Langkau ke kandungan utama

Esei Menjawab Kritikan Wanita Songsang


Oleh: Apis Cuer

Ini adalah satu esei untuk menjawab balik kritikan dan respon kepada buku yang dihasilkan oleh penulis buku Wanita Songsang. Sebagai seorang lelaki, rasanya saya juga layak untuk menyatakan pendapat terhadap apa yang mereka katakan di dalam buku tersebut. Menjadi seorang lelaki tidak bermaksud saya tidak faham langsung penderitaan yang dilalui oleh wanita. Dengan terlahirnya saya dari seorang ibu yang penyayang, saya boleh merasai penderitaan yang dialami biarpun berlainan jantina walaupun saya bukan di dalam situasi tersebut kerana saya seorang manusia.

Pertama sekali saya mengakui ia adalah usaha yang bagus menghasilkan satu penulisan yang berkontroversi. Ia akan sering menjadi perbualan orang ramai, biarpun yang suka ataupun benci kerana buku ini memberi kritikan ke atas feminis yang ingin mengubah beberapa peraturan agama Islam. Secara tidak langsung terhasillah beberapa pembincangan yang bermanfaat, sekurang-kurangnya bukan borak kosong. Ini tidak bermaksud saya bersetuju untuk adakan pergaduhan atau perpecahan, tetapi sekarang boleh tengok berapa ramai yang ambil kisah dengan kewujudan longgokan berbagai-bagai jenis fahaman yang wujud di bumi ini. Buku ini menunjukkan adanya orang yang berlainan haluan, perjuangan dan kepercayaan walaupun sama jantina.

Namun, saya merasakan buku ini adalah  satu penulisan lepas geram yang terhasil dari perbalahan atau percanggahan pendapat dari penulis. Sepertinya mereka menulis di dalam diari. Ia boleh dirasai dari gaya penulisan yang seakan mengatakan semua feminis itu bersifat gedik, orang kaya, dan tidak pegang kuat kepada agama. Mengapa mereka menggunakan gaya bahasa yang gedik dalam pemberian contoh setiap perbualan yang ada? Itu persoalan yang pertama bermain di minda. Dan terdapat kemungkinan juga mereka fikir yang feminis sering memperjuangkan hak samarata secara membabi buta tanpa rasionalnya tersendiri.

Dengan memberikan pandangan yang subjektif, mereka seperti ingin pembaca berpihak kepada mereka. Mereka tidak memberi apa rasional di sebalik perjuangan feminis terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, di dalam buku tersebut ada menyatakan bahawa feminis ingin mendapatkan hak cerai, dan poligami.

Jika difikirkan, memang wajar bagi suami untuk memberi keputusan sama ada mereka patut cerai atau tidak. Kalau diberikan kepada wanita, bagaimana pula jika mereka berbalah sewaktu wanita itu dalam tempoh emosi yang tidak menentu? Tidakkah lebih banyak penceraian yang akan terjadi? Maka saya rasa itu adalah sebab kenapa hak cerai diberikan kepada satu pihak sahaja. Bukan untuk mengatakan bahawa emosi lelaki sentiasa stabil, tetapi secara biologinya, saya berpendapat bahawa bila wanita dalam tempoh datang haid, emosi mereka mudah terganggu dan ini boleh memberi kesan kepada tindakan yang mereka bakal ambil lagi-lagi jika berlakunya perbalahan antara suami isteri pada waktu itu. Saya rasa itulah rasional mengapa hak penceraian lebih kepada suami supaya kurangnya berlaku perceraian.

Masalah dalam perkahwinan adalah isu yang besar kita boleh kupas dari buku tersebut. Isu yang sering timbul adalah isu poligami dan hak cerai. Feminis merasakan mereka tertindas bila mereka tidak memiliki hak yang sama seperti lelaki. Tidak boleh kahwin ramai dan tidak memiliki kuasa menceraikan suami mereka. Memang ada berlakunya penindasan bila lelaki tersebut tidak mengikuti ajaran Islam.

Dalam perkahwinan Islam terdapat beberapa hukum ditetapkan. Bermula dari sunat, harus, wajib, makruh, dan haram. Yang saya ingin bincangkan adalah haram. Haram bagi lelaki tersebut untuk mengahwini wanita itu jika ia mendatangkan kemudaratan ke atas wanita. Contohnya adalah wanita itu ada potensi untuk dijadikan tempat lepas geram, hanya sebagai pelepas nafsu, tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak. 

Ramai yang terlepas pandang dengan perkara ini. Secara tidak langsung kerana terlampau ‘bersangka baik’, mereka membiarkan lelaki itu berkahwin. Ada yang langsung tidak tahu bagaimana sifat lelaki itu dan menganggap perkahwinan mereka akan berjaya dan penghujungnya hanya mampu mendoakan yang terbaik. 

Apa yang berlaku di rumah tidak akan diketahui oleh pihak lain kalau wanita itu tidak menceritakan kepada sesiapa. Kononnya takut si isteri menderhaka suami jika menceritakan masalah rumahtangga kepada orang lain, sedangkan fizikal atau mental atau kedua-duanya terseksa. Kalau orang lain dapat tahu sekali pun, seperti jiran tetangga atau keluarga berdekatan, ada yang tidak mahu mengambil berat. Takut dikatakan terlalu menjaga tepi kain orang. Apa penyelesaian untuk masalah rumah tangga ini?

Maka dengan itu saya rasa ini adalah sumbangan feminis. Mereka membangkitkan rasa ingin melawan penindasan. Melawan ini perlu bila kita ditindas. Tetapi, kalau difikirkan bagi pihak feminis, memang ada lelaki yang mengambil kesempatan dengan mengahwini wanita lain tanpa izin atau kerelaan dari isteri atas nama agama. Sampaikan ada yang menjadikan mereka sebagai pelepas nafsu sahaja. Ada yang membiarkan isteri mereka menanggung beban anak tanpa bantuan. Kalau yang bertanggungjawab, mungkin tidak mengapa. Bagaimana pula yang tidak memikirkan langsung kesengsaraan yang terpaksa dilalui oleh isteri mereka? Dengan itu mereka rasa ianya tidak adil bagi lelaki sahaja untuk memiliki hak berpoligami dan kuasa jatuh talak, dan mereka pula terpaksa kekal dengan suami yang sebegitu. Sebab itulah mereka ingin lelaki merasai apa yang mereka lalui. Tidakkah adil kalau sama-sama merasa kesengsaraan dan kesenangan?

Namun dengan rasional sebegini, ada lagi rasional yang lebih tinggi. Bagaimana kalau wanita mampu poliandri (terma yang lebih tepat bagi perempuan kahwin lebih dari seorang lelaki) untuk berkongsi hidup dengan empat orang suami? Agak sukar untuk saya fikirkan perkara sebegini. Macam mana pula dengan kalau wanita tersebut mengandung, tetapi tidak dapat melayan keinginan hubungan intim suami-suami yang lain? Tidakkah terseksa batin suami yang lain? Macam mana pula jika suami itu juga berpoligami, dan isterinya yang lain pun poliandri? Hasilnya terjadilah kecelaruan di sini, menjadikan masalah-masalah ini lebih kompleks. Maka dengan wajarlah poliandri untuk wanita ditolak kerana ianya agak tidak masuk akal bagi saya untuk wanita mengahwini empat orang suami.

Bagi seorang Muslim, saya faham apa yang dirasakan oleh penulis bila orang cuba untuk mengubah peraturan agama Islam dan menjadi tanggungjawab kita untuk menyatakan apa yang dilakukan oleh mereka itu salah jika ia bertentangan. Secara logiknya, tidak semua wanita itu bersetuju dengan perjuangan feminis. Menjadi feminis itu tidak perlu datang dari jantina wanita, lelaki pun boleh. Ini adalah perjuangan yang asalnya untuk mendapatkan hak-hak wanita dalam mengundi, bekerja, melawan penindasan lelaki ke atas wanita dan beberapa perjuangan yang lain.

Namun semakin lama, gerakan ini mengorak langkah mereka lebih jauh. Di saat itu, bila mereka sampai ke peraturan agama, ia menghasilkan perbalahan dalam kalangan orang beragama dan feminis. Mana-mana fahaman akan ada percanggahan walaupun tidak secara keseluruhan. Persoalan yang ingin dikemukan adalah, apakah semua benda yang diperjuangkan oleh feminis itu dipersetujui oleh semua wanita, atau cuma beberapa pihak sahaja?      

Tidak hairanlah mengapa dalam gerakan feminis itu sendiri ada pembahagiannya sendiri kerana berbeza pendapat. Ada yang ‘liberal feminism’, ‘radical feminism’, ‘difference feminism’, dan ‘postmodern feminism’. Ada beberapa kriteria yang menjadikan perjuangan mereka itu berbeza.

Satu kekeliruan yang sering terhasil dari perkara ini, kadang-kadang ada wanita dalam dilema samaada mereka harus mengikuti perjuangan feminis kerana mereka wanita. Ini sepatutnya tidak patut terjadi. Gerakan itu akan mati tanpa perjuangan dan perjuangan masih boleh hidup tanpa gerakan. Boleh sahaja kalau kita tidak bersatu dengan gerakan feminis, tetapi memperjuangkan nasib wanita tertindas atas nama lain. Tidak mengikut gerakan feminis tidak bermaksud kita bersetuju bahawa penindasan itu perkara biasa dan mesti diterima. Sebelum wujudnya terma feminisme itu sendiri sudah terwujudnya perjuangan seperti ini pada masa silam.

Banyak lagi isu yang lain dibincangkan. Adalah lebih adil jika pembaca membaca buku itu sendiri kerana apa yang saya nyatakan di sini tidak merangkumi semuanya. Buku ini masih lagi ada cacatnya kerana tidak penulis memberi bukti kukuh yang teguh. Tidak wajar hanya mengatakan sesuatu kenyataan tanpa memberi bukti. Ia kelihatan tidak professional. Saya yakin  agama Islam menggalakkan umatnya untuk membuktikan sesuatu dengan bukti kukuh dan bukannya tuduhan emosional yang melulu.

Sepatutnya satu buku kritikan memiliki pembincangan yang kritikal dan saya rasa buku ini sebaliknya. Ini menjadikan penulisan dari orang Islam kelihatan remeh dan kurang mantap isinya. Saya yakin penulis tidak mahu agama Islam dipandang serong kerana penulisan sebegini. Tidak hairanlah mengapa orang lain akan berfikiran buku ini hanya untuk mendapatkan keuntungan semata-mata atas sebab pembentangan hujah yang kurang kukuh, tuduhan yang agak melulu, dan tidak begitu kritikal.
            
Saya begitu menekankan tentang rasionaliti dalam penulisan kerana ramai orang yang inginkan hujah yang rasional. Dengan menjadi rasional, tidak bermaksud kita menolak tepi agama. Pentingnya rasional kerana dalam agama Islam setiap ibadat itu pasti ada rasionalnya tersendiri. Syed Hussein Alatas juga menekankan perkara ini dalam penulisannya.

“Rasionalisme, yakni perincian berdasarkan akal, perlu sekali bagi membina sistem hidup keagamaan. Rasionalisme itu semacam cawan. Boleh kita gunakan untuk meminum air ataupun racun. Yang harus dicegah bukan cawannya tetapi racunnya. Yang kerana takut racun tidak mahu menggunakan cawan boleh sahaja minum macam anjing menjulurkan lidahnya ke dalam parit. Yang ditelannya itu air parit yang busuk baunya dan penuh kuman. Inilah mereka yang wataknya mesum”. - Syed Hussein Alatas. Bab 9 Rasionalisme, Kita Dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah.

Bila orang mahukan hujah yang rasional, kita beri mereka hujah yang lebih rasional dari yang mereka kemukakan. Cara inilah kita mampu mengubah persepktif seseorang terhadap agama Islam yang kononnya mundur dan kuno sedangkan sebaliknya. Rasional ini adalah tentang akal. Akal itu penting bagi orang beragama, hanya orang gila yang terlepas dari agama. Tidak menggunakan akal sepertinya kita tidak menghargai pemberian yang terlalu tinggi nilainya dari Tuhan. Bila mengkritik, mestilah dilakukan dengan secara kritikal, memahami mengapa pihak yang bertentangan memperjuangkan sesuatu perkara dengan lebih mendalam dan teliti. Selepas itu, bidaslah dengan hujah yang diyakini lebih benar dan rasional.

Jika benar mereka betul-betul meyakini bahawa agama Islam adalah agama yang menjaga hak manusia (bukan bermaksud saya mempersoalkan keyakinan mereka terhadap agama Islam), maka bentangkanlah dengan cara yang lebih baik. Bukan dengan cara membuat kritikan begitu sahaja. Sepertinya mereka memiliki senjata yang tumpul, tidak diasah namun masih lagi yakin bahawa senjata mereka adalah yang terbaik kerana ia diperbuat dari bahan asas yang paling kukuh. Bagaimana mereka ingin berjuang tetapi peralatan perang pun tidak sesuai untuk digunakan kerana ketumpulannya?


Sebagai konklusinya, perjuangan feminis itu mestilah menghormati peraturan agama yang telah ditetapkan kerana tidak semua perkara harus menjadi samarata. Saya percaya samarata itu tidak bermaksud adil secara keseluruhannya, dan dalam keadilan ada unsur samarata. Namun, sumbangan feminis dalam melawan penindasan lelaki ke atas wanita juga tidak boleh ditolak ke tepi dan harus dihargai. Sekurang-kurangnya mereka memangkinkan semangat wanita untuk melawan penindasan. Yang perlu dilakukan adalah memastikan setiap perkara yang diperjuangkan itu difikirkan dengan lebih mendalam, dan ditimbang balik mana-mana tindakan yang bakal diambil agar hasil perjuangan itu berbaloi, bebas dari kepentingan pihak tertentu sahaja, dan memberi kesan yang baik kepada masyarakat. Saya mengharapkan ada perdamaian antara feminis dan orang beragama Islam agar kita tidak terleka dengan perbalahan yang berpanjangan. Suasana seperti akan menjadikan sesetengah wanita yang ingin memperjuangkan nasib wanita tertindas jatuh ke dalam dilema samaada mereka harus pergi dengan perjuangan feminis tanpa agama atau terus beragama tanpa perjuangan untuk wanita.

Ulasan

  1. Ni kritikan paling ikhlas . Aku stuju dgn penulisan buku tu cuma ada beberapa bnda aku x puas hati .. Benda nya dh dihurai oleh blog ini

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk