Langkau ke kandungan utama

Kuliah Rakyat 4/2023: Persoalan-persoalan Falsafah dalam Gapura Wacana


Pada 6 Mei yang lepas iaitu selepas 1 Mei (May Day), iaitu selepas 22 April (Hari Raya), maka berlangsungnya di sebuah kedai buku kecil, Toko Buku Rakyat, sebuah diskusi berkala yang dinamakan sebagai Kuliah Rakyat 4/2023 dengan tajuk, Persoalan-persoalan Falsafah dalam Gapura Wacana. 

Buku Gapura Wacana tersebut adalah antara karya terbaru Prof Madya Dr Saiful Akram Bin Che Cob @ Ab Ghafar (selepas ini disebut Dr. Akram) yang diterbitkan di bawah Kenyalang, sebuah imprint The Biblio Press. Buku ini berketebalan 339 ms berharga RM35.

Dalam diskusi buku tersebut di Toko Buku Rakyat, banyak persoalan dibincangkan meskipun dalam waktu yang terhad.

 

Bahasa Melayu sebagai Bahasa Falsafah




Antara persoalan yang sempat ditanyakan ialah, adakah Bahasa Melayu boleh menjadi Bahasa Falsafah? Dr. Akram menjawab dengan yakin, bahawa beliau yakin Bahasa Melayu boleh menjadi Bahasa Falsafah. Pertanyaan ini muncul, tatkala kalangan sarjana kita sendiri yang bercakap tentang falsafah tetapi lebih banyak menulis dalam Bahasa Inggeris, berbanding dalam Bahasa Melayu. Itu menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan mat rempit dan gangster semata-mata, sementara sarjana-sarjana kita bertutur dan menulis bahkan berdiskusi dalam Bahasa Inggeris.

Menarik di dalam buku ini ialah Dr. Akram memasukkan Kassim Ahmad sebagai antara tokoh falsafah Melayu selain Zaaba dan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Meski sarat dengan kontroversi, Kassim Ahmad masih dibawa ke dalam buku ini dan diletakkan sebagai antara ahli falsafah dalam buku Gapura Wacananya ini.

Jika ditengok susunan buku Gapura Wacana ini, ia menyamai susunan The Great Philosophers karya Stephen Law, yang memasukkan senarai ahli-ahli falsafah (juga yang mempunyai pemikiran falsafah seperti Buddha) ke dalam bukunya. Di dalam buku Stephen Law, juga turut memasukkan seorang ahli falsafah Islam iaitu Averroes -yang kita menyebutnya sebagai Ibn Rusyd-

Lantas ditanya kepada Dr. Akram, bagaimana proses meletakkan nama-nama ahli falsafah dari mula sehingga akhir? Adakah seperti ranking yang dibuat oleh Michael H. Hart yang menulis buku The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History, yang meletakkan Nabi Muhammad sebagai orang pertama yang paling berpengaruh dalam sejarah umat manusia.

Jawab Dr. Akram tidak, beliau mengatakan beliau menyusun mengikut tarikh kehidupan dan kematian. Yang dimulakan dengan Aristotle di Greek dan diakhiri dengan Kassim Ahmad di Nusantara. Dengan meletakkan mengikut tahun, maka ia persis kaedah Stephen Law dengan buku yang disebutkan di atas.

Berbalik kepada meletakkan Kassim Ahmad -juga gambar Dr. Akram bersama beliau- dalam bukunya ini, ia adalah satu tindak marginal yang penting. Meskipun -sedikit kekecewaan-kerana Kassim Ahmad tidak diulas begitu mendalam -hanya tiga muka surat- tetapi meletakkan Kassim Ahmad sebagai figura dalam naskhah ini masih menjadi sesuatu yang penting. Dr. Akram juga ditanya dalam majlis diskusi tersebut, kenapa beliau tidak meletakkan tokoh-tokoh Attas@Atas baik Syed Hussein Alatas mahupun Syed Naquib Al-Attas? Kedua-duanya juga ada karya yang berbobot, bahkan yang terakhir diangkat di mana-mana, Hamza Yusof juga mengangkat namanya, begitu juga Syed Hussein disebutkan oleh Edward Said. Kata Dr. Akram, kerana kita lebih banyak mengenali dua nama tersebut yang begitu diagungkan para elitis akademia, sedang Kassim Ahmad seolah dipinggirkan. Ini ialah satu usaha melawan naratif yang harus dipuji. Kassim Ahmad ini sudahlah tidak mendapat Sasterawan Negara walaupun karya-karya sasteranya -meski tidak banyak- tetapi polemical dan kontroversial, baik Sidang Ruh, Dialog Dengan Sasterawan, juga Hikayat Hang Tuah yang beliau edit, dan nobatkan Hang Jebat sebagai wira.

 

Ahli falsafah perempuan




Sedikit kekurangan yang ditimbulkan terhadap buku ini ialah, tentang ketiadaan ahli-ahli falsafah perempuan. Dan ini bukan sahaja masalah di dalam buku ini sahaja, tetapi dalam banyak buku lain, sebenarnya sememangnya sangat susah atau sukar mencari ahli falsafah perempuan. Ini pastinya adalah faktor patriarki selama ini yang telah menekan perempuan begitu lama sehingga menyukarkan untuk munculnya ahli falsafah wanita. Atau sekurang-kurangnya pemikir wanita. Dr. Akram menyebutkan juga yang ahli falsafah terdahulu iaitu Aristotle, jika dia dilahirkan semula pun dia tidak mahu menjadi seorang perempuan. Jika kita teliti petikan-petikan Aristotle yang lain tentang perempuan pun, kita akan mendapati perlecehan Aristotle terhadap perempuan. Lantas persoalan seterusnya ditanyakan, adakah jika buku ini (Gapura Wacana) dibuat jilid 2, ahli falsafah perempuan atau pemikir perempuan manakah yang akan dimasukkan beliau?

....

Pastinya seperti yang difikirkan ramai -yang membaca- tidak lain dan tidak bukan, jawapan Dr. Akram ialah Simone de Beauvoir, seorang tokoh feminis yang menulis The Second Sex. Jadi Stephen Law dalam bukunya juga ada memasukkan de Beauvoir selain Hannah Arendt.

 

Pop culture dan falsafah atau pop culture vs falsafah



Sebelum masuk ke dalam pop culture, juga disebutkan tentang Nawal El Saadawi dalam perbincangan pada hari itu. Dalam sebuah buku, Sceptics of Islam, diletakkan muka Nawal menjadi rekakulit buku meskipun bukan hanya Nawal seorang sahaja yang dibincangkan dalam buku tersebut. Maka idea representatif ini menjadi suatu hal yang penting. Bahkan meskipun Nawal tidaklah menulis sebuah buku berfokus falsafah yang solid, tetapi emansipasi wanita itu dituangkan dalam karya-karyanya yang bercorak fiksyen. Ini yang membawa kepada adakah falsafah itu milikan tunggal ahli falsafah yang serius wajahnya dan buku-buku tebal tak difahami manusia lain?

Sedangkan, turut dibangkitkan dalam diskusi, Jean-Paul Sartre lebih dikenali sebagai penulis sastera dan drama (fiksyen).

Dalam sebuah buku A Brief Guide to Philosophical Classics: From Plato to Winnie the Pooh karya James M. Russell, beliau menyebutkan dalam pemilihan buku-buku falsafah untuk dimasukkan dalam bukunya, 

In choosing the books, we have intentionally cast our net beyond the realm of traditional philosophy. Our selection includes novels, children’s books, work of science fiction and political tracts as well as more academic works. We wanted to reflect the fact that many books that provide philosophical inspiration are not strictly speaking philosophy books.

Juga pada ms 70 disebutkan 

that philosophy is not just about formal academic papers and theories. Many writers of fiction, psychology or even self help books have produced work that addresses profound philosophical ideas. Rather than focusing only on elitist academic philosophy we have intentionally tried to broaden the net to show how philosophy has interacted with other fields such as psychoanalysis or mysticism.

Antara yang dipersoalkan tentang pop culture ini ialah, adakah pop culture boleh disuntik falsafah padanya, seperti apa yang dibuat oleh Zamir Mohyedin dengan bukunya Alegori Naruto terbitan The Patriots. Atau falsafah itu semestinya hanya boleh ditelan mentah dengan rupa bentuknya yang rumit? Tetapi ada juga kebimbangan yang diutarakan oleh Dr. Akram bahawa bila orang lebih gemar yang mudah-mudah, maka orang tidak gemar lagi dengan mendengar perbahasan yang rumit dan susah. Kita juga tidak tahu atau boleh mengukur sejauh mana orang berfalsafah atau meminati falsafah dengan menonton filem-filem Marvel? Atau hanya sekadar hiburan dan eskapisme?


Anarkisme yang marginal

Kalangan Kiri baik Sosialis, Komunis atau yang lebih keras dengan cengkerang Marxist, ada yang menolak anarkisme sebagai satu fahaman atau ideologi yang wajar dipandang serius. Antara hujahnya kerana melihat anarkisme sebagai satu ism yang tidak sistematik dan menyeluruh. Hanya sekadar revolusi dan pemberontakan. Tetapi nampaknya di dalam buku ini, Dr. Akram masih memasukkan karya Bakunin, Tuhan dan Negara. Stephen Law dalam bukunya tidak memasukkan sebarang buku anarkis pun. Tetapi James M. Russell dalam bukunya yang disebutkan di atas, memasukkan sebuah buku anarkis yang lain -perempuan- iaitu karya Emma Goldman berjudul Anarchism and Other Essays. Ada yang mengesampingkan, ada yang memasukkan. Ternyata buku Dr. Saiful Akram ini meski ada kekurangan, masih tetap banyak kelebihan dan kekuatan yang terpencar di sana sini. Dan bahasanya juga dijamin mudah faham buat mereka yang hendak berjinak-jinak dengan falsafah. Buku ini ialah sebuah lagi usaha yang baik dan menarik untuk mengkayakan lagi buku-buku berkaitan falsafah dalam Bahasa Melayu, di tengah kebanjiran buku-buku agama yang tidak membantu perkembangan pemikiran anak bangsa.

Jika ada sesiapa mahu mendapatkan buku tersebut, boleh hubungi Bibliopress atau Dr. Akram sendiri.

 



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk