Langkau ke kandungan utama

Aksi Massa, Sekali Lagi!



Adakah aksi massa persis demonstrasi-demonstrasi yang biasa kita lihat?

Ya, ia adalah nama lain kepada demonstrasi secara besar-besaran selain bukanlah sekadar massa yang berjumlah besar, bukan pula massa yang membawa bom dan dinamit, tetapi massa yang berpendirian radikal, dipandu teori-teori revolusioner, dan siap melakukan perjuangan tak kenal menyerah untuk menggulingkan susunan masyarakat lama menjadi susunan masyarakat baru [1].

Buku Aksi Massa ini turut mempengaruhi Soekarno, dan antara yang menyebabkan Soekarno ditangkap. Buku ini ditulis oleh Tan Malaka pada sekitar tahun 1926, saat ia meloloskan diri dari Indonesia dan masuk ke Singapura dengan menggunakan nama Hasan Gozali [2].

Meminjam kata Tan Malaka bahwa Massa Aksi memerlukan pemimpin yang revolusioner, cerdas, tangkas, sabar, dan cepat menghitung kejadiaan yang akan datang, dan waspada politik. Seorang pemimpin juga harus bekerja dengan tenaga Nasional yang sudah ada dan tidak mengharapkan kekuatan dalam lamunan [3].

Dalam buku ini, kita dapat memahami lebih lanjut tentang persoalan kontradiksi yang selalu didengung-dengungkan oleh kaum Marxist. Pertentangan yang tajam adalah suatu keniscayaan –suatu yang tak dapat dielakkan – imperialist terpaksa menyediakan buruh-buruh terpelajar untuk menguruskan tanah-tanah koloninya. Sampai bila “bayonet” dapat memaksa suatu bangsa untuk membeli barang-barang? Mahu tak mahu, imperialis mesti menaikkan taraf hidup, jika ia ingin memperoleh pembelian yang tetap. Inilah yang memaksa imperialism Inggeris memberikan pendidikan Barat kepada segolongan bangsa India. Sekolah tinggi pertama di Benggala yang lebih 100 tahun, pada mulanya hanya boleh dimasuki oleh anak orang kaya dan aristokrat, sekarang terpaksa dibenarkan juga buat anak orang biasa. Akibat dari keterpaksaan menyediakan sekolah dari tingkatan terendah sampai sekolah-sekolah tinggi di tanah jajahan (lebih dari lima universiti di India pada masa itu), lahirlah Tilak, Mahatma Ghandi, Das, Tagore dll yang termasyhur ke seluruh dunia. 

Tulis Tan Malaka, dalam waktu yang singkat, sekolah-sekolah tinggi itu pun menghasilkan sekian banyak kaum terpelajar, hingga birokrasi Inggeris tak dapat menerima mereka sama sekali. Tilak dalam aksi boikot pada tahun 1900-1905, itu sendiri membuat Inggeris gundah gulana. Mereka memboikot barang-barang kilang Inggeris yang diimport ke India (kapas ditanam di India, sesudah itu dikirimkan ke negeri Inggeris, dengan harga yang berlipat kali ganda dijual pula kepada pembeli bangsa India. Selepas Tilak, giliran Ghandi pula meraih kemenangan dalam pergerakan boikot (noncooperation) [4].

Di sini kita dapat memahami mengapa sesuatu tempat maju industrinya, sementara ada tempat lain, dalam negeri yang sama, begitu mundur industrinya, ada tempat yang ada laluan keretapi, ada tempat yang tidak ada laluan keretapi. 

Definisi ‘putch’.
Revolusi yang dicanang-canangkan Marxist adalah sebuah revolusi yang cuba ditekapkan pada sandaran ilmiah. Sungguhpun kaum Marxist bukan nabi, mereka percaya doktrin mereka adalah saintifik. Begitu juga yang difikirkan dan ditulis oleh Tan Malaka dalam Aksi Massa.

Tan Malaka adalah seorang Marxist sejati. Yang sangat mempengaruhi Tan Malaka selain Nietzsche adalah Marx. Seperti Marx yang mengkritik Blanqui kerana baginya itu juga utopia yang tak ilmiah, begitu juga Tan Malaka yang mengkritik pemberontakan PKI yang dipimpin Semaoen, Alimin (18 Jun, 1926).

Dalam buku ini banyak kali Tan Malaka menyinggung persoalan ‘putch’. Bagi Tan Malaka, Aksi Massa tidak mengenal fantasi kosong tukang putch / anarkis. Aksi Massa adalah kehendak dari rakyat terbanyak. Menurut Tan Malaka, “putch itu adalah satu aksi segerombolan kecil yang bergerak diam-diam dan tak berhubungan dengan rakyat banyak. Gerombolan itu biasanya hanya membuat rancangan menurut kemahuan dan kecekapan sendiri tanpa mempedulikan perasaan dan kesanggupan massa…. ‘Tukang-tukang putch’ lupa bahawa… revolusi timbul dengan sendirinya dengan hasil dari berbagai macam keadaan. Bila ‘tukang-tukang putch’ pada waktu yang telah ditentukan oleh mereka sendiri, keluar tiba-tiba, massa tidak akan memberikan pertolongan kepada mereka. Bukan kerana massa bodoh atau tidak memerhatikan, melainkan kerana massa hanya berjuang untuk keperluan yang terdekat dan sesuai dengan kepentingan ekonomi….” [5]

Tetapi persoalannya, adakah hakikatnya sedemikian? Adakah benar orang ramai memenuhi kehendak? Atau adakah benar slogan, ‘dari rakyat untuk rakyat’? Adakah benar revolusi-revolusi dunia bersifat massa? Atau segelintir tertentu?

(Sudijoho) menyebut cara-cara PKI seperti “Blanquisme teori”, seperti tahun 1848 di Perancis, terjadi kerana didorong emosi dan dendam peribadi yang menonjol.

Bahkan Musso menempik orang yang mahu dia berkonsultasi dengan Tan Malaka. Kata Musso, “kalau saya bertemu Tan Malaka, maka dia akan saya bunuh terlebih dulu” [6]

Tentang Blanqui;
Menurut Marx, revolusi tidak dapat dipaksakan. Ia akan pecah dengan sendirinya.

Masa yang betul-betul masak untuk revolusi (komunis) itu hanya akan tiba apabila proses perindustrian sudah tiba ke puncak.

Di peringkat itu, eksploitasi kaum borjuah terhadap kaum proletariat makin meruncing dan revolusi tidak dapat dielakkan lagi.

Bagi Marx, class struggle adalah proses memakan masa dan baginya, Saint Simone dan Blanqui adalah utopian socialist [7].

Louis Auguste Blanqui (1805-1881) adalah seorang revolusioner yang hendak mencapai sosialisme melalui pemberontakan kaum buruh. Peranan historis Blanqui bukan pada pemikiran teorinya tetapi pada upayanya menyedarkan gerakan sosialis bahawa revolusi hanya dapat berhasil bila ditunjang organisasi revolusioner.

Menurut Blanqui, kelompok-kelompok kecil dapat menjadi perintis sosialisme Marxisme menolak anggapan ini sebagai voluntarisme revolusioner yang mahu menggantikan syarat-syarat objektif revolusi dengan kehendak subjektif sang revolusioner. Kaum sosialis demokrat selalu menolak Blanquisme, sementara kaum komunis menolak secara verbal, tetapi dalam kenyataan sering bertindak sesuai dengannya.

Meskipun Blanqui dianggap keliru oleh semua aliran sosialis, tetapi tetap digunapakai [8]. Kita boleh lihat betapa ‘Blanquisme Teori’ ini digunakan –tanpa kredit- ketika berlangsungnya Revolusi Oktober di Russia yang mana ketika itu proletariat Russia masih kecil. Dan ini bukan special case untuk Russia sahaja, kita boleh lihat di China sewaktu kaum komunis di bawah Mao merebut kekuasaan.

Lenin kemudian akan memakai gagasan Blanqui tersebut merumuskan parti revolusioner Bolsheviknya.

Lenin dan Blanqui (Lenin Berjaya Sementara Blanqui Gagal)
Kita akan lebih senang menghargai mana-mana yang berjaya, meskipun teorinya adalah teori yang sama digunakan oleh yang gagal. Yang berjaya akan diingat, yang gagal akan dilupakan. Dalam Class Struggles In France, Marx amat tegas mengkritik taktik memendekkan proses revolusi seperti Blanqui. [9]

Menshevik sebagai saingan kepada Bolshevik mengikut teori Marx yang tradisional “menunggu keadaan revolusi yang sudah masak”. Lenin dipersendakan Menshevik sebagai pengikut Blanqui. Tetapi akhirnya, siapa yang keluar di panggung sejarah sebagai pemenang dalam Revolusi Oktober?

Merujuk:- 
[1] http://www.berdikarionline.com/bung-karno-dan-pemahaman-soal-massa-aksi/ 
[2] Tan Malaka, Aksi Massa
[3] http://www.qureta.com/post/massa-aksi-dulu-dan-sekarang
[4] Tan Malaka, Aksi Massa
[5] Harry Poeze, Tan Malaka Dihujat dan Dilupakan
[6] Frans Magnis Suseno
[7] Qasim Ahmad, Eropah Moden 
[8] Qasim Ahmad, Eropah Moden, ms 145, 146

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk