Langkau ke kandungan utama

Buku Senja di Djakarta oleh Mochtar Lubis







Pengulas: Apiscuer

            Buku ini mengandungi pelbagai kisah hidup di Jakarta. Ianya boleh dikatakan hampir semua golongan yang disentuh. Saya rasa terlalu banyak untuk disebutkan di dalam review ini. Tapi, ceritanya akan dicerita sedikit sahaja agar pembaca boleh bayangkan bagaimana jalan cerita ini. Di dalam setiap bab, ianya mewakili satu bulan. Di dalam satu bulan pula ada beberapa cerita. Bermula dari bulan Mei sampai bulan Januari. Selepas habis cerita untuk satu bulan, akan ada laporan bulanan. Kisah-kisah watak lain diceritakan walaupun tidak ada kaitannya dengan jalan utama cerita ini. Memang agak unik bagaimana penulis ini menyampaikan ceritanya. Saya akan menceritakan beberapa watak yang penting sahaja.

Kisah Orang Miskin
Dimulakan kisah tentang kehidupan orang miskin, Saimun dan Itam. Mereka berdua kawan rapat. Sebelum mereka berjumpa, Saimun datang ke Jakarta sehelai sepinggang. 

Tidak ada tempat untuk tinggal, apatah lagi pekerjaan untuk teruskan hidup. Sehinggalah dia bertemu dengan Itam dan dapat kerja menjadi kuli pengangkat sampah. Hari-hari mereka dipenuhi dengan kerja yang lelah. Dengan gaji yang sedikit, hanya boleh diambil setiap dua kali sebulan, mereka cuba untuk hidup walaupun susah. Ditambah lagi dengan hutang yang sering menjadi gangguan bagi mereka setiap kali menerima gaji pada waktunya. Kalau di waktu kelaparan, rokoklah yang menjadi pengalas perut dan pemangkin tenaga untuk bekerja.

Tempat tinggal mereka pula cumalah di rumah sewa Pak Idjo, seorang pak cik yang memandu kereta kuda. Itupun Pak Idjo juga bukannya orang yang senang. Diserang dengan penyakit bisol pada punggungnya. Isterinya pula sudah tua. Ditambah lagi dengan tiga orang anak kecil. Memang agak berat beban yang mereka harus tanggung. Mahu turun kerja, sakit. Tidak turun kerja pula, tidak ada wang buat beli makanan. Hujungnya anaknya yang kecil, Amat itu disuruh untuk mencari kerja.
            
Walaupun Saimun dan Itam bekerja sebagai pengangkut sampah, ada juga azam di dalam diri mereka untuk keluar dari masalah kemiskinan. Saimun tidak buta huruf dan ada kesempatan untuk belajar memandu kenderaan seperti trak sampah dari Bang Miun. 

Hujungnya dia berjaya memandu dengan betul. Ada peluang baginya untuk mendapat pekerjaan dengan memandu. Namun hasratnya terbatal bila dia pergi ke tempat mengambil lesen kerana kurang keyakinan ke atas dirinya yang miskin dan kerja hina itu. Orang-orang di dalam itu semua berpakaian segak, Saimun pula kelihatan selekeh. Hujungnya, batal sahaja niat dia itu.

Si Itam pula sebaliknya. Buta huruf, tidak pandai menulis dan membaca. Apatah lagi kerja bertukang. Dia seolah-olah merasakan tiada peluang baginya untuk bekerja selain yang memerlukan tenaga manusia seperti mengangkat sampah.  Pernah juga dia terfikir untuk menjadi pencuri. Dia tidak peduli apa yang akan terjadi. Memang hidupnya rasa dipijak-pijak berkali-kali. Dia tidak berpuas hati dengan orang asing, apatah lagi orang tempatan. Dirasakannya tidak ada orang yang mahu menyelamat kehidupan mereka. 

Hidupnya rasa dijajah oleh orang asing dan tempatan. Akhirnya, Itam menjadi seorang pemandu beca setelah dibuang kerja kerana tidak turun kerja semasa dia jatuh sakit. Walaupun kerja itu memenatkan, sampai ada yang meninggal dunia selepas membawa beca setahun, dia tidak ada pilihan lain.

Di tengah kehidupan mereka berdua itu, wujud seorang perempuan yang bernama Neneng. Neneng selalu menjadi peneman Saimun dan Itam. Ada masa dia akan tidur bersama Saimun, ada masa lain dengan Itam. Tapi mereka diamkan sahaja seakan-akan tidak perlu dibicarakan tentang itu. Sampai satu masa, dia melarikan diri ke tempat lain. Saimun cuba untuk melihat keadaannya kerana Neneng amat berharga baginya. Pada mulanya, Neneng cuba mengelakkan diri daripada bertemu dengan Saimun.

Berkali-kali Neneng cuba untuk elak berjumpa dengan Saimun, tiba satu saat mereka bersua juga. Saimun mengajak dia kembali ke tempat tinggalnya dan tinggalkan pekerjaan yang dia lakukan itu. Neneng menganggap dirinya sebagai tidak suci. Asyik ditarik oleh beberapa orang lelaki untuk memuaskan nafsu. Namun, Saimun tidak kisah tentang itu asalkan dapat menjaga diri Neneng sampaikan dia sanggup mengajak Neneng berkahwin walaupun dia tahu dia tidak mampu menyara kehidupan Neneng.

Kisah Kehidupan Golongan Pegawai
            Sugeng merupakan seorang pegawai yang bekerja di Kementerian Perekonomian. Hasnah pula isterinya. Mereka memiliki seorang anak bernama Maryam, dan ada seorang lagi di dalam kandungan Hasnah. Mereka hidup tidaklah mewah seperti pegawai lain. Sugeng merupakan pekerja yang jujur. Namun disebabkan kesusahan mereka, dengan rumah yang terpaksa dikongsi bersama tiga keluarga lain, Hasnah asyik mendesak Sugeng untuk menunaikan janjinya mencari rumah baru. Janji itu dibuat setahun yang lalu, tetapi tidak dapat ditunaikan oleh Sugeng. Sugeng sudah cuba mencari alternatif dengan meminta pihak kerajaan mencari tempat tinggal mereka yang lain, tetapi diberi alasan pegawai lain juga memerlukan rumah seperti mereka. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa untuk tinggal buat masa sekarang.
            
Hasnah terfikir untuk gugurkan sahaja kandungannya itu kalau tidak dapat mencari rumah yang lain. Cadangannya dibantah oleh Sugeng. Kali ini Sugeng janji dia akan tunaikan janjinya itu. Dia akan buat apa sahaja untuk kebahagiaan Hasnah sampaikan dia sanggup memecah amanahnya. Selepas dari tindakan dia itu, dia mulai merasakan agak mudah untuk dia mendapat wang yang banyak, asalkan dapat berkomplot dengan orang-orang atasan dalam satu perjualan tidak diketahui oleh orang lain.
            
Dalam masa yang singkat, mereka terus menjadi keluarga yang mewah. Hasnah mulai meragui tentang wang yang Sugeng peroleh itu, namun dalam masa yang sama dia takut untuk menanyakan soalan yang bakal menimbulkan rasa marah dari suaminya. Dia tahu inilah akibat dari desakan yang dilakukannya dahulu. Dia rasa menyesal kerana bukan wang sahaja yang semakin bertambah, hubungan dia dengan Sugeng juga bertambah renggang. 

Dahulunya dia rasakan bahawa hidupnya lebih bahagia dari sekarang. Benda yang dia mahukan cumalah sebuah rumah yang selesa untuk anaknya hidup dan membesar kelak. Dia tidak menyangka perkara seperti ini terjadi.
            
Sugeng pula selalu tidak pulang ke rumah seperti biasa. Dalam diam-diam, Sugeng ada juga menjalinkan hubungan sulit dengan jiran mereka, Dahlia. Bukan Dahlia sahaja, orang lain juga. Namun tidak diketahui namanya. Dia merasakan tidak tahu apa mahu dibuat dengan wang yang begitu banyak.
            
Alang-alang sudah muncul nama Dahlia, teruskan sahaja cerita si Dahlia di sini. Dahlia adalah jiran seperti yang dinyatakan tadi. Suaminya juga seorang pegawai. Sering kali tidak ada di rumah dan meninggalkan Dahlia keseorangan. Dahlia pula kesunyian di rumah. Dia selalu keluar dari rumah dan mencari wang dengan mengadakan hubungan dengan lelaki lain. Pekerjaan suaminya, Idris tidak cukup untuk menampung perbelanjaan harian kehidupan mereka. Dengan cara itu dia mendapatkan wang agar dia dapat membeli barang-barang keperluan dirinya juga seperti pakaian-pakaian yang cantik. Memang sudah sifat semula jadi wanita untuk sentiasa kelihatan cantik. Dahlia percaya dengan kejujuran Idris itu tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada dirinya. Memang suatu kerugian.

Secara Ringkas Mengenai Keseluruhan Cerita
Terdapat banyak lagi karakter yang lain belum disebut di sini. Boleh kira cerita ini memang menarik. Patut dibaca oleh sesiapa pun. Pernah juga saya cuba untuk mencari buku ini di Facebook, namun seakan tiada orang yang berminat untuk jual ataupun tidak memiliki buku itu. Terdapat banyak perbincangan sebenarnya tentang komunisma, fungsi budaya, daerah-daerah, skandal di dalam kalangan pemerintah, hubungan antara pemerintah dengan penulis surat khabar, dan lain-lain.

Pada pendapat saya, cerita ini masih berkait dan hidup di masa sekarang walaupun ditulis pada tahun 1963. Sifat manusia itu sama sahaja di mana-mana. Dengan kerakusan para pemerintah, ketamakan penulis surat khabar yang fikirkan tentang untung dirinya sahaja, skandal-skandal yang ada dalam kehidupan pegawai, rintihan-rintihan dan maki-makian orang miskin kepada orang kaya, rusuhan rakyat untuk mendapatkan bekalan harian, kecurangan seorang isteri terhadap suami dan sebaliknya, dan banyak lagi yang saya tidak ingat. Yang saya nyatakan sebentar tadi cumalah bahagian yang terkesan kepada saya.

Dunia ini memangnya tidak akan berubah selagi mana tidak ada tindakan untuk mengubahnya. Mereka juga ada melakukan banyak perbincangan antara mereka sendiri. Ada yang percaya kepada jalan Islam, ada yang mahu komunisme, ada yang lebih kepada cara demokratik. Tapi hujungnya hanya berakhir dengan perpecahan dan tiada kata sepakat pun antara mereka. Memang perbincangan itu penting, selagi mana mereka bersatu hati untuk mencapai matlamat yang sama, memperjuangkan negara mereka. Tetapi dengan pembawaan ideologi dan cara yang berlainan, mereka terpaksa berpecah membawa haluan sendiri.

Ini perkara yang tidak sepatutnya terjadi kerana biarpun mereka membawa pemikiran yang berlainan, berpecah itu bukan jalan penyelesaiannya. Ia hanya menambah lebih banyak retak ke atas lapisan masyarakat. Kalaulah mereka bersatu hati, rusuhan di hujung cerita ini tidak akan menyebabkan kematian. Murhalim dipukul sampai mati oleh Itam dan orang lain ketika dia cuba menghalang rusuhan. Padahal mereka sama-sama memperjuangkan hak untuk rakyat. Cumanya Murhalim mahu benda ini diselesaikan dengan cara yang lain. Itam pula mati ditembak oleh polis pada masa itu. Hujungnya pejuang rakyat miskin ini sama-sama tumpas walaupun mereka tidak pernah bertemu sebelum ini.

 Memang sukar untuk menyatukan semua orang dalam satu masa kerana seperti apa yang dikatakan oleh Suryono ketika berbincang dengan Ahmad yang berpegang teguh dengan pegangan fahaman komunis,

Memang aku tidak percaya pada apa yang aku katakan sendiri. Tidakkah pernah terfikir, bahawa kita ini kini hidup bukan dalam abad atom, akan tetapi dalam abad tidak percaya. Abad tidak percaya yang ditimbulkan oleh kekecewaan besar yang dirasakan peri kemanusiaan setelah perang itu tidak mengakhiri perang. Tidakkah dilihat, orang Amerika itu penuh curiga ada bom atom atau bom hidrojen mereka sendiri, tidak percaya pada diri mereka sendiri, dan orang Rusia juga sama-sama saling tidak percaya antara mereka, orang Asia tidak percaya pada orang barat, dan barat takut dan tidak percaya pada aisa. Racialisma Malan di Afrika Selatan, politik kulit putih Australia, curiga bangsa asing di Indonesia dan negara-negara asia lain, diskriminasi negro di Amerika, ini semuanya berdasar pada tidak percaya tadi.kerana manusia tidak percaya pada manusa, tidak percaya bahawa manusia sama manusia boleh dan harus sama-sama hidup? Si komunis begitu, si demokrat begitu, si imperialis begitu, si merdeka begitu. semuanya sama sahaja. Bahawa tidak guna cape-cape bertukar fikiran seperti ini. paling benar ialah urus diri sendiri, cari kebahagiaan sendiri menurut kehendak sendiri, dan persetan sama dunia ini?”

Kemudian, diselang dengan beberapa dialog, disambung lagi ucapan dari Suryono,

"Saya mahu menyela, sebelum pembicaraan melantur ke mana-mana," kata Suryono dan di bibirnya bergelut senyum. "Jika sampai berubah pembicaraan ini diteruskan, maka tentu tidak akan ada hasilnya, kerana saudara-saudara sudah salah semuanya memandang persoalan. Ahmad yang berpegang pada historis-materialisma salah, kawan yang mahu memajukan Islam juga salah. Pokoknya semuanya iaitu manusia sendiri. Apa diberi nama krisis kepimpinan, krisis kebudayaan, krisis ekonomi, krisis moral, krisis kesusasteraan, yang krisis itu ialah manusianya. Kerana itu manusia indonesia harus pertama-tama meyakinkan, bahawa dia itu ada, dan nasibnya adalah di dalam tangannya. Hidupnya itu tidak dipengaruhi masyarakatnya, tidak dipengaruhi keluarganya, tidak dipengaruhi susunan ekonominya, akan tetapi dalam dirinya ada kekuatan untuk menentukan dirinya sendiri."

"Ah eksistensialis! Fikiran borjuis yang pessimistic!" ejek Ahmad dengan segera

Suryono tertawa memandang pada Ahmad, "Saya mengaku terus terang apa yang saya katakan saya petek dari huraian Sartre sendiri," katanya. "Memang orang-orang yang separuh-separuh tahu tentang eksistentialisma selalu mengatakan eksistentialisma itu falsafah pesimistis. Akan tetapi malah sebaliknyalah. Eksistentialisma itu falsafah yang paling optimistis, kerana dia menyatakan, bahawa manusia itulah menentukan dirinya sendiri, dan bukan pengaruh-pengaruh luar. Berkata Sartre dalam "Existentialisme est un humanisme- Saudara Ahmad sudah baca?" tanya Suryono menentang mengandung ejekan, yang membuat Ahmad memandang mendongkol padanya, dan Suryono berkata terus sambil tersenyum,:"Marxisma itu sebenarnya ditentang oleh Sartre sendiri, kerana Marxisma menyembunyikan kenyataan, bahawa manusia sepenuhnya bertanggungjawab untuk sifat-sifatnya dan pilihan-pilihannya. Adalah dasar argumen Sartre, bahawa manusia peribadi sepenuhnya bertanggungjawab mengenai apa dia dan apa yang dibuatnya. Kerana itu tidak ada falsafah bagi yang lebih optimistis dari eksistentialisma ini, dalam kuasa diri peribadinya sendiri, dan satu-satunya harapan bagi manusia ilaha dalam bertindaknya dirinya peribadi dan hanya dengan bertindak orang dapat hidup."

Demikianlah salah satu bahagian yang menarik perhatian saya terhadap buku ini. Banyak lagi pembincangan yang menarik. Mungkin ini kali pertama bagi saya baca buku sebegini, jadi kelihatan seakan-akan terlalu memuji-muji penulis ini. Ya, saya masih cuba untuk mencari buku lain, sekurang-kurangnya ini pandangan asli bagi saya yang tidak pernah baca buku sebegini.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, saya merasakan bahawa ketamakan itulah yang buat manusia menjadi teruk tidak kira apa pegangan pun yang dibawa. Tamak untuk untung, tamak memegang kuasa, tamak perhatian rakyat, dan tamak memuaskan nafsu seks.

Si pemerintah sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda dengan mengadakan beberapa rancangan sulit bersama orang dalam kementerian yang lain. Walaupun  skandal mereka semakin lama semakin ketara kelihatan di mata rakyat setelah diserang beberapa kali oleh pihak pembangkang melalui surat khabar, mereka masih juga cuba untuk menutup mata rakyat dengan memberi rasuah kepada penulis surat khabar lain.

Si penulis surat khabar pula ada egonya sendiri. Tidak suka diarah-arah. Tidak mahu dipanggil sebagai alat-alat pemerintah. Kalau diberi arahan, pasti ada wang yang banyak diminta. Dia juga mahu untung. Dia tahu berapa banyak keuntungan sebenarnya mereka perolehi. Namun dia ketahui juga bahawa skandal-skandal ini akhirnya akan terbongkar. Jadi, dia ambil keuntungan masa mereka masih bertahan, bila sudah jatuh, dia terus bertukar haluan. Menyokong pemerintah yang penuh korupsi itu sukar untuk memberi keuntungan kepadanya kalau dijual. Perubahan pada gaya penulisannya di surat khabar amatlah ketara kerana sebelum ini dia menyokong pemerintah berhabis-habisan.

Sepatutnya skandal ini boleh disembunyikan asal sahaja orang-orang yang berkaitan tidak menunjuk-nunjuk kemewahan hidup mereka. Ada yang berkahwin banyak, ada yang beli kereta mahal. Ianya sangat jelas menunjukkan perubahan hidup seseorang. Salah satu contoh yang terdekat adalah Sugeng. Dia dahulunya tidak mampu membeli kereta, selepas sahaja dia mengikut rancangan perniagaan bersama pemerintah, terus jadi kaya dan boleh membeli kereta mahal serta alat-alat perabot yang canggih.

Disebabkan oleh pemerintah yang sibuk mencari wang, keuntungan dan kesenangan di dalam hidup, orang miskin pula terkesan dengan perbuatan mereka. Sepatutnya pemerintah membantu rakyat bila ada masalah seperti kekurangan beras, garam, minyak tanah. Hasil ketidakpedulian pemerintah itu cumalah membuatkan rakyat lebih sengsara.

Bila rakyat menjadi susah, cuma rakyat sahaja yang dapat membantu antara mereka sendiri. Maka tidak hairanlah bagaimana mereka cuba mengetuai gerakan-gerakan fahaman mereka disebabkan oleh pemerintah yang tidak bertanggungjawab. Berlakunya rusuhan itu adalah satu bukti rakyat memang tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di sekeliling atas kesan tindakan pemerintah yang mementingkan diri dan mengabaikan keperluan rakyat yang sebenarnya. Selain itu, bagi yang buntu jalan untuk mencari jalan keluar dari kesusahan hidup terpaksa melakukan kerja tidak bermoral seperti mencuri, melacurkan diri dan pecah amanah.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk