Skip to main content

Teacher Man Frank McCourt



Oleh: Apiscuer 

Teacher Man adalah satu panggilan anak muridnya di sekolah buat Frank McCourt yang menjadi cikgu. Cikgu adalah satu pekerjaan yang agak sukar sebenarnya jika difikirkan kembali. Pernah tidak kita terfikir untuk menjadi cikgu? Ataupun memang sudah menjadi cikgu, ada tidak beberapa halangan yang membuatkan kita terpaku, kenapa realiti menjadi cikgu ini berlainan dengan apa yang dijangkakan? Selalunya orang berfikiran bahawa kerja cikgu cumalah mengajar, semak kerja rumah, balik, makan dengan keluarga, tidur, ulang balik. Sepertinya suatu pekerjaan yang mudah.

Buku ini menceritakan situasi yang berlainan dan berpijak kepada realiti. Cikgu bukanlah pekerjaan yang senang kerana semasa hari pertama McCourt bekerja, dia rasa bingung sampaikan dia menyesal sampai awal di kelas pada waktu itu. Ditambah lagi dengan bekerja di sekolah menengah teknik dan vokasional, di mana ramai orang buat satu tanggapan bahawa di sinilah budak-budak yang tidak pandai kena campak, bila dah dewasa jadi mekanik, juruelektrik, tukang pasang paip, dan kerja kilang papan. Rasanya memang mahu pecah kepalanya bila dia fikirkan tentang pelajar ini.

Belum lagi dengan adab mereka, memang carca marba kelas dibuatnya. Pintu dihempas semasa mereka masuk ke dalam kelas. Dari cara buka pintu dia sudah boleh baca macam mana kelakuan pelajar. Dengan pelajar yang tidak menghiraukan kehadirannya seperti dia halimunan. Gerak geri seperti ini menandakan sesuatu dan apa yang bakal terjadi. Ada seorang veteran di kafetaria cikgu, memberi nasihat kepadanya supaya tidak menceritakan kisah peribadi kepada pelajar. Katanya, seorang cikgu harus tahu mereka ada hak peribadi, dan pelajar cumalah budak- budak dan bukan kawan. Mereka boleh hidu bila cikgu nak mengajar atau tidak. Mereka dah bertahun dah buat benda ini, sebelas atau dua belas tahun, dan mereka tahu macam mana tingkah laku seorang cikgu. Ada saat mereka akan berpura-pura menanyakan soalan yang tidak berkaitan dengan pembelajaran dengan wajah teruja. Kemudian, cikgu akan terjatuh dalam perangkap mereka. Bila mereka balik rumah, mereka cerita pasal hidup cikgu dengan kedua ibu bapa. Bukan mereka kisah pun semua benda itu.

Di dalam buku ini dia menceritakan banyak nasihat dari cikgu lain macam mana nak kawal budak. Yang menariknya, benda ini berlaku di mana-mana sekolah pun. Contohnya tentang aura. Aura seorang cikgu itu boleh mendominasi pelajar atau sebaliknya. Seorang guru harus tahu bagaimana untuk meletakkan diri sendiri secara fizikal. Kelas boleh menjadi satu tempat peperangan atau permainan. Dan seorang cikgu harus kenal siapa dirinya. Setiap arahan yang diberi mestilah dengan tegas. Bila disuruh berdiri, berdiri. Kalau duduk, duduk. Kalau keluar, keluar. Dan cikgu yang sentiasa duduk atau berdiri di belakang meja ada tidak berkeyakinan tinggi dan patut cuba pekerjaan lain. Ini meletakkan dua posisi yang berlainan antara pelajar dan cikgu. Siapa yang harus terima arahan, siapa yang memberi, siapa yang harus dihormati, siapa yang harus menghormati. Walaupun nampak ringkas, tetapi kebanyakan orang tidak perasan tentang aura ini. Siapa yang menang dalam perlawanan aura, akan mendominasi pengajaran di dalam kelas.

Bila sampai ke saat perjumpaan ibu bapa dan pelajar bersama cikgu, selalunya ketegangan yang dihadapi oleh McCourt adalah soalan-soalan yang sepertinya satu perangkap. Soalan seperti, “Anak saya berkelakuan baik atau tidak di dalam kelas?”. Kalau diberi jawapan, ada ayat tertentu digunakan dan ianya tidak boleh sembarangan. Ada keluarga sengaja nak tanya, sedangkan mereka tahu bagaimana perangai anak di rumah. Sampaikan ada yang rasa sangsi dan tidak percaya dengan apa yang dikatakan. Tidak cukup dengan soalan, desakan keluarga lain lagi yang membuatkan perjumpaan itu lebih carca marba. Cuba bayangkan berapa banyak keluarga yang datang pada waktu itu. Semuanya berbaris panjang. Ada yang miskin, kaya, pekerjaan susah dan latarbelakang yang berlainan. Ketegangan yang dihadapi, memang agak tinggi. Ditambah lagi dengan masa yang terhad, ibu bapa yang ingin mengejar masa, dan ada yang tuduh cikgu sebagai tidak menunaikan hak mereka.

Tetapi yang menariknya McCourt tidak menjadi seperti guru yang lain. Dia lebih selesa dengan menjadi dirinya sendiri. Bila ada sampai satu saat, pelajar menanyakan soalan dan dia rasa tidak tahu, secara jujurnya dia terus menyatakan bahawa dia tidak tahu. Dengan mengetahui bahawa dia tidak tahu, dia rasa dia perlu meletakkan usaha dalam mempertingkatkan diri sendiri untuk menjadi guru yang lebih baik. Dia mahu bersedia dengan berbagai jenis jawapan dengan memperluaskan bahan bacaan. Dia ingin menjadi cikgu lebih dari cikgu. Ada cikgu yang tidak mahu belajar lagi kerana duit sudah masuk ke dalam poket, dan bila ditanya soalan, berlagak sepertinya dia tahu segalanya. Ini yang menjadi masalah.

Selain itu, dia juga mengajar dengan cara yang berlainan. Pernah dia membawa pelajar keluar dari kelas, dan duduk beramai-ramai membaca buku resipi. Sebelumnya, mereka makan beramai-ramai di taman dengan berbagai jenis makanan kerana makan di kelas adalah satu perkara terlarang. Mengadakan sesuatu acara di taman memerlukan permit kalau di Amerika. Pembelajaran mereka kelihatan janggal sehinggakan polis datang menjenguk. Polis pun menjadi hairan, dan tidak pernah mereka melihat perkara sebegini berlaku di sekolah Katolik. Ada orang gelandangan yang datang, diberikan sedikit makanan dan meludah balik makanan tersebut sebab rasa tidak sedap. Gelandangan pun tinggi cita rasanya kalau di Amerika. Haha! Kemudian mereka diberi tugasan membawa buku resipi pada kebesokan harinya. Pelajar mulai tertanya apa tujuan membaca buku resipi. Tidak cukup dengan membaca resipi, ditambahnya lagi dengan aktiviti menyanyikan resipi masing-masing dengan berbagai jenis instrument dari bongo, gitar, seruling, dan harmonika. Secara ringkasnya, semua ini bukan satu cara yang masuk akal jika hendak dilihat. Apa kaitan semua ini dengan peperiksaan? Ajar bahasa Inggeris, baca buku resipi, dan bermain muzik di taman.

McCourt tidak pedulikan cara guru lain mengajar. Dia tidak mahu hanya mengajar untuk peperiksaan. Sememangnya, dia masih mengajar namun cara yang berlainan, bukan cara cliché. Dengan menjadi diri sendiri, dia berupaya mengajar dengan cara tersendiri. Ianya lebih fleksibel dan sentiasa ada jalan keluar untuk berbagai jenis permasalahan walaupun ada yang tidak dapat diselesaikan dengan baik. Ada guru yang lebih berpengalaman mungkin tidak bersetuju kerana nanti bakal ada masalah bila pelajar menceritakan apa yang berlaku di kelas. Buat beberapa orang ibu bapa, mereka tidak mahu anak mereka tidak diajar seperti cikgu lain sebab takut bila masuk peperiksaan, pelajar tidak tahu mahu tulis apa.

Nampak dari situ pelajar terbiasa dengan cara ajar suap. Suap bermaksud apa yang diajar, itu yang dimuntahkan ke atas kertas ujian. Tidak perlu usaha lebih. Cuma ngangakan mulut, buka seluas-luasnya, dan siapa yang dapat muntahkan paling banyak isi yang disuap tadi akan dapat markah yang tinggi. Inilah yang cuba diubah oleh McCourt. Dia tidak mahu pelajarnya belajar hanya untuk peperiksaan. Setiap aktiviti yang dia adakan, selagi mana pelajarnya ikut, dan berkerjasama, tidak ada masalah. Tetapi bukan semua pelajar boleh senang dikawal. Kadang-kadang dia terpaksa tukar stratergi supaya pengajaran tidak menjadi kaku dan bosan biarpun subjek yang dia ajak memang bosan. Sampaikan bila peperiksaan akhir tahun, dia cuma mahu pelajarnya menilai diri mereka sendiri. Buat pelajar yang serius mendapatkan gred yang bagus, mereka tidak berpuas hati kerana cikgu kelas lain akan memberi kertas ujian, dan dapat gred yang berpatutan. Pelajar serius cuma risau tentang gred yang bakal mereka dapat, dan mungkin apa yang dipelajari tidak menjadi keutamaan selepas mendapat gred yang tinggi. Gred yang ada pada kertas cumalah gred muntahan. Ya, memang mereka berusaha sedaya upaya. Sedaya upaya untuk belajar menangkung muntah yang lebih banyak ataupun sebaliknya?

Sepertinya dia mahu menyampaikan bahawa seorang cikgu tidak harus menjadi kaku dalam pengajaran kerana pelajar yang diajar adalah sama manusia seperti cikgu juga. Manusia yang kompleks. Mereka juga memiliki perasaan, latar belakang yang berlainan, dan masalah tersendiri. Jika dengan menyapu rata semua pelajar adalah sama, pengajaran mungkin tidak berkesan dan hasilnya cumalah pelajar yang penat bangkit dari tidur hanya semata-mata mahu menghadiri ke kelas. Memang ada masa cikgu perlu menjadi tegas, tetapi ketahui bila masa untuk jadi tegas dan tidak.


Rasanya terlalu banyak cerita yang menarik ada di dalam buku ini. Cerita dari dia kanak-kanak, sebelum menjadi cikgu, konflik dengan orang lain, kisah permasalahan dalam keluarganya, keadaan kelas yang huru hara dengan berbilang jenis kaum, macam mana dia mengendalikan berbagai jenis pelajar dari yang nakal sampai terlalu rajin, dan macam-macam lagi. Memang satu buku yang digalakkan untuk dibaca. Mungkin bila sudah dibaca, kita dapat rasa apa yang dilalui oleh seorang cikgu atau pensyarah atau siapa-siapa yang menumpahkan ilmu. 

Comments

Popular posts from this blog

Review Buku : Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri, karangan Za’ba.

Oleh: Mohamed Rozaidy

Aku percaya membaca itu untuk mencari makna, aku percaya membaca itu untuk membuka minda.
Pertama kali aku melihat kulit buku ini beserta penulisnya yang merupakan seorang tokoh yang digelar pendeta, aku mula bertarung dengan kata-kata yang dipilih untuk dijadikan tajuk buku ini. Sama ada buku ini akan menceritakan berkenaan perangai seseorang yang dipengaruhi oleh dirinya sendiri atau buku ini sebenarnya ingin mengulas berkenaan perangai seseorang yang suka bergantung kepada dirinya sendiri (tidak bergantung kepada orang lain dalam melakukan sesuatu). Setelah selesai membaca, maka aku katakan definisi kedua itu lebih tepat dalam konteks penghuraian daripada penulis.
Antara perkara yang mengecewakan aku tentang buku ini ialah aku terpaksa membaca dahulu pengenalan yang ditulis oleh Asmah Haji Omar. Pengenalan ini seolah-olah cuba merumuskan intipati buku ini yang sebenarnya membuatkan aku tidak puas hati. Sesuatu buku itu cukup sekadar diletakkan prakata sebagai p…

Mitos Peribumi Malas, Karya Syed Hussein Alatas

Oleh: Azli Sidek

Syed Hussein Alatas. Mitos Pribumi Malas: kajian imej orang Jawa, Melayu dan Filipina dalam kapitalisme penjajah, penterjemah Zainab Kassim, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989, m/s 275. 
. Syed Hussein melihat kapitalisme kolonial yang berlaku di tanah jajahan membawa kepada satu penindasan kepada masyarakat pribumi. Syed Hussein menggunakan Metodologi sosiologi pengetahuan yang mana pengkajian tentang ideologi kapitalisme kolonialisme yang menganggap bahawa masyarakat pribumi malas dan tidak mempunyai inisiatif untuk melakukan pekerjaan dan begitu pula pengkajian ideologi masyarakat peribumi yang tidak sebegitu rupa walaupun terdapat sebahagian yang berwatakan pemalas tetapi Syed Hussein menganggap perkara ini tidak boleh diwakilkan kepada keseluruhan masyarakat pribumi tersebut.
            Buku ini juga menerangkan bukti – bukti sejarah yang bermula daripada abad ke 16 hingga abad ke 20 yang mana sepanjang masa tersebut berlaku zaman industri (revolusi perin…

'Kitab Tamadun Melayu' : Kitab Sempurna yang Bercacat Cela.

'Kitab Tamadun Melayu' : Kitab Sempurna yang Bercacat Cela.
oleh: Farahani R.
Saya bukan orang yang mudah diyakini tentang penulisan-penulisan yang membanggakan suatu kaum, khasnya yang ditulis oleh The Patriots memandangkan penulisan mereka terkadang seakan bersifat etnosentrik - Melayu, Melayu dan Melayu.
Jangan dulu mengamuk, sabar; saya bukan rasis. Cuma saya mencuba untuk bebas dari menjadi rasis dengan tidak membiasakan diri mengenal hanya perihal Melayu sahaja. Apatah lagi untuk orang yang lahirnya di Borneo, suasana perkauman dan anti-agama selain dari Islam agak asing dalam masyarakatnya.
Tapi resensi saya tidaklah menyimpang sepenuhnya kepada Melayu dan kekerapannya dibicarakan di media sosial mahupun media mainstream, tapi lebih menjurus kepada persoalan siapa itu Melayu, dan kesilapan masyarakat kini mengertikan label 'Melayu' itu.
Mula-mula saya sangat menolak untuk digolongkan dalam 'bangsa Melayu', dan begitu menjaga perletakan nama bangsa dalam do…