Langkau ke kandungan utama

'Teksdealisme Dalam ‘Bagaimana Anyss Naik Ke Langit’


Oleh: Muhammad Yusof

Istilah teksdealisme membuka ruang dan dimensi baharu kepada pengarang untuk meletakkan teksnya mencapai tahap keunggulan. Untuk menghasilkan sebuah teks yang unggul, seseorang pengarang itu seharusnya memiliki keberanian dan kebijaksanaan untuk memberikan ‘nafas baharu’ kepada kelesuan pemikiran dan mentaliti yang dialami oleh khalayak pembaca. Faisal Tehrani, nama yang bukan asing bagi kita adalah kelompok penulis yang sedang ‘bermain’ pada unsur teksdealisme dan dalam pada masa yang sama, beliau juga dilihat melahirkan prinsip ‘anarkistik’ yang sedikit ‘menyongsang’ dan terpencil daripada segala dogma, metodologi dan keragaman ‘pemahaman’, budaya, adat dan falsafah sedia ada masyarakat kita. Faisal ‘mencuba’ melalui kebanyakkan karyanya, untuk mengoreksi pemahaman kita tentang ‘jangan menjatuhkan hukum sebelum kalian membaca atau mengkaji sesuatu isu’ dan dinoktah dengan persoalan; adakah dengan membaca karya Faisal, kita akan terkeluar daripada Ahlus Sunnah? (nota kaki: saya secara peribadi tidak bersetuju dengan beberapa hujah yang disajikan oleh beliau melalui beberapa novel yang sarat dengan polemik perbahasan ShÄ«Ê¿ah dan saya juga tidak punya jawapan mengapa Faisal sebegitu defensif dengan golongan minoriti tersebut kerana kata kuncinya ada pada beliau sendiri.)

Saya mengenali Faisal Tehrani lewat sebuah cerpen; Kerana Manisnya Epal yang menjadi komponen sastera dalam subjek Bahasa Melayu semasa saya masih bersekolah. Entah mengapa, saya membaca berulang-ulang kali cerpen tersebut. Sejak itu, saya mula menggemari dan larut melalui karya-karya beliau walaupun acapkali muncul konotasi-polemik negatif menyelubungi sosok penulis kontroversi ini. Saya tegar membaca hampir kesemua karya beliau termasuk beberapa buku yang diharamkan iaitu Perempuan Nan Bercinta dan Sebongkah Batu Di Kuala Berang. Saya kira beliau mempunyai ‘aura’ dan bakat kepengarangan yang melangkaui ‘sempadan’ dunia penulisan di Malaysia. Terus terang saya katakan bahawa saudara Faisal adalah merupakan salah seorang penulis yang saya kagumi berdasarkan jalur pemikiran dan pena beliau yang sendat dengan idea ‘value-laden’(sarat nilai) yang mampu membawa hawa baharu kepada kesusasteraan kreatif yang saya kira sudah terlalu sesak dengan karya-karya picisan dan membosankan. 

Selaku pembaca, saya ‘angkat topi’ kepada Saudara Mutalib Uthman melalui Dubook Press di atas usaha untuk mengangkat martabat arena kesusasteraan dengan menerbitkan karya Faisal, yang ini. 

Jika kita lihat kepada senario ‘industri’ penerbitan buku di Malaysia kini, rumah-rumah penerbitan indie semakin mengambil tempat di hati khalayak pembaca berbanding syarikat-syarikat mainstream sedia ada. Senario ini mungkin didasari oleh kebangkitan revolusi mentaliti masyarakat yang sudah muak dan mual disajikan dengan karya-karya cinta klise dan berstatus sampah. Dubook Press, Fixi, Lejen, Sindiket Soljah, Neon Terbit, SFP adalah antara beberapa nama yang gah berdiri atas nama dan perjuangan indie.  Saya percaya bahawa satu ketika nanti rumah penerbitan indie akan bakal menenggelamkan syarikat-syarikat penerbitan mainstream; mungkin barangkali, satu hari nanti.     


INDIE SEBAGAI ALTERNATIF?

Istilah independent ataupun singkatannya indie apabila diterjemahkan kepada bahasa melayu membawa maksud bebas. Menyorot kepada makna bebas, ia bolehlah untuk diertikan sebagai: 1. Tidak terhalang(untuk bergerak, atau bercakap), tidak terkongkong, tidak terkurung, lepas, leluasa 2. Lepas daripada kewajipan(tuntutan, ketakutan, cukai, hukuman, dll).

Buku indie boleh ditafsir sebagai manuskrip yang melawan arus buku-buku ‘mainstream’ kerana daripada sudut idealisme, isu yang diangkat sebagai tema, modal atau bajet(biasanya cetakan terhad) adalah kontradik yang dengan buku-buku komersial sedia ada. Buku-buku indie adalah merupakan satu pemberontakan kepada gaya penulisan yang mengetepikan gaya statik dan kaku karya-karya tempatan yang juga secara amnya dari tahun demi tahun, sedang berhadapan dengan krisis kesusasteraan dan intelektualisme.

Buku-buku indie ini juga dilihat sebagai alternatif kepada ‘kelompongan idea’ sedia ada yang sudah lari daripada landasan sebenar iaitu membina khalayak yang bukan sekadar mahu berlibur semata, sebaliknya dalam pada masa yang sama, matang dari sudut pemikirannya melalui perantaraan asbab sesebuah buku tersebut. Ia juga hadir dalam rupa buku-buku yang mempunyai idea yang kontradik dengan pemikiran, pemahaman, adat ketimuran sedia ada khalayak pembaca yang kadangkala menimbulkan polemik kepada sesiapa yang membacanya, sehinggakan ada di antara buku-buku tersebut diangkat menjadi isu dalam media sosial khususnya atas persoalan isu keruntuhan moral atau unsur-unsur libido. Saya juga adakalanya tidak bersetuju dengan apa yang dipersembahkan oleh penulis-penulis buku indie ini namun pada saya, apa yang penting ialah tugas utama penulis ialah mentafsir dan menterjemah idea hasil seni daripada bahasa seni kepada bahasa sosiologi untuk mencari titik persamaan dengan realiti semasa. Nilai sesebuah kesusasteraan bergantung kepada nilai idea yang cuba disampaikan, jadi ‘kelainan dan keilmuan’ memberikan nilai tambah kepada penghasilan sesuatu karya yang berharga. Sesuatu hasil seni itu akan menjadi ‘masterpiece’ apabila ‘bentuknya’ sesuai dan ideal dengan ‘ideanya’.

Faisal sebagaimana yang kita sedia maklum sering tampil kreatif dengan himpunan karya yang menyajikan kepada kita kritikan sosial, politik dan sosio-budaya masyarakat kita. Bercakap tentang kreativiti, ia ditafsirkan oleh Andrew(1961); ‘kreativiti ialah proses yang dilalui oleh seseorang melalui pengalaman-pengalamannya’. Manakala Hopkin(1937) memberi tafsiran istilah kreatif sebagai ‘diri dalam keadaan bergerak balas ketika dirangsang dengan pelbagai cara yang dinamik’

Pemaknaan kreativiti Hopkin(1937) dan Andrew(1961) ini relevan dengan karya-karya sosok bernama Faisal Tehrani ini. Pada kebiasaannya, apabila kita berhadapan dengan karya beliau, sebaiknya kita perlu bersedia mental dan fizikal kerana ia memerlukan kita mentafsir pemaknaan secara berlapis-lapis, bukan selapis, malahan berlapis-lapis kerana Faisal mahu kita berfikir secara ekstensif, mengetepikan istilah jumud(antaranya Karbala, Saasatul Ibad, Bedar Sukma Bisu, Tuhan Manusia etc etc). Faisal seolahnya sedang bercerita apa yang dia rasa, apa yang dia dilaluinya, tentang ‘pemikiran luar kotak’nya, kritikan sosialnya, ‘permainan simbolisme’nya lalu diluah dengan begitu baik melalui manuskrip beliau. Karya-karya beliau menolak elemen picisan sebaliknya ia kuat dibina kuat dengan method aposteriori dengan didaktik yang kuat dan entah kenapa, Faisal, sejak akhir-akhir ini memilih untuk menyampaikan ideanya dalam mood santai dan sinikal(baca: Sebongkah Batu Di Kuala Berang dan Bagaimana Anyss Naik Ke Langit). Ini adalah antara kekuatan yang mampu menjadi ‘magnet’ untuk saya membaca buku-buku beliau walau apapun judulnya. Pada saya, karya yang mampu ‘memberikan kepuasan’ tidak hanya menyajikan kepada kita perkara-perkara berkenaan nilaian sastera dan hiburan semata, sebaliknya ia juga perlu menyajikan kepada kita berkenaan keintelektualan isi kandungan, didaktik dan gabung jalin plot-plot yang utuh untuk menobatkan sesebuah karya tersebut sebagai sebuah karya yang mapan.

PERJUANGAN HAK WANITA.

Faisal memulakan karya ini dengan mengambil semangat ala novel Naratif Ogonshoto iaitu cerita bermulanya perjalanan Prof Anyss sampai ke China. Saya tidak pasti mengapa Anyss dipilih sebagai nama watak kerana ia mengingatkan saya kepada watak Annisa dalam filem Perempuan Berkalung Sorban yang juga pada asasnya adalah berkisarkan tentang wanita. Filem PBS bercakap persoalan tentang ‘woman-right’ dan emansipasi wanita pada lidah pseudo-Islamik(pada wajah sebahagian khalayak yang mengatakan filem ini liberal). Boleh dikatakan keseluruhan filem PBS adalah ber‘teras’kan wanita samada naratif ataupun skop penceritaan mahupun ambiguitinya. Lihat kepada watak utama Annisa(bermaksub perempuan jika diterjemahkan kepada bahasa melayu), isu berkaitan wanita, kritik sosial berkaitan isu berat sebelah antara gender(lihat dialog “Islam tidak adil kepada perempuan” atau “Allah selalu menyebelahi lelaki”), patriarki, ketidaksamaan hak antara lelaki dengan perempuan(babak anak lelaki dibenar berkuda, babak anak perempuan tidak atau babak anak perempuan tidak dibenarkan belajar jauh), isu sexual harassment terhadap wanita, malahan shot-shotnya juga “sangat kuat keperempuanannya”(babak perempuan membasuh baju, perempuan berjual-beli, perempuan membuat itu, perempuan membuat ini). 

Pendek kata, filem ini adalah berasaskan pada satu topik yang tidak lari daripada tajuknya iaitu perempuan/wanita. Begitu juga manuskrip terbaharu Faisal Tehrani ini yang bercerita tentang perjuangan Prof Anyss, diselang-seli dengan watak Ratu Sago; yang kedua-duanya adalah perempuan dan kedua-duanya mati secara tragis. BANKL berlegar pada watak Prof Anyss di mana penstrukturan plot memberikan fokus kepada cerita Prof tersebut sebagai ‘story time’ yang maksimum dengan ditambah perisa berkenaan isu kaum Penan yang tertindas untuk melengkapkan pusingan plot dramatik di akhirnya. Prof Anyss dan Ratu Sago beraksi secara terusan melalui plot yang pelbagai namun dihubungkan melalui tema humanisme dan feminisme. Faisal, sekali lagi mengangkat isu orang asli seperti yang pernah dinukilnya dalam novel Bahlut. Sememangnya isu ini kurang subtle dan janggal dalam lingkungan sastera masakini namun Faisal cuba mengangkat isu ini kepada kita agar kita lebih prihatin dan fokus kepada tema penindasan golongan minoriti tersebut.

Kita diperlihatkan dengan kelantangan vokal Faisal melalui kritikan-kritikan halusnya dalam manuskrip ini kerana ia tidak hanya sekadar bermain pada lapis luar sastera sahaja tetapi kritikan sosialnya tepat pada kita sebagai rakyat Malaysia, secara umumnya. Fokus kepada idea dan tema humanisme ini hadir serius diselang-seli dengan info-info, menjadikan karya ini sarat seperti tulisan akademik. Watak Prof Anyss dibina atas asas ‘stream of consciousness’ dimana ia sering muncul seolahnya ia realistik wujud, realiti di hadapan mata kita; kecuali ending yang ala filem Dari Jemapoh Ke Manchester. Faisal juga menguasai fakta dan memahami subjek yang cuba beliau angkat sebagai tema. Sebagai pemerhati isu, beliau wajib memahami pengalaman orang yang diperhatikannya. Ini sekaligus mengekalkan empati dan simpati kita selaku khalayak pembaca kepada isu tragis yang berlaku kepada kaum wanita dalam manuskrip ini ataupun di dunia, secara amnya. Permainan unsur ‘verstehen’ ini secara idealnya memberi penekanan tentang beberapa idea untuk mengangkat wanita pada martabat yang sebenarnya, sekaligus menghapuskan pengeksploitasian terhadap kaum wanita.

Namun satu ‘kelompongan’ yang ketara pada naskhah ini ialah ia seperti dibikin secara tergesa-gesa seolahnya mengejar tarikh Pesta Buku Antarabangsa tempohari. Segala info hanya sekadar ‘cut and paste’ untuk menyaratkan kerangka plot. Entah mengapa cerita perjalanan Anyss, ‘babak Ratu Sago’, perbualan dengan Ping, babak mimpi, babak solat diulang beberapa kali. Saya kira karya ini akan menjadi lebih ‘umphh’ jika Faisal memeram dan menambah sedikit rasa kerana tema antara dua watak yang dirakamkan melalui dua dunia yang berbeza ini yang masing-masing berjuang atas nama maruah, perjuangan dan emansipasi akan berbekas di jiwa pembaca jika dihurai dengan lebih teliti kerana tema utamanya sangat menarik iaitu tema kemanusiaan.


Saya menyudahkan ulasan ini dengan memetik kata-kata Dor dalam Perempuan Nan Bercinta: ‘Dor, cari perempuan mulia yang menentang sehingga mati, cari perempuan yang menentang meskipun sudah mati.’. Anda tukar kalimah ‘perempuan’ itu dan ia akan menjadi kata-kata umum yang merevolusikan mentaliti kita semua.

Ulasan

  1. Menarik saya perlu sambung membaca buku ni, dulu terhenti sebab loya membaca bagaimana FT gambarkan kerakusan manusia memusnahkan hutan

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

Tan Malaka & Tuhan

Adakah persoalan ini penting sebenarnya? Mempertanyakan sesuatu yang terlalu personal? Persoalan ini akan merambah kepada persoalan lain sebenarnya, yang hujungnya akan membawa kepada pertelingkahan yang berakhir dengan 'nak tanam di jirat mana?' Kerana jika kita mengatakan Tan Malaka seorang yang bertuhan, maka bertuhan yang mana pula? Adakah bertuhan gaya agnostik -yang berdiri antara ragu dan tidak- ? Atau bertuhan gaya deism -yang Tuhan mengoperasikan alam secara mekanikal- ? Atau bertuhan gaya pantheism -yang Tuhan mencair menjadi segala sesuatu- ? Atau bertuhan seperti mereka yang beragama dalam organized religion? Itu juga harus dipecahkan lagi. Organized religion yang mana? Organized religion ardhi (bumi), atau organized religion samawi (langit)? Organized religion ardhi, seperti Hindu, Buddha, atau organized religion samawi atau semitic religion - seperti Yahudi, Kristian dan Islam. Atau mudah ceritalah, Islam. Adakah Tan Malaka seorang yang beragama Islam (Muslim)?

Hayy bin Yaqdzon: Manusia dalam Asuhan Rusa

  Oleh: Amirrul Zaki Ada pertanyaan yang menarik dalam buku ini. Jika Tuhan tidak mengutuskan para Nabi bersamaan kitab suci al-Quran, adakah manusia tidak mengenal Tuhan dan agama? Karya Ibnu Thufail menjelaskan dalam bentuk sastera pertanyaan ini.  Sedikit fakta menarik tentang buku ini. Dalam banyak Ibnu Thufail menulis buku hanya karya Hayy Bin Yadzon dapat diselamatkan dari kebodohan hujung pemerintahan al-Muwahhidun yang mengharamkan ilmu falsafah. Nama penuh Ibnu Thufail adalah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaisi al-Andalusi . Beliau mahir dalam falsafah rasio Aristotle seperti tokoh muslim yang lain seperti Ibnu Sina, al-Kindi dan Ibnu Farabi. Beliau pakar ilmu perubatan sehingga menjadi Doktor peribadi pemerintah. Ibnu Sina juga menulis karya Hayy Bin Yaqdzon tetapi versi berbeza dari karya Ibnu Thufail. Terdapat banyak kekeliruan kerana nama tajuk sama tetapi berbeza penceritaan.  Ibnu Thufail menulis Hayy Bin Yadzon dalam bentuk sastera untuk