Langkau ke kandungan utama

HAKIKAT KESAWOMATANGAN- Esei tentang “Black Skin, White Masks” karya Frantz Fanon

HAKIKAT KESAWOMATANGAN
Esei tentang “Black Skin, White Masks” karya Frantz Fanon
OLEH: HUD-2

“Apa yang penting bukanlah untuk memberi pendidikan [ala Barat] buat kaum Negro, tetapi untuk mengajar mereka supaya tidak menjadi hamba arketip [stereotaip] mereka tersendiri.”
            Frantz Fanon, Black Skin, White Masks

“ORANG kita memang pemalas.”
“Itulah orang Melayu. Tak boleh tengok orang lain berjaya. Dengki memanjang.”
“Janji Melayu betul lah kau ni! Semalam sembang lebat mula pukul 9!”

            Sebagai seorang Melayu yang disosialisasikan (dimasyarakatkan) secara normal di Malaysia, pastilah ungkapan-ungkapan basi di atas tidak asing dari wacana kehidupan sehariannya. Hakikat kemelayuannya dituduh sebagai sumber permasalahan manusiawi. Member pijak member, tuduh Melayu. Member datang lambat, tuduh Melayu. Pemimpin korup, tuduh Melayu. Berzina, buang anak, merempit? Tuduh Melayu. Akhirnya, menjadi seorang Melayu ibarat menghidap satu penyakit genetik yang sukar disembuh. Dan sebagai seorang pesakit, dia mempunyai inferiority complex terhadap orang-orang bangsa lain yang disangka lebih berjaya (baca: Cina atau Orang Putih). Lantas dia ada tiga pilihan: 1) menjujung izzah kaumnya secara melampau, sebagai overcompensation terhadap kemurbaan dirinya, 2) hidup sebagai seorang hamba stereotaip tersebut serta, secara sedar atau tidak, mengalah dan menzahirkan stereotaip itu di dalam kehidupan sehariannya atau 3) berusaha menjadi seperti kaum-kaum yang disangkanya lebih superior, baik secara zahiriah atau/dan batiniah. Senarai ini tidaklah lengkap dan pasti ada variasinya antara tiga pola ini. Juga, tidak mustahil untuk seorang Melayu memilih untuk menjadi ketiga-tiganya: seorang rasis-supremasis yang diperhambakan stereotaip kaumnya sambil cuba untuk membuang kemelayuannya. Memang ada, saya kenal orang sebegitu.

            Sebenarnya, masalah inferiority complex ini tidak terhad terhadap kaum Melayu sahaja. Frantz Fanon, satu nama yang terkenal sebagai pejuang anti-penjajah, sangat sedar akan hakikat ini di dalam bangsanya, khususnya penduduk pulau Martinique jajahan Perancis.

            Pulau Martinique adalah salah sebuah pulau di kepulauan Carribean, dan beberapa pulau, seperti Martinique dan Guadelope, adalah (sehingga kini) jajahan Perancis. Kedudukan unik penduduk Martinique perlu disebut sebagai salah satu pengaruh Fanon dalam karyanya. Kebanyakan mereka adalah Negro sejati atau Mulatto (campuran Negro-Eropah) keturunan hamba abdi yang dimerdekakan secara luaran oleh Perancis sendiri. Ramai rakyat Martinique fasih berbahasa Perancis serta mempunyai mutu kehidupan yang lebih tinggi berbanding rakyat jajahan-jajahan Perancis lain. 

Akibat inilah rakyat Martinique kebanyakannya memandang diri mereka sebagai lebih tinggi darjatnya dari subjek-subjek kolonial Perancis lain, seperti dari Afrika misalnya. Sebagai contoh, Fanon sendiri mengenangkan bahawa kenalan-kenalan sedaerahnya bercerita tentang keganasan askar kolonial Senegal seolah-olah mereka (askar Senegal) ialah subjek cerita eksotik dan bukannya sebagai saudara serumpun. Persepsi ini bukanlah dua hala, kerana apabila Fanon berkhidmat dalam tentera Perancis pada Perang Dunia Kedua, askar-askar Senegal juga menakrif askar-askar kepulauan Martinique setaraf askar Eropah. Situasi rumit orang Martinique ini tidak jauh bezanya dengan keyahudian Albert Memmi di Tunisia. Memmi, seperti Fanon, juga merupakan seorang aktivis anti-kolonial yang mempunyai krisis identiti di antara yang menjajah dan yang terjajah, kerana Yahudi Tunisia disisihkan orang Perancis namun tidak diterima juga orang Arab. Karya mutakhir Memmi, The Colonizer and the Colonized, juga mengangkat tema yang sama seperti karya Fanon yang lain, The Wretched of the Earth. Barangkali, situasi rumit inilah yang memperkayakan persepsi mereka terhadap psikologi bangsa terjajah dan yang menjajah. Pendidikan mereka yang tinggi juga (hasil sistem pendidikan kolonial) mendayakan mereka untuk melawan bangsa penjajah dengan bahasa mereka sendiri. Jadi, adakah sistem pendidikan kolonial itu baik sungguh sehinggakan sanggup melahirkan pembunuh-pembunuhnya? Perlu diingat juga, buat setiap Frantz Fanon atau Tan Malaka yang dilahirkan sistem persekolahan penjajah, ada ratusan pelestari sistem kolonial yang hanya bermimpikan jawatan dalam sistem sedia ada. Nama-nama mereka ditenggelam sejarah kerana mereka sebati dalam keramaian, tanpa menonjolkan diri dalam arena perjuangan. Barangkali di negara seperti Malaysia nama-nama golongan ini diabadikan, kerana kita hanyalah pewaris sebuah sistem yang sama. Apa-apapun, pengetahuan tentang bahasa dan budaya penjajah berpotensi menjadi senjata yang makan tuan.

            Buat Fanon, bahasa Perancis adalah alat baginya memberi suara buat subjek-subjek tanah jajahan, memerdekakan mereka dari penyelewengan imej oleh Orientalis dalam wacana zaman itu. Tetapi, buat rakyat kepulauan Martinique, bahasa Perancis adalah alat, kalaupun bukan tujuan, untuk mereka mem-Peranciskan diri mereka. Benarlah dakwaan Fanon bahawa sesiapa yang mempelajari sesuatu bahasa bukan sahaja mengetahui tatabahasanya dan kosa katanya sahaja, malah dia mendokong satu ketamadunan sekaligus. Sesiapa yang boleh berbahasa Perancis di Martinique digeruni dan dihormati seolah-olah dia khalifah Perancis di muka bumi. Bahasa Creole dikebelakangkan penduduk Martinique walaupun ia adalah bahasa ibunda. Perlu disedari bahawa bahasa Creole ini adalah hasil ciptaan zaman penghambaan apabila hamba-hamba Afrika mencampurkan bahasa penjajah dan bahasa mereka tersendiri. Ia bukannya satu bahasa yang mempunyai sejarah yang lama dan agung. Makanya, stigma ‘hamba’ itu sangat kuat apabila bahasa Creole dipertuturkan. Tidak hairanlah penduduk Martinique bertungkus-lumus mempelajari bahasa Perancis agar mereka berupaya meng-Eropahkan diri mereka dan memutihkan sejarah hitam mereka sebagai hamba abdi… Ya, bak kata Orang Putih, that horrible pun is intended.

            Malang buat penduduk Martinique (dan juga subjek-subjek kolonial lain), usaha untuk meng-Eropahkan diri mereka adalah sia-sia. Kerana, betapa kuat kesungguhan mereka untuk meniru orang Eropah, mereka tetap akan dipandang sebagai objek luaran pada pandangan penduduk-penduduk negara ibu. Hakikat kehitaman (atau kecoklatan, kekuningan…asalkan bukan putih) mereka telah memerangkap mereka dalam satu citra yang dipelihara dalam kesedaran kolektif masyarakat negara ibu. Orang Negro, sefasih mana dia berbahasa Perancis, setinggi mana pendidikannya, sedalam mana ilmunya tentang Rousseau, dia tetap ditakuti kanak-kanak sebagai hantu, atau disangka bodoh oleh orang yang tidak mengenalinya. Perjuangannya (terutamanya apabila mereka di negara ibu) adalah perjuangan untuk membuktikan bahawa dirinya ini seorang manusia, setaraf dengan sesiapa penduduk asal negara ibu. Perjuangan demi pengiktirafan. Tetapi, untuk diiktiraf sebagai apa? Sebagai seorang manusia? Atau seperti seorang Eropah?

            Sungguh, kedua-dua kumpulan – bangsa penjajah dan bangsa terjajah – terperangkap dalam citra kolonial masing-masing. Bangsa penjajah, khususnya orang Eropah, dakwa Fanon, mempunyai citra tertentu yang mengsama ertikan ketidakputihan (kehitaman) dengan kemunduran, kebodohan dan lain-lain konotasi negatif. Keputihan dikaitkan dengan kebaikan, dan kehitaman, kejahatan. 

Lebih tragis, mantra ini dipercayai pula bulat-bulat oleh bangsa terjajah. Penjajahan berjaya meluaskan sempadannya dari alam fizikal ke alam mental. Orang Negro menjadi terasing dari hakikat dirinya sendiri, sebagaimana seorang pekerja dari produknya dalam sistem kapitalisme.

Fanon berpendapat bahawa penyusupan idea-idea sesat ini bermula daripada proses sosialisasi di negara ibu dan juga negara jajahan. Kanak-kanak, menerusi media filem, komik dan buku cerita, didedahkan dengan stereotaip putih-baik/hitam-jahat. Sebagai contoh, Fanon menyatakan bahawa kanak-kanak berkulit hitam di Martinique menyorak, di dalam panggung wayang, sokong Tarzan yang mengalahkan puak-puak berkulit hitam. Mereka lebih bertsiqah dengan watak berkulit putih daripada saudara serumpun mereka. Di Barat pula, kanak-kanak dibesarkan dan didedahkan dalam persekitaran yang anti-kehitaman. Dan mereka akan melangkah ke zaman dewasa – baik kanak-kanak kulit putih atau hitam – dibekalkan prejudis terhadap warna hitam. Dan si dewasa Negro yang dahulunya menyorak menyokong Tarzan di panggung wayang Martinique, duduk diam dan malu apabila dia menonton watak yang sama di panggung Paris.

Perasaan rendah diri melampau ini lebih jelas kesannya jiwa seorang berbangsa terjajah yang berpendidikan, lebih-lebih lagi apabila berada di negara ibu. Pendedahannya terhadap wacana anti-kehitaman (atau pro-keputihan) di masyarakat negara ibu membuatkan dirinya berasa hina. Oleh itu, wujudlah satu perasaan inferiority dalam jiwanya, lantas mencorakkan pula kesedaran kolektif bangsa terjajah apabila dia juga menjadi pemimpin-pemimpin kaumnya. Ya, kami pemalas, kami bodoh…ajarilah kami menjadi sepertimu! Dan bangsa penjajah pun ajarlah, seolah-olah mereka layak menjadi guru dan bangsa terjajah layak menjadi murid. Sambil mengajar, si guru juga mula memeras yuran yang tinggi, dan yang diajarnya hanya tambah-tolak campur-darab. Seperti sebuah sekolah moden, meminjam terma filsuf Perancis Louis Althusser, internal state apparatus (ISA) sekolah imperalisme telah memperhambakan jiwa dan raga pelajar (bangsa terjajah) untuk menghormati segalanya dari pihak berkuasa sekolah (peradaban Barat), macamlah autoritinya suatu kemestian yang mustahil disanggah. Dalam sekolah ini, ada rebel yang memberontak kemudian berhenti sekolah (seperti Vietnam dan Indonesia), dan ada juga yang menamatkan persekolahan secara berhemah (Malaysia, antaranya). Apa-apapun cara sekolah ini ditamatkan, pelajaran yang dipelajari masyarakat-masyarakat terjajah masih lagi tersemat di dalam jiwa dan raga rakyat-rakyat dunia ketiga. Tidak perlu ulas panjang – tengok sahajalah situasi geopolitik hari ini.

            Kalau begitu, seseorang boleh tanya, apa punca kemunduran bangsa dunia ketiga? Mengapa dunia ketiga sering terkebelakang dalam segala hal? Kenapa Melayu yang aku kenal ramai pemalas dan penghasad dengki? Pastilah ada sesuatu dalam perwatakan Melayu (atau bangsa-bangsa terjajah) yang patut dipersalahkan?

            Jawapannya: Barangkali ada benarnya perwatakan Melayu (atau bangsa terjajah lain) yang boleh dipersalahkan. Kemalasan dan kesialan bangsa-bangsa dunia ketiga adalah satu fakta yang dizahirkan situasi geopolitik sekarang. Tetapi, harus dibezakan, akibatnya dan sebabnya. Jangan dikelirukan sebab dan akibat. Kesialan berjemaah bangsa-bangsa dunia ketiga adalah akibat suatu projek pengkelaman penjajah dalam skop yang syumul sehingga bukan sahaja kuasa ekonomi dan politik, malah budaya bangsa-bangsa terjajah pun dilupuskan sehingga apa yang tinggal hanyalah tubuh-tubuh miskin harta dan budaya. Menurut Syed Hussein Al-Attas dalam Mitos Peribumi Malas, sistem penjajahan bukan sahaja telah mencipta citra hodoh bangsa terjajah, malah turut bertanggungjawab membenihkan budaya kemalasan dalam jiwa mereka. Hal ini terjadi apabila kaum peribumi sendiri diasingkan dari alat produksi penjajah seperti di Tanah Melayu. Di sini, kaum peribumi menjadi ‘malas’ apabila mereka tidak lagi berkuasa atas hasil ciptaannya, sebagai satu bentuk penentangan terhadap pemerasan pihak penjajah. Namun, ibarat intepretasi lurus-literal terhadap hukum-hukum Allah, budaya kemalasan ini dikekalkan di luar zamannya. Sifat kemalasan dan kemunduran ini masih pada zaman pascamerdeka, apabila mereka telah menguasai alat-alat produksi sebagai satu kaum (baca: golongan Melayu-Borjuis, bukannya kaum Melayu secara keseluruhan). Maka, perlukah dipersalahkan jiwa orang Melayu, walaupun kemerdekaan telah dicapai? Sekali lagi, harus diingatkan semula (rasanya sudah didengari berulang kali) bahawa kemerdekaan kita bukan kemerdekaan tulen. Umpama wayang yang bertukar pelakon namun skripnya sama atau diubah sedikit sahaja, negara kita adalah remake sebuah cerita lama. Fahaman yang sama masih mendasari pelaku yang berbeza. Oleh itu, ada kepentingan pihak berkuasa pascamerdeka mengekalkan citra kemalasan ini dalam kalangan rakyat peribumi demi melestarikan dasar-dasar rasis yang tampaknya memihak rakyat majoriti (Melayu) namun natijahnya menguntungkan kelas borjuis-Melayu dan sebahagian borjuis kaum lain yang sanggup bersengkongkol dengan pemerintah. Tidak hairanlah Dr. Mahathir dalam bukunyaa Dilema Melayu mengukuhkan imej kolonial ini agar kelas bangsawan peribumi dapat diciptakan atas nama memajukan kaum. Mereka yang berkuasa memerlukan kemalasan dan kebodohan ini berpanjangan agar mereka tetap di tampuk kuasa.

            Maka, apa yang boleh dibuat?

            Tulis Fanon, “Jikalau ada kekotoran, letaknya bukanlah di dalam “jiwa” seseorang individu melainkan pada persekitarannya.”

            Sejujurnya saya kurang bersetuju dengan pandangan materialis Fanon ini yang meletakkan beban sepenuhnya pada struktur luaran. Bagi saya, jiwa individu tetap mempunyai potensi revolusioner sekiranya dibasuh sepenuh mungkin dengan pembaikan akhlak (atau sekurang-kurangnya nilai-nilai murni buat mereka yang sekular) dalam mencorak masyarakat ke arah kebaikan. 

Jikalau kotornya jiwa pencorak, kotorlah perubahan yang akan dilakukan. Begitulah sebaliknya. Etika dan politik tetap boleh wujud bersama secara harmonis apabila para pencorak masyarakat memperbaiki diri mereka selari dengan persekitarannya. Meskipun utopia sempurna mustahil tercapai, bak kata Reinhold Niebuhr, perubahan bermakna hanya boleh dilaksanakan apabila pencorak-pencoraknya mampu menselaraskan etika dan politik secara pragmatis. Namun demikian, dalam konteks kini, obsesi masyarakat kita terhadap pembaikan diri total (Sindrom Dr. Muhaya, lambakan ceramah motivasi) tanpa mengubah sistem sedia ada patut dilawan sekali dengan sistem tersebut. Penekanan melampau terhadap pembaikan diri semata hanyalah “candu” sekular (lihat Dale Carnegie dan Tony Robbins) yang disenggamakan dengan agama versi status quo untuk memeras sambil mengkhayalkan massa Malaysia, sekali dengan menghambatkan pengislahan. Oleh itu, kemerdekaan yang tulen menuntut perlawanan yang syumul – bukan sekadar politik peti undi sekali-sekala – tetapi juga perlawanan di segenap ruang agama, pendidikan, budaya dan lain-lain. Ceramah-ceramah motivasi yang sepatutnya membangunkan jiwa ‘positif’ perlu dimasukkan elemen revolusioner agar para pencorak bukan sahaja mengubah diri, tetapi mahu mengubah corak masyarakat juga. Wacana perubahan janganlah dihadkan pada golongan intelligentsia – sekadar permainan ideologi golongan yang rajin membaca – tetapi terhadap rakyat massa yang mahu mencari kesenangan di sebalik kepayahan hidup. Ideologi perlawanan perlu mensubversifkan segala yang biasa supaya kemerdekaan syumul dari fahaman kapitalis separa-lanjut di Malaysia. Para pencorak perlu menjadi kreatif dan pragmatis dalam hal ini kerana tidak cukup melaungkan slogan-slogan dan idea-idea tanpa diikuti praksis yang membumi.

            Dalam perlawanan membebaskan bangsa terjajah dari inferiority complex, janganlah digantikan pula dengan superiority complex chavinisme kaum. Kerana usaha ini hanya mengantikan satu citra palsu dengan citra palsu yang lain. Malang sekali, inilah yang terjadi di kebanyakan negara terjajah, seperti di Malaysia. Rasisme gondol ditutup songkok ‘perjuangan bangsa’ (perasan tak betapa mereka cuba menekankan perkataan ‘bangsa’ dengan perjuangan sempit mereka, manakala ‘kaum’ dengan tuntutan-tuntutan orang di luar skop ‘bangsa’nya). Apa-apa sahaja dihalalkan dalam penzinaan hodoh agama-kaum demi kepentingan golongan yang makin mengecil. Apa yang unik tentang sikap supremasis sesetengah golongan Melayu adalah tercampurnya sifat inferior dan superior dalam pandangan hidup mereka, bak perempuan insecure yang menebalkan solekannya sambil melambakkan gambarnya di Instagram. Mereka mendabik dada melaungkan superioriti mereka, sambil, secara sedar atau tidak, berimani kemurbaan mereka dalam banyak hal. Yang sedar akan hal ini akan sentiasa menuntut pelestarian hak istimewa (sekali lagi, saya rasa istilah oxymoron ini sungguh hodoh) orang Melayu. Yang tidak sedar, pasrah akan segala kelemahannya tanpa niat mahu mengubahnya. Datang lambat, mengeteh, mengular, mungkir janji – semuanya dilakukan seolah-olah ini rutin. Ini ‘budaya’. Dan mereka yang cuba memperbaiki diri dan sekelilingnya dipandang keji atau paling baik, aneh. Kemungkinan besar, fasisme yang canggih seperti di Zionis Israel, Nazi Jerman atau Empayar Jepun tidak akan lahir di bumi Malaysia kerana golongan petit-borjuis (kakitangan kerajaan, peniaga-peniaga kecil, pemakan gaji sederhana) masih belum cukup maju dari segi politik-ekonomi-budaya untuk membentuk jentera totalitarianisme yang efisyen. 

Kemungkinan sebegini boleh terjadi apabila ada penyusupan fahaman rasis bernadakan agama yang sempit dalam kalangan golongan terdidik, terutamanya mahasiswa di luar atau dalam negara. Di sini, rasisme bercampur baur dengan gaya hidup yang positif (tekun, menepati waktu, jujur dll.) sehingga rasisme disangka sebagai ideologi yang halal, selari dengan kemajuan lahiriah. Fasisme canggih lahir daripada kebanggaan melampau sesuatu bangsa dan kebanggaan ini pula boleh dibuktikan kebenarannya secara mudah. Buat masa terdekat, Malaysia masih selamat dari fasisme utuh ini. Buat masa terdekat.

            Dan ingatkah apa punca kejatuhan Iblis ke lembah kecelakaan? Kebangaan melampau. Keengganannya tunduk pada Adam. Keyakinan tinggi terhadap kemuliannya. Begitulah sesuatu bangsa juga boleh jatuh dilaknat, apabila ia menyangka dirinya lebih mulia darjatnya dari bangsa-bangsa lain. Lihatlah apa yang telah terjadi pada Nazi Jerman, Empayar Jepun, empayar Roman, koloni-koloni Perancis dan lain-lain. Dan ia akan bakal terjadi pada bangsa-bangsa yang menyangka dirinya lebih hebat dalam pada masa hadapan.

             Impian Fanon bukanlah untuk melawan rasisme dengan rasisme, kesalahan dengan dendam. Baginya, beliau hanya mahukan bangsa terjajah dan bangsa penjajah “melupakan suara ketidakmanusiaan nenek-moyang mereka agar komunikasi tulen tidak mustahil”. Yakni, komunikasi yang bebas dari citra prasangka. Di mana seorang Negro boleh berbicara dengan seorang Eropah dengan saksama, bukan sebagai seorang tuan-hamba, atau guru-murid dalam setiap situasi. Pada masa yang sama, bangsa yang terjajah juga merdeka dari keterasingan dari dirinya sendiri. Dia bebas mencorak dirinya mengikut kemahuannya, dan bukan dari citra yang ditetapkan secara luaran. Dan sejarah, buat Fanon, tidaklah dilupakan sepenuhnya, tetapi janganlah terlampau taksub dengannya. Fanon berpendapat, apabila diketahui bahawa ada perabadaban Afrika sebelum dijajah Barat, dia gembira, namun dia juga sedar bahawa pengetahuan ini tidak mengubah apa-apapun tentang masa sekarang dan masa hadapan. Itu sejarah lampau. Yang penting, adalah kini dan kelak. Perjuangan bukanlah nostalgia terhadap kegemilangan lampau kerana usaha untuk menghidupkannya semula adalah seperti menghidupkan mayat yang telah dimakan tanah. Proses kemerdekaan memerlukan pemikiran kritis dan kreatif dengan waqi’ semasa dan masa hadapan. Sebab itulah, jangan dipercayai sangat utopia peradaban lampau yang gemilang (seringkali, nostalgia sejarah mengaburkan sejarah hitam sesuatu peradaban) sebagai standard untuk dicapai dalam pencorakan masyarakat baru. Ataupun mempercayai bulat-bulat segala teori perubahan sejarah. Hal ini mampu menjumudkan pemikiran menjadi mekanis yang beku mendepani realti semasa, dan kalaupun berjaya secara memaksa, bakal merosakkan realiti esok.

            Makanya, usaha memerdekakan kaum Melayu tidak sepatutnya bersifat etnosentrik. Sebaliknya, ia memerlukan usaha berterusan untuk membuang citra-citra palsu dari kesedaran kolektif masyarakat. Kalau mahu memperjuangkan budaya-bahasa, bukanlah atas dasar perkauman sempit, tetapi kerana budaya-bahasa itulah yang paling akrab dengan massa, dan pengambilan budaya-bahasa itu tidak mengasingkan manusia massa dari dirinya. Orang Melayu marhaen perlu merdeka dari citra-citranya yang palsu dan berhubung dengan dirinya yang asli. Begitu juga citra-citranya terhadap kaum-kaum lain. Komunikasi tulen boleh dicapai sekiranya kondisi-kondisi pemecahan masyarakat di Malaysia dilupuskan. Manusia, secara fitrah, tidak rasis sekiranya ia dibebaskan dari belenggu-belenggu yang menyogok citra-citra palsu. Marilah kita menghapuskan kondisi-kondisi itu secara menyeluruh tanpa kompromi.
           



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk