Oleh: Mohamed Rozaidy
Aku percaya membaca itu untuk mencari makna, aku percaya membaca itu untuk membuka minda.
Aku percaya membaca itu untuk mencari makna, aku percaya membaca itu untuk membuka minda.
Pertama kali aku
melihat kulit buku ini beserta penulisnya yang merupakan seorang tokoh yang
digelar pendeta, aku mula bertarung dengan kata-kata yang dipilih untuk
dijadikan tajuk buku ini. Sama ada buku ini akan menceritakan berkenaan
perangai seseorang yang dipengaruhi oleh dirinya sendiri atau buku ini
sebenarnya ingin mengulas berkenaan perangai seseorang yang suka bergantung
kepada dirinya sendiri (tidak bergantung kepada orang lain dalam melakukan
sesuatu). Setelah selesai membaca, maka aku katakan definisi kedua itu lebih
tepat dalam konteks penghuraian daripada penulis.
Antara perkara yang
mengecewakan aku tentang buku ini ialah aku terpaksa membaca dahulu pengenalan
yang ditulis oleh Asmah Haji Omar. Pengenalan ini seolah-olah cuba merumuskan
intipati buku ini yang sebenarnya membuatkan aku tidak puas hati. Sesuatu buku
itu cukup sekadar diletakkan prakata sebagai pembuka selera pembaca. Tidak
perlu berceloteh panjang lebar atau membuat rumusan di awal buku, itu
pendapatku.
Untuk mengulas
berkenaan buku ini, aku memilih untuk menumpukan kepada beberapa perkara yang
berkisar berkenaan intipati penting buku ini.
1. Kritikan kepada
orang Melayu yang kebanyakannya selalu berharap kepada orang lain dalam
mengerjakan sesuatu.
2. Teguran kepada
penuntut ilmu yang taqlid buta (mengikut secara buta tuli) tanpa dipersoalkan
dahulu ilmu yang dituntut itu.
3. Peringkat manusia
mencapai kesempurnaan.
4. Kepentingan ‘faham’
dalam perbuatan.
5. Keistimewaan buku
ini.
Pertama, kritikan
kepada orang Melayu ini disampaikan dengan kiasan tetapi mesej yang cuba
disampaikan berkait rapat dengan kerja buat orang Melayu pada tiap-tiap hari.
Contohnya, sikap ibu bapa orang Melayu yang ingin menumpang kesenangan
anak-anak, turut ditegur dalam buku ini melalui kata-kata orang tua-tua:
“Berharap kepada anak, buta mata sebelah; Berharap kepada orang, buta mata
keduanya.” (halaman 6)
Kedua, Pendeta Za’ba
kelihatan menegur tajam sikap orang Melayu yang hanya menurut sahaja
amalan-amalan yang dikerjakan oleh orang tua-tua dahulu tanpa ditimbang dahulu
rasionalnya, baik buruknya melainkan diikut sahaja bulat-bulat. Dapat dilihat
bahasa yang digunakan ketika mengulas fenomena ini amat tajam dan direct.
Penggunaan akal dalam meneliti sesuatu perkara sebelum diikut dan penggunaan
akal dalam mengkaji ilmu-ilmu yang terdahulu samada ianya betul atau salah juga
diselit kepentingannya dalam kritikan di bawah poin yang kedua ini.
“Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa
kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa
lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan
pengetahuan sendiri menguji benar salahnya. Kerana sesungguhnya perbuatan
demikian itulah yang dikatakan bertaklid buta.” (halaman 32)
Di bawah kibaran poin
yang ketiga, penulis
memberikan tingkatan kebajikan dan tingkatan kejahatan yang masing-masing
terbahagi kepada tiga peringkat (3 kebaikan dan 3 kejahatan). Apa yang
menakjubkan aku ialah pada ketika membicarakan berkenaan hal ini, Pendeta Za’ba
memberi satu perkaitan bahawa meninggalkan 3 peringkat kejahatan dan mendaki 3
peringkat kebaikan itu sebenarnya membawa kepada tahap kesempurnaan seorang
insan persis seperti penciptaan alam yang mengambil tempoh 6 masa (3+3 = 6).
“Maka iaitu bersetujulah dengan suatu peraturan undang-undang alam yang masyhur
yang menetapkan tiap-tiap suatu mesti melalui enam peringkat dalam perkembangan
dan perjalanan kemajuannya sebelum sampai kepada peringkat kesempurnaan yang di
atas sekali.” (halaman 89)
Teguran yang besar juga
dilakukan pada poin yang keempat
iaitu berkenaan betapa orang Melayu hanya mementingkan aspek manfaat sesuatu
amalan, perbuatan atau seumpamanya di akhirat semata-mata, dan tidak
memfokuskan kepada manfaatnya kepada manusia di dunia. Apabila cara fikir
manusia itu mengabaikan salah satu daripada duanya (iaitu dunia dan akhirat),
maka keberhasilan dalam menyampaikan manfaat sesuatu kerja buat itu kepada
orang ramai akan terhalang. Mungkin perkara itu dibuat sambil lewa tanpa
perancangan rapi kerana terlalu mengharap kepada habuan akhirat dan melupakan
kepada kesungguhan yang perlu diberikan untuk menjayakan sesuatu di dunia
supaya manusia mendapat sedikit sebanyak manfaatnya.
“Tentang adakah atau
tidak manfaatnya kitabnya itu kepada orang-orang yang menggunakannya kelak
tidaklah dikiranya, hanya yang diharap-harapnya pertolongan kitab itu kepada
dirinya sendiri sahaja!” (halaman 111).
Aku tutup review buku ini dengan poin kelima. Di antara keistimewaan buku
ini ialah penulis menggunakan rujukan ayat Quran secara terus di samping
bait-bait syair Arab untuk menguatkan hujahnya. Pendedahan tentang
mazhab-mazhab lain dalam Islam contohnya seperti mazhab zohiri juga dinyatakan
bersama beberapa mazhab yang lain dalam usaha menerangkan kepentingan
keterbukaan dalam bermazhab. Di antara keistimewaan lain buku ini ialah
kritikan yang diberikan adalah berkenaan beberapa aspek yang menjadi amalan
utama masyarakat Melayu umumnya, dalam usaha menyedarkan mereka bahawa mereka
sedang hanyut dalam kejahilan dan kritikan itu diberikan tanpa menghiraukan
pembaca akan terasa hati atau tidak.
Mungkin aku berbeza
pendapat dengan penulis dalam soal berharap kepada syafaat Nabi Muhammad S.A.W
di akhirat nanti dan beberapa isu yang lain, tetapi, dapat aku katakan, buku
setebal 142 muka surat ini sememangnya dapat mengetuk kotak pemikiran supaya
akhirnya kita menjadi lebih bersungguh-sungguh dan lebih teliti dalam amalan
seharian.
Maka aku ulang
kata-kata aku di awal tadi; Aku percaya
membaca itu untuk mencari makna, aku percaya membaca itu untuk membuka minda.
Selamat membaca!
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadammana nak beli buku ni
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadamhttp://agensbobetterpercaya.biz/ Merupakan Salah Satu Situs Resmi Sbobet Yang Mengunakan Link Alternatif Sbobet Tanpa Nawala Mobile
http://agensbobetterpercaya.rocks/ Merupakan Agen Sbobet Terpercaya Yang Mengunakan Link Alternatif Sbobet Terbaru Tanpa Internet Positif
http://loginsbobet.top/ Merupakan Agen Sbobet Online Terpercaya Yang Mengunakan Link Alternatif Sbobet Android Tanpa Nawala