Langkau ke kandungan utama

OKU: Menurut Perspektif Gerakan Islam



Selain Kuasa, Pemerintahan, Politik, Adakah Terdapat Perbincangan Dalam Kamus Gerakan Islam Tentang OKU?

Bung Rosli Ibrahim, membuka naratif Gelap Matanya, dengan syair pujangga Maulana Muhammad Iqbal,

Di jalan ini,
Berhenti di suatu tempat yang tiada
Yang pegun bermakna mati
Berjalan bagi yang telah berjalan
Berhenti dalam hasrat
Suatu ketika akhirnya musnah.

Sementara aku lebih tertarik dengan kritikan beliau terhadap gerakan Islam dalam permasalahan tentang OKU. Pada muka surat ke 51, dalam fasal OKU dan Agama, pada tajuk: Agamawan dan OKU, Rosli bertanya, ‘Tahukah anda bahawa nabi-nabi (A.S.) pernah menjadi OKU; misalnya nabi Ya’kub (buta), Ayub (penyakit ganjil), Musa (kepetahan bicara). Perkara ini (sifat fizikal sebagai OKU) tidak mencederakan peranan mereka sebagai utusan Tuhan. Sebenarnya al-Qur’an memberikan beberapa symbol-simbol tersembunyi mengenai kisah-kisah para nabi yang OKU ini. Namun amat sukar menemukan orang yang mampu memahaminya dengan cermat.

Tulis bung lagi, “Dalam sirah Rasulullah (S.A.W.) pula, para sahabat yang buta dan cacat anggota menjaga kota Madinah semasa ketiadaan baginda. Mereka turut serta dalam peperangan memegang bendera. Ini bermakna sepatutnya OKU tidak perlu menjadi terlalu asing dalam kalangan agamawan walaupun istilah OKU tidak wujud dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Secara disedari, Rasulullah (S.A.W.) sebenarnya telah memberikan model-model terawal pengupayaan sosial kepada golongan OKU untuk sepanjang zaman.”

Meneruskan lagi bab ini, Rosli menyatakan, “Dalam perkembangan sejarah kesarjanaan Islam pula muncul para ilmuan daripada kalangan OKU seperti al-Zamakhsyari, pengarang Tafsir al-Kasyaf yang merupakan seorang OKU anggota. Zakaria al-Razi menjadi buta semasa melakukan uji kaji kimia di makmal, Maulana Syibli Nu’mani berkerusi roda kerana tertembak kakinya sendiri dan Prof Zulkifli Muhammad boleh berdiri berjam-jam untuk berceramah walaupun cacat kakinya. Mereka ini telah memberikan sumbangan masing-masing kepada masyarakatnya.

Sindir Rosli kepada agamawan yang asyik berpoligami, ‘beranikah agamawan yang mengamalkan poligami menjadikan OKU sebagai isterinya demi membuktikan bahawa poligami bertujuan membantu wanita-wanita yang teraniaya?’

Dalam Gerakan Islam dan OKU: Tumbuh Tidak Berbuah, Rosli Ibrahim menyatakan kekesalannya yang sangat perih.

Prestasi gerakan Islam dalam isu-isu OKU, menurut Rosli terlampau jauh. Jauh dari hati dan fikiran. Jauh dari kehendak dan kemampuan. Isu OKU berada di luar orbit garisan perjuangan gerakan Islam.

Rosli teliti dalam mengklasifikasikan apa itu gerakan Islam; Rosli memaknainya secara menyeluruh: baik “political Islam” seperti PAS mahu pun “non-political Islam” seperti IKRAM atau ISMA atau ABIM. PAN tidak dimasukkan dalam tulisan Rosli, kerana PAN baru sahaja wujud. Apapun, calon OKU PAN yang diletakkan baru-baru ini di PRN, wajar dipuji, walaupun kita seharusnya ragu-ragu, apa lagi selain itu?

Bung Rosli sepertinya percaya kepada karma, bukan, bukan hanya karma melatu orang besar seperti Mahathir, bahkan karma terhadap orang Islam yang terlibat dalam dunia gerakan/aktivisme juga. Kerana mengabaikan permasalahan OKU, Rosli berandaian, “..Mungkinkah Tuhan sedang menarik seluruh kekuatan gerakan Islam kemudian menggantikannya dengan perasaan permusuhan sesama sendiri? Adakah mereka sedang merasakan perbalahan yang sedang bertimpa-timpa? Jawapan ini anda dapat lihat sendiri jika meneliti perkembangan semasa gerakan Islam di Malaysia.”

Rosli seolah telah lama menaruh dendam sekaligus harapan, kerana telah lama jeritannya membengkak, setelah begitu lama dibuat pekak oleh mereka yang mendakwa ‘ustaziatul ‘alam’, ‘syumuliah’, dll lagi. ‘Saya amat menyedari bahawa penglibatan gerakan Islam di Malaysia dalam isu-isu OKU sangat ketinggalan jauh, tetapi ia perlu dirintis sekalipun esok akan kiamat. Namun kadang-kadang saya menjadi bosan dengan telatah sombong gerakan Islam dalam isu-isu OKU. Mereka masih taksub dengan slogan-slogan kosong dan retorik-retorik kudus tanpa mahu menyelami semangat tersembunyi yang digagaskan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.’

Rosli bukan menyerang kosong, dia menulis, dalam sesi soal jawab kempen dokumen Negara Islam PAS dengan OKU penglihatan sekitar 2004 yang diberikan oleh Nazri Chik (kalau tak silap ketika itu adalah AJK pemuda PAS Pusat), saya pernah bertanyakan tentang apakah program jangka pendek atau panjang PAS berkaitan isu OKU dalam konteks Negara Islam? Nazri Chik cuma berpusing-pusing sekitar konsep kebajikan yang didefinisikan secara sempit.

Tentang ABIM pula, Rosli mengatakan dia pernah memberikan cadangan kepada seorang teman aktivis ABIM untuk menggerakkan kempen kesedaran awam isu OKU dalam gerakan Islam. Aktivis ABIM itu bertanya balik; OKU ada masalah? Bukankah sudah ada JKM?’

Dalam ‘Ada Apa Dengan JKM’, bung menyatakan, ‘JKM yang ditubuhkan pada April 1946 sudah hampir uzur dan nyanyuk. Tiga kumpulan sasaran perkhidmatan JKM; kanak-kanak, OKU dan warga emas terlalu besar cakupannya. Dengan kakitangan dan peruntukan yang begitu terhad adalah mustahil segala tujuan akhir dapat dicapai.’

Aku tak pelik pun jika gerakan-gerakan Islam di Malaysia tak mempunyai jawapan pun tentang permasalahan OKU, kerana tetek bengek perselingkuhan mereka, adalah tentang kuasa, politik, pilihanraya, demokrasi, undi, dsbnya. Atau jika jalur mereka konon pendidikan, pendidikan yang mereka maksudkan adalah bersenggama dengan state, dan diam menikus di hadapan kebobrokan state, kerana menurut mereka, ada maslahah lebih besar, mereka seolahnya seperti ketika Nabi ditegur Allah, kerana lebih melayan aristocrat-aristokrat Mekah, berbanding seorang buta Abdullah Ibn Umm Maktum, kerana fikirnya, mereka yang lebih berpengaruh, berpangkat, berkuasa, lebih berbaloi dilayani berbanding seorang buta yang picisan.

Mereka nampaknya lebih ketagih kepada persoalan yang termuat dalam al-Qur’an secara literal; bagaimana memotong tangan pencuri? Adakah mereka memikirkan kenapakah seseorang itu mencuri? Dan selepas seorang pencuri itu (dimalukan) dikerat tangannya, bagaimana agaknya seorang pencuri itu ingin mencari sesuap nasi untuk dia dan anaknya? Tidakkah hukum Tuhan yang difahami secara literal, menghasilkan lebih ramai OKU tanpa tangan? Kenapa sistem ekonomi yang eksploitatif, yang mendorong seseorang itu menjadi pencuri yang tidak ‘dikerat tangannya’?

Gerakan-gerakan Islam baik kampus, nasional bahkan internasional seperti HT dilihat teraba-raba sendirian dalam gelap –mungkin merekalah sebenarnya yang ‘Gelap Mata’- mencari utopia/Darul Islam/Negara Islam di bumi Tuhan dengan pendekatan yang terlalu Ikhwan-Arab Centric. Apa sahaja yang mereka lakukan perlulah di-endorse oleh Yusof Qardhawi, atau dipraktikkan terlebih dahulu oleh Ikhwanul Muslimin. Malangnya gerakan Islam di Timur Tengah Pasca Arab-Spring (kecuali Tunisia) semuanya telah kecundang kerana bankrap idea.


Persoalan-persoalan ini bagi kebanyakan aktivis political Islam mungkin dilihat remeh, misalnya seperti permasalahan orang asal atau homeless, kenapakah permasalahan ini tidak termuat dalam silibus usrah/tamrin semasa? Adakah homeless dan miskin kota tak termasuk dalam mad’u (sasaran dakwah)? Dan adakah menyelesaikan permasalahan homeless adalah sekitar memberi mereka makan percuma? Mereka bukan foodless, tetapi homeless (tiada rumah), persoalan ini menyangkut tentang harga rumah, tentang mereka yang menimbun rumah lebih dari satu, sedangkan yang lain tak mampu, rumah tak mampu beli, tentang mall-mall yang semakin menggila dibangunkan, ini menyangkut tentang persoalan ekonomi, sesuatu yang sangat asing dari perbincangan gerakan Islam! 

Ulasan

  1. Kadang2 membaca kritikan mampu menggerakkan kita berbanding membaca kelebihan beramal.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk