim yang lain. Dengan atas nama belas kasihan kepada sesama Muslim, ada gerakan mulai mengambil kesempatan kebaikan dan ketaatan Muslim yang kebanyakannya dogmatik (taat secara membabi buta) untuk menjayakan misi mereka. Kebetulan pula sifat anak muda lebih agresif jika mahu dibanding dengan orang yang lebih berumur. Darah muda inilah yang membuatkan mereka cepat beremosi, biarpun tahap pendidikan dan kebijaksanaan mereka tentang Islam lebih tinggi.

Benda yang menonjol dalam setiap gerakan, mereka mesti ada seorang penulis atau tokoh pemikir yang memiliki penulisan yang baik dan memukaukan menuju ke arah misi mereka. Memang di dalamnya akan ada cerita tentang nabi dan ayat-ayat al-Quran. Cuma penafsirannya banyak bergantung kepada cara mereka. Mereka merasakan orang Muslim kebanyakannya adalah bukan ‘Islam sebenar’ dan mereka mampu mengubah dunia dengan cara mereka. Itu yang buatkan mereka rasa sentiasa betul, cepat menghukum dan rasa lebih mengetahui.

Sesiapa yang pertama kali mendengar atau membaca kenyataan gerakan tersebut, samada mereka akan menjadi teruja atau jijik. Untuk kes Ed, dia teruja. Buat kali pertama dia rasakan apa yang dinyatakan oleh gerakan itu benar dan sepertinya membuka minda Ed.

“Kenapa tidak ada pembincangan ‘negara Islam’ dalam keluarganya? Kenapa hanya berdiam diri bila Muslim lain ditindas? Kenapa mesti tunduk dengan negara barat?”

Persoalan semacam inilah yang mendorong Ed untuk menggali lebih dalam karya tokoh yang disanjung oleh satu gerakan tersebut. Semakin lama, semakin ‘berkait dan benar’ apa yang dinyatakan. Kemudian, cara menyelesaikan masalah akan diberi. Cara penyelesaian inilah yang menjadi masalah besar. Ia boleh sampai meragut nyawa. Mungkin penyelesaiannya betul dan yang membuatkan ia salah adalah penafsiran cara untuk mendapatkannya.


2.  Tentang Buku Ini

Buku ini bagus sebagai pemula untuk sesiapa yang ingin mengetahui bagaimana satu gerakan Muslim radikal berjalan. Ceritanya boleh kira dramatik, penuh dengan emosi dan menyeronokkan (bagi sesiapa yang berminat dengan gaya gerakan radikal). Kalau buat filem, memang macam filem Britain seperti This Is England di mana Combo begitu taksub dengan perjuangannya. Ada masa mereka bergaduh, berdebat, memperbodohkan orang lain, konflik dalaman, lain masjid lain golongan dan macam-macam lagi. Masa itu dia masih muda. Cerita mana tak seronok kalau tengah darah panas? Janganlah bayangkan budak skema. Bayangkan orang yang taksub dan teruja untuk mengubah dunia dengan gerakan mereka sendiri. Ha. Jangan lupa loghat orang London. Nasib buku dalam bahasa Melayu. Kalau bahasa Inggeris, mungkin lebih kuat impak ceritanya.


Kalau boleh, rajin-rajinkan Google sendiri jika terjumpa mana-mana orang penting dalam gerakan atau terma yang kurang jelas maknanya. Dapat tengok muka orang yang dia sebut akan mempermudahkan imaginasi membayangkan tentang cerita dia nanti. Ini akan membantu diri untuk lebih memahami tentang cerita Ed. Banyak nama orang yang dia sebut dan ianya masih ada kaitannya sampai ke hari ini. Mungkin ada yang tidak ada gambar. Kalau macam Syed Qutb, atau mana-mana penulis, Google. Dari situ boleh menambah senarai buku yang mahu dibaca. Apa-apa pun, buku ini memang bagus dan padu! 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk