((Sdr. Abdul Rahman Shah))
The God Delusion, buku penulisan Richard
Dawkins, seorang ateis, pakar biologi dan ekologi yang terkenal dalam dunia
saintifik dengan tesis terpenting dia, The
Selfish Gene. Buku The God Delusion
secara pendeknya adalah sebuah buku yang ingin ketengahkan idea bahawa
kebarangkalian untuk Tuhan itu tidak wujud adalah jauh lebih banyak daripada
kebarangkalian untuk Tuhan itu wujud.
Walaupun
buku ini lebih banyak memberi contoh kelakuan ekstrem mereka yang dari agama
berlainan, konsep agama lebih banyak dasarkan agama Kristian dan Tuhan agama Kristian, Dawkins
sendiri dibesarkan dalam keluarga Kristian dan pelajar sekolah agama (Kristian).
Dari bab ke bab, penulisan Dawkins tersusun dari menerangkan apa itu agama,
kenapa kebarangkalian untuk Tuhan itu wujud rendah, akar kepada agama, akar
kepada Tuhan, akar kepada moraliti dan dan kenapa agama tidak mempromosi
moraliti (melalui teks Bible), moral zeitgeist,
serta menerangkan kenapa ajaran agama itu bermasalah.
Sebagai
seorang Muslim, saya langsung tidak terguris hati, tergugat Iman, atau
merasakan buku Dawkins ini adalah “jarum halus” ateis untuk menjatuhkan umat
Islam. Tetapi buku ini, dengan contoh-contoh yang diberikan, menarik dari segi
memberi hujah balas dan segi memahami bagaimana untuk orang Eropah, Islam
dipukul rata sebagai sama sahaja dengan Kristianiti. Banyak contoh yang
diberikan adalah contoh mereka-mereka bersikap ekstrem dalam agama dilihat
sebagai dogma utama agama oleh Dawkins, tetapi, apabila saya membacanya, saya
sedar inilah masalah umat kita, mereka bersikap ekstrem sehingga membuatkan
orang tidak percaya pada agama dan Tuhan.
Hujah
paling menarik dalam buku ini adalah, untuk Dawkins, dunia akan menjadi tempat
yang lebih baik, dunia aman, dan tiada peperangan jika semua manusia tidak lagi
percaya kepada Tuhan.
Menariknya, Dawkins ada menyentuh contoh pergaduhan
antara peminat bola sepak Glasglow Celtic dan Glasglow Rangers, tetapi masih
mengaitkan pergaduhan ini sebagai konflik agama, kerana dari situasi sejarah,
peminat Celtic adalah Katolik dan peminat Rangers adalah Protestan. Moraliti
juga, mengikut Dawkins adalah produk evolusi dan akan melalui semangat zaman,
atau erti kata lain, moraliti itu adalah relatif, tetapi absolut mengikut zaman
kita berada, sebagai contoh jika kita mempunyai hamba pada zaman ini, kita
berada di pihak yang salah, tetapi jika pada 200 tahun yang lepas, kita tidak
bersalah (Untuk peminat falsafah agama dan falsafah moraliti, buku ini banyak
rujukan-rujukan dan penerangan kepada falsafah-falsafah tersebut).
Untuk
melawan hujah ini, adalah senang, satu, manusia itu adalah makhluk yang gila,
gila populariti, gila duit, gila kuasa, dan gila semangat kekitaan (sense of belonging). Dan perangai gila
ini boleh dilihat di mana-mana, peminat Apple lawan Samsung, peminat Manchester
United lawan Liverpool, peminat Liberal lawan Sosialis, peminat Johor DT lawan
Kelantan. Apabila semangat kekitaan itu sudah sebati dengan hidup, segala perkara
luar atau lawan akan menjadi musuh dan manusia tidak berfikir dua kali untuk
bertumbuk tentang hal picisan kerana semangat itu sudah dalam diri. Contoh ini
juga boleh dipanjangkan kepada perang-perang antara agama, terutama pada zaman
dahulu, tetapi pada zaman ini, hampir tiada perang kerana agama sebagai punca
utama, faktor geopolitik adalah sebab utama, walaupun ramai juga manusia zaman
ini membuat kerja gila atas nama agama dan nama Tuhan.
Mengikut
buku ini, Ateisme versi Dawkins merujuk kepada kumpulan manusia yang tercerah
mindanya untuk melihat dunia dan manusia ini tercipta dengan sendirinya
(Teori-M dalam bidang Fizik dan Teori Evolusi dalam Biologi). Ateisme versi
Dawkins adalah sekumpulan manusia yang saintifik, yang berusaha untuk keamanan
dan kesejagatan kemanusiaan, dimana semua manusia mendapat hak-hak mereka.
Walaupun ramai Ateis mengikut versi Ateisme ini, tetapi ramai juga yang hanya anti-agama
dan anti-Tuhan, bukan kerana mereka mengikut pandangan hidup saintifik.
Berbalik
kepada manusia gila populariti dan semangat kekitaan? Ateisme juga sudah
menjadi suatu ikutan popular terutama di Barat kerana psyche mereka sudah tidak percaya pada agama kerana kezaliman dan
korupsi agama Kristian kepada kebudayaan mereka. Serta semangat kekitaan itu
sudah menubuhkan golongan militan Ateis dan Gereja Ateis. Akhirnya semangat dan
ideologi saintifik yang ingin diterapkan hilang begitu sahaja.
Kegilaan
ini tidak mudah hilang begitu sahaja, kalau bukan gila agama, manusia akan gila
bola, kalau bukan gila bola, manusia akan gila gajet, kalau bukan gila gajet,
manusia akan gila selebriti, dan macam-macam lagi. Ateisme tidak boleh
menyelesaikan masalah kegilaan ini, tetapi kesedaran manusia tentang hidup
secara bersederhana seperti juga disyorkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Berbalik
kepada buku Dawkins ini, buku ini juga ada menyenaraikan sebab-sebab kenapa
agama itu sifatnya ganas. Disini saya harap pembaca tidak salah faham, saya
agak bersetuju dengan sebab-sebab Dawkins (boleh baca sendiri buku ini), bukan
kerana agama itu ganas, tetapi kenapa puak ekstremis itu ganas, tidak kisah
Gereja Baptist Westboro ke, Taliban ke, Boko Haram ke, golongan Buddha di
Myanmar ke, puak ekstremis muncul lebih kurang atas sebab yang sama, tetapi
seperti biasa, senarai Dawkins tidak lengkap kerana hal ini mempunyai
faktor-faktor beraneka segi.
Sebagai
tambahan disini adalah senarai saya tentang puak-puak ekstremis di dunia Islam
termasuk Malaysia:
1)
Superiority Complex
dan
Cognitive Dissonance: Perasaan diri
lebih hebat dari golongan atau kumpulan yang lain kerana Islam adalah agama
benar sambil mendabik dada dan berteriak kehulu kehilir, tetapi realitinya
mereka secara dalamnya sedar akan situasi dunia Islam yang kolot, jumud dan
lemah menghasilkan sebuah cognitive
dissonance diantara umat Islam sehingga daripada membetulkan kesilapan
diri, mereka menyalahkan orang lain dan jarum-jarum halus.
2)
Semangat Identiti: Seperti yang sudah disebut, manusia
ini gila semangat kekitaan, kejayaan pasukan bola sepak mereka dianggap sebagai
kejayaan sendiri, kejayaan orang bangsa mereka dianggap sebagai kejayaan
sendiri, jadi untuk melindungi identiti-identiti berharga ini, mereka sanggup
melakukan apa sahaja untuk menunjukkan yang ya, mereka komited kepada Liverpool,
atau kepada Apple, atau kepada agama masing-masing melalui teriakan di
Facebook, melalui pembakaran gereja, melalui pergaduhan, melalui membuat kempen
fitnah, atau melalui meletupkan diri sendiri (suicide bombers).
3)
Cara Paling Mudah/Pemalas: Kalau kamu ingin menunjukkan
komitmen kepada sesuatu apabila berhadapan dengan pandangan berlainan, mana
lagi mudah? Membaca? Belajar dengan lebih lanjut? Bersikap toleran dan objektif
dihadapan mereka berlainan pendapat? Atau caci dan maki mereka di Facebook? Membuat
status berbaur fitnah di Facebook? Mempercayai segala kata-kata ustaz kamu
sebagai 100% benar dan menolak segala pandangan lain? Mana lebih mudah?
4)
Muslim Ritual: Dimana masyarakat beragama Islam kini
hanyalah Muslim Ritual. Hanya fokus kepada hal-hal Ibadah, halal-haram, kahwin
dan mas kahwin, tetapi bukan pada Islam sebagai cara hidup keseluruhan, hal-hal
politik, hal-hal ekonomi, hal-hal flora dan fauna, hal-hal saintifik, hal-hal
kemanusiaan, hal-hal kebebasan dan menentang kezaliman. Balik-balik beromantis
pada zaman Abbassiyyah tentang sains, beromantis pada zaman Uthmaniyyah untuk
hal politik dan lain-lain, sehingga ingin menubuhkan kerajaan yang 100% sama
dari segi struktur politik tetapi bukan dari segi falsafah politik Islam.
Ulasan
Catat Ulasan