Langkau ke kandungan utama

'Social Roots of the Malay Left'


SOCIAL ROOTS OF THE MALAY LEFT

pada 16hb Disember 2014 pukul 8.32 ptg
Penulis: Rustam A Sani
Terbitan: The Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) 2008

#ringkasannota #socialroots

Buku ini sebenarnya adalah hasil daripada kajian peringkat Master of Arts di Fakulti Sains Sosial, Universiti Kent di Canterburry pada 1975. Sedikit sahaja perubahan dilakukan di peringkat akhir penerbitan buku ini.

Buku ini terbahagi kepada beberapa tajuk:
  1. The Nature of The Malay Left
  2. Malaya in the 1930s: Setting for the Roots of Malay Political Development
  3. The Kesatuan Melayu Muda (KMM) as the Origin of The Malay Left
  4. The Emergebce of The Non-Traditional Elites
  5. Melayu Raya: The Nation of Intent
  6. Conclusion

Buku ini diulas mengikut pandangan penulis Rustam A Sani dan saya hanyalah menulis nota ringkasan dan bukanlah dari pandangan saya ataupun membuat sebarang #ulasbuku mengenai buku ini. Apa yang saya cuba lakukan adalah untuk mengutip seberapa banyak maklumat dari pandangan beliau untuk memudahkan saya memahami sejarah perjuangan golongan kiri di Malaysia. Buku ini sebenarnya menakrifkan golongan nasionalis yang berbeza dengan struktur tradisi sebagai kiri dan bukanlah berdasarkan idealogi kiri yang dipakai oleh barat dan kini di Malaysia.

Saya terpaksa mencampur adukkan bahasa Inggeris di dalam ulasan bahasa Melayu saya kerana ketidakupayaan saya menterjemah di dalam masa yang singkat ini. Berkemungkinan besar, saya akan cuba menterjemahkannya di lain masa. Lagipun, ini adalah pekerjaan percuma dan saya sudah malas. “#Denganizin” terpaksa saya gunakan untuk keseluruhan artikel ini kerana saya malas untuk menulis “dengan izin” berpuluh kali untuk setiap kali bahasa Inggeris digunakan.



1. The Nature of The Malay Left 

Takrifan “Malay Left” telah diambil mudah kerana di dalam konteks politik Malaysia. Ini kerana, ia merupakan lebih bersifat “communal” berbanding “idealogy”. Kenyataan Tilman bahawa politik bercorak “non communal” di Malaysia Barat sebenarnya tidak wujud turut dipersetujui beliau. Ia bukanlah bersandarkan kepada idealogi sosialis dan komunis yang dipelopori oleh Marx, Engels mahupun Lenin/

Bagi pengkaji politik di Malaysia, terma “Malay Left” sebenarnya merujuk kepada kumpulan, organisasi atau parti politik secara khusus iaitu KMM (Kesatuan Melayu Muda), PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), PUTERA dan Partai Rakyat Malaya (PRM). Penulis buku ini tidak menyebut pula penglibatan Melayu di dalam Parti Komunis Malaya walhal, takrifan Melayu Kiri sangat tepat untuk mereka.

Pengkajian ini juga berlandaskan dua aliran utama, UMNO dan aliran “kiri” yang disebut tadi.

1.1 Malay Political Development Before World War II
Secara umum, sejarah politikal melayu adalah pendek dan kurang matang. Namun begitu sebanyak 147 surat khabar Melayu diterbitkan sejak 1876 – 1941. Antaranya:
  1. Jawi Peranakan
  2. Tanjung Pengeri
  3. Seri Perak
  4. Jajahan Melayu
  5. Jambangan Warta
  6. Dan yang utama, Al-Imam yang mendapat pengaruh dari Muhammad Abduh di Mesir.

Pertembungan di antara pergerakkan pembaharuan Islam ini dengan monopoli kuasa dari kuasa politik tradisional yang terdiri daripada golongan aristokrat dan golongan agamawan tradisi (establishment). Pertembungan di antara kaum muda (Innovators) dan kaum tua (establishment) menyebabkan jurnal “Pengasuh” diterbitkan di Kelantan oleh kaum tua untuk menentang pengaruh kaum muda ini.

Sungguhpun begitu, pengaruh kuasa kaum muda sungguh kuat di negeri-negeri Pulau Pinang dan Singapura di mana pemerintahan British lebih jelas berbanding di negeri-negeri yang diperintah oleh golongan aristokrat.

KMS (Kesatuan Melayu Singapura) ditubuhkan pada May 14, 1926 dibawah kepimpinan Muhammad Eunos b Abdullah. Pengaruh politik Melayu di bandar-bandar besar terutamanya di Singapura sangat kecil dan bersifat minoriti. Perjuangan KMS ini sangat sensitif dengan perjuangan orang Melayu yang menjadi “hamba” atau “pekerja” kepada bangsa asing. Beliau dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Singapura. Sir Raja Chulan (Perak), Dato’ Undang Rembau (N Sembilan), Raja Muda Perak, Sir Dato Onn (Johor) turut dilantik bagi mewakili kawasan masing-masing. Perwakilan ini walaubagaimanapun tertakluk di dalam skop pemerintahan kolonial British dan berbanding dengan Singapura, wakil-wakil ini tidak mewakili pertubuhan politik Melayu.

Hanya pada pertengahan 1930an, ketika zaman “Depression” dan lambakan pendatang dari China dan India, Melayu mula mengambil perhatian kepada politik dan kebanyakkan pertubuhan yang tertubuh pula lebih kepada pertubuhan kebajikan yang bersifat setempat dan tidak seperti KMS. Dari segi kepimpinan pula, ia masih lagi terhad kepada golongan aristokrat yang bertindak sebagai kebajikan borjois. Krisis kepimpinan yang bebas dari pengaruh British ini dapat dilihat di dalam Persatuan Melayu Perak dan Persatuan Melayu Pahang. Hanya Persatuan Melayu Selangor sahaja yang dilihat memiliki kepimpinan yang berkaliber di mana Tengku Ismail telah pencen sebagai pegawai kerajaan British. Kesemua persatuan yang bersifat setempat ini memiliki kuasa terhad kepada kekuasaan pemerintahan kesultanan Melayu di sesebuah negeri.

Suka saya memetik kata-kata Tengku Ismail sebagai pengajaran kepada kita semua:

“Pemerintahan British boleh diumpamakan seperti air. Seseorang itu akan lalai kerana boleh mendapatkannya di mana-mana. Dan apabila dia berada di gurun di mana air susah didapati, barulah seseorang itu merasakan betapa bagus, betapa bermanfaat dan berharganya air. Begitulah juga dengan pemerintahan British. Sekiranya mereka membiarkan kepada kita, barulah kita sedar betapa pemerintahan British itu sangat bermanfaat untuk bangsa kita”....

Kesedaran politik Melayu semakin bertambah dengan kedatangan Jepun dan penubuhan Malayan Union selepas perang dunia ke-2. Kuasa utama politik Melayu akhirnya tertubuh bagi menentang Malayan Union iaitu UMNO dan terus menjadi teras aliran utama Melayu sehingga kini.

1.2 The Malay Left as a Distinct Strand
Aliran kecil (minor strand) golongan kiri juga bermula sekitar pertengahan tahun 1930an dengan tempoh jurang kosong 1948-1955 kerana tempoh Darurat sekalipun menjadi kuasa utama ketika itu. Kesatuan Melayu Muda ditubuhkan pada 1938 (8 tahun sebelum tertubuhnya UMNO), menjadi asas kepada penubuhan Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Partai Rakyat Malaya yang ditukarkan kepada nama Partai Sosialis Rakyat Malaya.

Penggunaan “Left” atau perjuangan kiri Melayu tidak boleh ditakrifkan melalui pemikiran sosialis (kecuali PRM/PSRM) seperti di barat tanpa mengkaji sejarah politik Melayu itu sendiri. Walaubagaimanapun, aliran ini lebih mesra kepada pemikiran sosialis dan komunis dan sebuah pemikiran yang progresif di dalam menuntut kemerdekaan dan bukannya komited dalam melaksanakan program sosialis. Pengaruh komunis Indonesia juga tidak dapat diterangkan secara jelas dengan perkembangan politik nasionalis kiri Malaya menurut kajian Hanrahan.

Sebagai tambahan di atas permasalahan ini adalah kerana keterlaluan bergantung kepada penulisan Ibrahim Yaacob di dalam permasalahan idealogi KMM itu sendiri. Ini kerana, Ibrahim Yaacob begitu terikat dengan Soekarno dan tinggal di bawah regim Soekarno.

1.3 The Purpose of This Study
Rustam A Sani mencadangkan perbincangan idealogi KMM sebagai organisasi politik tidak diutamakan dalam menentukan asal usul “Malay Left” ini. Analisa yang lebih tepat adalah mengkaji Usul Sosial organisasi KMM termasuklah pemodenan politikal melayu di bawah kepimpinan bukan tradisi Melayu tersebut.


2. Malaya in the 1930s: Setting for The Roots of Malay Political Development

Hasil daripada Colonial Economic Policy, penduduk Malaya menjadi sebuah masyarakat majmuk. Untuk menstrukturkan semula Malaya dan menaikkan lagi pendapatan tempatan, British telah membahagikan negeri-negeri Malaya sebagai
  1. Negeri Selat
  2. Negeri-negeri Federasi
  3. Negeri-negeri bukan Federasi

Pada 1909, usaha memusatkan pemerintahan di Kuala Lumpur telah dijalankan. Walaubagaimanapun, setelah mendapat bantahan daripada kesultanan-kesultanan negeri, pada sekitar 1930an, di atas nasihat Sir Lawrence Guillemard dan Sir Cecil Clementi, pemusatan ini cuba dikembalikan kepada negeri. Pada ketika ini, kaum Melayu menjadi minoriti hasil daripada polisi ekonomi kolonial dan usaha “decentralisation” dibantah di kalangan peniaga-peniaga Cina kerana faktor perniagaan. Kaum Melayu masih mengekalkan tradisi pertanian semenjak British mula mencampur tangan urusan politik negara.

2.1 Malay political reaction to the social milieu of the 1930s
2 aspek penting mengenai era 1930an untuk memahami keadaan sebenar gerakan politik melayu awal iaitu:
a. Sistem kesultanan melayu – tradisi politikal melayu
b. Kewujudan masyarakat majmuk

a. Sistem kesultanan melayu
Aliran utama perkembangan politikal melayu sangat kuat dan kukuh berkisarkan golongan aritokrasi melayu. Walaupun dijajah oleh imperialis British, corak pemerintahan masih diberi kebebasan dan berstatus entiti autonomi. Setiap negeri diperintah di bawah sempadan kekuasan kesultanan melayu sekalipun campurtangan British semakin ketara melalui penguatkuasaan ke atas sistem sedia ada dan bukannya dengan menggantikan kepada sistem yang baru. Ini menyebabkan orang melayu tidak mencampuri urusan politik.

Editor majalah Majlis cuba membuat bancian mengenai pendapat orang Melayu terhadap kontroversi cubaan British untuk mengembalikan pemerintahan secara tidak berpusat (pemerintahan berpusat ditentang oleh #Raja2 Melayu) dan membuat kesimpulan bahawa:
  1. Mereka tidak berminat untuk mencampuri urusan yang mereka tiada hak
  2. Mereka menyifatkan kontroversi itu adalah urusan pihak istana dan kerajaan
  3. Mereka juga menyifatkan bahawa mencampuri urusan istana sebagai “kurang adab”
  4. Setiap titah golongan istana wajib ditaati

Berdasarkan faktor ini, adalah tidak menghairankan bahawa gerakan politikal Melayu hanya tertakluk kepada pergerakan persatuan kebajikan sahaja sebelum 1930an. Gerakan politikal Melayu pada awal 1930an pula lebih kepada bersifat kepada apologetik kepada hal ehwal istana. Sekiranya mahu dikaitkan gerakan nasionalis, ia lebih kepada bersifat reaksi kepada populasi golongan pendatang berbanding kepada reaksi kepada penjajahan dan imperialisma. Orang Melayu dikerahkan untuk taat kepada golongan istana dan menjaga kepentingan istana.

b. Kewujudan masyarakat majmuk
Tradisi taat setia kepada golongan istana tidak dimiliki oleh golongan pendatang. Bagi mereka, pemerintah yang sah pula adalah golongan imperialis British. Apabila arahan untuk menangguhkan pemerintahan berpusat yang tidak memberi manfaat kepada perniagaan mereka, mereka mula menentang. Golongan pendidikan Inggeris di kalangan pemimpin kaum cina mula menuntut hak samarata dan kelebihan yang dinikmati oleh orang Melayu yang diberi oleh British.

Pertentangan ini mula mendapat reaksi kaum Melayu dan pertembungan mula hangat. Kolum-kolum suratkhabar Melayu mula memberi amaran akan kehilangan hak orang Melayu kerana ketamakkan golongan pendatang. Melalui bukti editorial ini, dapat disimpulkan bahawa orang Melayu tidak faham kenapa orang cina mula memohon hak daripada British seperti ahli majlis perbandaran dan kolum suratkhabar. Slogan Malaya for Malays dan Malaya not for The Malayans mula dimainkan oleh kedua-dua pihak yang bertentangan.

Kesedaran politik mula timbul dikalangan Melayu elit bagi mengembalikan kebudayaan Melayu, menaiktaraf penglibatan ekonomi Melayu dan memenuhi cabaran politik daripada golongan pendatang.

2.2 Malay politics in the 1930s, continuity or change?
Sebelum 1930an, parti politik melayu lebih bersifat konservatif. 2 corak parti tersebut seperti yang telah dibincangkan adalah bersifat setempat/kenegerian dan dipelopori oleh golongan aristokrat Melayu. Munculnya golongan berpelajaran barat mula menjadi kualiti tambahan kepada kepimpinan politik awal melayu. Kemunculan golongan ini dan sistem politikal melayu adalah secara lansung dengan ekonomi kapitalis bercorak barat dan pemerintahan kolonial. Golongan inilah yang menjadi aliran utama politik dengan akhirnya pembentukan United Malay National Organisation. Aliran ini lebih memperjuangkan kepada kepentingan golongan aristokrat Melayu dan lebih bersifat politikal kanan melalui slogan Malaya for Malays.

Golongan rakyat biasa pula muncul dengan perjuangan kepada kemerdekaan seperti kata-kata Soenarno,

“Selain aliran utama, dengan pengaruh politikal kiri, memperjuangkan dan menuntut kemerdekaan untuk semua rakyat tertindas di Malaya”.


3. The Kesatuan Melayu Muda as the Origin of the Malay Left

Pertubuhan ditubuhkan pada 1938 dan mendaftar di bawah Enakmen Pertubuhan pada 1940 dimana:
  1. Pertubuhan tidak dibenarkan menerbitkan manifesto
  2. Tiada perlembagaan
  3. Tiada daftar senarai ahli

Menurut Roff, Ibrahim Yaacob dan KMM telah gagal sama sekali untuk membentuk gerakan massa atau sekurang-kurangnya parti politik besar-besaran. Sekalipun tiada daftar senarai ahli, KMM tidak dapat menaikkan ahlinya melebihi beberapa ratus orang sahaja. Sifat kebangsaan hanyalah bertempat di ibu pejabatnya, iaitu Kuala Lumpur.

Kenyataan Roff disanggah oleh Ibrahim Yaacob dan Ahmad Boestamam.

Menurut Ahmad Boestamam:
Keahlian KMM bukan hanya terdapat di Kuala Lumpur malah di setiap negeri Malaya termasuklah di kalangan bangsawan. Beberapa orang pemimpin aristokrat Melayu turut menjalankan hubungan yang baik dengan Ibrahim Yaacob... Salah satu keunikkan KMM adalah satu-satunya pertubuhan yang memiliki unit risikan sendiri yang kuat disokong oleh golongan orang asli (kaum darat) dan kupu-kupu malam (pelacur)... Kerana keberkesanan ranting risikan KMM inilah menyebabkan kerajaan kolonial British terpaksa secara tergesa-gesa meninggalkan Malaya ketika pendudukan Jepun bagi mengurangkan korban mangsa.

Percanggahan di antara Soenarno dan Roff dalam menentukan idealogi asal KMM adalah hasil daripada ketidak prihatinan golongan terpelajar ketika itu akan implikasi idealogi kiri dan dakwaan mereka yang terlibat di dalam permasalahan ini.

3.1 The Kesatuan Melayu Muda since its formation
KMM dikenali sebagai sebuah pertubuhan Melayu ‘kiri’ dan ‘radikal’ yang ditubuhkan pada pertengahan 1938 di Kuala Lumpur. Dua watak utama di dalam kepimpinan pertubuhan ini iaitu:
  1. Ibrahim Yaacob
  2. Ishak Hj Muhammad

Kebanyakkan ahli KMM terdiri daripada wartawan Melayu, lulusan dan pelajar Kolej Perguruan Sultan Idris, Kolej Pertanian dan Sekolah Teknikal Kuala Lumpur. Penubuhan awal KMM adalah untuk pendidikan dan kewartawan melayu di kalangan kelas bawahan melayu.

Melalui dana daripada Jepun, Ibrahim Yaacob membeli Akhbar Warta Malaya pada 1939 dan bertindak sebagai ketua editor. Hampir keseluruhan isi surat khabar ini bersifat anti-British.

British segera bertindak dan memulakan penangkapan di bawah Defense Regulations 1940 di Penjara Singapura. Seramai 150 orang ditahan termasuklah Ibrahim Yaacob, Ishak Hj Muhammad, Ahmad Boestamam dan Sutan Djenain. Mereka yang terselamat atau dapat melarikan diri dari buruan British, menyertai Parti Komunis Malaya atau Japanese 5th Column.

Selepas Jepun menduduki Singapura, kesemua mereka yang ditahan dilepaskan serta merta kerana penglibatan dan kerjasama mereka dengan Japanese 5th Column. Selepas dibebaskan, Ibrahim Yaacob segera mengatur semula KMM dan bekerjasama dengan Jepun. Walaubagaimanapun, kerjasama dengan pihak Jepun adalah berdasarkan keperluan dan kepentingan. Secara rahsia, KMM menjalankan kerjasama dengan Parti Komunis Malaya dan Malayan Peoples Anti-Japanese Army (MPAJA).

KMM akhirnya diharamkan oleh pihak Jepun dan akhirnya menubuhkan Giu Gun atau Pembela Tanah Air (PETA) yang dipimpin oleh pegawai-pegawai KMM. Kerjasama baru ini berdasarkan keperluan dan kehendak yang dipersetujui:
  1. Pihak Jepun memerlukan KMM untuk memahami struktur masyarakat Melayu di mana kebanyakkan aristokrat melayu lebih menyokong British
  2. Pihak KMM memerlukan pihak Jepun dalam menyediakan pasukan tentera terlatih terutamanya ketika Jepun diambang kekalahan dan bersedia terhadap kemungkinan kedatangan kembali British ke Malaya 
3.2 The KMM as the origin of the Malay Left
Mengikut Ahmad Boestamam, ahli kepada KMM dan PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya):

“Kebanyakkan buku sejarah mengatakan bahawa PKMM adalah kesinambungan kepada perjuangan KMM dan KRIS (Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung), tetapi ini tidak benar. Sebagai salah seorang pengasas PKMM, saya secara jujurnya mengatakan, tiada seorangpun yang datang ketika penubuhan membicarakan mengenainya. Selain dari saya dan Ibrahim Karim yang mempunyai kaitan dengan KMM, mereka yang hadir ketika mesyuarat agung PKMM adalah bukan ahli kepada KMM ataupun KRIS”. Walaupun begitu, akhirnya ramai bekas ahli KMM ataupun KRIS menyertai PKMM.

Persamaan di antara KMM dan PKMM:
  1. KMM dan PKMM dipimpin oleh kemunculan pemimpin elit melayu yang baru dan bukan di kalangan golongan aristokrat
  2. Kedua-dua pertubuhan ini sangat kuat berpendirian anti-kolonial
  3. Demi mencapai tujuan anti-kolonial, kedua-dua pertubuhan ini menjalinkan kerjasama dan koloborasi yang rapat dengan kuasa politikal yang lain seperti KMM-Japan 5th Column/PKM dan PKMM-AMCJA.
  4. Kedua-dua pertubuhan ini sangat kuat pengaruh dari Indonesia bahkan PKMM secara terang-terangan berhasrat menubuhkan gagasan Melayu Raya.
Berasal dari KMM dan PKMM, lahirlah Partai Rakyat Malaysia dan seterusnya Partai Sosialis Rakyat Malaysia yang mengambil sosialis sebagai idealogi parti.

3.3 Problems of the origin of the KMM
Kajian sedia-ada menyatakan pengaruh idealogi sayap kiri KMM berdasarkan komunis Indonesia pada 1920an dan sangat aktif pada 1926. Kegagalan revolusi di Jawa dan Sumatera menyebabkan ramai pemimpinnya lari ke Malaya seperti:
  1. Djamaluddin Tamin
  2. Tan Malaka
  3. Budiman
  4. Sutan Djenain
  5. Alimin
  6. Mohammad Arif
Djamaluddin Tamin sendiri menjalankan hubungan dengan pelajar di SITC (Kolej Perguruan Sultan Idris). Pengaruh ini menjelaskan bagaimana kesediaan pemuda melayu yang radikal dan komitmen nasionalis pan-Indonesia pada peringkat berikutnya. Pengaruh ini juga dikuatkan lagi dengan pengaruh Parti Nasionalis Indonesia ditubuhkan oleh Sukarno. Pengaruh ini ditambah kuatkan lagi dengan keterangan dari Ibrahim Yaacob sendiri.

Walaubagaimanapun, orientasi idealogi KMM dibina berdasarkan Belia Malaya yang juga bermodelkan Jong Sumatra (Young Sumatran) dan Jong Java (Young Javanese). Di antara pemimpin Belia Malaya ini adalah Ibrahim Yaacob, Hassan Manan, Abdul Karim Rashid dan Isa Mohammad Mahmud.

Hanya Ibrahim Yaacob yang meneruskan penglibatan dalam politik setelah menamatkan pelajaran di SITC. Beliau juga menyumbangkan artikel-artikel di suratkhabar seperti Majlis dan Warta Malaya. Beliau akhirnya dilantik sebagai editor di Majlis pada 1938. Ketika inilah beliau bersama-sama beberapa rakan dari Belia Malaya dan beberapa orang wartawan menubuhkan KMM. KMM juga disokong oleh pelajar dan guru di Sekolah Teknikal Kuala Lumpur dan Sekolah Pertanian Serdang.

Terdapat 2 kesimpulan dari kajian sedia-ada iaitu:
  1. Dua aliran kiri dan kanan dapat dikesan sejak pertengahan 1920an di mana aliran kanan dipimpin oleh golongan aristokrat tradisional manakala aliran kiri pula dipimpin oleh golongan pemimpin baru di kalangan rakyat
  2. Sekalipun KMM ditubuhkan pada 1938, pengaruh idealogi sayap kiri telah dicampuraduk dengan pengaruh komunis Indonesia pada 1920an.
Kajian sedia-ada bolehlah diragukan kerana kajian sedia-ada ini adalah berdasarkan kenyataan oleh Ibrahim Yaacob semata-mata. Ibrahim Yaacob semakin terlibat di dalam idealogi komunis sekitar 1950an dan ini boleh memberatkan kenyataannya kepada idealogi komunis. Tulisan-tulisan di Majlis dan Warta Malaya sekitar 1930an cukup untuk kita meragukan kajian sedia-ada di atas.

Tulisan-tulisan di kedua-dua suratkhabar tersebut termasuklah hasil tulisan Ishak Hj. Muhammad banyak berkisar mengenai penyatuan orang melayu dan cabaran yang dibawa oleh golongan pendatang. Ini tidak jauh berbeza dengan tulisan-tulisan aliran kanan tradisional. Tulisan-tulisan mengenai “internasional” atau pengaruh komunis Indonesia tidak dinyatakan. Juga tidak terdapat tulisan-tulisan secara mendalam mengenai pendirian idealogi sosialis KMM ketika penubuhannya.

Selain dari SITC, KMM juga dianggotai dari mereka yang berkelulusan Inggeris, Arab mahupun Indonesia. Percampuran idealogi komunis Indonesia dan Belia Malaya juga tidak menerangkan bagaimana proses percampuran idealogi dengan pertubuhan yang lain.


4. The Emergence of the Non-Traditional Elites

Di dalam bab sebelum ini telah dinyatakan dengan dua kesimpulan dari kajian sedia-ada iaitu kemunculan elit dari kalangan rakyat dan bukan tradisi. Penulis buku ini juga

4.1 The Changing Social Structure
Pemerintahan kolonial British pada abad ke-19 membawa perubahan struktur masyarakat melayu ketika itu. Ini adalah kerana British sudah mencapai tahap kemajuan yang sangat kuat pengaruh ekonomi kapitalis, sistem politik-pentadbiran yang kukuh dan sistem pendidikan yang terkehadapan.

Masyarakat Melayu pula masih di dalam sistem feudal melayu dan saya tidak berhasrat untuk menulis atau mengulas mengenai struktur pemerintahan istana dan feudal ini. Cuma saya perlu tekankan bahawa ketua kampung bukanlah termasuk di dalam golongan aristokrat ini.

Struktur sosial terdiri daripada dua strata iaitu kelas pemerintah (rulling class) dan kelas diperintah (subject class).

Mengikut Mokhzani:

“Tiada kesamaan kehendak di antara kelas diperintah dan kelas pemerintah. Kelas diperintah tidak berminat lansung untuk meninggikan status di pejabat ataupun upacara di istana sultan mahupun di kawasan umum untuk menunjukkan kekuatan sokongan kelas diperintah ataupun perpaduan. Tetapi ini tidak menghalang kelas diperintah untuk terus taat kepada ketuanya”.

Perubahan ketara di atas pengaruh pemerintahan kolonial British:
  1. Kedudukan dan pengaruh istana dikurangkan
  2. Pemodenan pentadbiran memerlukan tenaga pekerja pejabat yang ramai dan ini membuka peluang golongan diperintah.
Kedua-dua pengaruh ini tidak dirasakan oleh orang melayu kerana pekerja pejabat pentadbiran diwakili oleh golongan pendatang dari India yang fasih berbahasa Inggeris dan pendatang dari cina pula lebih berminat menjalankan perniagaan.

Walaubagaimanapun, golongan terpelajar dari golongan aristokrat yang bekerja sebagai pegawai kerajaan British mula muncul. Ketika itu, golongan aristokrat sahaja memiliki kelebihan untuk belajar di sekolah British.

4.2 The Role of Malay Education
Pendidikan melayu terbahagi kepada tiga:
  1. Aliran bahasa Inggeris
  2. Aliran bahasa Melayu
  3. Aliran agama (sekolah pondok)
Aliran agama di sekolah pondok memainkan peranan penting dalam melahirkan idea radikal di kalangan orang Melayu dan berdasarkan pengaruh dari Timur Tengah. Daripada pengaruh ini juga, kemajuan pelajaran sekular mula berkembang.

Pada awal abad ke-19, pengenalan kepada orang melayu mengenai pendidikan barat moden terutamanya di Penang, Melaka dan Singapura (negeri-negeri selat). Pada pertengahan abad ke-19 pula, pendidikan sekolah missionari ditambah bertujuan untuk mengembangkan kristian dan pendidikan umum. Sekolah inggeris yang ditubuhkan oleh kerajaan inggeris bagi menunjukkan kesungguhan pihak kolonial untuk memberikan pendidikan di kalangan orang melayu dan ini juga menyebabkan tertubuhnya sekolah melayu atau Malay Schools.

Sekolah inggeris tidak mendapat sambutan orang melayu kerana pengaruh missionari ini serta faktor geografi; terletak di bandar dan orang melayu pula berada di kampung. Sekolah Inggeris yang memberi impak adalah Sekolah Melayu Berasrama (kemudiannya di kenali sebagai Sekolah Melayu) di Kuala Kangsar, Perak pada 1905. Sekolah ini bertujuan untuk melahirkan kadet di Perkhidmatan Pentadbiran Melayu di kalangan golongan aristokrat dan bangsawan.

Manakala sekolah melayu untuk golongan bukan aristokrat hanyalah sekitar 400 buah dengan hanya 2000 pelajar pada pertengahan 1920an. Walaubagaimanapun, sekolah ini hanyalah setahap peringkat rendah sahaja kerana ini memang disengajakan oleh kerajaan inggeris untuk tidak memberikan pelajaran selayaknya kepada orang melayu.

Polisi Sekolah Melayu Kolonial British:
“untuk tidak melahirkan belia yang berpendidikan tinggi... hanyalah untuk memberi sedikit penambahan ilmu kepada sebilangan kecil belia dan menjadikan mereka sebagai nelayan atau petani yang lebih bijak daripada ayah-ayah mereka. Dan pendidikan yang akan membolehkan mereka memahami lebih sedikit bahagian dan skema kehidupan mereka.”

Keperluan guru terlatih wujud kerana penubuhan sekolah melayu ini. Pada 1917, di atas cadangan repot Windstedt yang telah melawat Pulau Jawa dan Filipina, menyarankan sebuah sekolah perguruan di Malaya di Tanjung Malim, Perak pada November 1, 1922. Sekolah ini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan kolonial inggeris dan dihadiri oleh pelajar-pelajar sekitar Malaya, Sarawak dan Brunei.

Lulusan Sekolah Melayu dan Sekolah Inggeris berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti di England atau di King Edward VII College of Medicine atau Raffles College di Singapura. Sekalipun secara teori, golongan melayu biasa boleh menyambung pelajaran tetapi tiada rekod selain golongan aristokrat yang menyambung pelajaran sekalipun kini keturunan mereka adalah dikalangan melayu yang tidak berpelajaran.

Lulusan SITC lah yang memainkan peranan dalam memberi pendidikan kepada orang Melayu terutamanya pada tahun 1930an dan 1940an. Peranan yang dimainkan mereka sangat penting terutamanya perkembangan sastera melayu moden. Persoalan sosial seperti pengaruh barat, amalan kuno dan pendidikan banyak dibincangkan oleh golongan ini. Persoalan utama yang benar-benar menjadi perbincangan adalah keadaan ekonomi melayu yang ketinggalan dan cabaran daripada golongan pendatang. Golongan dari wartawan yang mendapat pendidikan Melayu, Arab, Inggeris serta Indonesia juga memainkan peranan dalam memberi pendidikan kepada orang Melayu.

Kemudahan dan peluang pendidikan dikalangan melayu sebenarnya berkait rapat dengan struktur masyarakat yang timbul dari pemerintahan kolonial seperti ciri-ciri yang dibincangkan Du Bois iaitu:
  1. Aristokrat tradisi
  2. Masyarakat asal
  3. Kasta tinggi masyarakat eropah
  4. Golongan komuniti peniaga cina 
4.3 The Leaders of KMM
Untuk mengaitkan KMM ditubuhkan berdasarkan pengaruh SITC juga tidak tepat. Sekalipun Ibrahim Yaacob merupakan lulusan dari SITC. Ketika di Warta Malaya, beliau mendapat sokongan daripada graduan SITC yang lain seperti Hassan Manan, A Karim Rashid dan Isa Mohammad. Tetapi ada lagi kepimpinan KMM yang tidak berkelulusan SITC.

Ishak Hj Muhammad merupakan lulusan MCKK dan pernah bertugas sebagai pegawai daerah dan majistret. Beliau mengambil keputusan dengan meletak jawatan dan bertugas di bidang kewartawanan dan menjadi editor di The Straits Times.

Selain Ishak Hj Muhammad, Ahmad Boestamam juga mendapat pelajaran dari sekolah inggeris bersama-sama kepimpinan yang lain seperti Onan Haji Siraj (pengajar di Sekolah Teknik Kuala Lumpur) dan Mustafa Husin (guru di Sekolah Pertanian Serdang).

Selain itu, Haji Othman b Abdullah merupakan lulusan dari Kaherah.

Jadi, berdasarkan fakta ini, dapatlah disimpulkan bahawa kepimpinan KMM bukanlah semata-mata dari graduan SITC.

Sekalipun kemunculan kepimpinan elit yang baru ini, pekerjaan mereka hanya terhad kepada guru dan kewartawanan vernakular Melayu sahaja di mana golongan aritokrasi masih mengekalkan pekerjaan secara kasta.

Sekalipun Ishak Hj Muhammad berjaya memasuki MCKK, tetapi beliau tidak senang dengan cara hidup dan layanan golongan aristokrat. Walaupun sudah menjadi pegawai daerah, beliau beberapa kali meninggalkan pekerjaannya tanpa berhenti secara rasmi dan ini menggambarkan tekanan yang beliau hadapi sekalipun mendapat pengiktirafan bertugas sebagai pegawai di bidang pentadbiran, peraturan dan undang-undang. Residen British di Selangor (T.S. Adams) pernah beberapa kali memujuk Ishak Hj Muhammad untuk kekal di jawatannya dengan pernah berkata

“Sekiranya kamu berhasrat untuk menetap berumahtangga, saya boleh mengahwinkan kamu dengan mana-mana anak Datuk”.

Di awal penglibatan politik Melayu ini, KMM dilihat sebagai membantu golongan aristokrat terutamanya mengenai permasalahan cabaran daripada kaum pendatang. Tetapi, setelah orang melayu mula merasakan mereka tidak dapat bergerak secara progresif terhadap cabaran, kekecewaan mula timbul dan Ibrahim Yaacob menerbitkan beberapa siri artikel yang mempersoalkan kewibawaan wakil melayu yang terdiri daripada golongan aristokrat.

Apabila KMM ditubuhkan pada pertengahan 1938, wujud perasaan kecewa dikalangan pemimpin elit melayu yang baru terhadap kegagalan golongan aristokrat yang memonopoli politikal melayu. Golongan ini juga merasakan mereka dapat membela orang melayu dengan lebih berkesan dan peranan yang lebih aktif terhadap kewujudan sistem politikal sedia ada.

Satu lagi kesan adalah, berbanding dengan golongan aristokrat yang lebih bersifat kenegerian, pemimpin elit melayu yang baru lebih kepada rantau dan mengutamakan bahasa dan budaya melayu itu sendiri.


5. Melayu Raya: The Nation of Intent

Faktor utama yang membezakan aliran kiri KMM dengan mana-mana pertubuhan lain adalah komitmen ke arah nasionalis pan-Indonesia. Secara asasnya, idea Melayu Raya adalah beridealogi nasionalis atau sentimen kepercayaan kepada kebudayaan, terma etnik dan kawasan yang melitupi kepulauan Melayu.

Kepentingan pan-Indonesianisma terhadap KMM hampir dijelaskan oleh semua kajian berkaitan. Penyatuan Indonesia dan Malaya bermaksud dua unit politikal yang sangat jelas. Terdapat usaha yang dijalankan di Malaya di kalangan melayu radikal.

5.1 The Indonesians and Malays, a legacy of the past

Untuk memahami sejarah hubungan di antara arkipelago Indonesia dan Melayu, adalah penting untuk kita melihat dari sudut unit politik-geographical secara menyeluruh.

Secara budaya, Melayu di Malaya adalah salah satu bahagian kecil dari kawasan arkipelago barat-polinesia, Nusantara. Sekalipun memiliki berbagai budaya, kebanyakannya dikongsi hampir keseluruhan kawasan nusantara. Mengikut keterangan Ismail Hussein:

...di bawah kepelbagaian yang tidak berpenghujung, terdapat banyak persamaan sepanjangnya kerana kesamaan ciri-ciri etnik dan keadaan geografi, terhadap pengaruh budaya asing yang terpaksa ia lalui, kepada sangat bebasnya pergerakan penduduknya. Jadi sering berlaku pertembungan perhubungan antara-pemikiran dan antara-dialek.

Ciri-ciri budaya ini bagaimanapun tidak bermakna bahawa Nusantara terdiri dari kesatuan dan kerjasama unit politik. Sebelum kedatangan imperialis, nusantara lebih tepat digunapakai kerana terdiri daripada kesatuan dan kerjasama unit politik yang saling berinteraksi. Perhubungan ini boleh diklasifikasi sebagai perhubungan tidak kukuh dan tidak terhad, pusat kawalan politik konflik yang saling lengkap-melengkapi yang sentiasa berubah mengikut masa di kedua-dua belah Selat Melaka. Fungsi sistem “antarabangsa” di kawasan Nusantara antara melayu dan indonesia wujud rasa kesatuan dan persaingan di antara penduduknya.

Tidak dapat dinafikan wujudnya rasa kebanggaan terhadap kejayaan dan kebesaran kerajaan kuno di antara kerajaan kekuasaan melayu-indonesia seperti Kesultanan Srivijaya dan Majapahit, Kesultanan Melaka, Brunei, Aceh untuk di kedua-dua belah Selat Melaka. Tetapi terdapat perbezaan di mana Melayu lebih memandang kepada kerajaan Kesultanan Melaka, Jawa kepada Majapahit atau Mataram, Sumatera kepada Srivijaya, Minangkabau atau Acheh. Situasi yang terjadi pada masa lampau dapat menafsir berkaitan perkara persatuan atau pertelingkahan di antara Indonesia dan Malaysia seperti pertelingkahan Indonesia-Malaysia 1963-1966 (Konfrontasi).

Adalah tidak dapat disanggah bahawa Melayu di Malaya terpisah dengan bahagian lain di seluruh Nusantara secara sosial dan budaya kerana pengaruh kolonial daripada British dan Belanda. Dengan kedatangan kuasa barat, nusantara terbahagi kepada segmen-segmen geo-politikal yang lebih kecil seperti hari ini. Berdasarkan faktor ini, Malaya mula membangun dengan entiti sendiri dengan darjah politikalnya sendiri.

Apabila kita melihat situasi realiti pada 1920an dan 1930an, perubahan dari entiti nusantara yang lebih besar kepada entiti unit politikal yang tersendiri berdasarkan 3 kondisi:

  1. Kedatangan kolonial barat, menyebabkan kemunculan yang entiti yang lebih kecil dan entiti politikal yang kurang stabil
  2. Proses penyatuan negeri kecil sebagai sebuah entiti politikal yang kohesif atau negara seperti takrifan negara moden tidak dapat disempurnakan
  3. Terdapat kesedaran di kalangan rakyat mengenai entiti budaya yang lebih besar secara budaya (Nusantara).
5.2 The nature of the Indonesian influence
Sekiranya kita mengatakan idea Pan-Indonesian atau Melayu Raya adalah sebagai salah satu bentuk nasionalis Indonesia, kita perlulah menyatakan arah aliran datang dan pergi sepanjang Selat Melaka. Kita perlulah melihat beberapa sisi untuk menentukan arah aliran ini.

Arah aliran sudah terjadi sekalipun di peringkat awal ‘fasa reformasi agama’ oleh nasionalis Melayu. Suratkhabar yang terbit di Singapura seperti Al-Imam mendapat pengaruh dari golongan pembaharuan agama di Sumatera seperti Hj Abdullah Ahmad dan Hj Abdul Karim Amrullah. Al Munir diterbitkan oleh Hj Abdul Karim Abdullah dan mendapat tentangan daripada golongan agama “establish” (golongan tua). Beliau telah mengunjungi Penang, Kedah, Perlis, Perak, Selangor, Pahang, N Sembilan, Johor dan Singapura dan turut mendapat tentangan di kalangan golongan tua Malaya dan menuduhnya sesat.

Pada 1922, pelajar Melayu dan Indonesia di Universiti Al-Azhar Kaherah mula mengembangkan idea pan-Indonesianism. Jumlah mereka cukup untuk menggerakkan sebuah organisasi dan menubuhkan Seruan Al-Azhar di bawah organisasi tersebut. Ini kerana faktor kedua-dua entiti Indonesia dan Malaya berkongsi warna kulit, bahasa dan agama. Jadi usaha mewujudkan penyatuan di antara kedua-dua entiti ini adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

KMM juga secara terang memperjuangkan Pan-Indonesianism pada akhir 1930an. Pengaruh Indonesia bukan hanya di bidang politik, malah termasuk juga di dalam bidang kesuasteraan. Indonesia mengalami kebangkitan sastera pada 1920an dan oleh kerana kekurangan material di kalangan Melayu, lambakan sumber bacaan dari Indonesia berlaku di Malaya. Pada 1926, Biro Translasi Melayu ditubuhkan untuk mengatasi masalah sumber bacaan vernakular.

Terdapat lagi faktor arah aliran Pan-Indonesianism iaitu pelajar-pelajar Melayu di Indonesia dan kedatangan orang Indonesia ke Malaya.

Pengaruh Indonesia ke atas Melayu di Malaya bukan sahaja terhad di bidang politik, malahan juga termasuk di bidang agama, kesusasteraan, pendidikan dan sebagainya. Adalah tidak tepat untuk mengatakan aliran arah Pan-Indonesianism ini satu arah saja (Indonesia ke Malaya) kerana arah ini sebenarnya berlaku di kedua-dua arah. Sungguhpun berlaku majoriti arah dari Indonesia ke Malaya, ini adalah kerana berlaku perkembangan di bidang-bidang tersebut di Indonesia terlebih dahulu.

Aliran arah yang dialami oleh kedua-dua entiti Indonesia-Malaya dapat menerangkan dua fenomena iaitu:
  1. Proses yang terhasil daripada pengambilan contoh sebelah pihak yang lebih maju antara Indonesia-Malaya. Sebagai contoh, bahasa Melayu banyak dipertuturkan di Nusantara dan Indonesia melalui Sumpah Pemuda (Youth Pledge) 1928, telah mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Indonesia. Fenomena ini menimbulkan rasa kesatuan budaya di kalangan penduduk Indonesia-Malaya.
  2. Gerakan nasionalis yang terjadi di Indonesia, adalah munasabah untuk dikaitkan dengan gerakan melayu di Malaya. Tetapi gerakan ini berkembang untuk membentuk gerakan sendiri yang berbeza dari Indonesia. Gerakan nasionalis Indonesia bukan menjadi punca idealogi Pan-Indonesian dan ini menyanggah kenyataan Angus McIntyre kerana tuntutan KMM untuk menjadikan Malaya bukan sebagai salah satu negeri Indonesia. (*perlu penerangan yang lebih).
5.3 The KMM and the concept of ‘Melayu Raya’
Untuk memahami fungsi Pan-Indonesianism idealogi di dalam KMM, terma nasionalis diterangkan sebagai:

Gerakan idealogi untuk mewujudkan dan mentadbir kerajaan sendiri dan merdeka bagi pihak kumpulan untuk membentuk perlembagaan sebenar dan potensi seperti sebuah negara.

Untuk menakrifkan melayu itu sendiri mengelirukan seperti memasukkan kumpulan DKA (Darah keturunan Arab) dan DKK (Darah keturunan Keling) sebagai melayu.

Terdapat takrifan negara tanpa nasionalis dan nasionalis tanpa negara, jadi kita boleh simpulkan nasionalis melayu sebagai nasionalis tanpa negara ketika itu. Walaupun terdapat pertubuhan berdasarkan negeri dan bersifat statis, tetapi KMM lebih kepada penyatuan etnik melayu di peringkat lebih besar seperti negara.

Ibrahim Yaacob telah menulis di Majlis pada December 1, 1932 kerana polemik melayu Indonesia yang timbul di Pasar Melaka:

“Nyata sekali Melayu Semenanjung tidak faham akan idea sebuah negara atau nasionalisma. Oh, Melayuku, seluruh Semenanjung dan kepulauan Indonesia adalah milik moyang kita yang sama, Melayu. Nama seperti Minangkabau, Bugis, Jawa, Brunei, Aceh, Lampung, Palembang, Rawa, Kampar, Kelantan, Perak dan sebagainya bukanlah nama negara tetapi adalah negeri. Identiti etnik kita sama iaitu Melayu. Seluruh Indonesia memiliki budaya yang sama dengan kita di Semenanjung. Tetapi apakah yang memecahkan sesama kita? Ini tidak lain tidak bukan kesatuan kita di bawah tangan dua kuasa kolonial celaka iaitu Belanda di Indonesia dan British di Semenanjung. Ini tidak sepatutnya mengubahkan kesatuan sesama kita, kesatuan yang tidak akan terkesan dengan hujan atau pecah kerana matahari”.

Sebagai kesimpulan, konsep Melayu Raya bukanlah konsep pro-Indonesia tetapi adalah ke arah pembentukan sebuah negara yang merdeka.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk