Langkau ke kandungan utama

Pandangan tentang buku Berfikir Tentang Pemikiran karya Syed Ahmad Fathi (BHG 1)


Oleh: Benz Ali

Aku mendapatkan buku ini sudah lama. PBAKL 2019. Cuma baru sekarang berkesempatan membeleknya dan baru sahaja selesai membaca 100 ms (tanpa dinafikan ada banyak juga yang aku skip). Terasa mahu mengulasnya, apatah lagi bila signature Syed Ahmad Fathi (SAF) selain menandatangan buku ini mengharap dapat aku reviu buku sulungnya ini. Dan SAF juga sudah melakukan reviu untuk zine-zine keluaran #kuliahbuku dan #republikzine iaitu KUBUZINE 1, KUBUZINE 2 dan Rambut Panjang Simbol Perlawanan. Aku fikir sudahlah sampai masanya, aku ‘membalas’ semula reviu-reviu yang beliau lakukan. Dan untuk catatan juga, rasanya aku diperkenalkan dengan SAF ini buat pertama kalinya oleh teman FBku (yang aku pernah bermalam di rumahnya kurang lebih seminggu semasa di Penang awal 2019). Aku rasa SAF juga hadir ke acara tour itu, sama ada orang lain atau aku tak sempat nak bersembang panjang dan bukunya ini telah kehabisan pada waktu itu.

Pertama sekali, aku sebenarnya sudah lama ingin membaca buku ini. Sebab ada buku-buku yang dibeli bersekali dengan buku SAF ini seperti buku Persoalan Nasional (Hisyamuddin Rais) dan Seksa, Rock dan Dada (Radhi OAG) telah selesai dilumati tahun lepas. Ya, membaca juga memerlukan masa yang sesuai. Kadang kita beli dulu, bertahun-tahun kemudian baru kita akan membacanya. Tapi kalau tak beli, belum tentu kita akan dapat membacanya.

Buku ini berketebalan 285 ms, dan aku telah memberitahu kepada SAF sebentar tadi bahawa reviu buku ini akan dilakukan sebanyak 3 siri, iaitu siri 1 untuk 100 ms pertama, siri 2 untuk 100 ms kedua dan siri 3 untuk bakinya. Baiklah aku cuba untuk memberikan pandanganku tentang 100 ms pertama buku Berfikir Tentang Pemikiran, karya SAF ini.

Sebelum membaca buku ini, aku sengaja membelek-belek dulu bahagian belakang, sama ada SAF meletakkan rujukan, indeks atau apa sahaja yang akan lebih menggodaku untuk membaca. Ya, di belakang buku ini disertakan lunggukan nama penulis-pemikir-tokoh yang terkenal. Cuma untuk aku sudah tak cukup steam, seperti Maududi, Syed Qutb, Maza dll. Ada juga tokoh dakwah lain, yang hanya bersifat amilin. Tanpa dinafikan ada juga buku-buku menarik yang diletakkan seperti buku A World Without Islam karya Graham E Fuller, The God Delusion karya Richard Dawkins, A Brief History of Time karya Stephen Hawking, Communist Manifesto karya Marx dan Engels, dan karya Mandela, yang patut dibincangkan lebih.

Padaku dari indeks atau bibliografi, kita boleh mengesan kecenderungan penulis ke arah mana. Indeks atau rujukan di belakang juga bisa menggoda sesiapa untuk masuk ke dalam buku yang ditulis pengarang.

SAF memulakan buku ini dengan memetik kata-kata Thomas Friedman, “Pekerja yang mempunyai kebolehan mempelajari perkara baru akan terus kekal relevan.” Kata SAF seterusnya, “Anda mungkin bagus pada pekerjaan anda sekarang, tetapi jika anda tidak mampu belajar perkara baru, anda akan menjadi tidak relevan beberapa tahun lagi.” “Pemikiran adalah sesuatu yang berubah-ubah. Ia akan sentiasa berubah, sesuai dengan peredaran zaman, penambahan ilmu serta informasi baru. Sekiranya kita gagal berubah, atau tidak berani berubah, kita akan menjadi sejarah dan ditinggalkan.” Begitu kurang lebih kata beliau. Dalam ertikata lain SAF ini bercakap di permulaan bukunya tentang perubahan, tentang adaptasi, manusia kena berubah. Pastinya bukan perubahan prinsip, aku menyangka sebegitu.

Sebelum diteruskan lagi latar SAF juga boleh tahan. Rupanya dia adalah anak usrah atau ahli gerakan Islam HALUAN, yang belajar di MATRI. Aku pernah mendengar tentang ini suatu masa dulu. Dan kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke Rusia. Suatu hal yang sangat menarik.

Cuma buku ini agak tepu dengan nilai-nilai keusrahan, yang kuat unsur didaktiknya (boleh Google apa itu didactic). Jika boleh kusarankan kepada SAF selain buku Asghar, beliau boleh juga cuba membaca buku Pergolakan Pemikiran Islam Ahmad Wahib (terbitan Indonesia) juga esei tulisan Fathi Aris Omar berjudul Di Bawah Mendung Usrah. Rasanya jika digoogle juga akan ketemu tulisan itu. Esei Fathi tentang usrah adalah esei paling merenung ke dalam, sebuah kontemplasi dari hati tentang pengalaman peribadi dengan usrah. Eseinya ringkas dan ringan sahaja. Tanpa ayat al-Qur’an, tanpa hadith, tapi sangat brilian dan nampak kejujuran.

Kembali ke buku SAF ini, katanya di ms 2, buku ini ditulis pada 17 Jun 2014 dan beberapa kali berevolusi sepanjang penulisannya, bermula dengan perkongsian berkenaan dengan dakwah dan tarbiyah.

Aku berharap SAF akan terus berevolusi dan jangan berhenti. Atau jika mahu berhenti pun pada usia 60-70 tahun. Bukan di usia muda ini untuk menoktahkan evolusi. Adalah merugikan jika pencarian tentang makna kehidupan ini telah diselesaikan pada usia awal. Kita tak perlu malu menyatakan kita pernah terlibat dalam usrah, atau gerakan dakwah, bagi sesiapa yang ex-Islamis (maksudnya ex-gerakan Islam, bukan ex-Muslim). Itu adalah sebahagian dari pengalaman hidup masing-masing.

Enjoy the ‘little things’.
Seterusnya buku SAF ini bercerita tentang anugerah mata yang sangat besar dalam kehidupan. Betul, yang ini aku sedikit terkesan. Ini adalah peringatan ringkas, tetapi mendalam. Tanpa mata yang lebih kecil berbanding tangan, kaki dan kepala, pastilah telah hilang separuh lebih nikmat kehidupan. SAF meneruskan lagi cerita tentang anugerah iaitu perihal diari Anne Frank yang terkenal. Anne Frank ketika menyorok di dalam bangunan dari tentera Nazi menceritakan bahawa apa yang dia rindukan setelah berbulan-bulan menyorok bukan baju baru, bukan makanan mewah, tetapi betapa seronoknya jika boleh melihat cahaya matahari, merasai kehangatannya. Begitu juga dengan tulisan Jang Jin-sung yang menulis dalam bukunya tentang pengalamannya menjadi pelarian dari Korea Utara. Apabila ada orang di perkampungan China yang membantunya beliau menulis betapa nikmatnya dapat mandi dan membersihkan diri. Tulis SAF lagi, “kebahagiaan datang apabila kita menghargai apa yang kita ada, menghargai insan-insan di sekeliling kita, menghargai keindahan di sekeliling kita. Berhenti dari berfikir tentang masa lampau dan masa depan. Sebaliknya kita perlu temenung kagum melihat alam. Merasai air sungai yang mengalir. Melihat burung terbang bebas. Melihat daun gugur ditiup angin. Menghayati kemanisan(?) secawan kopi. Sekiranya kita hendak bahagia, kita perlu bahagia sekarang, bukan semalam atau esok.”

Aku rasa aku berhenti dulu di bab 1, mungkin siri kupasan atau reviu ini akan jadi lebih dari sekadar 3 bahagian. Kerana ada banyak juga benda dalam karya SAF ini yang menarik dan elok untuk dibahaskan atau diperdebatkan semula.


Ya benar, aku mengharapkan lebih dari buku ini. Aku harap dapat berjumpa yang lebih itu di bahagian-bahagian seterusnya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk