Langkau ke kandungan utama

Resensi Buku Ideologi Zin Mahmud

Oleh: Farahani Rosman

Mengulas sebuah catatan memori seseorang terkemuka bukanlah senang, sekurangnya untuk saya. Catatan memori ini sifatnya peribadi; ia terhadir selepas melalui suatu proses renungan rasa dan rasional. Tertimbul insaf di masa-masa muhasabah diri, tertimbul lucu di masa-masa senang hati. Untuk Zin Mahmud yang lebih tersenyum jika dipanggil Pak Zin, kenangan-kenangan pergerakan fikirnya tertulis setakat upayanya mengimbau noktah-noktah penting dalam hidupnya. Tertulis dalam prakatanya, beliau bersungguh-sungguh ingin menepati memorinya dengan maklumat yang benar. Tarikh, atau tahun itu penting untuk kita faham anggaran semangat zaman yang cuba diterangkan. Begitulah apa yang saya dapat daripada Pak Zin.

Buku ini buku yang laris di pasaran. Baru sahaja hinggap di rak buku, ia lesap di tangan orang lain menuju ke meja juruwang. Saya sendiri terpaksa menunggu ia dicetak buat kali kedua dengan kerjasama Republik Buku dan Gerak Budaya. Sesudah memilikinya, barulah saya faham ia bukanlah buku biasa-biasa. Judul buku ini agak havoc kelihatan – Ideologi. Orang sudah lupa ini memoir. Bukan cerita-cerita biasa mengenai ideologi. Pak Zin membuktikan ideologi ini tidaklah beku sepanjang liku hayat seseorang. Ideologi adalah titik proses pandang dunianya, sesekali turut menjadi dasar asas pegangan dirinya dalam tindakan hidupnya. Istilah ideologi dimaknakan semula, daripada sekadar suatu cabang falsafah yang selalunya tersekat dalam kerangka tinjau Barat (sekurangnya di Malaysia) – menjadi suatu yang lebih intim dan melewati soal eksistensi, eksistensial seorang manusia.

Huraian teknikal secara ringkas: buku ini mempunyai 22 bab, dengan 173 halaman bercetak. Dalam prakatanya, Pak Zin kembali ke zaman remajanya dengan mengutamakan lingkup masa 1973-1977, tetapi masih tidak lupa kepada Zin Mahmud yang masih wujud pada 2015. Mata pembaca tidak akan sakit kerana Pak Zin tidak berusaha untuk menjadi sasterawan dengan bahasa rumit. Pak Zin berusaha menjadi seorang pelapor yang jujur, menuliskan apa sebenarnya yang berlaku dengan apa yang beliau tahu, setakat apa yang beliau rasa ia perlu. Pengalamannya sebagai wartawan tentulah membolehkan kamus kosakatanya lebih luas, apatah lagi dengan kepelbagaian buku, makalah dan bacaan lama yang ditelaahnya. Bahkan, citra pengalamannya sebagai wartawan ini jugalah antara ciri penaik harga nostalgianya terhadap beberapa syarikat surat khabar yang beliau pernah bekerja suatu masa lalu. Tidak saya hairan sekiranya ada kalangan pembaca menyatakan buku ini habis sekejap sahaja. Ia tidak diniatkan menjadi opus magnum Pak Zin. Ia diniatkan menjadi karya bernilai tinggi dengan bahasa marhaen yang sederhana susahnya.

Suatu rahsia terbuka yang kita sengaja tidak bicarakan adalah kebanyakan syarikat surat khabar (hari ini sudah boleh diheret sekali pihak media Internet) bahawa sentiasa ada agenda yang cuba diutuskan kepada khalayak peminat mereka. Adat ini tuntas sekali dikupas oleh Noam Chomsky, menusuk kembali deria kita di Malaysia dengan cerita-cerita belakang tabir Pak Zin. Suatu fakta terhadir pula saat saya menikmati kisah Pak Zin - beliau sudah menerima lama bahawa beliau boleh dibuang kerja dari satu surat khabar yang menerima dana parti politik kepada satu lagi surat khabar lain. Baginya, barangkali ia hanya kerja. Bagi majikannya, Pak Zin adalah sosialis yang tidak berbahaya. Dari penceritaan Pak Zin jugalah, kita baru mengetahui spektrum sosialisme dan komunisme. Bagi marhaen yang berlogik malas, apa-apa sahaja yang kiri tandanya amat tidak normal dan perlu dikuburkan secepatnya. Itu juga gambaran akal saya apabila melihat iklim pendapat hari ini, ditambah lagi kita baru saja menyaksikan polemik buku teks sejarah disalahkhutbahkan oleh orang politik. Namun Pak Zin adalah saksi hidup yang boleh mengesahkan bahawa suatu masa dulu, menjadi kiri tidaklah seteruk kini. Mahasiswa dibolehkan melawan, mahasiswa dibolehkan berpartisipasi malah diagungkan lagi apabila kita menyilangkan penceritaan Pak Zin dengan puisi-puisi orang lama.

Satu lagi penarik buku ini adalah bagaimana Pak Zin menyusun fikirnya menerusi sorotan literatur yang disenaraikannya dalam setiap bab. Bukan satu, tetapi semua. Setiap bab ini ada saja memetik paling kurang sebuah buku atau makalah yang penting seandainya suatu masa depan, sudah ada anak muda melawan yang ingin mengkaji perjalanan semangat kiri di Malaysia. Sorotan literatur adalah istilah mesra bagi seseorang pengkaji yang perlu mempertahankan kajiannya, namun dalam situasi Ideologi, ia tidak digunakan menjadi analisis-cari kelompangan kajian atau bagaimana buku ini direncanakan dapat mengisi ruang sempit kajian-kajian lepas. Pak Zin menggunakannya sebagai cara beliau bercerita mengenai bagaimana senaskah buku yang disebutkan itu mempengaruhi kefahamannya mengenai ‘dunia’.

Saya katakan ‘dunia’ kerana Pak Zin juga suatu masa dulu adalah remaja yang rajin. Selain rajin membeli bahan bacaan, beliau juga rajin bertandang ke pusat budaya negara lain dan rajin pula menulis serta meminta naskah bacaan daripada sesebuah organisasi. Kerajinan ini saya amat kagumi, kerana sudah dibuktikan oleh Angela Duckworth pada 2016 dahulu; semangat dan kerajinan benar-benar mengatasi bakat yang ada. Malang sekali semangat dan kerajinan ini adakalanya tidak diterima baik oleh sesetengah orang. Semakin kita rajin, semakin pula mereka malas. Semakin kita bertanya, semakin itu dirasakan nilai kita untuk berguna padanya begitu nipis sekali. Yang ini kemelut peribadi dua hati, pertamanya, saya lalui sendiri dan seorang warganet yang tular hanya seminggu lepas saya habis membaca Ideologi. Warganet ini berkongsi dilemanya bahawa di Malaysia, budaya kerjanya toksik. Kita tidak boleh rajin tidak bertempat. Kalau tidak, kita akan dibuli untuk menjadi mesin peribadi sesetengah rakan kerja lain. Dr. Mahathir mungkin tidak setuju dengan perkara ini dan jika diketahui, barangkali disalahkan kembali asbabnya bahawa Melayu ini suka berkahwin sepupu-sepapat.

Apa kelemahan buku ini? Suka saya ingin menyatakan, tiada. Buku ini sudah sempurna seadanya. Sekali lagi kita wajib beringat bahawa ini adalah dokumentasi hidup seseorang yang sudahpun berlaku. Kritikan apa yang perlu saya lakukan hanyalah komentari, kerana itulah selayaknya yang boleh kita citakan untuk memoir seseorang. Tambah lagi, Pak Zin amat berhati-hati untuk meninggalkan kita dengan rasa neutral, tidak lebih dari itu. Bagi seorang penulis, sisa neutraliti di hujung buku adalah suatu perkara yang sukar dicapai apatah lagi bila kita menyentuh aneka isu yang boleh menyentuh sensitiviti ramai. Catatan ini membawa kita yang jauh dari zaman dahulu, menjadi dekat pada konflik dalaman dan kepercayaan penulis itu sendiri. Ada suatu detik itu, Pak Zin menyatakan beliau sudah sedikit keluar dari sosialisme. Itu tidak bermakna Pak Zin kekontangan ideologi – malah itu pula menjadi penyuluh sifat ingin tahu kepada faham-faham lain. Ini iktibar terbesarnya di akhir bacaan saya; ideologi itu boleh lentur sifatnya. Ia boleh menjadi hakikat terakhir seseorang, mengutip lembaran lama ke arah kemenjadian seorang ‘aku’. Hakikat terakhir itulah barangkali imej sebenar Pak Zin.




 

Ulasan

  1. Woori Casino Review | Casino With Slots & Table Games
    Woori Casino has a solid reputation as one of the top online casinos. You will 우리카지노 find 온카지노 an abundance of games, tournaments, and dafabet link promotions.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk