Langkau ke kandungan utama

PENGENALAN “MANUSIA TIDAK MEMILIKI DAN TIDAK DIMILIKI”






PENGENALAN “MANUSIA TIDAK MEMILIKI DAN TIDAK DIMILIKI”
Oleh: Nur Anis Zuliana

Ashaari Muhammad banyak mengarang buku-buku termasuklah buku yang dipilih ini yang diberi tajuk ‘manusia tidak memiliki dan tidak dimiliki’. Buku ini diterbitkan pada September 1991 oleh penerbit mereka sendiri (Shoutul Arqam). Buku kecil ini mempunyai 87 halaman sahaja dengan gaya serta contoh-contoh yang mudah. Di dalam sekapur sirihnya, terdapat satu perenggan yang menerangkan kenapa buku ini ditulis ”Lahirnya buku ini satu lagi bukti kepekaan Ustaz Ashaari terhadap permasalahan masyarakat  hari ini dan betapa seriusnya beliau memikirkan jalan penyelesaian. Dalam kesibukan berdakwah, mengadakan perhubungan di arena antarabangsa, merancang satu kebangkitan ummah dan menulis buku yang berat perbahasannya, beliau sempat memikirkan tentang golongan pembaca yang gemarkan buku buku perbentuk ringan.”. Buku menyuntik pendekatan sufi serta membahaskan secara berkaitan antara sesebuah bab. Maka dengan itu, tulisan ini akan mengulas secara bab ke bab yang lain.

MUQADDIMAH
Buku ini mengandungi muqadimmah yang penting dalam memberi gambaran awal tentang penulisan buku ini dengan menguatkan atau memberikan pencerahan terhadap ilmu Tauhid serta menegaskan bahawa keperluan manusia itu sendiri untuk menghadam isu ‘pemilikan’ manusia untuk merasakan kebesaran Khaliqnya. Malah Ashaari juga membawa ayat-ayat Al-Qur’an bagi menerangkan status manusia yang hanya perlu bertuankan Tuhannya bukannya makhluk yang diciptakan. Ini dijelaskan dengan merujuk kepada Surah Al-An’am:165 dan Surah Al-Baqarah:284. Selain itu Ashaari menekan bahawa jika memandang secara zahirnya, makhluk ini ada memiliki atau mencipta (sesuatu makhluk lain seperti ibu ayah memiliki anak atau harta kekayaan), itu hanyalah sekadar nisbi (nisbah atau dibangsakan atau dinasabkan) semata-mata. Hakikatnya Tuhanlah yang memiliki semua yang diciptakan-Nya.

BAB 1: MANUSIA TIDAK MEMILIKI APA-APA
Dalam bab ini Ashaari cuba membawa persoalan kepada orang-orang yang menyoalkan kenapa beliau menyatakan bahawa manusia tidak memiliki apa-apa. Beliau menerangkan persoalan itu dengan membawa pertanyaan kepada kita, jika kita merasakan harta, wang ringgit, pangkat serta amal ibadah hasil usaha kita;

Bukankah akal fikiran itu Tuhan yang menciptakan serta memberi pinjam kepada kita sehingga kita dapat berbuat amal kebajikan serta menciptakan teknologi-teknologi baru, merancang perniagaan dan menguruskan harta kita? Bukankah besi, kayu, mineral serta segala isi bumi ini dicipta oleh Tuhan dan diberi pinjam kepada kita? Bukankah emas, intan permata dan perak yang bangga disarung pada tubuh itu ciptaan Allah dan diberi pinjam?

Ashaari menegaskan bahawa jika kita mengakui bahawa kita diberi pinjam dengan segala anugerah ini mengapakah kita masih lagi berbangga-bangga serta melahirkan sikap dan akhlak yang buruk. Beliau juga menyimpulkan bahawa jika manusia gagal memahami perkara ini maka lahirlah sebuah masyarakat yang saling menindas dan wujudnya kelas-kelas manusia (kasta) yang dipandang hina oleh Islam.

BAB 2: MANUSIA TIDAK DIMILIKI
Ashaari memberikan hujah kepada kita yang rasa dimiliki oleh orang lain samada majikan, pemerintah/kerajaan ataupun ibu bapa.

Pertama, beliau menyatakan bahawa manusia adalah makhluk ciptaan Tuhan sama seperti yang lain juga. Cuma manusia dilebihkan dengan akal dan roh, disebabkan akal dan roh inilah menjadikan manusia ini makhluk mukalaf yang dipertanggungkan dengan syariat (iaitu mesti tunduk dan patuh pada peraturan-peraturan Allah/sunnahtullah) kerana ia milik Allah dan merupakan hamba-Nya.

Kedua, beliau menafsirkan manusia itu tidak berhak merasakan manusia lain lebih daripadanya dan berkuasa keatas dirinya kerana manusia lain itu juga sama-sama ciptaan Tuhan dan bukan ciptaan makhluk yang lain (semua manusia itu setaraf yakni sama-sama barang ciptaan ALLAH).

Diingatkan juga dalam bab ini, manusia hanya boleh mengikuti pemerintah/kerajaan, ibu bapa atau ketua selagi mana ia tidak berlaku zalim dan menurut perintah Allah bersesuaian dengan hadis ”tidak boleh taat pada sebarang makhluk yang menderhakai Allah ”. Ashaari juga menulis di dalam bab ini dengan menyatakan ”inilah yang dikatakan manusia itu tidak memiliki apa-apa. Juga pada hakikatnya tidak dimiliki oleh sesiapa. Kalau begitu, jika manusia itu sedar hakikat ini, manusia patut merasakan dirinya bebas dan merdeka dari sebarang makhluk dan sebarang peraturan ciptaan manusia.”

BAB 3: JIKA MANUSIA MERASA MEMILIKI
Ashaari mula menyenaraikan apakah yang akan terjadi jika manusia merasakan dirinya memiliki sesuatu. Antara yang disebutnya:

1.Manusia akan rasa sayang dan akan menjadi bakhil terhadap apa yang dimilikinya sehingga untuk berbelanja pada dirinya juga tidak mahu.

2.Manusia akan tamak (dengan segala benda yang dirasa miliknya) sehinggakan hak orang lain diambilnya dengan cara yang zalim.

3. Manusia akan merasa dirinya lebih bagus dari orang lain dan sentiasa minta dipuji.

4.Manusia akan memandang hina orang lain yang kurang berada dan mewujudkan penyakit kasta dalam hidup masyarakat.

Ashaari juga memerli golongan elitis dan politikus dengan menyatakan bahawa jika mereka(elitis) bergaul dengan golongan miskin papa, itu strategi untuk menjaga untuk menjaga imej atau kedudukan. Bahkan golongan inilah yang selalu mengambil kesempatan, meniti di atas tenaga-tenaga golongan yang miskin untuk menjadi kaya. Yang akan membela golongan elitis ini adalah politikus yang belagak sebagai pejuang bangsa, agama dan tanah air. Ashaari memanggil politikus ini dengan gelaran lanun-lanun dan perompak-perompak masyarakat yang berlakon sebagai pembela. Malah Ashaari menyatakan golongan cakap tak serupa bikin inilah yang disebut di dalam Al-Qur’an, Surah Ali Imran ayat 167: ”apa yang dicakap di mulut mereka tidak sama dengan apa yang ada di hati mereka…”

BAB 4: RISIKO MANUSIA MERASA DIMILIKI
Ashaari sekali lagi menegaskan bahawa jika manusia merasa dirinya dimiliki maka malanglah ia di dunia dan akhirat. Manusia yang merasa dirinya dimiliki ini akan hidup dalam ketakutan, menerima arahan secara melulu serta merasakan dia perlu bergantung pada orang lain (rela diperhambakan). Ashaari dengan sinis bertanya ”bukankah tidak boleh menghambakan diri selain Allah?”

Bukan itu sahaja, Ashaari juga menulis bahawa jika manusia ini merasa dimiliki maka dia hilang kebebasan, berlaku penindasan dan lahirlah masyarakat hamba (yang selesa dihambakan). Sistem berkelas atau kasta diterima pakai tanpa rasa ianya satu masalah dalam masyarakat.

BAB 5:ORANG MUKMIN TIDAK MEMILIKI DAN TIDAK DIMILIKI
Ashaari berkata, jika masyarakat dapat memahami hal ini, maka sifat malu (yang bertempat) akan timbul dalam hati manusia, jelasnya lagi apabila manusia ini (orang mukmin) diberi amanah maka ia akan adil dalam tugasnya, apabila diberi harta dia tidak tamak, jika ditawar pangkat dia akan menggunakan untuk masyarakat kerana dia sedar akan keadaan dirinya yang bebas dan bertuankan Tuhan.

Dengan sikap orang mukmin ini, Ashaari yakin bahawa negara ini mampu mencapai sebuah kesejahteraan yang diredhai Tuhan. Masyarakat akan lebih hormat menghormati dan wujudnya hubungan dua hala yang lebih baik.

BAB 6: JANGAN PERHAMBAKAN MANUSIA
Dalam bab ini, Ashaari cuba memecah belenggu fikiran manusia normal dengan persoalan bagaimana hendak mengadaptasikan hal ini dalam masyarakat yang zahirnya tanpa dinafikan memang menguasai seseorang yang lain (secara nisbi, bukannya hakikat), misalnya, buruh dikuasai majikan, murid dikuasai guru dan rakyat dikuasai pemerintah atau kerajaan.

Ashaari menyatakan bahawa yang ‘menguasai’ perlu sedar akan kenapa dia mendapat gelaran atau pangkat tersebut malah harta tersebut. Contohnya, tidak digelarkan guru itu jika tiada murid yang sudi berguru walaupun ilmunya setinggi gunung, tidak dipanggil raja atau pemerintah jika tidak ada rakyat dan tidak mampu seorang majikan mendapat kekayaan yang besar tanpa seorang pekerja kecil. Inilah yang Ashaari cuba sampaikan, jika kita sedar akan hakikat ini maka kita tidak akan menindas serta memperhambakan manusia itu sendiri.Hubungan dua hala akan meningkat sekaligus menunjukkan berapa penting manusia lain dengan diri kita (saling memerlukan). Dengan kesedaran ini, maka terhapuslah sistem perhambaan sesama manusia.

PENUTUP
Dapat disimpulkan bahawa risalah kecil ini begitu penting untuk dibaca dan dibahas panjang untuk menyedarkan manusia agar tidak merasa dimiliki atau memiliki dari sebarang jenis perhambaan yang mampu mengikat kaki kita dari kebebasan hakiki. Kadangkala kita selalu merasa kita sahaja dipergunakan tanpa menyedari kita juga mempergunakan orang lain. Karya ini merupakan cerminan terbaik buat masyarakat yang kononnya melaungkan kebebasan tanpa tidak sedar masih lagi diperah tenaga, diatur akal fikiran serta di dibelenggu jiwanya untuk bebas.

*Darul Arqam merupakan jemaah dakwah Islam yang yang dilihat berjaya dalam eranya sehinggakan dikatakan bahawa jemaah ini mempunyai asset/harta tetap bernilai lebih kurang RM200 juta dalam bidang hartanah, kenderaan, kilang dan sebagainya. Mereka juga mempunyai 48 perkampungan di seluruh Malaysia. Yang lebih mengagumkan, mereka mempunyai pusat latihan pertanian di Batu Hampar, Perak yang berkeluasan 20 hektar, 257 buah sekolah di seluruh Malaysia dan 11 buah di luar Negara(4 di Indonesia,2 di Thailand,2 di Singapura 2 di Pakistan serta 1 di Australia). Dalam bidang penerbitan pula mereka mempunyai 61 buah buku (karya Syeikhul Al-Arqam, Ashaari Muhammad) dan 13 akhbar. Mereka juga mempunyai pelbagai projek ekonomi, kesihatan, pengangkutan dan lain-lain lagi.


Ashaari Muhammad merupakan sosok tubuh yang menerajui jemaah ini sehingga ianya diharamkan oleh kerajaan Malaysia. Walaupun jemaah ini difatwakan sesat oleh kerajaan dibawah Mahathir, kesan pembawaan Islamnya kedalam masyarakat khususnya masyarakat Malaysia hari ini tidak boleh dinafikan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang paling b

'Kitab Tamadun Melayu' : Kitab Sempurna yang Bercacat Cela.

'Kitab Tamadun Melayu' : Kitab Sempurna yang Bercacat Cela. oleh: Farahani R. Saya bukan orang yang mudah diyakini tentang penulisan-penulisan yang membanggakan suatu kaum, khasnya yang ditulis oleh The Patriots memandangkan penulisan mereka terkadang seakan bersifat etnosentrik - Melayu, Melayu dan Melayu. Jangan dulu mengamuk, sabar; saya bukan rasis. Cuma saya mencuba untuk bebas dari menjadi rasis dengan tidak membiasakan diri mengenal hanya perihal Melayu sahaja. Apatah lagi untuk orang yang lahirnya di Borneo, suasana perkauman dan anti-agama selain dari Islam agak asing dalam masyarakatnya. Tapi resensi saya tidaklah menyimpang sepenuhnya kepada Melayu dan kekerapannya dibicarakan di media sosial mahupun media mainstream, tapi lebih menjurus kepada persoalan siapa itu Melayu, dan kesilapan masyarakat kini mengertikan label 'Melayu' itu. Mula-mula saya sangat menolak untuk digolongkan dalam 'bangsa Melayu', dan begitu menjaga perletak

LANGIT PETANG – Manusia Dan Hidupnya

LANGIT PETANG – Manusia Dan Hid upnya oleh: Hamka Mohamad Tidak banyak penerbit buku yang cuba mengangkat kembali karya-karya sasterawan negara yang pernah menjulang hati rakyat suatu ketika dahulu. Tidak ada lagi penerbit yang cuba mengembalikan sastera ke peringkat yang lebih tinggi martabatnya, selain mengharapkan DBP yang kian hari kian lari dari landasan asal matlamatnya. Tidak ada lagi penerbit yang cuba melaungkan karya-karya Usman Awang, Keris Mas, Pak Sako, Arenawati, Samad Ahmad, Masuri S.N dan ramai lagi karyawan negara suatu ketika dahulu yang berdiri teguh dalam arena sastera negara. Mungkin ada, namun jumlahnya tidak banyak. Tertarik dengan Lejen Press, yang jarang sekali aku membeli mahupun membaca karya penulisnya, namun kali ini, Langit Petang yang berjaya diterbitkan mereka hasil nukilan A Samad Said telah membawa aku satu pengharapan untuk aku melihat karya sastera tidak lagi dilacurkan oleh sesetangah penerbit kini. Tidak seperti buku-buku puisinya, Pak S