by; Sadiq Jebat (Abam Kacak)
Seperti
yang kita tahu, perbahasan tentang revolusi dan reformasi baru sahaja dibuat di
Restoran Amjal disampaikan oleh mereka yang mempunyai latar belakang yang sudah
menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan juga mereka yang bergelar aktivis.
Tetapi persoalan yang ingin saya lontarkan di sini adakah pendengar yang hadir
pada hari itu cukup faham tentang sejarah reformasi dan revolusi atau sekadar
datang untuk mencukupi masa lapang? Saya yakin yang hadir di KuBu hari ini
mengharap sesuatu perkara yang lebih baik berbanding pada malam itu, ini kerana
pada malam itu lebih berbentuk kepada forum yang disampaikan oleh 5 orang
panelis berbanding pada hari ini kita berkumpul dalam keadaan kelompok
pembincangan yang lebih kecil. Maka saya minta jika ada soalan atau persoalan
yang diragui minta dilontarkan terus TETAPI sebelum itu saya merayu dengarkan
apa yang saya ingin sampaikan terlebih dahulu tentang maksud revolusi pada
pandangan saya.
Sebelum
saya menjengah kepada tajuk pokok kita hari ini tentang Revolusi Perancis saya
ingin tegaskan bahawa maksud revolusi yang saya fahami adalah; sebuah cara atau
metod untuk mendobrak sistem yang lama dan menggantikan kepada sistem yang
baharu secara terancang atau tidak. Apabila kita bercakap tentang sistem maka
saya ingin tegaskan sistem adalah satu tatanan yang membentuk kita atau satu
hegemoni yang dicipta untuk melancarkan proses perjalanan sesuatu kehidupan
sosial atau lebih dikenali sebagai teori sistem. Maka itu adalah definisi
ringkas yang saya fahami, untuk kita panjangkan lagi pembincangan berkenaan
sistem mungkin kita boleh dipindahkan pembincangan ini kepada minggu-minggu
mendatang.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pendahuluan
Revolusi
Perancis kerap kali diambil sebagai sebuah revolusi yang banyak dilihat sebagai
revolusi pertama yang mampu menggegar dunia Eropah. Malahan menurut Alfred
Cobban revolusi Perancis ini tidak sama seperti mana revolusi Amerika dan juga
Inggeris. Ini kerana jika kita melihat dari pelbagai sudut perjalanan sejarah
revolusinya sendiri terdapat banyak kekeliruan dari segi tercetusnya revolusi,
malahan revolusi itu sendiri adalah revolusi pertama untuk membentuk sebuah
negara Republik pertama di Eropah. Izinkan saya senaraikan beberapa sub-topik
untuk memudahkan kefahaman kita semua; seperti yang ditulis oleh Qasim Ahmad
beliau membahagikan kepada—
Ø
Latar
Belakang Masyarakat.
Ø
Susun
Lapis Masyarakat.
Ø
Keadaan
Sosioekonomi.
Ø
Pergerakan
Kesedaran.
Ø
Prolog
kepada Revolusi.
Ø
Kejatuhan
Bastille.
Ø
Pencetusan
Revolusi.
Ø
Kelab-Kelab
Politik.
Ø
Pengukuhan
Revolusi.
Ø
Perlembagaan
Sivil Gereja.
Ø
Ancaman
Terhadap Revolusi.
Ø
Perpecahan
berterusan.
Ø
Kejatuhan
Girondin.
Ø
Zaman
Ganas.
Ø
Kejatuhan
Robespierre.
Maka
kita punya 15 sub-topik untuk memahami pembincangan kita hari ini, sebelum itu
saya ingin tegaskan lagi sekali di sini, revolusi Perancis melalui peringkat
yang banyak, manakala pembincangan saya ini hanya tercetusnya revolusi sehingga
kepada zaman jatuhnya Robespierre Maxiemmillan. Ini kerana sosok tubuh
Robespierre dianggap sangat kejam hatta begitu di Perancis punya satu hari
menyambut kehebatan sosok tubuh ini membawa semangat revolusi di Perancis hatta
Marquis de Lafayette lebih dikenali sebagai seorang Jeneral yang banyak membawa
revolusi itu ke hadapan tetapi watak Robespierre lebih dikenali kerana beliau
dijolok dengan cara pemerintahannya yang menengah atau selalu ingin menjadi
yang tengah.
Latar Belakang
Masyarakat
Eropah
sewaktu abad ke-18 adalah sebuah benua yang negaranya banyak dipimpin oleh
monarki atau pemerintahan berkuasa mutlak. Bukan kerana tiada sistem yang bagus
tetapi kerana sistem monarki adalah sistem yang mampu mengawal dan membentuk
masyarakat yang baik pada abad itu sendiri. Walaupun begitu kita harus fahami
dari segi konteks setengah sejarawan di sana menganggap bahawa monarki Eropah
bukanlah bermaksud pemerintahan berkuasa mutlak—kerana mereka (baca:
pemerintah) masih terhalang dengan beberapa institusi atau badan yang menghadkan
kuasa-kuasa mereka untuk melaksanakan sesuatu.
Ini
dapat dilihat daripada tindakan pemerintah yang melantik orang penting di
kalangan rakyat seperti golongan bangsawan, daerah kekuasaan atau hak istimewa
untuk mengekalkan kuasa monarki dan juga mendapat sokong daripada pihak-pihak
tertentu. Selain daripada kepentingan bangsawan, baron, knight dan daerah
kekuasaan golongan raja ini harus juga mengekalkan hubungan yang baik dengan
pihak Gereja, ini kerana pada zaman itu Institusi Gereja sendiri telah terpisah
daripada pemerintahan di bawah kuasa-kuasa raja. Maka hubungan-hubungan itu
harus dijaga untuk kepentingan kedudukan golongan raja jua akhirnya. Oleh sebab
itu, seperti yang ditegaskan Qasim Ahmad merujuk kepada Palmer—pihak raja
bukanlah memerintah mengikut cita rasanya sendiri tetapi dihadkan oleh mereka
yang juga punya kepentingan dalam kerajaan.
Secara
ringkasnya sejarawan tidak berbeza pendapat dalam mengatakan bahawa
pemerintahan di Eropah bercorak kebangsawanan dan feudal. Apabila saya mengatakan
Perancis adalah sebuah negara Republik pertama kita harus faham maksud republik
pada konteks masa itu dan sekarang. Pada waktu itu sememangnya sudah wujud
negara republik seperti Belanda, Venice, Genoa, Swiss, Poland atau
Daerah-daerah Bersekutu, sebenarnya republik itu tidak serupa kefahaman kita
seperti republik yang sekarang di mana lebih menekankan sistem pendemokrasian,
iaitu rakyat mampu mengundi untuk menentu pemerintah mereka. Malahan pada masa
itu, Perancis dan di Eropah tidak lagi terdedah kepada sistem undi sebelum
Revolusi Perancis.
Kendatipun
menurut Rude, monarki Rusia sangat autokratik tetapi revolusi Perancis juga
yang membawa perubahan pertama di Eropah. Jangan pula kita melihat England pada
waktu itu, ini kerana Inggeris telah mendahului negara-negara jiran mereka
terlebih dahulu dalam pembangunan sistem-politikal iaitu selepas revolusi 1688.
Susun Lapis
Masyarakat
Tidak
dapat dinafikan setiap negara akan punya susun lapis masyarakatnya yang
tersendiri begitu juga di Perancis yang kita boleh kelaskan kepada 3 kelompok
besar iaitu Estet Pertama, Estet Kedua dan juga Estet Ketiga atau kelas paling
bawah. Estet Pertama adalah mereka yang berada di pihak Geraja, dikenali
sebagai paderi atau biskop. Mereka ini adalah golongan paling atas kerana pada
abad ke-11 berlaku satu revolusi iaitu Revolusi Papal iaitu pihak Gereja mula
mengasingkan kuasa negara dan politik bahawa mereka akan mewujudkan satu entiti
kuasa Gereja atau dipanggil Institusi Gereja di mana apabila seseorang raja itu
ingin menjadi Raja mereka wajib untuk mengangkat sumpah untuk mempertahankan
agama Kristian sepanjang pemerintahannya.
Institusi
agama di Perancis amat kaya dan paling kukuh kedudukannya lebih kukuh daripada
kerajaan Perancis itu sendiri. Ia mengendalikan rumah anak yatim, universiti,
harta (berupa tanah), cukai serta lain-lain. Daripada sumber kekayaan ini
menjadikan pihak agama mampu berdiri sendiri malah membayar gaji para agamanya.
Dek kekayaan institusi agama inilah yang menyebabkan institusi agama menjadi
tumpuan kepada pihak pemberontak.
Estet
Kedua pula dipenuhi mereka yang diberi gelaran, pangkat atau hak istimewa oleh
raja. Perlu kita tahu sebelum Eropah terbentuk seperti sekarang, tanah Eropah
terbahagi kepada banyak daerah-daerah kecil yang sering berperang sesama mereka
sendiri. Sama juga yang dilalui di Perancis, sebelum Perancis dapat
menggabungkan tanah-tanah ini raja perlu memujuk atau memberi ganjaran seperti
pangkat kepada pemimpin sesebuah daerah kecil ini untuk menyokong raja terus
berkuasa. Hak yang istimewa kebiasaannya adalah sumbangan tanah untuk
dipegang—berkuasa mengutip cukai daripada rakyat yang menghuni dan juga bebas
daripada membayar cukai kepada kerajaan.
Manakala
rakyat atau mereka yang tidak termasuk dalam kedua-dua kelompok itu adalah
kelompok yang dipanggil Estet Ketiga iaitu golongan petani yang miskin sehingga
kepada saudagar antarabangsa yang kaya. Perlu saya terangkan dengan lebih
jelas, bangsawan dan saudagar atau borjuis adalah dua entiti yang berbeza.
Bangsawan adalah mereka yang diberi pangkat, hak keistimewaan atau kuasa oleh
raja manakala saudagar yang kaya adalah mereka yang berniaga atau mempunyai
sesuatu untuk diniagakan. Selain itu juga, rakyat yang paling teruk dan banyak
adalah rakyat bawahan yang langsung tidak diberi hak politik seperti mengundi
(awal revolusi) juga tidak mempunyai tanah pun.
Perlu
jelas, penerangan saya tentang estet itu bukan sahaja berlaku di Perancis
tetapi negara kebanyakan di Eropah. Hatta begitu, golongan petani Perancis
lebih beruntung kerana sebelum revolusi mereka sudah mempunyai hak milik tanah
sendiri berbanding negara-negara monarki yang lain.
Keadaan
Sosioekonomi
Bahagian
ini agak rumit untuk dibincangkan kerana penulis (Qasim Ahmad) telah menyatakan
dari pelbagai sudut pandang sejarawan namun begitu saya cuba meringkaskan
tetapi tidak menghilangkan fakta-fakta yang patut kita ketahui tentang
perjalanan tercetusnya revolusi Perancis. Jika dibincangkan semua pandangan
tokoh sejarawan saya bimbang kita tidak punya masa yang cukup juga kefahaman
untuk berjinak-jinak dalam memahami sejarah revolusi Perancis.
Saya
catatkan beberapa tokoh yang membahas tentang keadaan sosioekonomi ini adalah;
-
Rude
-
Tocqueville
Menurut
Rude yang tidak bersetuju dengan Tocqueville adalah mengatakan bahawa
kestabilan ekonomi itu sendiri yang mencetuskan revolusi kerana rakyat sudah
tidak sabar untuk membuang kuasa raja secara total. Hujah ini yang ditolak oleh
Rude, kerana tingkas Rude, tidak sewajarnya sebagai rakyat kau tidak mengenang
budi kepada kerajaan. Jika sudah terkawal sesuatu ekonomi itu maka terbuktilah
sistem itu masih baik dan mampu menjaga hak rakyat.
Rude
membidas lagi kepada Tocqueville bahawasanya golongan petani banyak yang
menerima bala daripada kemelesetan ekonomi. Bidas Rude, walaupun petani sudah
mempunyai tanah persendirian tetapi tanah yang diperoleh sangat kecil jikalau
musim menuai, tuaian yang diambil itu sendiri tidak mencukupi untuk ahli
keluarga petani itu sendiri. Bagi Rude, hujah Tocqueville tidak kukuh untuk
menggambarkan bahawa kestabilan ekonomi menyebabkan revolusi Perancis.
Rude
juga mengelaskan peringkat keruncingan ekonomi ini kepada dua peringkat iaitu
peringkat pertama sewaktu perang Kemerdekaan Amerika di mana Perancis telah
campur tangan pada tahun 1778. Apabila kemelesetan ekonomi berkelodak tuan
tanah dan juga pihak berkepentingan tetap mengekalkan cukai yang lama maka
masalah ekonomi ini terus menjadi punca utama kepada tercetusnya revolusi.
Peringkat kedua iaitu kekurangan bekalan makanan kerana hasil tuaian yang tidak
baik, malapetaka ini menyebabkan harga gandum meningkat secara mendadak.
Oleh
sebab masalah yang dihadapi oleh para petani ini telah membawa ke sektor
perindustrian. Pengangguran memuncak naik manakala pekerja yang bergaji kecil
perlu melakukan kerja lebih masa atau kerja sampingan untuk menampung belanja
membeli roti—bekalan makanan harian. Di sini saya ingin membawa kata-kata Rude
yang dirujuk daripada buku Qasim Ahmad:
“Petani dan tukang di bandar serta pekerja
telah disatukan oleh kebencian yang sama terhadap pemerintah, tuan tanah,
saudagar dan mereka yang melakukan spekulasi. Golongan [bawahan] ini menyertai
revolusi dalam keadaan kepapaan dan kesusahan yang kian meruncing dan bukannya
dalam keadaan ‘kemakmuran’ [yang kian bertambah].”
Namun
harus diingat bahawa Rude tidak menolak bahawa sememangnya ekonomi Perancis
pada waktu itu sedang meningkat naik dan beliau tidaklah menolak hujah
Tocqueville membabi buta tetapi memandang kepada aspek jurang perbezaan ekonomi
yang amat ketara di antara golongan petani yang miskin dan golongan borjuis.
Ini yang ditegaskan Rude bahawa Tocqueville tidak mengelih kepada isu itu.
Prolog kepada
Revolusi
Prolog
atau pembuka kepada revolusi disetujui sejarawan isu campur tangan Perancis
dalam Perang Kemerdekaan Amerika adalah isu yang penting. Mendasari
permasalahan ini, Raja Louis telah menghubungi golongan bangsawan menerusi Menteri
Kewangan.
Sebenarnya tindakan Raja Louis ini telah menampakkan ketempangan kepimpinan sendiri kerana beliau boleh meneruskan agenda itu tanpa perlu meminta kebenaran daripada golongan bangsawan.
Maka
daripada usul yang dihantar daripada Raja Louis kepada Menteri Kewangan itu
dipersetujui oleh golongan bangsawan tetapi mereka mengenakan beberapa syarat
penting untuk menjaga kepentingan kuasa mereka iaitu; mereka meminta untuk
lebih mengutamakan golongan bangsawan
iaitu Noblesse d’Eppe dalam
jawatan tinggi dalam kerajaan. Babak inilah dikatakan sebagai kebangkitan
golongan bangsawan iaitu golongan bangsawan itu sendiri sedar akan kepincangan
dalam politik monarki.
Golongan
bangsawan tidak sewenang-wenangnya untuk memberi hak kepada Raja Louis bagi mengutip
cukai daripada mereka kecuali perlu dilakukan sidang parlimen. Daripada sidang
parlimen inilah suara rakyat dikumpul dan dilihat sendiri bahawa rakyat mula
mengeluarkan bibit-bibit kebencian kepada Raja Louis—sistem ekonomi. Walaupun
begitu masih belum wujud pada waktu itu suara rakyat untuk bertindak
antimonarki tetapi harapan rakyat kebanyakan Raja Louis dapat mengubah masalah
ini secara drastik.
Masalah
mula timbul apabila pengundian dalam menetapkan pembayaran cukai, Estet Pertama
dan Estet Kedua lebih memonopoli persidangan parlimen. Maka jika Estet Pertama
dan Estet Kedua bersatu untuk sesuatu usul maka akan merumitkan kelompok Estet
Ketiga kerana undian dikira melalui suara Estet bukan suara majoriti semua ahli
parlimen. Tetapi setelah berlaku perubahan dalam perkembangan politik hari itu,
ahli perwakilan daripada Estet Ketiga telah ditambah sekali ganda dalam jumlah
dahulu. Walaupun begitu Estet Ketiga tetap juga tidak berpuas hati kerana
sistem ini lebih menekankan pengundian melalui blok.
Oleh
sebab itu dari perihal itulah, Estet Ketiga mula menunjukkan belang harimau
mereka dengan menubuhkan Dewan Kebangsaan, iaitu parlimen negara. Mereka telah
disekat oleh raja untuk memasuki persidangan jujukan daripada peristiwa itu,
mereka mula berkumpul di gelanggang tenis untuk mogok terhadap sistem yang
bobrok itu kerana setelah mereka menang secara adil tetapi masih disekat suara
mereka. Bahagian yang menarik adalah di mana mereka mula mengisytiharkan di
mana sahaja Dewan Kebangsaan berkumpul maka di situlah tempatnya mereka
bersidang.
Permulaan
kepada pemberontakan boleh dikatakan berpunca juga daripada peristiwa ini,
berjujukan dari ini setengah golongan paderi (clericals) mula menyokong golongan Estet Ketiga dan juga
didahulukan oleh Ketua Paderi. Ketakutan raja mula tampak jelas apabila raja
mula seperti ingin berkompromi dengan pihak Estet Ketiga—memujuk persatuan
Dewan Kebangsaan supaya mengekalkan perbezaan estet yang lain dan juga
mencadangkan untuk mengurangkan kuasa monarki sehingga menjadi monarki
berpelembagaan.
Segala
tawaran oleh Raja Louis ditolak mentah malah tiada sambutan dari rakyat
kebanyakan bukan itu sahaja, Estet Pertama dan Estet Kedua juga tidak
mengendahkan tawaran raja itu. Walaupun kedengaran mungkin tawaran raja itu
adalah impian golongan miskin dan kelas menengah tetapi kata sejarawan ini
menunjukkan tawaran raja itu sudah terlambat, telah tiba masanya untuk golongan
revolusioner ini menunjukkan tujuan sebenar mereka iaitu menjatuhkan kuasa raja
sepenuhnya.
Kejatuhan Bastille
Tempo
revolusi mula memarak dalam jiwa rakyat jelata maka di sini lah bermulanya
kejatuhan kuasa raja, Kejatuhan Bastille. Apabila Bastille mula di rampas
kuncinya dan ditawan oleh pihak pemberontak maka permulaan kepada kejatuhan
institusi raja jelas kelihatan. Daripada peristiwa ini juga kita dapat melihat
bahawa 7000 wanita berarak bersama Marquis de Lafayette dengan membawa gandum
dan roti serta Raja Louis bersama mereka. Pihak pemberontak juga telah meminta
raja untuk menyokong revolusi itu bersama mereka. Tidak dapat tidak itu yang
harus dilakukan oleh raja, jelas kelihatan bahawa raja sudah seperti kehilangan
suara dan kuasa politiknya.
Jujukan
dari itu juga, pihak Estet Pertama dan Estet Kedua yang tidak bersetuju dengan
pihak Estet Ketiga telah melarikan diri ke negara jiran dan dipanggil sebagai Emigres—mana pihak yang menyokong Emigres maka mereka juga dianggap
sebagai pengkhianat revolusi dan harus ditentang. Nyawa raja juga berada di
hujung tanduk, hanya menjadi lambang sebelum bertemu ajal beliau di Gilotin.
Tetapi tidak Ratu Marie Antoinette iaitu masih berkeras untuk melawan pihak
revolusi, malah mencadangkan kepada Raja Louis untuk menyamar sebagai pelayan
untuk cuba melarikan diri.
Ratu
Marie lebih terkenal dengan sikap borosnya yang melampau, juga sifatnya yang
langsung tidak disukai rakyat jelata juga seorang yang mandul tidak mampu
mengurniakan anak pun kepada Raja Louis. Tetapi Ratu Marie seorang yang sedikit
bijak dalam hubungan diplomatik, beliau rapat dengan pemimpin Austria malahan
menghantar surat kepada negara pemerintah Austria untuk membantu Perancis
mengembalikan kuasa Raja Louis kembali.
Apakah
simbol Bangunan Bastille?—Bastille lebih dikenali sebagai bangunan usang, di
sini banduan yang memberontak sebelum ini ditahan malahan bangunan tidaklah
dijaga dengan baik, hanya ada beberapa puluh orang tentera. Tetapi kejatuhan
bangunan ini daripada sudut politiknya adalah kejatuhan order lama dan
kelihatan rejim lama. Dengan kejatuhan Bastille ini juga pihak pemberontak
semakin bersemangat untuk meneruskan perjuangan ‘suci’ mereka ini. Pada hari
itu, menurut Salvemini; “Selepas 14 julai
1789, raja perancis adalah raja pada nama sahaja.”
Tuan
tanah diserang oleh golongan petani miskin dan tiada kutipan cukai dibuat lagi,
malahan daerah-daerah kecil di Perancis telah menyokong pihak revolusi dan
melantik jawatankuasa mereka sendiri, mereka juga punya tentera yang
tersendiri. Dalam proses menelurkan idea yang baharu untuk perjalanan revolusi,
rusuhan atau pemberontakan diutamakan terlebih dahulu—idea keamanan hanyalah
melalui revolusi. Di sini juga saya ingin membawa kritikan Edmund Burke, kata
Burke revolusi Perancis adalah satu gerakan pembaharu sistem yang tidak teratur
malahan membawa keburukan pada masa akan datang. Setelah rakyat
bertungkus-lumus melawan rejim yang lama akan muncul golongan tentera membaham
(baca; ambil alih) politik baharu itu.
Pencetusan
Revolusi
Persoalan
tentang pencetus ini banyak sejarawan berbeza pendapat dalam menentukan siapa
pembawa kepada tercetusnya revolusi—pihak rakyat bawahan, atau kelas menengah
borjuis atau kelas bangsawan yang mahukan hak keistimewaan daripada Raja Louis.
Maka sebelum kita membicarakan tentang kelompok pencetusnya, saya ingin
menyenaraikan beberapa sejarawan yang membahas perihal ini;
-
Alfred
Cobban
-
Elizabeth
Eisenstein
-
Lefebvre
-
Rude
Cobban
dan Eisenstein tidak bersetuju jika mengatakan bahawa revolusi Perancis adalah revolusi
para borjuis, walaupun ramai sejarawan menulis bahawa gerakan revolusi Perancis
lebih kepada gerakan revolusi yang memberi keuntungan kepada golongan borjuis.
Ini kerana bilang mereka, permulaan kepada spark
revolusi itu sendiri tidak dianggotai oleh golongan borjuis tetapi lebih kepada
hak para petani yang tertindas dan rakyat miskin. Ini kerana, ekonomi para
borjuis pada waktu itu sudah cukup stabil dan bertujuan untuk meningkatkan lagi
kekayaan ekonomi mereka ke tahap maksimum. Oleh sebab itu Cobban menegaskan
rakyat kelas bawahan yang miskin dan juga pegawai rendah kerajaan yang begitu
marah tidak dinaikkan pangkatlah yang mencetuskan revolusi.
Eisenstein
pula mengatakan bahawa golongan bangsawan yang menghasut rakyat jelata supaya
membenci dan membentuk satu gagasan antimonarki. Pada peringkat awal, borjuis
sendiri yang banyak mengikut dogma golongan bangsawan itu sehingga tercetusnya
revolusi Perancis. Ini kita dapat lihat dari sudut pembawa atau ketua kepada
gerakkan revolusi dipelopori oleh golongan bangsawan seperti Lafayette dan
Mirabeau.
Menurut
Lefebvre yang bercanggah pendapat dengan dua tokoh di atas pula; golongan yang
banyak mendapat keuntungan daripada revolusi adalah golongan borjuis. Malahan
beliau mengelaskan pegawai rendah dan golongan borjuis adalah satu kumpulan
yang tidak asing.
Metod ini dikenali sebagai kuantitatif dan berunsur impressionistic (penonjolan) iaitu mengira bilangan yang paling ramai dalam sesuatu gerakan itu sendiri. Buku yang dicadangkan penulis adalah The Crowd in the French Revolution ditulis oleh Rude.
Metod ini dikenali sebagai kuantitatif dan berunsur impressionistic (penonjolan) iaitu mengira bilangan yang paling ramai dalam sesuatu gerakan itu sendiri. Buku yang dicadangkan penulis adalah The Crowd in the French Revolution ditulis oleh Rude.
Rude
seangkatan yang bersetuju dengan hujah Cobban malahan mencemuh beberapa tokoh
seperti Taine dan Burke kerana mengatakan revolusi Perancis adalah sebuah
revolusi yang tidak keruan—tiada halatuju yang jelas. Daripada sumber yang
dikumpul oleh Rude daripada rekod polis, mahkamah dan Jawatankuasa
Kesejahteraan Awam—peniaga kecil, ahli pertukangan, buruh dan rakyat miskin
kota yang banyak berjasa dalam mencetuskan revolusi itu. Malahan mereka diberi
gelaran sebagai sans-culottes iaitu
pemimpin revolusioner yang bergiat aktif malahan kedudukan sosial mereka lebih
tinggi dari golongan yang lain.
Satu
lagi masalah dalam pengkajian tentang revolusi Perancis adalah mengatakan
golongan minoriti yang telah membawa arus revolusi ini manakala golongan
majoriti adalah masyarakat yang tidak cergas atau aktif dalam pembentukan
pra-revolusi. Sedangkan menurut Rude hujah sebegitu hanyalah berlandaskan
andaian seperti yang dijelaskan di atas iaitu punya unsur impressionistic, berbeza dengan hujah Rude dalam bukunya yang
membawa data yang lebih konkrit berbanding sejarawan yang mengkritik revolusi
Perancis seperti Taine dan Burke.
Kita
harus faham, di mana-mana sahaja gerakkan revolusi semestinya pada akhirnya
revolusi sesuatu tompok kuasa perlu diserahkan kepada golongan minoriti untuk
membawa satu gagasan politik yang lebih baru. Ini tidak dinafikan dalam sistem
politik hari ini. Oleh sebab itu ramai sejarawan yang bersetuju dengan Rude
menyelar setengah hujah sejarawan yang mengatakan bahawa revolusi Perancis
dipimpin oleh golongan minoriti sehingga mengabaikan gerakan massa yang jelas
terpampang dalam sejarah pembentukan Republik Robespierre.
Rumusan
Secara
ringkasnya dapatlah kita faham bahawa revolusi Perancis itu sendiri mempunyai
banyak liku-likunya—sebelum berjalan sebuah revolusi itu, kita memerlukan satu
keadaaan di mana ekonomi berada di peringkat yang sangat runcing sehingga
menggugat rakyat jelata kebanyakan. Persoalan yang saya ingin lemparkan kepada
pendengar hari ini; Adakah Malaysia mampu mencapai seperti revolusi Perancis?
Izinkan saya menjawa—Tidak! Ini kerana kita masih jauh keterbelakangan dalam
membincang hak manusia, ekonomi, dan juga kita semua hari ini masih selesa.
Selesa
kerana punya kehidupan yang tidak lagi menggugat kedudukan kita sebagai
manusia. Bahkan saya sendiri merasakan kita sendiri bingung dengan definisi
revolusi dan reformasi yang menjadi perdebatan orang ramai. Umpama kita
membahas maksud sekular di Wikipedia bahasa Melayu sudah lagi tidak relevan.
Sekarang terma sekular sudah evolve
kepada beberapa maksud yang lebih jelas—punya hala tuju yang lebih tepat kepada
nilai kemanusiaan itu sendiri.
Apabila
kita mula menjengah kepada terma-terma jargon ini tidak dapat tidak kita harus
faham konteks pembincangan bukan main serkap jarang untuk mengelaskan maksud
mengikut kepala kita sendiri. Bersikap jujur dengan ilmu adalah penting dan
membawa hujah yang konkrit seperti yang ditonjolkan oleh Rude. Itulah cara yang
terbaik untuk kita membawa perubahan di Malaysia ini, dengan jujur kepada ilmu
kita sendiri.
Akhir
kata—saya akan cuba menyambung pembincangan revolusi Perancis bahagian dua pada
minggu hadapan (jika berkesempatan) pula. Kita akan melihat kepimpinan
kewujudan kelab politik seperti Jacobin, Girondin, dan Cordelier yang mula
mencetuskan isu-isu penting dalam hak kemanusiaan sewaktu pertengahan revolusi
Perancis. Selain itu pemerintahan Zaman Ganas, juga perlembagaan baru yang
telah dibentuk untuk golongan Gereja, serta perpecahan dan ancaman dalam
revolusi. Wallahualam.
Yang
Kacak—Abam Kacak!
:P tq
BalasPadam