Langkau ke kandungan utama

Menilai Semula Syahadah Kedua Karangan Syazreen Mohd

 



oleh: Benz Ali

Muqaddimah

Saya mengambil masa yang agak lama untuk mengulas di blog ini tentang buku terbaru terbitan Ilham Books karangan Syazreen Mohd ini. Saya berjanji kepada penerbitnya akan mengulas pada bulan 7 tempohari di blog ini, malangnya ada hal-hal lain yang menganggu fokus, dan juga faktor kesihatan yang tidak menentu. Buku setebal 193 ms ini meskipun tidak begitu tebal, tetapi perbahasannya berat lagi mendalam. Ia tidak boleh diulas sambil lewa. Maka kerana itu saya telah menghabiskan masa saya untuk menonton diskusi buku ini (live FB) anjuran penerbitnya sendiri, Lestari Hikmah, Borneo Komrad dll, yang menjemput panelis dari serata ceruk nusantara, Borneo, Singapura, Indonesia dan Malaysia. Dan baru-baru ini juga di Clubhouse dianjurkan diskusi berkenaan buku ini oleh Purana School yang dikendalikan oleh Megat Hanis, Sadiq Jebat, Shukri Mokhtar juga panelis jemputan Amirul Mukminin. Diskusi yang sama turut dihadiri seteru akbar Muhyiddin Ibn ‘Arabi di nusantara kita iaitu al-syeikh al-kabir al ustaz al-Noor Deros.

Buku ini adalah karya Syazreen yang saya baca bersekali dengan karangan beliau terbitan Thukul Cetak kulit warna hijau putih, Bercakap Dengan Qur'an. Sebelum itu juga saya ada membaca tulisan beliau dalam buku kompilasi bersama krew-krew UTAM dalam Alif Lam Lam Ha terbitan DuBook Press.

Buku ini juga diberikan kata pengantar dan petikan belakang nama-nama yang hebat seperti K.H Hussein Muhammad, Haidar Bagir, Mun’im Sirry, nyatanya tidak indah khabar dari rupa. Buku ini mempunyai kekuatan dan keunikan sendiri yang langka didapati di Malaysia. Nyatanya kita langka dalam banyak benda terutama dalam hal tentang idea dan pemikiran, dan buku ini cuba mengisi kelangkaan atau kekurangan itu.

Berhari-hari, berminggu-minggu, dan berbulan-bulan saya membaca dan meneliti buku ini, saya mendapati Syazreen cuba menunjukkan apa yang kurangnya dalam pemahaman Islam di Malaysia yang nampaknya makin hari makin ketat (syadid), rigid, sektarian dan eksklusif. Ini antara ciri-ciri dalam menggambarkan Islam apa di Malaysia yang dianuti ramai Muslim beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (baik Asya’irah dan Salafiah-Wahabiyah yang saling merebut kerusi ASWJ ini) yang kita banggakan selama ini.

 

Latar

Syazreen nyatanya harus diraikan sebagai pemikir Islami generasi baharu yang tidak seperti rakan sejawatnya yang lain (juga UTAM, seperti Marwan Bukhari dll) yang menekuni pemikiran Ibn ‘Arabi. Harus dicatat juga bahawa buku-buku berkaitan Ibn ‘Arabi juga banyak dikeluarkan lebih awal sebelum Syazreen lagi. Antaranya keluaran IKD-MEGC (maaf jika saya silap berkaitan MEGC), tetapi yang saya dimaklumkan group Jalan Telawi ketika dipimpin oleh Pak Khalid Jaafar memang membincangkan buku dan pemikiran Ibn ‘Arabi. Sama ada Fushush Hikam atau Futuhat Makkiyah, tidaklah dapat saya pastikan. Sementara itu di jalur bertentangan atau di jalur Kiri pula, Dr. Nasir Hashim antara tokoh Kiri Malaysia yang sering sahaja memetik Ibn ‘Arabi dalam pertautan Islam dan Sosialisme. Makanya Syazreen tidak sendirian dalam perbahasan ilmiah di Tanah Melayu moden (Malaysia) dalam membincangkan dan membahaskan semula tentang pemikiran Ibn ‘Arabi. Di Indonesia pula, lebih menariknya lagi lepasan pesantren dan dari jalur Nahdathul Ulama’ (NU) yang melanjutkan pelajaran sampai ke Perancis iaitu Al-Fayyadl telah menghasilkan buku tentang Ibn ‘Arabi iaitu Teologi Negatif Ibn ‘Arabi terbitan LKiS, menunjukkan pemikiran Ibn ‘Arabi masih belum mati-mati dan masih dikaji para pengkaji, hatta dari latar belakang yang dianggap orthodox sekalipun (yakni bukan kalangan orientalis semata).

Syazreen menyebutkan dalam diskusi pertamanya yang dihadirinya berkaitan bukunya itu, bahawa bukunya itu tidaklah mengandungi semua isi pemikiran dan penulisan Ibn ‘Arabi –menjawab persoalan Naim Kalantani dan Amirul Mukminin di Clubhouse adakah Syahadah Kedua mengupas seluruh pemikiran Ibn ‘Arabi. Cumanya beliau harus diraikan ketikamana wacana Islam di Malaysia yang sangat kental ciri ke-orthodoksian-nya beliau memilih untuk membaca, mengkaji dan menelaah wacana yang berbeza dengan arus perdana dan seterusnya menghasilkan buku berkenaan, walaupun dalam masa yang sama arus yang bertentangan dengannya juga cukup laju menerkam – seperti Noor Deros dan antek-antek Sidang Kalam mereka – yang seperti algojo para Khalifah haus darah yang mengejar satu persatu mereka yang bertentangan dan berfahaman lain dari arus perdana. Tetapi kita tidak dapat membaca jua fikiran dan modus operandi Tuhan, seperti kitab suci yang satu tetapi interpretasinya beribu. Seperti dikatakan Ibn ‘Arabi, Suhrawardi, Hallaj dan Hamzah Fansuri itu sesat, tetapi mereka terus diingat, dibaca dan dikaji oleh generasi kemudian yang berabad lama selepasnya. Harus diingat dan dicatat, bahawa Ibn 'Arabi bukan hanya diselar dan dikelar oleh pengikut-pengikut kaum literalis (antaranya seperti Noor Deros) tetapi juga diangkat dan dikagumi ramai.

 

Ibn ‘Arabi dan Imam Ghazali

Selain Syazreen yang cuba mempertautkan Ibn 'Arabi dan Imam Ghazali, Haidar Bagir dan Ulil Abshar Abdalla juga mempertemukan Ibn 'Arabi dan Imam Ghazali dalam karangan terbarunya, “Jika Tuhan Mahakuasa, Kenapa Manusia Menderita?” terbitan Mojok, penerbit Indonesia. Jadi jangan hanya dibaca hanya satu pandangan yang menistakan Ibn 'Arabi, sebaliknya bacalah lagi dan akan dipertemukan dengan ragam lagi pandangan yang mengangkat Ibn 'Arabi. Adapun saya sendiri selaku penulis untuk ulasan ini, tidak memihak ke mana-mana. Ini adalah pertembungan aliran idealis-metafisis. Cuma saya bersetuju dengan idea-pandangan Syazreen tentang Islam yang eksklusif ini harus dicabar dengan Islam yang inklusif – meskipun penuh liku!

Sementara Noor Deros dan antek-antek Sidang Kalamnya menggunakan karangan Imam Ghazali, Fadhoih Batiniyah untuk menyerang mereka-mereka yang berfahaman sedemikian rupa termasuk Ibn 'Arabi (yang dituduhnya sebagai Sufi Batini, Ahli Sihir dll), Syazreen dalam bukunya ini pula menggunakan karangan Imam Ghazali berjudul Faysal al-Tafriqah al-Islam wa al-Zandaqah. Tulis Syazreen, “Risalah inklusif al-Ghazali begitu jelas pada fasal-fasal yang terakhir dalam intipati karya tersebut. Selain mengkritik kelompok taasub dan takfiri, al-Ghazali menyatakan pengampunan Tuhan diberi kepada semua orang. Beliau bersikap optimis tentang nasib keselamatan non-Muslim yang beriman dengan lewat kasih sayang-Nya.”

Sementara aliran Syari’at-Literalis (Kalamis termasuk Salafis) menekankan pendekatan “tahu” tentang Tuhan, yakni Tuhan mesti tunduk/tertakluk dalam perselingkuhan ilmu teologi tauhid, Syazreen mengenengahkan pandangan Ibn Arabi yang Tuhan tidak semestinya diketahui oleh akal dan nalar manusia. Syazreen juga menggunakan buku al-Ghazali lain, Mishkat al-Anwar bahawa pengetahuan Tuhan adalah sesuatu yang tidak terjangkau oleh roh akal fikiran. Pendapat saya, ini begitu menarik dan unik. Dikatakan juga oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy dalam buku Simposiumnya, bahawa Imam Ghazali meninggalkan perbahasan teologi ala Ilmu Kalam dan beralih kesufian dengan mengarang Ihya' Ulumuddin, selepas ditegur oleh adiknya seorang ahli sufi. Disebutkan juga oleh Iqbal dalam buku Metafizika Iqbal, bahawa persoalan intuisi (intuition) atau rasa bukan persoalan fikiran, yakni bukan persoalan akal yang boleh diajar-hujah seperti perbahasan atau perdebatan Ilmu Kalam. 


"Semua orang layak mendapat syurga atas perkenan Tuhan"

Ini adalah yang ditulis oleh Syazreen dalam membawakan pandangan Ibn 'Arabi. Tetapi seperti juga yang ditanyakan oleh Muziru Adham -selaku penonton- dalam diskusi pertama buku ini yang Syazreen juga menjadi panelisnya, bagaimana pula dengan atheist? Adakah atheist dan agnostic yang tidak beriman pada Tuhan juga akan layak mendapat syurga dan diampunkan? Sedangkan atheist tidak percaya pada hal-hal metafisis ini. Syazreen dalam sesi tersebut nyata tidak dapat menjawabnya, dan ini diakui sendiri olehnya.

Agama masa depan menurut Syazreen adalah percaya kepada Allah, berbuat baik dan percaya kepada hari kiamat. Dalam ertikata lain, konsep yang selamat menurut Syazreen adalah agama-agama Semitik, sementara bagaimana pula dengan agama-agama ardhi yang tidak percaya pada Allah, dan hari kiamat, atau atheist yang berbuat baik? Adakah ini tidak termasuk dalam pakej keselamatan Syazreen. Atau animis misalnya.

Hujah Syazreen seterusnya juga diperlihatkan bahawa yang beragama semuanya selamat, dalam ertikata lain bukan hanya Semitic, maka ia mestilah merangkumi agama Hindu dan Buddha (walaupun Hindu mempunyai konsep kasta dan tidak ada konsep percaya kepada Allah dan beriman pada hari akhirat). Tetapi atheist, agnostic dan animis masih belum mendapat penyelamatan itu, mungkin kerana atheist tidak percaya pada sang pencipta. Dan bagaimana pula dengan agnostik yang ragu kepada kewujudan Tuhan? Itupun juga belum ada yang mahu menyelamatkannya. Ini antara persoalan-persoalan yang belum dituntaskan Syazreen dalam karyanya ini.


Persoalan mazhab

Syazreen yang juga penulis buku Bercakap Dengan Qur’an terbitan Thukul Cetak ini juga mempunyai pandangan yang progresif dan kontroversial tentang persoalan kemazhaban. Bukunya ini meski banyak memfokuskan kepada pemikiran Ibn ‘Arabi juga turut mengkritik persoalan kemazhaban. Tulis Syazreen,

Namun, untuk mencapai keyakinan sempurna, ia tidak memerlukan seseorang bertaklid kepada mana-mana aliran dan mazhab.

Ini antara penyataan penulis yang saya gariskan. Agak berani beliau mengungkapkan penyataan ini meski beliau berada di jalur pengajian Islam rasmi (bukan dari pendidikan sekular seperti Kassim Ahmad, Nasir Hashim dll) dan di tengah-tengah masyarakat yang cekang iklim sektarian-mazhabnya. Jadi, taklid turut dikritiknya.

Buku ini juga mempertentangkan fahaman Asya'irah (mazhab Kalam arus perdana Sunni) yang mengatakan bahawa Tuhan bebas sahaja memasukkan sesiapa sahaja ke dalam syurga dan neraka kerana itu adalah kuasa dan kehendak Tuhan, ini berbeza dengan idea atau fahaman dari Syi'ah atau Muktazilah yang menolak kesemberonoan ini. Bagi mereka yang dianggap hetererodoks ini, Tuhan dan keadilan itu seiringan, bukan berbeza.

Asya'irah sendiri lahir dalam era penguasa berkuasa mutlak, dan fahamannya berkhidmat untuk kepentingan penguasa, kerana itu Tuhan menurut mereka boleh sahaja memasukkan seorang sultan yang zalim ke dalam syurga asal sahaja dia Islam, jadi Tuhan dalam perspektif mereka tidak terikat. Kerana itu para pemerintah Islam - Sunni - sememangnya menggemari akidah sebegini. Hassan Hanafi pernah mengkritik teologi Asya'irah berkaitan konsep ini.

Muktazilah yang selalu dipandang buruk pula, mempunyai pandangan yang sihat dalam soal ketauhidan. Bagi Muktazilah, mereka yang tidak mendapat risalah ketauhidan yang benar, tidak boleh dihukum kufur atau syirik. Syazreen yang sesekali mengkritik Muktazilah dilihat lebih cenderung pada Muktazilah berbanding Asya'irah.

Jadi Syazreen mempertembungkan pandangan Asya'irah dan Muktazilah dalam hal, apa status bukan Islam yang berbuat baik di akhirat kelak? Nyatanya pandangan Asya'irah jauh regresif ke belakang walaupun merekalah yang mendominasi arus utama perbahasan teologi dalam dunia Sunni. Bagaimana mungkin orang bukan Islam yang sentiasa berbuat baik itu masuk ke neraka, sedangkan bukankah selalu dikatakan hidayah itu milik Tuhan?


Tuhan yang misteri

Tuhan sangat misteri menurut Syazreen. Beliau menjelaskan konsep tentang "ketidakmungkinan mengetahui Tuhan" versus "kemungkinan mengetahui Tuhan". Nampaknya beliau jelas membidas tentang permainan teologi Kalam baik kalangan Muktazilah juga Asya'irah (utamanya) yang seakan "memerangkap" atau "mengurung" Tuhan dalam kerangka teologi sempit mereka. Dia memetik Ibn 'Arabi yang mengatakan mereka adalah "Nuzzar".

Seterusnya Syazreen membezakan secara ringkas tetapi mendalam tentang perbezaan antara Muktazilah dan Asya'irah dalam menanggapi persoalan ketuhanan. Bagi Muktazilah, penalaran tentang Tuhan boleh dilakukan dengan melalui jalan akal fikiran sementara bagi Asya'irah, penalaran tentang Tuhan hanyalah boleh dilakukan dengan Qur'an dan Sunnah -dengan sedikit penambahan, bahawa akal masih dibenarkan, tetapi mesti tunduk di bawah Qur'an dan Sunnah. Hanya menjadi pembeza Asya'irah dengan Hanabilah ialah, Asya'irah masih berakal sementara Hanabilah telah menghilangkan akal mereka.


Persoalan azab di neraka

Sebenarnya jika benar-benar meneliti ajaran Islam, kita akan dapati sebenarnya banyak perbezaan pandangan antara dari zaman Nabi hingga zaman ulama' hingga ke zaman ini. Umum mengetahui bahawa orang bukan Islam akan ke neraka (ada hadith mengatakan ibunda Nabi juga ke neraka), tetapi dalam pemikiran Ibn 'Arabi yang kontroversial, penghuni neraka tidak kekal selama-lamanya. Sebaliknya akan diazab pada peringkat awal kerana dosa yang pernah dilakukan di dunia, setelah selesai melepasi azab itu, kemudian pada suatu saat mereka akan menikmati taman syurga dengan keizinan rahmat Tuhan. Jadi penafsiran "khalidina fiiha abadan" mempunyai maksud lain dalam pemikiran Ibn 'Arabi, walaupun neraka itu kekal selama-lamanya, belum tentu penghuni dalam neraka kekal menerima azab selama-lamanya.

Beliau juga menampilkan pandangan Ibn 'Arabi yang mengatakan tentang 'Azab' yang disifatkannya sebagai "kemanisan" atau "khabar baik".


Kekurangan

Kekurangan pada konsep yang diutarakan Syazreen juga ialah tiada konsep justice, bagaimana pembalasan terhadap mereka yang menzalimi orang lain? Adakah orang itu akan dibalas atau akan diampunkan jua kerana Tuhan bebas berbuat sesuka hatinya (masih ada unsur Asya'irah pada pemikiran dan penulisan Syazreen dalam hal ini), berbeza dengan aliran Muktazilah juga Syi'ah iaitu Tuhan mesti Adil, kerana Zalim bukan sifatnya. Kerana itu Syi'ah bersikap keras terhadap Yazid bin Muawiyah dan pemerintah Umaiyah. Kerana itu Syi'ah Zaidiyah terlibat dalam pemberontakan menentang pemerintah. Jadi teologi Zaidiyah -yang menerima pengaruh daripada Muktazilah - tidak berkutat soal "peace" atau "kasih sayang" semata, sebaliknya terlibat dalam perlawanan terhadap kezaliman. Jika dalam konsepsi ketuhanan-keadilan Syazreen, adakah para penzalim dan penindas akan terlepas?

Juga, pengabaian Syazreen pada hal-hal syari'at Islam (yang bersifat sosial yang regresif) tidak disentuhnya, sebaliknya dihindari sejauhnya, sedangkan kebanyakan persoalan Muslim sekular adalah berkaitan ayat-ayat Qur'an yang bersifat sosial yang regresif ini. Islam ala Ibn 'Arabi seakan meninggalkan persoalan fiqhiyyah yang menjadi medan utama pertembungan sekular dan orthodox.


Khulasah

Banyak lagi mahu diperkatakan tentang buku berketebalan 193 ms ini. Cukup di sini dulu buat masa ini. Akan dikembangkan lagi untuk sesi diskusi (live FB di KUBU) juga pada masukkan dalam buku terbaru Teguran Suci dan Terbuka Kepada Ustaz Dari Singapura yang akan diterbitkan tahun hadapan. Para pembaca juga disarankan untuk menggeluti juga buku yang disenaraikan di bawah untuk mendapat lebih pemahaman apa yang diutarakan oleh Syazreen. Untuk memahami sesuatu persoalan, kita tidak harus mudah berpuas hati atau berasa cukup dengan satu buku, tetapi mesti lebih berbuku-buku.

Apa-apa kritikan dan pandangan boleh dimajukan.


Rujukan dan bacaan lanjutan:-

1. Syahadah Kedua - Syazreen Mohd

2. Simposium Tasawuf dan Tarikat - Dr. Burhanuddin al-Helmy

3. Jika Tuhan Mahakuasa, Kenapa Manusia Menderita? - Ulil Abshar

4. Metafizika Iqbal 

5. Islam Tuhan Islam Manusia - Haidar Bagir

6. Teologi Kiri - Abdul Munir Mulkhan



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk