Perjalanan Sebuah Revolusi Perancis;
Sebab dan Akibat (Part II)
by; Sadiq Jebat
Bahagian-II ini kita akan membicarakan
pasca-revolusi kejatuhan kuasa monarki di Perancis, seperti yang telah dijelaskan
pada minggu lepas— Perancis telah melalui beberapa peringkat tetapi peringkat
awalnya bermula pada tahun 1789 sewaktu ketirisan ekonomi Perancis akibat
daripada dua perkara yang telah dinyatakan sejarawan Rude. Dengan itu
kembalinya kita pada bahagian dua ini untuk mengetahui lebih dalam berkenaan
pasca-revolusi kejatuhan monarki. Pada bahagian ini kita akan membahaskan
beberapa sub-topik yang telah disenaraikan oleh saudara Qasim Ahmad iaitu
penulis buku Eropah Moden; Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan;-
Ø
Kelab-kelab
Politik dan Pengukuhan kepada Revolusi.
Ø
Perlembagaan
Sivil Gereja dan Ancaman terhadap Revolusi.
Ø
Perpecahan
Berterusan dan Kejatuhan Girondin.
Ø
Zaman
Ganas.
Ø
Kejatuhan
Robespierre.
Maka seperti biasa, nota ini telah saya ringkaskan
untuk kefahaman yang hadir pada hari ini malahan ada sedikit tokok tambah dalam
nota ini dari pengetahuan dan rujukan daripada buku-buku yang lain. Oleh sebab
itu, saya memohon kepada para hadirin yang hadir menjadikan nota ini sebagai
bahan bacaan jika punya kelapangan waktu. Sejujurnya saya menyeru kepada para
pendengar yang hadir pada hari ini untuk terus komited mempelajari sejarah
tidak mengira apa jua sejarah hatta sejarah orang asli sekalipun.
Kelab Politik
dan Pengukuhan kepada Revolusi.
Di Perancis punya banyak kelab-kelab politik yang
tumbuh bagai cendawan sewaktu pra-revolusi dan seperti yang kita tahu
semestinya sesuatu kelab itu dibawa oleh golongan minoriti berbanding golongan
majoriti. Sejarah sudah membuktikan bahawa golongan minoriti yang banyak
menempa kejayaan sejarah kerana golongan inilah yang sering memperlihatkan
kegigihan mereka untuk membawa perubahan dan mempunyai idea-idea melawan status quo; Malahan golongan ini akan
mendapat sokongan daripada golongan majoriti jika mereka sedar perlawanan yang
mereka buat itu kepada orang atau institusi yang patut ditentang. Maka golongan
majoriti adalah rakyat yang didorong oleh minoriti—digunakan atau tidak adalah
penceritaan sejarah kemudiannya tetapi menurut kebiasaan golongan majoriti yang
menyokong kuat golongan minoriti untuk terus berkuasa.
Pengenalan kepada kelab politik ini saya mulakan
dengan kelab yang berpengaruh iaitu kelab Jacobin. Kelab ini sangat dikenali
jika anda mengkaji sejarah revolusi. Ini kerana kelab ini yang berjaya
memerintah setelah jatuhnya kuasa monarki malahan pada pra-revolusi banyak
persatuan kecil yang turut serta dalam perjuangan Kelab Jacobin. Selain itu
juga, Kelab Jacobin dikenali juga sebagai Kelab Breton ini berdasarkan kajian
temporari mengatakan bahawa kelab itu pada awalnya disertai oleh ramai dari
satu kawasan namanya Breton. Tetapi kelab ini telah dibubarkan pada Oktober
1789 setelah tamat kebangkitan melawan raja.
Tetapi ahli kelab itu tidak berdiam diri—masih ramai
dalam kalangan mereka ingin mewujudkan tatanan baru dan mereka telah membentuk
satu kelab baru iaitu Kelab Jacobin. Nama Jacobin diambil daripada satu biara
terbiar iaitu di Paris. Malahan kelab ini disertai 100 orang ahli, apabila
diadakan mesyuarat penting Kelab ini akan dihadiri oleh 1000 orang ahli dan
2000 orang pemerhati. Pemilihan ahli dalam kelab ini hanya untuk warga yang
“aktif” dan orang ramai dilarang menghadiri perjumpaan kelab itu.
Jujukan daripada perkara itu, Marat seorang ahli
Kelab Cordelier telah mengkritik keras Kelab Jacobin ini; “Apakah yang diharap daripada perhimpunan orang bebal ini, yang
mengidamkan persamaan, berbangga dengan amalan persaudaraan dan menyingkirkan
golongan miskin, yang mereka, walau bagaimanapun mengisytiharkan sebagai orang
bebas?”—kritikan keras ini dibuat oleh Marat kerana melihat kebobrokan
sistem dalaman kelab itu. Kelab Cordelier ini pula didukung oleh beberapa orang
tokoh iaitu Danton, Demoulins, Herbert dan Clootz.
Melihat kepada perbezaan kedua kelab ini, Kelab
Cordelier lebih merakyat dan menumpukan kepada semua kelompok masyarakat
berbanding Kelab Jacobin. Kelab ini boleh dihadiri oleh semua kelompok
masyarakat apabila ada satu-satu mesyuarat yang diadakan tidak mengira
kedudukan dan darjat. Hatta begitu, di Perancis tidak terhad kepada dua kelab
ini sahaja. Wujud banyak lagi persatuan lain yang juga turut memperjuangkan
hak-hak manusia seperti:
§
PPLW
(Persaudaraan Lelaki dan Wanita)
§
PGM
(Golongan Miskin)
§
PK
(Kebebasan)
§
PPD
(Pemusuh Despotisme)
§
PPU
(Pecinta Undang-undang)
§
PSK
(Sahabat Kebenaran)
Tetapi sayangnya, persatuan ini tidak kekal lama
atas kaki sendiri kecuali bergabung dengan kelab Cordelier atas satu nama.
Dengan gabungan kelab inilah Kelab Cordelier dilihat menjadi pesaing kepada
Kelab Jacobin. Gerak kerja mereka adalah untuk menyedarkan rakyat dengan
falsafah dan revolusi melalui akhbar-akhbar dan juga komen mereka secara
terbuka. Dengan cara ini golongan pekerja lebih tertarik untuk menyertai Kelab
dan berjuang bersama-sama mereka dalam gerakan revolusi.
Persatuan Politik mula ditubuhkan pada Jun 1789
iaitu sebuah persatuan yang mula menerobos ruang kerajaan untuk membentuk
sebuah gerak kerja yang lebih praktikal. Persatuan ini kebanyakan telah
bergabung bersama Kelab Jacobin dan pada Ogos 1789 Kelab Jacobin telah mencatat
gabungan meningkat kepada 152 manakala meningkat pula kepada 227 pada Mac 1791.
1000 persatuan mula bergabung dengan Kelab Jacobin pada kejatuhan monarki pada
tahun September 1792. Persatuan ini dilihat telah tumbuh secara spontan di
kawasan desa kecil dan bandar malahan cawangannya mula diluaskan ke seluruh
negara untuk menjayakan lagi gerakan revolusi itu.
Pertumbuhan ini dilihat seiring dengan perkembangan
institusi pentadbiran yang baru dengan wujudnya undang-undang baharu pada awal
revolusi. Kelab Jacobin yang dilihat telah banyak melakukan kerja untuk rakyat
Perancis menyebabkan kepercayaan rakyat mula meletak sepenuhnya hak mandat kepada
Kelab Jacobin untuk terus memegang tompok pemerintahan. Kelab Jacobin dilihat
sebagai satu kubu yang boleh menangkis pengembalian semula feudalisme ke
Perancis. Tokoh yang nampak menyerlah dalam kelab ini adalah Robespierre, Saint
Just dan sekutunya. Kemusnahan pemerintahan Robespierre akan saya bawa ke
sub-topik selepas ini—faktor kejatuhan Robespierre kerana dilihat rakyat
sebagai lebih berbahaya daripada feudalisme itu sendiri.
Setelah revolusi mencapai satu titik di mana
memerlukan kekuatannya maka di situ mulalah berlaku pemaksaan kepada Raja
Louis—raja terpaksa sahkan sokongan beliau kepada pihak revolusioner pada 23
Jun 1789 sewaktu pertukaran kuasa negara di Versailles di Paris. Dewan
kebangsaan juga telah ditukar kepada Dewan Perlembagaan ini menunjukkan kuasa
kerajaan dikawal sepenuhnya oleh parlimen. Tidak cukup dengan itu,
undang-undang baharu mula digubal—contohnya adalah wujud Perisytiharan Hak-Hak
Manusia dan Warganegara (Lihat Lampiran).
Pada 4 Ogos 1789 pihak bangsawan yang bersetuju untuk
kekal dalam Kelab Jacobin dan menyokong revolusi harus menghapuskan Hak-Hak
Istimewa mereka bertujuan untuk menyamakan darjat dan pangkat di setiap kelas
masyarakat dan membuang pemerintahan order lama dalam mewujudkan order baharu.
Penghapusan darjat dan gelaran itu digantikan dengan gelaran yang baru iaitu citoyen, gelaran ini untuk semua
kelompok masyarakat. Daripada sudut ekonominya pula Perancis mula menerapkan
ekonomi bebas—rakyat digalakkan untuk berniaga secara kecil-kecilan dan
persaingan sangat dipupuk dalam jiwa peniaga kecil.
Dengan itu kuasa Dewan Perlembagaan lebih dipercayai
rakyat bahawa mereka mampu membawa satu perubahan di Perancis dan yakin dengan
pemerintahan itu. Walaupun begitu penghapusan hak istimewa feudal itu bukanlah
cadangan daripada Dewan Perlembagaan tetapi mengikut kepada suara para petani
yang sudah juak dengan darjat dan cukai yang tidak memberi kebaikan kepada
golongan mereka. Begitu juga berlaku kepada cukai kutipan oleh Gereja,
dihapuskan oleh suara para petani bahkan mereka sendiri yang mengambil tindakan
untuk menghapuskan perkara ini. Sejarawan Palmer menyatakan Dewan Perlembagaan
telah mengesahkan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Perlembagaan
Sivil Gereja dan Ancaman terhadap Revolusi.
Perlembagaan Sivil Gereja dibentuk atas dasar-dasar
untuk menguatkan lagi kuasa pemerintah baharu termasuk juga desakan daripada
rakyat yang melihat pihak gereja mula berkomplot dengan golongan raja dalam
menjaga status quo. Pada waktu
revolusi masih berjalan, kuasa-kuasa penting yang mendukung monarki telah
banyak dijatuhkan—dimulakan dengan pembahagian estet iaitu Estet Pertama, Estet
Kedua dan Estet Ketiga. Penghapusan Estet ini diganti dengan Dewan Kebangsaan
dan ditukar kepada Dewan Perlembagaan pada 23 Jun 1789 setelah raja bersetuju
untuk menyokong gerakan revolusi.
Tempat yang menjadi tumpuan utama para revolusi
setelah hilangnya kuasa raja adalah institusi gereja kerana hartanya dinyatakan
mencapai hutang negara. Segala harta gereja telah dirampas dan institusi itu
telah dirombak kembali kepada Perlembagaan Sivil Gereja pada 12 Julai 1790.
Langkah anti-Gereja juga memainkan peranan penting untuk mendidihkan kemarahan
rakyat dan membuka segala kebobrokan institusi itu. Tetapi jelas tampak langkah
itu telah memecahkan hierarki Gereja yang cukup bertahan lama justeru
memecahkan masyarakat Perancis secara amnya mengikut yang pro-contra.
Pemecahan ini dimulakan dengan perlantikan Biskop
oleh pilihan raya, malahan golongan itu diberi gaji seperti rakyat-rakyat biasa
yang bekerja. Gaji mereka tidak lagi dikawal oleh Institusi Gereja tetapi di
selenggarakan oleh pihak kerajaan pada waktu itu. Selain itu pemecahan ini juga
boleh dilihat daripada angkat sumpah taat setia biskop terhadap pemerintah. Ini
berbeza pada zaman monarki iaitu raja mengangkat sumpah untuk menjaga kuasa
gereja. Malahan sewaktu untuk pilihan raya, pemilihan biskop yang bertanding
adalah dipilih oleh pihak kerajaan sendiri.
Kerajaan mula mengeluarkan dekri iaitu kepada paderi
dan biskop yang taat setia kepada pemerintah dan revolusi digelar sebagai Ahli
Gereja Perlembagaan manakala yang ingkar digelar Ahli Gereja Ingkar. Malahan
yang ingkar akan menjadi buruan para revolusioner dan dikenakan hukuman yang
sangat berat. Walaupun kita sedia maklum pada waktu monarki raja juga
menggunakan pihak gereja untuk mengukuhkan kuasanya tetapi kuasa gereja
langsung tidak berkurang—malahan menunjukkan institusi itu lebih berkuasa
apabila raja bersumpah taat setia menjaga agama dan gereja.
Robespierre yang memerintah gerakan revolusi dan
negara pada waktu itu tidak berniat untuk menghapuskan Gereja tetapi meminta
(baca: memaksa) mereka menyokong revolusi. Perubahan ini sangat ketara sehingga
dapat kita melihat paderi dan biskop harus makan gaji seperti rakyat biasa tidak
seperti pada zaman monarki. Pemisahan (Sekularisme) agama dan politik
dinyatakan Qasim Ahmad bermula di sini iaitu institusi gereja tidak lagi akan
campur tangan dalam politik kecuali menjadi tempat rujukan untuk hal-hal agama.
Jujukan daripada isu ini, wujud ancaman terhadap
revolusi—golongan émigrés yang
meninggalkan Perancis atas sebab ingin meminta pertolongan negara luar yang
mana telah dibantu oleh Maharaja Austria dan Raja Prusia. Mereka ingin melihat
‘tamadun’ monarki Perancis tertegak kembali dengan membantu Raja Louis untuk
mendapatkan tompok pemerintahannya kembali. Atas sebab inilah revolusioner
telah mengisytiharkan satu dekri kepada rakyatnya supaya tidak menyokong
golongan émigrés jika didapati akan
dihukum di gilotin. Syak wasangka berlaku di kalangan revolusioner dan raja.
Sikap raja yang talam dua muka telah mencetus
kemarahan di kalangan rakyat yang membenci sistem monarki. Daripada situlah
raja benar-benar seperti telur di hujung tanduk. Sikap acuh tak acuh raja dalam
menyokong revolusi telah memburukkan lagi keadaan beliau dan ahli keluarganya.
Raja yang tidak mengendahkan Perlembagaan Sivil Gereja telah meminta nasihat
agama daripada paderi yang menolak perlembagaan itu malahan peristiwa raja dan
ratu melarikan diri telah dianggap sebagai pemberontak oleh pihak revolusioner.
Walaupun begitu Raja Louis dan Ratu Mary Antoinette telah ditangkap kerana
dikesan telah menyamar malahan beliau dilihat mempunyai bibit-bibit untuk
mengambil Perancis dengan bantuan Maharaja Austria.
Percubaan melarikan diri oleh raja itu didorong juga
oleh rasa hilang kuasa mutlak beliau dan perasaan yang serba salah, disebabkan
perkara itu wujud satu parti yang melawan terus monarki dan tanpa bicara
meminta supaya pemerintah mewujudkan negara republik tanpa mempedulikan monarki
dan raja. Keberangan penyokong parti telah mendidih ke tahap yang tidak dapat
dibendung lagi sehingga mereka berkumpul di Champ de Mars pada 17 Julai
1791—pertumpahan nyawa telah berlaku seramai 50 orang maut disebabkan
peperangan berlaku antara puak pemisah dan Pengawal Kebangsaan.
Jujukan dari itu, raja telah diawasi dengan lebih
ketat dan kediamannya dipindahkan dari Versailles ke Paris. Kelab Jacobin juga
telah terbahagi kepada dua kelompok iaitu Kelab Jacobin yang memperjuangkan
republik manakala Feuillant yang menentang revolusi dan ingin monarki
memerintah kembali. Berita raja yang cuba melarikan diri telah sampai kepada
negara monarki di Eropah, Maharaja Austria dan Raja Prusia telah mengambil
tindakan mengejut atas tragedi itu dan mula membuat Perisytiharan Pillnitz iaitu
ingin menjatuhkan revolusi di Perancis. Mereka (Raja-raja) telah membuat
mesyuarat untuk menyerang balas revolusi dan merancang untuk mengembalikan
kuasa Raja Louis.
Tetapi masalah apabila England menolak pelawaan itu,
malahan Prussia sendiri telah menarik kembali rancangan kerana melihat Raja
Louis yang bersikap acuh tak acuh dengan revolusi. Ini akan merugikan Raja
Prussia dan rakyatnya jika Raja Louis menyokong revolusi—disebabkan itu Ratu
Mary menyatakan Raja Louis telah dikhianati oleh rakannya sendiri. Prussia
menolak atas beberapa sebab iaitu menjaga kepentingan, melihat kepada sikap
acuh tak acuh raja terhadap revolusi dan kebarangkalian berlaku kekalahan di
tangan pendukung revolusi.
Perpecahan
Berterusan dan Kejatuhan Girondin
Perpecahan ini bermula di Champ de Mars kerana wujud
rakyat yang melihat raja sudah melanggar sumpah taat setia kepada gerakkan
revolusi. Oleh sebab itu mereka terus menolak raja secara total—raja dan ahli
keluarganya harus dihukum di gilotin tetapi ditangguhkan perkara itu kerana
Perancis masih di peringkat yang belum stabil atas sebab asakan daripada luar
dan dalaman yang masih wujud berwajah monarki. Golongan yang radikal terus
mengasak Kelab Jacobin mengambil tindakan ke atas kecurangan raja dengan janji
yang telah dimeterai (secara paksa) beliau sendiri.
Perpecahan tidak berlaku setakat itu sahaja, malahan
golongan bawahan menuduh golongan menengah sebagai “feudal baru” yang muncul
untuk berkuasa mutlak menggantikan kuasa raja. Tetapi ketegangan itu dapat
ditangkis oleh golongan kelas menengah walaupun mereka ini juga ditentang oleh
pihak penyokong monarki. Diibaratkan golongan borjua adalah golongan penengah
yang menjadi pengaman antara kelas bawahan dan kelas atasan sedangkan mereka
bercadang untuk mengaut keuntungan daripada revolusi Perancis itu sendiri. Ini
dapat dilihat apabila golongan menengah ini (borjua) telah memegang tompok
kuasa kerajaan Perancis—ditetapkan rakyat yang dibenarkan mengundi adalah
daripada warga aktif sahaja dan mereka yang warga pasif dilarang mengundi.
Bahkan bukan itu sahaja, warga aktif ini pula adalah golongan yang membayar
cukai yang telah ditetapkan kerajaan.
Dianggarkan 3/23 juta rakyat adalah pengundi kepada
pembentukan kerajaan baharu manakala yang lain adalah warga pasif sekadar
menjadi pemerhati tentang pembentukan order baru. Tetapi Robespierre meminta
agar semua rakyat dapat mengundi tanpa mengira Warganegara Aktif atau Pasif.
Sebelum Robespierre menyuarakan pandangan beliau itu—golongan yang mewakili
Estet Ketiga adalah daripada golongan borjua, maka tidak hairanlah gerakan
Dewan Kebangsaan itu dikawal oleh golongan yang punya kepentingan dalaman dari
kejatuhan monarki.
Menurut Qasim Ahmad lagi, harta seperti tanah yang
dirampas daripada pihak Gereja telah dilelong—sudah terang lagi bersuluh
golongan yang mempunyai kewangan yang stabil adalah borjua. Maka daripada
situlah mereka mula memegang tanah-tanah yang dilelong dan membentuk ekonomi
bebas yang dapat menguntungkan golongan mereka. Golongan miskin dan para petani
seperti keluar daripada mulut naga masuk ke dalam mulut harimau. Kejatuhan
monarki hanyalah perubahan sistem pemerintahan dan perundangan bukanlah
perubahan sistem ekonomi secara total. Disebabkan perkara inilah perpecahan
dalaman terus berlaku.
Perpecahan yang paling ketara dalam sejarah revolusi
Perancis adalah perpecahan antara golongan Girondin dengan golongan Jacobin.
Sebelum ini kita kenali Dewan Kebangsaan setelah Estet Ketiga memenangi suara
majoriti, ditukar pula kepada Dewan Perlembagaan kerana raja telah bersetuju
untuk menyokong gerakan revolusi dan bersama-sama dalam memperjuangkan revolusi
ke seluruh Perancis dan pelosok Eropah. Dewan Perlembagaan ditukar kepada Dewan
Perundangan setelah bersidang parlimen pada 1 Oktober 1791. Sewaktu persidangan
parlimen itulah golongan Girondin dan Jacobin mula membuat gabungan secara
bersama. Selain itu eksis satu lagi golongan iaitu Kumpulan Dataran yang
menduduki tempat rendah di dalam dewan.
Dasar perang dilaksanakan oleh golongan Girondin
sewaktu mereka menjadi golongan majoriti di dewan. Dasar ini bagi menentukan
kekuasaan revolusi terus berjalan dan mematahkan serangan daripada émigrés yang telah mengasak Perancis
menyerahkan kuasanya kembali kepada raja. Raja berharap dengan dasar perang ini
maka beliau dapat memerintah kembali kerana fikirnya, akan berlaku campur
tangan dari negara-negara Eropah yang lain. Kaum peniaga pula bersetuju dengan
dasar itu kerana menguntungkan mereka—mudah untuk mereka menyediakan
bahan-bahan kepada askar secara pukal.
Robespierre menentang keras dasar Girondin ini
kerana beliau mengatakan negara luar takkan mengancam revolusi Perancis selagi
mana Perancis tidak mengambil tindakan drastik untuk menyerang mereka.
Robespierre percaya revolusi boleh disemarakkan dengan cara yang lebih aman
iaitu dengan pengukuhan kepada negara dari penguasaan Dewan Perundangan. Adakah
ini bermakna Robespierre ingin memegang kuasa Perancis secara diktator hatta
beliau mengatakan dengan dasar perang itu kediktatoran akan wujud. Robespierre
hilang kuasanya kerana rakyat masih berkobar-kobar dengan semangat revolusi
itu, dan dasar perang ini dipersetujui secara suara majoriti.
Tetapi dasar perang itu tidak bertahan lama, dek
kegagalan dasar itulah Robespierre telah menujukkan taring garangnya kembali.
Dari situlah permulaan kepada tercetusnya zaman ganas setelah jatuhnya
Girondin. Perancis mengalami kekalahan demi kekalahan maka rakyat melihat dasar
perang sudah tidak berkesan lagi dan bayaran kepada itu adalah nyawa rakyat
Perancis termasuk kemerosotan ekonomi ke tahap yang sangat bobrok. Maka
Robespierre telah mula memasang peluangnya untuk mendobrak kembali kuasa Dewan
Perundangan dengan menjatuhkan Girondin dan meletakkan kebencian dalam jiwa
rakyat kebanyakan. Golongan Girondin sudah hilang arah tujuan apabila tentera
Austria dan Prussia mara ke sempadan Perancis—mengugut agar Paris menyerah
kalah kepada raja jika mahu selamat, pada awal bulan Ogos 1792 manifesto
Brunswick telah dikeluarkan.
Rakyat yang telah terasa tergugat meminta kuasa raja
dihapuskan terus kerana sewaktu undang-undang baru digubal raja dan menteri
memansuhkannya. Walaupun kuasa mutlak raja sudah dirampas tetapi raja diberi
hak sebagai seorang “raja” untuk memansuhkan atau tidak. Tetapi pemansuhan
undang-undang yang menyebelahi rakyat kebanyakan dianggap sebagai mencemari
gerakan revolusi, maka jelas, tampak raja ingin memberontak dan bertindak
curang dengan janjinya sendiri. Golongan Girondin yang sudah buntu mula
menyebelahi raja dan menteri kerana bimbang dengan kebangkitan sans-culottes. Kediaman raja di
Tuileries telah diserang dan lebih seribu nyawa maut dalam serangan itu. Pada
waktu itulah raja diturunkan dari takhta sebagai raja Perancis.
Pada 2 September 1792 itu adalah peristiwa yang
tidak dapat dilupakan, serangan daripada tentera Prussia dan Austria telah
mengorbankan ramai nyawa rakyat— orang awam yang berada di jalan raya juga
dibunuh dengan begitu kejam sekali. Pada bulan Ogos 1792 Dewan Perundangan
telah ditukar kepada Perhimpunan Kebangsaan dan ahlinya sebanyak 780 orang
manakala rata-ratanya adalah golongan kelas menengah justeru ramai Ahli
Perhimpunan Perlembagaan adalah daripada Kumpulan Dataran walaupun sedikit
sebanyak daripada Kelab Jacobin dan Girondin turut menyertai Perhimpunan
Kebangsaan. Persidangan dimulakan pada 20 September 1792 secara kebetulan pada
tarikh itu tentera Perancis mendapat kemenangan yang pertama di Valmy maka usul
Collot d’Herbous iaitu suatu usul memansuhkan sistem monarki telah lulus dengan
mudah maka pada hari itulah disambutnya tahun baru untuk pendukung republik.
Pada hari itu juga diisytiharkan Tahun Pertama Republik.
Raja Louis telah dibicarakan setelah kuasa kerajaan
semakin utuh dan beliau dijatuhkan hukuman pancung pada bulan Januari tahun
yang berikutnya. Malahan keputusan untuk menghukum raja dicapai secara undi
majoriti manakala pihak Girondin mula merasakan mereka harus melaksanakan
sesuatu untuk menyekat hukuman itu kerana mereka masih memihak kepada raja.
Berbangkit daripada sikap puak Girondin yang seperti ingin membela raja telah
membuatkan sans-culottes meminta agar
Golongan Girondin disingkarkan daripada Perhimpunan Kebangsaan secara
serta-merta. Kejatuhan Girondin adalah satu kemenangan yang besar untuk Kelab
Jacobin.
Setelah memberontak agar puak Girondin disingkirkan
pihak Jacobin mula menegakkan cita-cita revolusi mengikut acuan mereka sendiri
tanpa ada campur tangan dari pihak yang ingin menjatuhkan pihak mereka.
Robespierre sendiri seperti menyokong tindakan sans-culottes itu apabila dia menyuarakan pendapatnya “Saya tidak dapat menyatakan kepada rakyat
sesuatu cara tertentu untuk keselamatan mereka”.
Zaman Ganas
Dengan tersingkirnya golongan Girondin maka kuasa
Perhimpunan Kebangsaan membuka jalan kepada pihak Jacobin. Seperti dihamparkan
karpet merah untuk mereka merangkul takhta sebagai penguasa Perhimpunan
Kebangsaan. Maka pertikaian Kelab Jacobin adalah dengan sans-culottes mereka bimbang jika puak itu tidak menerima Kelab
Jacobin sebagai penguasa baru mereka. Pertikaian ini kerana pihak pemerintah
bersikap secara praktikal tetapi golongan rakyat lebih bersifat idealistik;
ingin membawa revolusi ke seluruh Eropah. Pemerintah ingin menstabilkan
kedudukan mereka di tompok kekuasaan dan mengutamakan kesejahteraan umum
ekonomi. Sikap rakyat yang tidak sabar dengan penyebaran semangat revolusi
termasuk rakyat yang berani berlawanan berbanding pemerintah yang lemah dengan
daya usaha dan pandangan sempit politik.
Jika dilihat kumpulan Jacobin hanya kumpulan yang
kecil berbanding kumpulan Dataran dalam Perhimpunan Kebangsaan. Pemimpin mereka
yang terkenal adalah Robespierre semestinya dan Saint Just. Selama setahun
sehingga Jun 1793 mereka berusaha untuk menyingkirkan puak Girondin daripada
Perhimpunan Kebangsaan dan mereka berjaya! Oleh sebab itu, pihak Jacobin telah
dapat menguasai undi majoriti dalam Perhimpunan Kebangsaan untuk mengendalikan
kuasanya menerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Awam dan Mahkamah Revolusi. Badan
ini mempunyai kuasa yang luas dalam menentukan hidup mati seseorang.
Undang-undang barbarik telah mengorbankan lebih
ramai nyawa rakyat Perancis malahan siapa sahaja disyaki akan ditangkap tanpa
soal siasat. Peringkat revolusi ini dikenali sebagai Zaman Ganas iaitu tajuk
pembincangan yang utama kita hari ini. Menurut sejarawan Qasim Ahmad,
sememangnya zaman ganas ini sudah terbit pada zaman Girondin memegang tompok
kuasa majoriti sewaktu Dasar Perang diperkenalkan. Pada 25 Mac 1793 sudah
tertubuh satu badan kuasa iaitu Jawatankuasa Keselamatan Am di mana mereka
diperintahkan untuk menangkap dan mengesan mana-mana pemberontak atau
pengkhianat yang berada dalam Perancis sendiri.
Manakala Jawatankuasa Kesejahteraan Awam ditubuhkan
pada 6 April 1793 dan kedua-dua badan ini berfungsi untuk menerajui keamanan
orang awam—tetapi jika diteliti kedua-dua jawatankuasa inilah yang memerintah.
Dianggarkan 30 000 orang mati sewaktu pemerintahan oleh pihak Jacobin bermula
dari bulan April 1793 hingga Julai 1794. Kebanyakan mangsa yang dikesan adalah
rakyat biasa yang memberontak kerajaan. Menurut ahli sejarawan Palmer lagi
peratus bangsawan yang dipancung adalah 8% sahaja. sans-culottes yang dahulunya membuka peluang kepada Jacobin
sehingga menjatuhkan Girondin turut terkorban sama atas nama ‘undang-undang’.
Mereka tidak mempunyai suara atau wakil, kerana
mereka ini hanyalah rakyat kebanyakan yang bergerak secara anarki, dan mereka
meletakkan mandat itu kepada Kelab Jacobin untuk membela nasib mereka jika
berlaku apa-apa, tetapi seperti harapkan pagar—pagar makan padi. Mereka (baca: sans-culottes) menegaskan isu yang perlu
diselesaikan oleh pemerintah adalah isu gaji, harga barangan keperluan, gandum,
bantuan kepada golongan miskin, dan pembentukan tentera revolusioner perlu
dilaksanakan dengan segera supaya kekuatan revolusi itu terus utuh. Kebobrokan
terus berlaku dalam pimpinan Jacobin.
Ini jelas terpapar apabila wujud satu kumpulan yang
dinamakan Enrages diketuai oleh
Jacques Roux seorang Paderi dan Herbert iaitu seorang Peguam dan Tuan punya
akhbar juga Varlet. Mereka juga menuntut apa yang dituntut oleh sans-culottes iaitu pembentukan tentera
revolusioner untuk menjadi barisan penjamin ini juga boleh memberi pekerjaan
kepada rakyat. Jelas pihak Jacobin tidak mempercayai tentang ekonomi tetapi
tetapi mereka sedar ekonomi bebas juga tidak berjalan dengan licin kerana
terdapat para penyorok barang oleh golongan borjua dan peniaga besar.
Malahan Saint Just sahabat baik kepada Robespierre
meminta beliau melihat kembali masalah
berkenaan Girondin dan meminta dibicarakan kembali agar mereka mendapat hak
mereka sebagai rakyat. Danton iaitu daripada Kelab Cordelier dan Jawatankuasa
Kesejahteraan Awam juga berpendirian yang sama dengan saranan Saint Just.
Tetapi nasib tidak menyebelahi Jacques Roux kerana beliau telah ditangkap
sewaktu rusuhan terhadap pendobi kain yang menaikkan harga tetapi kerajaan
tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pendobi itu. Ini menyebabkan
Robespierre berang dan meminta agar Kelab Jacobin memusuhi Roux.
Tetapi rusuhan itu tidak berhenti di situ sahaja,
laungan untuk penubuhan tentera revolusi terus dilaungkan dan pengenaan kepada
kawalan harga juga dilaungkan. Akhirnya Perhimpunan Kebangsaan harus tunduk
dengan desakan dan pada 11 September 1793 harga maksimum diisytiharkan bagi semua
bijirin yang digunakan untuk membuat roti seperti gandum. Pada 29 September kawalan
kadar gaji juga dikawal justeru kerajaan mula campur tangan dalam urusan
perniagaan. Ini menyebabkan kaum peniaga mencari jalan keluar dengan berniaga
di tempat lain termasuk luar negara untuk mendapatkan harga yang lebih baik.
Undang-undang Syak digubal pada 17 September 1793 di
mana undang-undang ini mentakrifkan mana-mana mereka yang disyaki mengkhianati
negara secara jelas atau kabur-kabur akan dipancung di Gilotin. Mereka yang
menjadi mangsa adalah Ratu Mary Antoinette (16 Oktober), Barnarvek (29 Oktober)
dan 21 orang ketua Girondin (31 Oktober). Bulan Oktober adalah bulan
penghapusan Girondin dan hancurnya perdamaian antara pihak Jacobon dan
Girondin. Perdamaian itu berakhir dengan kematian 21 orang ketua mereka dan
menyebabkan tiada lagi harapan untuk mereka memerintah bersama. Dikri 10
Oktober telah diumumkan iaitu semua rakyat boleh mengundi digantung hak mereka
sehingga pada tarikh yang ditentukan. Saint Just yang pada awalnya ingin
membela pihak Girondin telah bermain talam dua muka dengan mengatakan “bukan sahaja terdiri daripada pengkhianat
tetapi juga mereka yang bena tak bena… sesiapa yang bersikap ‘tidak apa’ di
dalam Republik” kata-kata ini jelas menuduh kepada pihak yang ingin melawan
kerajaan ‘Republik’ akan dipancung.
Bukan itu sahaja, Dikri 10 ini disusuli oleh
undang-undang yang lebih ketat iaitu Dikri Ventose 13 Mac 1794 dan
Undang-undang 22 Prairial pada 10 Jun 1793. Dikri Prairial menetapkan siapa
yang didapati mengkhianati harta pengkhianat akan dirampas oleh negara. Selain
itu Undang-undang 22 Prairial pula sesiapa sahaja yang dianggap mengkhianati
akan segera dibawa ke mahkamah dan dijatuhkan hukum tanpa ada saksi. Tindakan
anti-Kristian atau Gereja telah membawa kepada kematian golongan Paderi yang
ramai. Sehingga loceng-loceng Gereja dileburkan dan dijadikan barang lain.
ramai juga ahli Gereja mula berkahwin untuk mengelakkan diri daripada dikenakan
hukuman. Hanya paderi yang menolak perlembagaan akan dihukum.
Selain itu undang-undang sebelum ini iaitu kawalan
harga barang sudah tidak disambut baik oleh peniaga, maka Perhimpunan
Kebangsaan terpaksa bersetuju iaitu melonggarkan kembali peraturan ekonomi
sehingga penjualan lembu dan kambing boleh dibuat secara bebas tanpa kawalan
harga. Robespierre yang seperti berpihak kepada pihak peniaga telah menegaskan
sesiapa sahaja yang menenang perdagangan sebenarnya penentang revolusi itu
sendiri. Sehingga ramai rakyat merungut kerana dasar baru itu lebih
menguntungkan peniaga bukanlah rakyat kebanyakan. Perkara sebegini telah
menyebabkan bibit-bibit kebencian kepada Robespierre telah terbina secara
sedikit demi sedikit.
Sewaktu tindakan anti-Agama tersebar luas,
Robespierre mendiamkan diri kerana baginya agama masih diperlukan untuk
mengukuhkan kuasanya. Beliau bukanlah ingin membunuh terus agamawan atau
menghapuskan agama dari persekutuan tetapi meminta golongan agamawan menyokong
pemerintahan beliau. Malahan beliau juga menggesa Perhimpunan Kebangsaan supaya
memberi hak kebebasan beragama. Pemusatan kuasa Perancis ini tiada tolok
bandingnya di Eropah pada abad 18. Pemusatan ini termasuk pengukuhan sistem
birokrasi sehingga membantu golongan Jacobin untuk terus berkuasa dan mencapai
kemenangan di medan perang. Ribuan rakyat di daerah Lyon dan Nantes termasuk
pemberontak di Vandee mati dihukum bunuh dan penjara sesak dengan banduan.
Wabak penyakit juga menjadi-jadi.
Ketirisan ekonomi negara telah mencapai satu tahap
yang sangat genting. Jacques Roux yang ditangkap pada Jun 1793 telah
dibebaskan tetapi ditangkap kembali pada
September apabila dia membantah dasar ekonomi negara yang lebih menguntungkan
golongan peniaga (borjua) itu. Tetapi pada 10 Feb 1794 sebelum sempat
dibicarakan, dikatakan beliau telah mengambil tindakan drastik iaitu membunuh
diri di penjara. Malahan ahli Enrages
tidak lagi aktif melawan kerajaan, Varlet yang membantah tindakan kerajaan juga
telah ditangkap.
Selepas kejadian itu, khabar angin untuk Kelab
Cordelier memberontak telah diketahui oleh Kelab Jacobin sehingga kerajaan
terus menangkap beberapa orang pemimpin sans-culottes
iaitu Herbert, Ronsin, Vincent, Momora, Clootz, Proli, Destient Pereira,
Dubuisson dan 10 orang ahli. Setelah Jawatankuasa Kesejahteraan Awam menegaskan
pengkritik kerajaan adalah mereka yang menjadi tali barut kepada negara luar
maka di situ hukuman kepada pemimpin sans-culottes
telah dijatuhkan. Maka terbuktilah bahawa penggerak revolusi tidak lagi
didorong oleh rakyat tetapi telah berpindah kepada pemerintah. Pemindahan ini
seperti pemindahan kuasa dari bawah kepada yang atas. Maka terputuslah hubungan
baik antara sans-culottes dan Kelab
Jacobin.
Robespierre yang ingin dilihat tidak bersalah telah
menurunkan tandatangannya agar mengarahkan hukuman mati kepada Danton iaitu
dilihat sebagai pendukung pihak citra. Dengan
runtuhnya pihak ultra (Puak
Herbertis) dan citra (Dantonis) maka
Robespierre dilihat sebagai seorang pengaman dan penengah yang tidak menyokong
mana-mana pihak. Robespierre sendiri banyak berkomplot dengan Danton tetapi
beliau melihat Danton tidak ingin terlalu menekankan dasar ganas dalam
pemerintahan maka Danton harus dihapuskan. Robespierre akan membawa Perancis
kepada pemerintahan yang mengikut acuannya sendiri. Tatanan yang bakal dibina
adalah berasaskan cita-cita yang telah sekian lama diidamkan.
Hukuman mati terhadap Danton dan ahli Perhimpunan
Kebangsaan yang lain telah memeranjatkan pihak Perhimpunan Kebangsaan yang
lain. Mereka terus sedar akan mainan politik Kelab Jacobin yang ingin terus
berkuasa malahan alasan menjadi tali barut negara luar adalah alasan yang
digunakan sewenang-wenangnya tanpa usul periksa yang jelas. Mereka bimbang jika
mereka juga bakal mendepani nasib yang sama seperti yang telah berlalu pergi.
Faktor kejatuhan Robespierre terkait rapat juga dengan kematian Danton selama
113 hari Robespierre berada di kerusi takhtanya dalam masa 2 bulan sebelum
kejatuhannya hampir 25 00 orang telah dibunuh di gilotin. Rakyat melihat
Robespierre dan Jawatankuasa Kesejahteraan Awam seperti telah memonopoli urusan
kehakiman negara.
Kejatuhan
Robespierre.
Seperti yang telah kita bincangkan di sub-topik
Zaman Ganas, maka tibalah sub-topik akhir iaitu kejatuhan Robespierre
pemerintah yang berjiwa suci tetapi bertindak kejam. Kejatuhan beliau boleh
diterangkan dari beberapa sudut iaitu;



Rakan-rakannya yang menyokong belia percaya
undang-undang dan ‘agama’ baru itu dapat menjadi satu perkara yang memakmurkan
rakyat Perancis dan membawa rakyat ke arah yang lebih baik bukan lagi pada
zaman monarki yang terus mendikte rakyat tetapi pemandu ke arah pembentukan
negara yang hebat di persada Eropah. Ramai ahli sejarah yang mengutarakan
penilaian bersandarkan fahaman kiri atau sosialis seperti Mathiez dan Rude
iaitu interpretasi mereka lebih berlandaskan kepada kepercayaan tentang
kebaikan sistem ekonomi terkawal dan dasar prorakyat bawahan. Bagi Malthiez
yang pro-Robespierre pemerintahan Ganas perlu kerana republik sedang diancam
oleh musuh dari dalam dan luar.
Beliau menganggap sebegitu kerana menurut
Robespierre dan Saint Just menjaga gerakan revolusi itu sendiri. Manakala yang
menentang sans-culottes adalah Ahli
Jawatankuasa Awam dan Perhimpunan Kebangsaan bukanlah Robespierre dan Saint
Just. Ini kerana mereka tiada keinginan pun nak menjaga kepentingan rakyat
malahan melarang harta yang dirampas daripada kaum bangsawan kepada rakyat dan
tindakan untuk memiliknegarakan usaha pengedaran bahan makanan dan pengendalian
kilang-kilang. Walaupun begitu, Malthiez tetap mengkritik tindakan Robespierre
dan puak Jacobin bahawa mereka ini tidak mempunyai ideologi yang jelas untuk
merancang satu-satu gerakan itu dalam jangka masa yang panjang. Malthiez
melihat Kelab Jacobin tidak berjaya menghapuskan harta pemilikan pada awal
pemerintahannya iaitu seperti yang dibuat pada Revolusi Russia.
Dengan itu Malthiez melihat Robespierre dan pihak
Jacobin gagal membawa agenda mereka untuk revolusi Perancis sehingga mereka
pula dijatuhkan. Ini menunjukkan revolusi mereka hanya telur separuh masak atau
separuh jalan. Berbeza pendapat pula oleh Albert Soboul iaitu beliau menanggap
langkah-langkah ekonomi terkawal Jacobon hanya “suatu helah” dan “suatu pujuk
rayu” bagi mengaburi mata sans-culottes.
Perbezaan Robespierre dan sans-culottes
adalah daripada sudut memahami maksud demokrasi iaitu Robespierre wakil rakyat
itu adalah pemerintahan demokrasi manakala sans-culottes
pula adalah demokrasi rakyat. Menurut Soboul Robespierre menjadi punca utama
demokrasi rakyat secara total gagal sewaktu rakyat mahu membangun pada tahun
1793.
Selain kedua-dua tokoh sejarawan itu mari kita
telusur hujah Rude iaitu kejatuhan Robespierre kerana sudah tidak lagi
mempunyai sekutu revolusioner mereka iaitu sans-culottes.
Mereka bertiga tidak berbeza pendapat dalam menyokong ekonomi kawalan yang
dilaksanakan oleh Robespierre pada awalnya tetapi dalam beberapa perkara mereka
tetap bercanggah pendapat. Sebelum itu memang sudah banyak ahli sejarawan yang
telah mengutuk pelancaran revolusi itu seperti Burke dan Taine. Mereka
mengatakan revolusi itu bersifat lebih kejam malahan mereka menyokong terus
golongan feudal.
Tetapi janganlah kita pula keliru dengan mereka yang
menentang pemerintahan ganas Jacobin dan menyangkal kebaikan penghapusan harta
milik peribadi dengan mengatakan mereka menyokong feudalisme ini kerana mereka
punyai pandangan yang berbeza dari sudut pandang sejarah sendiri. Revolusi
Perancis adalah satu gerakan untuk membetulkan masalah yang telah jelas tetapi
dalam penyelesaian itu muncul satu masalah lain yang tidak terjangka. Di sini
bukanlah kita ingin bergaduh siapa lebih patriot dan siapa bukan patriot tetapi
menggali tujuan revolusi Perancis agar kita dapat belajar daripada sejarah.
Konflik sans-culottes
dengan kerajaan adalah perkara biasa menurut Palmer, kerana adalah
memeranjatkan jika tiada konflik antara kuasa rakyat dan kuasa memerintah. Oleh
sebab itu sebagai rakyat kita harus faham di mana kita harus pertahankan.
Adakah pihak kerajaan atau pihak rakyat, dan setiap pilihan kita itu adalah
tanggungjawab kita sendiri. Lagipun kita harus juga hargai revolusi Perancis
ini kerana kebaikan yang dibawa oleh mereka telah merapatkan jurang ekonomi dan
hak dalam berpolitik.
Jika dahulu sewaktu zaman monarki jurang ekonomi
rakyat berada dan tidak berada sangat jauh malahan kuasa raja dan kuasa hak
rakyat juga begitu besar. Maka revolusi adalah untuk merapatkan jurang ini
bukan bermaksud untuk menghapuskannya sama sekali jurang itu. Selain itu hak
politik kepada rakyat telah diberikan seperti yang tercatat dalam Perisytiharan
Hak-hak Manusia dan Warganegara. Bahkan pada masa itu hak ekonomi rakyat belum
begitu terjamin. Seperti yang telah kita bincangkan di atas sebentar tadi,
suara rakyat didengari, desakan sans-culottes
diambil serius oleh kerajaan.
Tetapi yang menjadi bobrok adalah kebebasan individu
terganggu dalam pemerintahan Jacobin dan Pemerintahan dasar Ganas. Inilah
kontradiksi yang jelas terpapar apabila sebuah kerajaan itu mula memimpin tidak
berlandaskan undang-undang yang mereka ciptakan sendiri iaitu menurut
Perisytiharan Hak-hak Manusia dan Warganegara menegaskan bahawa jika kerajaan
tidak melaksanakan amanah rakyat (kehendak umum) maka mereka boleh
memberontak—pemberontakan yang dibuat oleh sans-culottes
bersama pimpinan Kelab Cordelier telah dipatahkan oleh Saint Just. Sehingga dia
berkata bahawa kerajaan sudah dengan sendirinya merangkumi amanah rakyat
(kehendak umum). Maka di situ hak
memberontak telah dimansuhkan dengan sendirinya.
Rumusan.
Tuntasnya inilah pembincangan kita hari ini mengenai
Kejatuhan Robespierre, seperti yang telah dibincangkan banyak faktor-faktor
kejatuhan beliau yang dapat kita lihat. Walaupun kita sedia maklum tentang
pandangan ahli sejarawan yang membelanya mengenai sistem ekonomi kawalan yang
dilaksanakan Robespierre tetapi itu setelah didesak oleh golongan sans-culottes dan rakyat yang tertindas.
Apa yang dapat kita pelajari daripada bab 1 Eropah moden; Revolusi Perancis ini
adalah tindakan rakyat yang cuba mengubah kebobrokan sistem dan menggantikan
dengan sistem yang baharu. Tetapi kesilapannya jelas tampak apabila masalah
baru mula timbul kerana kesilapan memilih pemimpin.
Seperti yang telah dijangka Edmund Burke bahawa
kejatuhan monarki itu akan membawa kesan yang buruk kepada rakyat Perancis
sehingga beliau menggelar kepada golongan revolusi itu adalah gerakan yang
membawa kemusnahan, revolusioner yang tidak bertamadun. Tetapi kita harus
faham—revolusi Perancis telah membawa perubahan yang amat ketara sekali. Jurang
ekonomi dan kuasa politik dapat dirapatkan sewaktu revolusi berlangsung. Ini
adalah pencapaian yang kita harus kagumi. Selain itu berkenaan sistem ekonomi
bebas yang kita lihat lebih menguntungkan pihak peniaga dan borjua juga boleh
diambil iktibar.
Bukan bermakna di sini sistem ekonomi bebas (laissez- faire) tidak boleh diamalkan
tetapi tanpa ekonomi kawalan sistem itu menguntungkan pihak borjua. Selain itu
juga kita sendiri telah membincangkan tentang pembelian tanah yang dilelong,
sudah semestinya sesuatu revolusi itu berlaku atas sebab untuk rakyat
kebanyakan bukan kerana rakyat berkepentingan. Mungkin ada kritikan daripada
Karl Marx yang mengatakan revolusi Perancis adalah revolusi golongan borjua
tetapi esen pembawaan revolusi itu sendiri dimulakan oleh golongan para petani
dan gerakan sans-culottes harus
diakui.
Kita juga harus faham, Eropah melalui beberapa versi
sebelum mencapai Eropah yang sekarang, walaupun dikritik keras oleh setengah pendukung
agama mengatakan Eropah membawa nilai-nilai yang buruk apatah lagi kultur yang
tidak sepadan dengan Timur, tetapi seburuk-buruk Eropah itu laluan yang telah
dilalui mereka adalah bermacam-macam ragam. Sebelum melalui zaman gelap mereka
pernah mempunyai empayar yang sangat digeruni seperti Rom dan definisi zaman
gelap itu sendiri bukanlah bermakna ilmu mereka tidak bergerak, tetapi kerana
faktor golongan gereja lebih menguasai ruang ilmu itu sendiri.
Di sini saya ingin menegaskan bahawa jika ingin
membawa satu perubahan harus disertakan dengan ilmu. Supaya tidak di hijack oleh golongan yang punya
kepentingan. Salam kata~ bergerak dengan ilmu!
Yang Kacak~ Abam
Kacak!
Ulasan
Catat Ulasan