Langkau ke kandungan utama

Akupunktur oleh Dr. Nasir Hashim

 


Pengantar Penerbit


Dr. Nasir Hashim adalah seorang sosok Kiri tanahair yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Secara umumnya, khalayak aktivis dan masyarakat awam mengenali beliau sebagai aktivis dan bekas pimpinan Parti Sosialis Malaysia, juga bekas ahli Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), bergiat aktif bersama peneroka bandar menuntut hak mereka, juga pernah bertanding di Kota Damansara dan menang di sana (2008-2013), menjadikan beliau antara senarai politikus Kiri yang pernah menang pilihanraya di Malaysia, sebaris dengan Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Hassan Karim, Dr. Jeyakumar, Tan Seng Giaw dll, juga pernah didekamkan selama 15 bulan semasa Operasi Lalang 1987 oleh penguasa (rejim Mahathir waktu itu) dengan akta I.S.A. Sementara itu dari sudut akademik beliau memperolehi Ph.D di Cornell University, Ithaca, New York seterusnya pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Dekan Fakulti Perubatan UKM, Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UKM (PKAUKM) dan Pengerusi Institute Analisa Sosial (INSAN).

Selain bergiat aktif dalam kegiatan kemasyarakatan, kepartian dan politik, beliau juga seorang doktor aktivis (harus diingat Che Guevara juga seorang doktor) yang produktif menulis buku. Karyanya beragam genre. Dari kesufian, cerpen, novel, kumpulan puisi, beliau cuba masuk ke pelbagai arena dan jenis penulisan termasuk non-fiksyen. Selain penulisan, beliau juga pernah terlibat dalam penerbitan majalah bernuansa kerakyatan iaitu Nadi Insan bersama rakan-rakannya seperti Dr. Jomo dll.

Jika kita tinjau pemikiran beliau dalam karya-karyanya sebelum ini, kita akan dapati ia (karya dan pemikiran Dr. Nasir) memiripi karya dan pemikiran pendahulunya iaitu Kassim Ahmad, juga seorang sosialis, sarjana, aktivis, intelektual yang turut bergelumang dalam parti Kiri dan aktif serta gigih menulis pandangan-pandangannya yang kritis lagi kontroversial. Antara yang persis lagi ialah pandangan kedua-dua sosok ini tentang Qur’an dan Hadith, yang tidak sefahaman dengan fahaman majoriti Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia.

Menariknya di sini kita dapati, Kassim Ahmad (yang juga Dr.) dari latar belakang sastera, sementara Dr. Nasir dari latar belakang perubatan (nutrisi). Kedua-duanya sarjana dari dua latar belakang yang berbeza, memilih ideologi Kiri, Sosialis dan terlibat dalam Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan kemudiannya menjadi PSM, tetapi perbezaan yang kita boleh dapati, Kassim Ahmad begitu menekankan pendekatan rasional dan saintifik, meskipun “sepulangnya” beliau daripada Sosialisme Kepada Islam, sementara Dr. Nasir meskipun masih Sosialis dan agak ke-quranis- quranisan pandangannya, kecenderungan beliau tampak lebih kepada kesufian, Ibn ‘Arabi antara yang sering dipetiknya. Ini antara yang menarik untuk dikaji dan dibuat bandingan antara dua sosok langka yang pernah ada di Malaysia ini. Kenapa kedua- duanya tidak sama pada hujungnya atau ada beza dalam memaknakan pemahaman tentang Sosialisme dan Islam? Meskipun kedua-duanya, jika dibaca dalam pengertian Brian Whitacker dalam buku Arab Without God, antara ciri Islam/Muslim Progresif adalah sangat kritikal@mengabaikan hadith, maksudnya Dr. Nasir baik Kassim Ahmad kita nampak ketara ciri itu, tetapi kedua-dua mereka masih mempunyai beda/beza dalam pemahaman dan pendekatan. Seorang dengan kembali ke Islam (katanya Pulang Dari Sosialisme) dan masuk ke Parti Melayu, meski tidak begitu diterima ideanya dalam parti konservatif itu, seorang lagi tidak kembali ke mana-mana, masih kekal dengan parti sosialisnya, cuma lebih menekankan pendekatan sosialisme yang religius, yang religiusnya lebih jauh ke marhalah sufisme yang kontroversial, iaitu Ibn ‘Arabi (walaupun beliau juga pernah menulis makalah dan membentangkan tentang sosok Ali Syari’ati sebagai Marxist Muslim).

Akupunktur ini adalah buku terbaru Dr. Nasir. Hasil gelumangnya selama ini dalam dunia perubatan moden dan alternatif. Perbezaan buku beliau yang julung kalinya ini bertemakan  perubatan alternatif iaitu akupunktur. Dan cara penulisannya juga berbeza dengan cara penulisan buku-buku terbarunya sebelum ini iaitu yang sebelum ini lebih kepada monolog sementara yang ini lebih bersifat penceritaan ala dialog, menggunakan Socratic Method dalam bentuk temubual (antara wartawan dan master). Di Malaysia kita yang masih karat semangat ke-Kanan-annya ini, juga yang antikan sosialis, boleh membaca dan menilai sendiri bagaimana bentuknya sosialis seorang Dr. Nasir. Dia memanfaatkan ilmu pengetahuannya, menjadi seorang yang polymath –juga pengagum Leonardo Da Vinci– dan menyumbangkan untuk komuniti setempat. Dr. Nasir juga berbicara tentang perbezaan perubatan tradisional suatu masa dahulu di mana tabib haruslah menjelajah dari satu tempat ke satu tempat untuk mencari penawar dan tidak bermotifkan keuntungan, yang berbeza dengan perubatan moden hari ini yang bermotifkan keuntungan. Dr. Nasir mempertanyakan tentang perubatan moden yang hari ini memaksa pesakitnya untuk menelan berbakul-bakul ubat, dan juga menerima pelbagai kesan sampingan. Perihal Dialektika yang kerapkali dibicarakan Dr. Nasir di beberapa pertemuan dan di dalam karya-karyanya sebelum ini juga disebutkan di dalam naskhah ini, antaranya dikaitkan juga dengan Yin-Yang. Pemahaman sufistik Dr. Nasir yang dicurahkan ke dalam pergulatan sosialistik dan perubatannya juga menarik, iaitu beliau menyebutkan, hanya bergulat dengan kejahatan, maka kita dapat mengenali kebaikan. Dalam ertikata lain, tanpa kejahatan bagaimanakah bisa manusia mengenali kebaikan? Dr. Nasir di samping mengkritik perubatan moden yang terlalu mekanikal dan menganggap tubuh badan manusia seperti robot turut menyelitkan serba sedikit tentang falsafah sosialis-religiusnya ke dalam buku perubatan alternatifnya ini, iaitu manusia bukanlah robot, dan harus menghargai ilmu perubatan datuk moyang terdahulu. Menariknya di sini, walaupun masih sebagai sosialis, Dr. Nasir mengkritik antara idea utama Marxist-materialis iaitu, our material relations determine our consciousness and not consciousness determining the material relations dan seterusnya beliau menjulang fizik kuantum. Tanpa mengutip berjela-jela ayat al-Qur’an dan hadith sekalipun, beliau masih mampu mengkritik tamadun Barat yang materialistik. Akhirnya kami mengharapkan buku ini juga akan memberikan sumber informasi yang baru buat para pembaca tentang ilmu akupunktur yang jarang-jarang sekali dituliskan. Dr. Nasir nampaknya cuba untuk menepati sebagaimana yang dibayangkan Marx, sebagai manusia masa hadapan, 

For as soon as the distribution of labour comes into being, each man has a particular, exclusive sphere of activity, which is forced upon him and from which he cannot escape. He is a hunter, a fisherman, a herdsman, or a critical critic, and must remain so if he does not want to lose his means of livelihood; while in communist society, where nobody has one exclusive sphere of activity but each can become accomplished in any branch he wishes, society regulates the general production and thus makes it possible for me to do one thing today and another tomorrow, to hunt in the morning, fish in the afternoon, rear cattle in the evening, criticise after dinner, just as I have a mind, without ever becoming hunter, fisherman, herdsman or critic.”

Selamat membaca.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk