Langkau ke kandungan utama

FALSAFAT AGAMA HARUN NASUTION DAN PERSOALAN2 FUNDAMENTAL KETUHANAN (SIRI I)




Huraian yang terkandung dalam buku ini bukan sahaja ditujukan terutama untuk para mahasiswa di perguruan tinggi Islam, akan tetapi juga bermanfaat dan tidak sukar untuk difahami pembaca – pembaca di luar lingkungan perguruan tinggi.

Di Malaysia, kita masih sulit untuk berjumpa tokoh – tokoh agama, yang prolific, menghasilkan berkarya – karya, berbuku – buku, berjilid – jilid, sama ada topic yang ragam, atau topic – topic tertentu, yang khusus, tetapi terperinci dan mendalam. Sangat sulit. Yang banyaknya adalah travelog. Ini adalah kematian semangat beragama di zaman moden ini.

Kita bukan sahaja berdepan dengan kematian intelektualisme di Malaysia, bahkan keagamaan kita juga kontot, kaku, beku dan lesu, dan menurut sarjana Dr. Azhar Ibrahim, kita cenderung dengan keagamaan yang bermajlisan. Agama majlisan, yang menurut Dr. Azhar Ibrahim, yang gemar memperlihatkan sisi spectre of power and authority. Wacana – wacana agama di mana ceramah dari ulama’ dan ustaz selebriti menjadi tarikan dan mendapat sambutan besar, tetapi langka (baca: kering atau kurang) budaya ilmu itu sendiri. Tidak ada budaya Tanya dan jawab. Tidak ada kritik dan soal. 

Jika ada pun, pertanyaan – pertanyaan cliché dan disusuli jenaka – jenaka kosong. Dan yang pastinya, ustaz – ustaz selebriti hidup kaya raya, hasil kemiskinan marhaen yang mempercayai Tuhan. Kata Dr. Azhar, tiada upaya dialog dan pertukaran fikiran berlaku, tiada langsung suasana intelektualisme di mana teks kajian dapat dirujuk dan diperkenal, dengan kupasan idea dilanjuti, dan balik – balik, hanya perbahasan feqah yang sama, yang tidak membawa umat ke mana – mana. Tidak ada wacana baru. Titik. Noktah. Khalas. Jika anda banyak bertanya, nerakalah tempat yang selayaknya untuk anda.

Sebaliknya pada seorang Harun Nasution (selepas ini, Nasution shj), yang dilahirkan di Pematang Siantar, Sumatra Utara pada tanggal 23 September 1919. 

Bapanya, selain bekerja sebagai seorang pedagang, bapanya juga adalah seorang agamawan, antara ciri kekhasan seorang sarjana. Jangan tak tahu, bapa Nietzsche juga seorang agamawan Protestant Lutheran. Bahkan ibu Nasution juga, dari kalangan ulama’ yang berasal dari Mandailing, dan ibunya juga pernah bermukim di Mekah.

Akan tetapi, seperti Nietzsche juga, Nasution tidak terpenjara dalam ranah 
keagamaannya. Dia beranggapan, keagamaan yang diajarkan, terlalu dogmatis, literalis dan fatalis, sehingga Nasution dianggap sesat oleh orang tuanya dan untuk mengembalikan pemahaman Nasution sebagaimana mestinya maka orang tuanya mengirimkan Nasution ke Mekah untuk belajar agama. Nasution ketika kecil merasa tak pernah puas terhadap materi pelajaran yang pernah dia dapatkan, kerana sekolah tidak diberikan kesempatan untuk bertanya 'mengapa' sehingga dia merasakan pendidikan agama yang dia dapatkan sangat kaku.

Dalam naskhah setebal 110 ms lengkap indeks ini, Nasution memulakan dengan pengertian Falsafat Agama.

Apa itu Falsafat Agama?
Falsafat berasal dari kata Yunani yang tersusun dari dua kata: philein dalam erti cinta dan sophos dalam erti hikmah (wisdom).

Definisi falsafat bermacam – macam, tetapi dalam pada itu dapat dikatakan bahawa intisari falsafat ialah:
-         Berfikir menurut tata tertib (logika) dengan bebas (tidak terikat pada tradisi, dogma dan agama) dan dengan sedalam – dalamnya sehingga sampai ke dasar – dasar persoalan.

Dengan demikian falsafat agama mengandung erti:

Berfikir tentang dasar – dasar agama menurut logika dan bebas. Pemikiran yang dimaksudkan boleh terdiri dari dua bentuk:

a)    Membahas dasar – dasar agama secara analitis dan kritis tanpa terikat pada ajaran – ajaran agama dan tanpa ada tujuan untuk menyatakan kebenaran sesuatu agama.

b)    Membahas dasar – dasar agama secara analitis dan kritis dengan maksud untuk menyatakan kebenaran ajaran – ajaran agama, atau sekurang – kurangnya untuk menjelaskan bahawa apa yang diajarkan agama tidaklah mustahil dan tidak bertentangan dengan logika. Dalam pembahasan serupa ini orang masih terikat pada ajaran – ajaran agama.

Yang kebiasaannya dipakai dalam kuliah, dalam ceramah – ceramah, ialah falsafat agama dalam erti (b). *itu pun jika ada di Malaysia, yang membincangkan falsafat agama secara konsisten dan tidak merewang.

Dasar – dasar agama yang akan dibahas meliputi wahyu, pengiriman rasul dan nabi, ketuhanan, roh manusia, keabadian hidup, hubungan manusia dengan Tuhan (merdeka dari atau terikat pada kehendak Tuhan), soal kejahatan, soal hidup kedua sesudah hidup di dunia dan sebagainya.

Subjek – subjek yang disebutkan di atas, menurut Nasution, sebenarnya adalah pula hal yang dibahas theology. Tentu timbul pertanyaan apa pula perbezaan falsafat agama dengan theology?

1)   Falsafat agama tidak membahas dasar – dasar agama tertentu tetapi dasar – dasar agama pada umumnya. Theology membahas dasar – dasar agama tertentu, dengan demikian ada theology Islam, theology Kristian, theology Yahudi dan sebagainya.

2)   Falsafat agama, dalam erti (a) tidak terikat pada dasar – dasar agama; falsafat agama bermaksud menyatakan kebenaran atau ketidakbenaran dasar – dasar itu. Theology menerima kebenaran ajaran itu sebagai muktamad, final, tidak memikirkan lagi apa itu benar atau tidak, menurut Nasution. Theology hanya bermaksud memberikan penjelasan atau interpretasi tentang dasar – dasar itu.

Dalam bab tiga, Nasution membincangkan tentang pengetahuan agama. Bagi Nasution, pengetahuan – pengetahuan dalam bidang keagamaan, bukan melulu berdasar wahyu. Sepertimana halnya dengan pengetahuan dalam lapangan ilmiah, pengetahuan agama juga diperoleh dengan mempergunakan bukti – bukti sejarah, argument – argument rasional dan pengalaman peribadi.

Dalam bukti – bukti sejarah, Nasution mempertanyakan, bahawa dalam lapangan ilmu pengetahuan, pengetahuan tentang adanya Aristotle, Plato dan sebagainya dan pengetahuan tentang falsafat mereka masing – masing diperoleh dari buku – buku yang menurut keterangan adalah tulisan mereka. 

Apakah buktinya bahawa orang yang bernama Aristotle atau Plato betul dan benar ada di abad ke – 5 dan ke – 4 sebelum Nabi Isa? Dan apa buktinya bahawa buku – buku yang disebut itu adalah karangan mereka? Kerana ada tradisi turun temurun mulai dari sesudah matinya kedua filosof itu sampai ke masa kita ini yang mengatakan sedemikian dan belum ada suara yang menentang kebenaran tradisi ini. Demikian pula dalam agama. Pengetahuan tentang Buddha, tentang nabi – nabi seperti Musa, Isa dan Muhammad saw diperolehi dari tradisi. Tradisi ini diperkuat oleh bukti – bukti sejarah. Bukti – bukti sejarah yang dimaksudkan umpamanya seperti keterangan – keterangan penulis sejarah yang diakui keahlian dan dipercayai kebenaran huraiannya tentang peribadi – peribadi tersebut dan sejarah itu ditulis di zaman mereka masih hidup, atau tidak lama sesudah zaman mereka.

Dalam argument – argument rasional, Nasution berhujah pendek, bahawa agama juga mempergunakan argument – argument rasional dalam memperoleh pengetahuan – pengetahuan keagamaan, terutama tentang kewujudan Tuhan, kehidupan sesudah kehidupan sekarang dsbnya.

Hujah tentang pengalaman peribadi lebih mendalam, bahawa sekiranya ilmu pengetahuan mempergunakan eksperimen, juga dalam lapangan agama terdapat eksperimen yang merupakan pengalaman peribadi.

Seperti lapangan ilmu pengetahuan, yang mengadakan eksperimen atau pengalaman, di sana bukan semua orang tetapi hanya sejumlah orang ahli – ahli, dan pengalaman mereka ini mereka terangkan dalam karangan – karangan dan orang lain percaya kepada keterangan – keterangan mereka selama keterangan – keterangan itu tidak bertentangan dengan logika.

Huraian Nasution tentang konsep – konsep ketuhanan juga menarik sekalipun ringkas dalam beberapa muka surat sahaja untuk satu – satu konsep.

DEISM
Deism menurut Nasution berasal dari kata Latin deus yang bererti Tuhan. Menurut faham deism, Tuhan berada jauh di luar alam (transcendent) iaitu yang tidak dalam alam (tidak immanent). Tuhan menciptakan alam, dan sesudah alam diciptakanNya, Ia tidak memperhatikan alam lagi. Alam berjalan dengan peraturan – peraturan (sunnatullah) yang tidak berubah – ubah, peraturan – peraturan yang sesempurna – sempurnanya. Dalam faham deism, Tuhan dapat diumpamakan dengan tukang jam yang mahir semahir – mahirnya dan yang membuat sebaik – baik jam yang tak berhajat kepada perbaikan atau penyempurnaan; jam ini akan terus berjalan menurut mekanisme yang disusun tukang jam yang mahir itu.

Demikian pula alam dalam faham deism. Setelah diciptakan, alam tak berhajat lagi pada Tuhan dan berjalan menurut mekanisme yang telah diatur oleh Tuhan.

Kerana alam seluruhnya berjalan menurut mekanisme tertentu dan menurut peraturan – peraturan yang tak berubah – ubah, maka dalam deism tak terdapat faham mukjizat, dalam erti kata, sesuatu yang bertentangan dengan peraturan alam. Dan kerana alam berjalan menurut sunnatullah, yang tak berubah – ubah itu, dalam erti kata alam tak berhajat pada Tuhan lagi setelah ia diciptakan, maka Tuhan tak perlu turut campur lagi dalam soal alam ini. Kerana tak perlu turut campur itu, maka Tuhan tak ada dalam alam atau tidak dekat dengan alam, malahan jauh di luar alam. Antara alam dan Tuhan terdapat suatu jurang. Alam berada di satu pihak dan Tuhan berada di pihak yang lain. Alam tak berhajat pada Tuhan dan Tuhan tak perlu mengurus alam lagi. Alam tak berhajat pada Tuhan dan Tuhan tak perlu mengurus alam lagi. Oleh kerana itu dalam faham deism, doa tak ada gunanya. 

Segala sesuatu telah berjalan menurut peraturan – peraturan tertentu dan Tuhan tak turut campur lagi dalam soal alam.

Dalam faham deism, Tuhan hanya merupakan Pencipta alam dan sumber dari segala – galanya, dan bukan Pengatur atau Pengawas alam; alam tak perlu diatur atau diawasi lagi. Tuhan yang berada jauh dari alam ini, diumpamakan dengan ‘absentee landlord’, tuan tanah yang tak pernah ada di tanahnya.

Faham deism ini baru timbul pada abad ke – 17 dan berasal dari falsafat Newton (1642 – 1727) yang mengatakan bahawa Tuhan hanya Pencipta alam dan jika ada kerosakan baru alam perlu pada Tuhan untuk memperbaiki kerosakan yang timbul itu. Dengan bertambah majunya ilmu pengetahuan, bertambah jelaslah bahawa alam ini beredar menurut peraturan – peraturan atau hukum – hukum yang  universal dan tidak berubah – ubah. Dengan demikian, orang melihat bahawa perlunya Tuhan bagi alam yang dapat beredar dengan sendirinya menjadi kecil. Timbullah faham bahawa Tuhan hanya menciptakan alam dan kemudian meninggalkan alam beroperasi menurut hukum – hukum alam yang telah ditentukannya.

Menurut deism, pendapat akal mesti sesuai dengan wahyu, dan oleh kerana itu wahyu tak perlu dan manusia tak berhajat padanya. Akal dapat mengetahui apa yang baik dan yang buruk. Orang tak perlu berdoa dan meminta bantuan Tuhan untuk mengurus hidupnya di dunia ini.

Ada yang berpandangan, bahawa deism ini sama sahaja seperti kepercayaan – kepercayaan ketuhanan yang lain, bahkan mungkin lebih canggih, kerana tak perlu sembahyang lagi, tak perlu puasa, dan tak perlu apa – apa, sudah boleh mencapai kerohanian. Sebenarnya, menurut Nasution, faham deism yang mengatakan bahawa alam ini setelah dijadikan Tuhan, tak berhajat lagi kepada Tuhan, kerana Tuhan menjadikannya berjalan menurut peraturan – peraturan, tetap dan tak berubah – ubah, akhirnya meningkat kepada naturalism, dan seterusnya akan meningkat kepada atheism.

NATURALISM
Menurut naturalism, alam ini berdiri sendiri, serba sempurna, beredar dan beroperasi menurut sifat – sifat yang terdapat dalam dirinya sendiri, menurut tabiat / naturnya, iaitu menurut hukum sebab dan musabab. Alam ini tidak berasal dari dan tidak bergantung pada kekuatan ghaib atau supernatural. 

Faham naturalism ini timbul setelah ilmu pengetahuan tentang alam bertambah maju dan ahli – ahli ilmu alam melihat bahawa alam ini berevolusi dan bergerak menurut peraturan – peraturan tetap, dengan kata lain menurut mekanisme tertentu. Dengan dijumpainya hukum – hukum alam, menurut naturalism tidak ada apa – apa yang misteri lagi dalam alam ini. Masa depan ditentukan dari sekarang oleh hukum – hukum alam yang tak berubah – ubah itu. Di atas hukum – hukum alam ini, tidak ada lagi sesuatu yang lebih tinggi, sesuatu yang supreme

Seorang  naturalis (tak disebutkan namanya) di abad ke – 19, mengatakan bahawa ia telah menyelidiki seluruh langit dengan teleskopnya, tetapi ia tak menemui Tuhan.

Rujukan
BUKU: Falsafat Agama oleh Harun Nasution
BUKU: Nietzsche Sudah Mati oleh Akhmad Santosa
ARTIKEL: Harun Nasution: Teolog Pembaharu oleh T. Bahrun
ARTIKEL: Tuhan Tanpa Agama, Kerohanian Tanpa Tuhan oleh Megat Hanis
ARTIKEL: Ada Apa Dengan Tuhan? Oleh Benz Ali
KERTAS KERJA: Ke Arah Cita Pemuda Yang Menjadi oleh Azhar Ibrahim


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

'Kitab Tamadun Melayu' : Kitab Sempurna yang Bercacat Cela.

'Kitab Tamadun Melayu' : Kitab Sempurna yang Bercacat Cela. oleh: Farahani R. Saya bukan orang yang mudah diyakini tentang penulisan-penulisan yang membanggakan suatu kaum, khasnya yang ditulis oleh The Patriots memandangkan penulisan mereka terkadang seakan bersifat etnosentrik - Melayu, Melayu dan Melayu. Jangan dulu mengamuk, sabar; saya bukan rasis. Cuma saya mencuba untuk bebas dari menjadi rasis dengan tidak membiasakan diri mengenal hanya perihal Melayu sahaja. Apatah lagi untuk orang yang lahirnya di Borneo, suasana perkauman dan anti-agama selain dari Islam agak asing dalam masyarakatnya. Tapi resensi saya tidaklah menyimpang sepenuhnya kepada Melayu dan kekerapannya dibicarakan di media sosial mahupun media mainstream, tapi lebih menjurus kepada persoalan siapa itu Melayu, dan kesilapan masyarakat kini mengertikan label 'Melayu' itu. Mula-mula saya sangat menolak untuk digolongkan dalam 'bangsa Melayu', dan begitu menjaga perletak

LANGIT PETANG – Manusia Dan Hidupnya

LANGIT PETANG – Manusia Dan Hid upnya oleh: Hamka Mohamad Tidak banyak penerbit buku yang cuba mengangkat kembali karya-karya sasterawan negara yang pernah menjulang hati rakyat suatu ketika dahulu. Tidak ada lagi penerbit yang cuba mengembalikan sastera ke peringkat yang lebih tinggi martabatnya, selain mengharapkan DBP yang kian hari kian lari dari landasan asal matlamatnya. Tidak ada lagi penerbit yang cuba melaungkan karya-karya Usman Awang, Keris Mas, Pak Sako, Arenawati, Samad Ahmad, Masuri S.N dan ramai lagi karyawan negara suatu ketika dahulu yang berdiri teguh dalam arena sastera negara. Mungkin ada, namun jumlahnya tidak banyak. Tertarik dengan Lejen Press, yang jarang sekali aku membeli mahupun membaca karya penulisnya, namun kali ini, Langit Petang yang berjaya diterbitkan mereka hasil nukilan A Samad Said telah membawa aku satu pengharapan untuk aku melihat karya sastera tidak lagi dilacurkan oleh sesetangah penerbit kini. Tidak seperti buku-buku puisinya, Pak S