Langkau ke kandungan utama

Ulasan buku Raja-Raja Melayu: Kemajuan atau Kemunduran?


((Sdr. Ashraf Idris))
Krisis perlembagaan yang berlaku sekitar tahun 90an dan rentetan salah laku Raja telah memaksa Syed Husin Ali menulis beberapa artikel berkaitan isu ini. Buku ini merupakan salah sebuah tulisan beliau yang diterbitkan pada tahun 1993 dengan judul Isu Raja dan Pindaan Perlembagaan. Pada tahun itu berlaku kontroversi berkenaan cubaan kerajaan untuk membataskan kuasa raja-raja melayu yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad. Buku ini kemudiannya dikemaskini dalam bahasa inggeris pada tahun 2013 dan diberi judul yang baru iaitu The Malay Rulers: Regression or Reform? 

Asal-usul Raja-raja Melayu
Syed Husin Ali memulakan tulisan beliau dengan membawa kita kepada sejarah asal usul Raja-raja melayu. Mengikut lagenda seperti yang diriwayatkan dalam Sulalatus Salatin, Raja Melayu yang mula-mula muncul dalam dunia melayu ialah Sri Tri Buana. Menurut legenda, dia muncul daripada muntah seekor lembu. Menurut kepercayaan Hindu, lembu adalah binatang suci, dan dalam sejarah awal orang Melayu, mereka menerima pengaruh kuat daripada budaya Hindu. Adalah dipercayai bahawa Sri Tri Buana merupakan keturunan Iskandar Zulkarnain.

Dikisahkan juga bahawa Sri Tri Buana ingin memperisterikan anak Demang Lebar Daun, yang boleh dianggap dikalangan rakyat sebagai ketua mereka dalam daerah Palembang. Sri Tri  Buana yang sebelum ini telah memperisterikan 39 orang wanita telah meninggalkan kesemua isteri-isterinya kerana mereka telah ditimpa penyakit. Demang Lebar Daun sanggup menyerahkan anaknya kepada Sri Tri Buana tetapi dengan satu perjanjian. Maka terhasillah perjanjian seperti berikut:

Demang Lebar Daun menyatakan: “Adapun Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak-cucu Duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanyapun, jangan difadhihatkan dinista dengan kata-kata yang jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum syarak.”

Jawab Sri Tri Buana: “Akan pinta bapa itu hamba kabulkan, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba. Hendaklah pada akhir zaman kelak anak-cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.”

Maka sembah Demang Lebar Daun: “Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patikpun mengubahkanlah.” Jawab Sri Tri Buana, “Baiklah, kabullah hamba akan wadat itu.”

Maka bagindapun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubahkan perjanjian itu dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, kaki tiang ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah pada segala Raja-raja Melayu, tiada pernah member aib pada segala hamba melayu. Jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat. Jikalau ada seorang Raja member aib seorang hamba melayu, alamat negeri akan binasa.

Perjanjian ini boleh dikatakan titik awal kepada permulaan sikap taat membuta tuli kepada Raja dan sentimen derhaka dimainkan. Raja pada ketika itu tidak boleh kelihatan lemah atau memberi aib kepada rakyatnya dengan dihukum. Raja hanya boleh dihukum bunuh jika sabit dosa besar mengikut hukum syarak. Jika raja bersikap tidak adil, itu bukan tanda zalim sebaliknya ia tanda rakyat mendapat sial. Rakyat pula tidak dibenarkan derhaka sekalipun Raja bertindak zalim dan jahat. Konsep derhaka ini memang kuat pengaruhnya hingga ke hari ini. Pada perjanjian ini dapat disimpulkan bahawa walaupun Islam sudah datang pada ketika itu, namun pengamalannya masih belum kuat. Pengaruh Hindu yang menganggap Raja sebagai Dewa sedikit sebanyak memberi kesan kepada corak perjanjian tersebut.

            Sikap keterlaluan dalam menyanjung Raja ini dibuktikan pula dengan bahasa yang digunapakai ketika rakyat berkomunikasi dengan Raja. Contoh yang dikemukakan adalah “patik”, “duli” dan “sembah”. Istilah ‘patik’ bermakna hamba-abdi atau kadang-kadang digunakan juga untuk merujuk anjing. Mengapa rakyat perlu meletakkan diri pada kedudukan begitu rendah di hadapan raja? Kata ‘duli’ pula membawa makna kaki (Sanskrit). Mengapa masih perlu menggunakan ‘memohon ampun’ dan ‘menjunjung duli’? Penggunaan ‘sembah’ (worship) mungkin lanjutan daripada kepercayaan bahawa raja adalah umpama Tuhan. Sepatutnya, dalam Islam, hanya Allah layak disembah. Begitu juga dengan istilah Yang Dipertuan Agong yang jelas menggambarkan sifat hamba abdi rakyat yang keterlaluan dalam menyanjung Raja.

Setelah Islam mula berkembang, Raja-raja Melayu tidak lagi ditaat membuta tuli. Ini dapat dibuktikan melalui kisah pembunuhan Tun Besar. Dikisahkan bahawa Tun Besar, anak kepada Bendahara Tun Perak telah bermain sepak raga bersama anak Sultan Mansur Shah iaitu Raja Muhammad. Beliau telah membunuh Tun Besar kerana marah bola raga yang disepak oleh Tun Besar terkena kepalanya. Berita ini sampai ke telinga Bendahara lalu beliau menentang perbuatan ini dihadapan Sultan Mansur Shah. Akibat penentangan ini, Raja Muhammad disingkir dan tidak menjadi Raja.

Kesan Penjajahan

Penjajahan di Tanah Melayu merupakan faktor penting berlakunya pengurangan kuasa-kuasa Raja terutamanya pada zaman penjajahan British. Setelah Melaka jatuh pada tahun 1511, sistem politik Melayu menjadi terpecah dan kucar kacir. Timbul pada ketika itu ramai Raja dan masing-masing mempunyai pengikut dan kawasan jajahan masing-masing. Pada abad ke-19, kegiatan perlombongan bijih timah semakin meluas terutamanya di negeri Perak dan Selangor. Pembesar Perak telah membawa masuk pengusaha Cina untuk membuka lombong tersebut dan pengusaha Cina ini pula membawa kongsi gelap mereka bersama. Antara kongsi gelap yang terkenal pada ketika itu ialah Hai San dan Ghee Hin.

            Perebutan kuasa antara Raja Abdullah dan Raja Ismail telah mengheret dua kongsi gelap ini untuk turut terlibat dimana puak Hai San menyokong Raja Ismail manakala puak Ghee Hin pula menyokong Raja Abdullah.  Setelah Raja Abdullah tewas dalam perebutan kuasa ini, beliau akhirnya menulis surat kepada Gabenor British untuk campur tangan. Surat ini memberikan peluang baik kepada British untuk mengambil kesempatan. Akhirnya Perjanjian Pangkor terhasil dan Raja Abdullah dilantik sebagai Sultan. Namun mengikut syarat perjanjian, Sultan hendaklah menerima seorang Residen yang akan menjadi penasihat kepada Sultan mengenai semua hal pemerintahan kecuali agama Islam dan adat istiadat orang Melayu. Selepas Perak, sebuah demi sebuah negeri Melayu dimasuki penjajah yang secara tidak lansung merupakan pengakhiran kuasa Raja-raja Melayu sebagai pentadbir negara.

            Pembesar-pembesar Melayu yang sebelum ini bermusuh, bersatu kembali menentang British. Kemuncak penentangan mereka ialah ketika gagasan Malayan Union ditubuhkan dimana British merancang untuk menghapuskan kuasa Raja-raja Melayu. Pada ketika ini lah munculnya UMNO sebagai pertubuhan yang menyatupadukan orang Melayu dan mengembalikan kedaulatan Raja. Konsep ketaatan kepada Raja yang sebelum ini berlaku kerana takutkan bala dan azab akibat derhaka beralih kepada takutnya hilang ketuanan Melayu. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Raja tidak lagi berkuasa dalam soal pemerintahan sebaliknya ahli politik mengambil alih tugas tersebut. Raja-raja Melayu tidak dibenarkan terlibat dalam urusan politik dan perniagaan.

Salah laku Raja
Konflik yang muncul berkaitan salah laku Raja dan pertelingkahan antara golongan Raja-raja Melayu dan “pemerintah” (Umno-Barisan Nasional) sejak negara mencapai kemerdekaan tentu sahaja tidak akan dapat dibaca dalam buku teks di sekolah, kolej dan universiti tempatan. Syed Husin Ali telah membawa beberapa kes pertelingkahan Raja dan Menteri Besar (MB) antaranya di Perak, Terengganu, Pahang dan Kelantan. Sultan Terengganu dan Pahang misalnya mempunyai rekod hubungan buruk dengan MB masing-masing berikutan isu balak. Mereka meminta kawasan balak namun tidak diendahkan oleh MB. Desakan dari Sultan kemudiannya telah memaksa kerajaan persekutuan yang diketuai Perdana Menteri untuk campur tangan. Hasilnya, mereka terpaksa tunduk kepada kehendak Sultan.

Perdana Menteri juga tidak terlepas dari masalah ini. Dr Mahathir Mohamad misalnya mempunyai hubungan yang tidak baik dengan Agong pada ketika itu apabila kerajaan telah membuat percubaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1983. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa tindakan itu khabarnya terpaksa dilakukan oleh Mahathir sebelum Sultan Johor yang sukar dikawal itu menjadi Agong. Namun usaha itu telah dibantah oleh Majlis Raja-raja Melayu, DAP, Pas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang lain. Mahathir terpaksa membatalkan usaha itu. Parti pembangkang turut membantah usaha kerajaan pada ketika itu kerana bimbang penguasaan tanpa had kerajaan Barisan Nasional yang memiliki lebih 2/3 kerusi di Parlimen. Lagi pula, pindaan ini boleh memberikan kuasa yang lebih besar kepada Mahathir dan dengan senang boleh menimbulkan pemerintahan bercorak kuku besi.

Bagaimanapun, sedikit pindaan berjaya dibuat pada Perkara 66 (4A) tanpa meminta persetujuan Majlis Raja-raja Melayu. Mengikut pindaan ini, Agong hendaklah memperkenankan rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dalam tempoh 30 hari. Jikalau Agong berkenan, maka rang itu berkuatkuasa sebagai undang-undang selepas tamat tempoh tersebut. Sebaliknya jika Agong tidak bersetuju, maka beliau hendaklah mengembalikan undang-undang tersebut (selain daripada undang-undang kewangan) kepada Parlimen dengan kenyataan menjelaskan sebab-sebab tidak disetujui. Parlimen hendaklah membincangkan sekali lagi mengembalikannya semula kepada Agong. Kali ini rang itu akan menjadi undang-undang walaupun tidak diperkenankan oleh Agong dalam tempoh 30 hari.

Pada tahun 1992, negara dikejutkan dengan peristiwa Douglas Gomez, guru dan jurulatih hoki pasukan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) yang dipukul dan dicederakan oleh Sultan Johor, Tengku Mahmud Iskandar Shah di Istana Bukit Serene pada 30 November 1992. Ceritanya bermula pad Julai 1992 apabila Tengku Bendahara Johor iaitu Tengku Abdul Majid telah dituduh memukul dan mencederakan penjaga gol hoki Perak selepas perlawanan di antara Johor dan Perak. Pertemuan separuh akhir itu menyaksikan pasukan Johor mengalami kekalahan. Kemenangan Perak dicapai menerusi  pukulan penalti selepas penjaga gol Perak berjaya menyelamatkan pukulan Tengku Majid, anak kedua Sultan Johor. Mengikut alasan yang diberikan, kononnya Tengku Majid marah oleh kerana penjaga gol itu menari-nari meraikan kejayaannya menyelamatkan pukulan Tengku Majid.

Beberapa akhbar tempat telah menyiarkan secara besar-besaran peristiwa ini. Persatuan Hoki Malaysia juga telah menggantung Tengku Majid selama lima tahun daripada sebarang pertandingan. Akhirnya Sultan Johor bertindak balas dengan mengarahkan supaya pasukan MSAB ditarik keluar dairpada pertandingan hoki tersebut. Tindakan ini dikritik Douglas Gomez selaku jurulatih pasukan MSAB. Ekoran dari itu, beliau telah dibawa ke Istana Bukit Serene dan dibelasah oleh Sultan Johor.

Parlimen telah membahaskan isu ini dan sebulat suara bersetuju untuk meminda perlembagaan berkenaan imuniti Raja-raja Melayu dari sudut undang-undang. Kerajaan mula mengungkit kembali peristiwa Sultan Pahang dan isu balak untuk menaikkan sokongan rakyat kepada usaha kerajaan ini. Utusan Malaysia ketika itu memberikan ruang yang tidak terbatas kepada Syed Husin Ali untuk menulis dan mengkritik tentang salah laku Raja walaupun beliau dari parti pembangkang. Pindaan yang dicadangkan Mahathir melibatkan Perkara 181 (2) dan telah membuatkan raja/sultan kehilangan banyak kuasa. Soalan yang timbul adalah mengapa Umno yang diasaskan demi mempertahankan kedudukan dan kuasa Raja-raja Melayu kini menjadi punca raja/sultan kehilangan imuniti? Kata Syed Husin Ali “Beberapa pemimpin Umno dan pengarang beberapa akhbar yang bekerjasama dengan mereka mengemukakan hujah bahawa Raja-raja Melayu sudah tidak terlalu penting kerana Umno lebih mampu mempertahankan ketuanan dan hak istimewa orang Melayu,

Kesimpulan
Pada akhir bab buku ini, Syed Husin Ali telah membuat perbandingan sistem beraja di beberapa buah negara. Kebanyakan negara yang sebelum ini memiliki Raja telah pun berjaya digulingkan oleh rakyatnya sendiri. Antara negara tersebut ialah Perancis, Iran, India dan Indonesia. Dalam kes England dan Jepun pula, usaha ditumpukan kepada menentang sistem feudal dan memusnahkan saki bakinya, akan tetapi tanpa menghapuskan institusi Raja. Mereka sangat bernasib baik apabila dilanjutkan hayat mereka sebagai raja berperlembagaan, walaupun berlaku revolusi anti feudal di negara masing-masing. Terdapat juga beberapa negara yang masih menggunakan sistem Raja sehingga sekarang seperti Saudi, Kuwait, Oman dan Brunei yang asalnya dibentuk oleh penjajah barat.

            Di Malaysia belum nampak tanda atau agenda politik untuk menghapuskan institusi Raja. Bahkan semasa pindaan perlembagaan dibentangkan oleh kerajaan dalam Parlimen pun tidak disentuh mengenai perlunya menghapuskan institusi Raja kerana tidak dibenarkan. Raja Melayu dianggap sebagai benteng bagi melindungi kedudukan istimewa orang Melayu. Mereka beranggapan ini sangat penting untuk membantu mempertahankan kedudukan tinggi masyarakat melayu yang tercicir dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan dan ekonomi. Disinilah kelemahan ketara yang ditonjolkan masyarakat melayu apabila sikap kebergantungan kepada Raja dipamerkan. Mereka seharusnya berusaha lebih kuat untuk bersaing dengan etnik lain. Hanya dengan demikian baru mereka boleh dihormati dan disegani.

            Kita tidak dapat meramalkan apa yang akan terjadi kepada Raja-raja di Malaysia kelak. Adakah mereka akan terus memerintah dan untuk berapa lama lagi? Sebuah lagi persoalan yang perlu dijawab ialah sejauh manakah fungsi Raja di Malaysia ini memberi impak pada kelancaran pentadbiran negara? Jika institusi ini gagal memberi kesan, sudah pasti berbillion peruntukan kewangan yang disalurkan pada mereka boleh dianggap membazir sedangkan ramai lagi rakyat miskin yang tidak dibela.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk