Langkau ke kandungan utama

(Malcolm) X Untuk Pemula




                                                              
“every saint has as past, and every sinner has a future” (Oscar Wilde)



P
ada dekad terakhir abad ke-20, Malcolm X menjadi seorang watak yang sangat luar biasa. Generasi-generasi yang lahir selepas Malcolm X masih memperdebatkan warisan spiritualnya. Auranya yang begitu cemerlang hingga sering kali menenggelamkan organisasi yang Malcolm X selamatkan dari kemunduran, tetapi kemudian mati ditinggalkannya: Nation of Islam.
Malcolm lahir dalam keluarga yang biasa-biasa sahaja sebenarnya. Tidak ada apa-apa yang terlalu menakjubkan ketika kelahirannya. Dia seorang bayi kulit Hitam yang biasa ketika dilahirkan. Dia juga menangis seperti bayi-bayi lain yang baru lahir. Ketika kecil, dia juga makan dan minum seperti kanak-kanak lain. Tidak ada malaikat yang datang membelah jantungnya. Dia bukan seorang yang terlalu luar biasa. Nothing special, kata orang putih.
Jadi apa yang menariknya tentang Malcolm X?
Kerana dia dilahirkan sebagai seorang yang terlalu biasa, tetapi matinya Malcolm sebagai seorang yang luar biasa.
Berapa ramai orang yang mempunyai masalah, tetapi melarikan diri dari masalah, telah kalah sebelum kalah?
Berapa ramai orang yang mempunyai masalah, tetapi hanya menyalahkan diri sendiri, pasangan, keluarga, Tuhan, tetapi tidak melawan masalah itu mati-matian?
Berapa ramai orang yang mempunyai masalah, tetapi hanya berteriak ‘why my?’ bukan menyatakan, ‘try me’?
Dan itu antara perwatakan Malcolm X, seorang yang bermasalah, yang membezakan dengan jutaan lagi manusia yang bermasalah.
Dia seorang pendosa, pencuri, perompak, kaki gaduh, kaki kelab malam, samseng jalanan….. apa lagi?
Seorang Malcolm mengajarkan kepada kita bahawa kita tidak boleh mengubah masa lalu kita. Masa lalu, biarkan ianya terus berlalu. Masa depan? Kita belum tahu. Yang ada di tangan kita cumalah masa sekarang, dan Malcolm telah mengubah lencongan hidupnya 180 darjah menjadi seorang yang sangat berjasa pada umat manusia, sekurang-kurangnya pada masyarakat kulit Hitam khususnya. Seluruh masyarakat kulit Hitam dan dunia ketiga wajar terusik dengannya.
Sedangkan, dia tak berhutang apa-apa pun kepada kita, kepada masyarakatnya. Dia telah dirosakkan oleh masyarakatnya. Dia telah dirosakkan oleh sistem yang telah merosakkan masyarakatnya. Dia tak berhutang apa-apa pun. Jika dia rosak, itu adalah salah masyarakatnya, itu adalah salah sistem, dia bukan nabi. Tuhan tidak mengutuskan Malcolm untuk menjadi nabi. Jibril tidak datang memeluk seorang Malcolm. Dia cuma seorang lelaki yang terkutuk menjadi kulit Hitam. Kenapa dia kena melawan? Kenapa dia kena mempedulikan? Kenapa dia tidak menjadi seorang manusia kulit Hitam yang pergi kerja, balik kerja, tidur, makan, berak, jadi mak bapak, beranak dan mati?
Kerana dia Malcolm X!
Dia memilih untuk menjadi lilin, membakar dirinya untuk menerangi jutaan manusia lain. Dia memilih untuk menjadi korban kepada kegelapan masyarakatnya.
Selepas dia mendapat pencerahan pertama, seorang Malcolm tinggal dalam kehidupan yang penuh asketiknya (tak mempunyai rumahnya sendiri) sementara rakan-rakan seperjuangan semakin kaya raya, ya inilah antara ciri-ciri revolusioner sejati, sekaligus naif! Dia sampai tak sempat memikirkan tentang dirinya sendiri, hidupnya diwakafkan untuk memperjuangkan nilai-nilai hidup yang baru!
Lihatlah, bila dia bertentangan dengan Elijah Muhammad, berapa ramai yang bersamanya? Ternyata ini adalah pertimbangan-pertimbangan yang tak pernah dipertimbangkan oleh seorang Malcolm. Dia terlalu percayakan mentornya, dia tidak percayakan kepada pengkhianatan. Dia menyangka dalam perjuangan semuanya serba suci. Dia adalah seorang yang optimis setelah masuk Islam. Dia tidak menyangka bahawa oportunis berada di mana-mana. Dan kadangkala dalam banyak keadaan, orang-orang di jalanan adalah lebih jujur (terlebih berterus-terang) dari orang yang mendakwa-dakwi mereka dekat dengan langit.
Malcolm berbeza dengan kebanyakan revolusioner-revolusioner lain. Dia tak sebanding Gramsci, pemikir Komunis Itali, yang terkenal dengan idea tentang Hegemoninya. Malcolm tak sempat mengenyam pendidikan sampai menjadi seorang doktor revolusioner yang masuk hutan seperti Che, dia tak mempunyai pengetahuan agama yang mendalam untuk digabungkan dengan sosiologi seperti Syari’ati, dia tak mempunyai berbuku-buku teori tentang revolusi, dia cumalah seorang negro jalanan yang mahu mengubah masa hadapan.
Malcolm adalah seorang lelaki yang berkeliaran di lorong-lorong hitam, teraba-raba dalam kegelapan masyarakatnya yang terabai-abai tak dipedulikan, kerana warna kulit mereka tersisih. Dia adalah seorang anak Afrika yang tercari-cari jalan pulang, sama ada menaiki kapal wap Marcus Garvey, kapal NOI, atau kapalnya sendiri!
Malcolm membuktikan bahawa anak jalanan, yang terbiar tanpa bentukan ibu dan ayah, tanpa pendidikan tinggi, didekam lama dalam penjara, boleh menjadi seseorang yang sangat berpengaruh. Syaratnya, dengan kerajinan yang luar biasa, kau boleh mengatasi sesiapa sahaja,

Malcolm X dan Revolusi
M
alcolm X selepas perjalanan panjangnya ke Negara-negara dunia ketiga yang lain, telah memperluaskan lagi wawasan perjuangannya. Ianya bukan lagi semata-mata tentang mereka yang berkulit Putih dan mereka yang berkulit Hitam, tetapi ianya adalah tentang sistem yang mengeksploitasi mereka-mereka yang diperhambakan.
Bagi seorang Malcolm, perhambaan bukan datang sepihak. Perhambaan bukan bertepuk sebelah tangan. Malcolm mengatakan ada dua jenis negro. Satu negro bela, dan kedua negro padang. Yang satu tinggal di rumah besar dan lebih melayani tuannya yang berkulit Putih berbanding keluarganya sendiri. Sementara negro padang, yang tinggal di luar, di alam bebas, berusaha dengan segala cara agar dapat melukai tuan besar kulit Putih.
Negro bela adalah negro yang dibela oleh tuan kulit Putih. Negro bela lebih menyayangi tuan kulit Putihnya lebih dari dirinya sendiri.
Malcolm X menyentuh tentang perkataan ‘revolusi’ yang begitu mudah dilafazkan tetapi begitu sulit untuk terwujudkan. Ianya seolah perkataan-perkataan hipster pada babad moden ini. Tetapi berapa ramai orang yang menyedari kesan dan akibat revolusi? Berapa ramai yang bersedia?
Malcolm bertalu-talu menghentam pendekatan nonviolent[1] (pendekatan popular saingannya, Dr. Martin King) yang terlalu bersifat aman damai. Latar kelas dan latar belakang antara keduanya perlu diambil kira sebelum menghukum Malcolm secara semberono, Malcolm lahir dalam keluarga kulit Hitam yang dirosakkan oleh masyarakat kulit Putih racist, Ku Klux Klan dan Black Legion khususnya. Di sekolah dia digagalkan oleh gurunya secara sengaja. Dia didiskriminasi kerana warna kulit. Sementara seorang Martin King lebih bernasib baik kerana tak perlu menjadi samseng jalanan, pencuri atau perompak seperti Malcolm, kerana segalanya telah tersedia. Perkiraan latar adalah sesuatu yang perlu diambil kira dalam menganalisis corak dan pendekatan seseorang aktivis tersebut. Malcolm tidak gentar untuk bercakap tentang self-defense (pertahanan diri) by any means necessary (dengan apa cara sekalipun), membezakan dirinya dengan seorang Martin King yang masih berbolak-balik dengan pendekatan nonviolentnya.






[1] Perkataan nonviolent tidak diubah dalam ulasan ini, mengenangkan ketidaklinciran kami untuk menyebutkan sekaligus memahamkan, akan membuatkan para pembaca sulit untuk memahaminya. Nonviolent bermaksud pendekatan yang tidak menggunakan kekerasan. Dan sebenarnya sudah ada perbahasan yang cuba membezakan di antara violent (kekerasan) dan power (kekuasaan).

Ulasan

  1. Wow. Aku suka part dia dilahirkan dgn sifat revolusioner yg sejati .

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk