oleh: Hamka Mohamad
Tidak
banyak penerbit buku yang cuba mengangkat kembali karya-karya sasterawan negara
yang pernah menjulang hati rakyat suatu ketika dahulu. Tidak ada lagi penerbit
yang cuba mengembalikan sastera ke peringkat yang lebih tinggi martabatnya,
selain mengharapkan DBP yang kian hari kian lari dari landasan asal
matlamatnya. Tidak ada lagi penerbit yang cuba melaungkan karya-karya Usman
Awang, Keris Mas, Pak Sako, Arenawati, Samad Ahmad, Masuri S.N dan ramai lagi
karyawan negara suatu ketika dahulu yang berdiri teguh dalam arena sastera
negara. Mungkin ada, namun jumlahnya tidak banyak. Tertarik dengan Lejen Press,
yang jarang sekali aku membeli mahupun membaca karya penulisnya, namun kali
ini, Langit Petang yang berjaya diterbitkan mereka hasil nukilan A Samad Said
telah membawa aku satu pengharapan untuk aku melihat karya sastera tidak lagi
dilacurkan oleh sesetangah penerbit kini.
Tidak
seperti buku-buku puisinya, Pak Samad cuba merungkai dengan cara yang
tersendiri bagi mendalami hakikat sebuah kehidupan manusia yang tidak lain
tidak bukan hanya terletak dibawah langit nan luas terbentang. Membaca karya
ini seolah-olah memberi gambaran bahawa kehidupan ini adalah suatu yang amat
singkat untuk dibazirkan, malah manusia akan mudah lupa kaki yang mereka pijak
di tanah rata bumi ini punyai Tuan yang menciptakan. Begitulah perjalanan hidup
yang cuba diketengahkan Pak Samad, berbeza puisi-puisi dalam Di Atas Padang
Sejarah yang menceritakan pengalaman hidupnya melangkaui batas masa lampau
sejarah kemerdekaan dalam dirinya.
Langit
Petang menceritakan perjalanan hidup seorang pesakit Luekimia yang mahu tidak
mahu terpaksa menerima hakikat bahawa perjalanan hidupnya akan berakhir dan
begitu singkat untuknya bernafas di muka bumi ini lagi. Membaca karya ini
seolah-olah aku khayal dengan banyak bait-bait falsafah kehidupan yang telah
ditekankan oleh Sasterawan Negara ini. Tidak dilupakan juga watak utama yang
sangat mencintai dunia sastera telah mendorong perjalanan karya ini lebih menarik
dan santai untuk dibaca. Melalui penceritaan kehidupan watak utama (Hafiz), Pak
Samad cuba menghidupkan lagi pelbagai watak yang menjadikan pendorong Hafiz yang menghidap penyakit Luekimia ini
untuk terus mencari saki baki kehidupan yang tidak dapat dirungkai olehnya
sendiri. Hafiz yang mengetahui perjalanan hidupnya tidak lama, maka mengambil
keputusan untuk keluar melihat alam dan mentafsir sendiri hakikat sebuah
kehidupan, dengan cara menulis, mengembara, dan membaca pada bila-bila masa
sahaja. ‘Bukankah begitu banyak perkara
atau peristiwa yang masih tidak dimengerti manusia,’ kata Hafiz. ‘Bukankah itu
tugas setiap orang untuk mengkaji dan menafsirnya?’ Kisah hidup Hafiz juga
tidak lari oleh seorang wanita (Zakiah) yang menjadi pendamping semangat
hidupnya yang juga seorang pelacur yang ingin menuntut dendam lelaki. Namun,
setelah kematian Hafiz, banyak perubahan yang telah dilakukan oleh Zakiah yang
cuba diolah oleh Pak Samad untuk menunjukkan pada pembaca bahawa setiap manusia
tidak lari dari membuat kesilapan dan juga boleh berubah ke arah kebaikan.
Karya
ini begitu santai, hingga pembaca dapat menilai sendiri hakikat hidup ini
adalah seperti alam. Hidup ini adalah berpindah randah. Begitu juga yang
terjadi apabila Pak Samad menekankan soal alam yang telah dirosakkan oleh
tangan kaki manusia kini. ‘Memang manusia
sentiasa mengalahkan alam, Hafiz teringat semula. Manusia meruntuhkan bukit,
merebahkan hutan, mencemarkan sungai, tapi akhirnya manusia itu sendiri yang
kalah. Betapa pun, selain dari sesekali menjadi penghukum, alam sebenarnya
lebih banyak memberi nikmat kepada penghuninya -manusia’. Oleh kerana itu,
tangan-tangan manusia ini tidak dapat mengalahkan alam yang menghukum mereka
dengan banjir, gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya supaya setelah memberi
nikmat kepada penghuninya yakni manusia. ‘Manusia
dengan air yang diminumnya dan air yang akan ditelannya’. Faham?
Watak
yang menjadi pembakar semangat perjalanan Hafiz yang berpenyakit ini tidak lain
tidak bukan ialah Ariff, seorang pejuang kemerdekaan yang tidak langsung
dikenang atau tidak mahu dikenang langsung oleh negara. Namun, Ariff sendiri
tidak kisah soal itu lantaran ingin melihat tanah airnya kekal merdeka dan
aman, hingga tidak ada lagi pertumpahan darah seperti pernah dilaluinya ketika
rusuhan 13 Mei. Perjalanan hidup Ariff mungkin berbeza dengan anak muda seperti
Hafiz yang hidup ingin mengembara tika usia memberontak timbul dalam diri. ‘Betapa besar pun kita.. ya.. betapa besar
pun kita, jika kita tidak cukup-cukup bersatu, ingat, jika kita tidak
cukup-cukup bersatu, kita mudah ditentang orang’. Dari sini kita boleh
lihat latarbelakang seorang sasterawan yang hidup pada masa kemerdekaan tetap
tidak akan pernah putus untuk menulis perihal negaranya yang pernah dijajah suatu
ketika dahulu. Mungkin, Pak Samad ingin generasi seterusnya tetap teguh tidak
melupakan sejarah kemerdekaan yang menjadi titik tolak negara dalam keadaan
aman sekarang.
Aku
melihat karya ini lebih menekankan falsafah kehidupan yang aku sendiri pun tidak
pernah terfikir luasnya akal seorang sasterawan yang mengalami liku-liku hidup
yang resah dalam perjalanan nafasnya di muka bumi ini. Aku tidak membaca
Salina, Cinta Fansuri dan novel-novel Pak Samad yang lain, namun aku yakin dan
percaya, bahawa sepanjang perjalanan tulisanya ini adalah lahir dari kehidupan
sebenar yang dilalui oleh beliau suatu ketika dahulu. Adalah sangat berbeza
orang yang menulis untuk masyarakat, dan orang yang menulis untuk seni semata.
Maka, lahirlah jua konsep ‘seni untuk masyarakat’, bukan?
‘Manusia tidak terbentuk dari darah
dan dagingnya saja. Cita-cita itu juga inti manusia, sesuatu yang melandaskan
arah hidupnya. Mengapa mesti dipatahkan atau dipisahkan manusia dari
cita-citanya?’
Ulasan
Catat Ulasan