Oleh: Mohamed Rozaidy
Sebuah
buku kombinasi antara pandangan peribadi Mat Rodi atau saudara Radzi Tajuddin dengan
Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Buku
setebal 196 muka surat ini memberikan pandangan berkenaan 11 tema merangkumi
Jati Diri Melayu, Sistem Nilai, Agama, Kepemimpinan, Visi dan Pembangunan,
Ekonomi, Pendidikan, Media, Antarabangsa, Demokrasi dan Malaysia Tanah Airku.
Kata-kata Tun Dr.M dalam pelbagai isu dimuatkan di awal penulisan berkenaan
setiap tema dan kemudiannya disusuli dengan tulisan Mat Rodi yang dengan terang
dan jelas menyokong tindak tanduk Tun Dr.M.
Gaya
penulisan seperti yang aku nyatakan tersebut membuatkan aku tidak bersetuju
dengan buku ini di peringkat awal. Kerana pada pandangan aku, sesuatu buku yang
“UMPH!” tentang sesuatu tokoh,
mestilah tidak berat sebelah atau tidak ‘bias’
dalam usaha menyingkap kebaikan dan tragedi yang disumbangkan oleh seseorang
tokoh. Maka, untuk aku, buku ini hilang “UMPH!”
apabila artikel demi artikel terus menerus memuji dan memuja Tun Dr.M dan
idea-ideanya.
Tidaklah
aku katakan semua pujian itu menipu, buktinya, aku masih meneruskan pembacaan
hingga ke akhir buku ini, cuma yang mungkin ingin aku katakan di sini, untuk
penulisan tokoh-tokoh yang seterusnya, janganlah bersetuju sahaja dengan semua
tindak-tanduk tokoh tersebut. Perlu adanya titik perselisihan pegangan atau
kata-kata yang dipaparkan antara pengarang dan tokoh yang menjadi bahan
karangan supaya tidak semua tulisan kita tersadur unsur taasub.
Antara
isu yang menarik yang disentuh dalam buku ini ialah berkenaan integriti, budaya
kerja orang Jepun yang wajar dicontohi kerana mereka malu dengan kegagalan
mereka dan mereka akan malu jika sesuatu tanggungjawab itu tidak dapat
dilaksanakan dan isu-isu sosial yang lain. Selain itu, antara adegan-adegan
yang menarik dalam buku ini termasuklah tindakan-tindakan berani Tun M dalam
menangani beberapa isu contohnya seperti ketika krisis ekonomi 1997 dan 1998,
bagaimana Tun M mengambil tindakan yang tidak diambil oleh negara-negara lain
untuk menyelamatkan ekonomi negara (seperti yang dinyatakan penulis) melalui
tambatan nilai ringgit.
Antara
beberapa perkara yang lebih
spesifik yang aku suka (baca :
setuju) berkenaan buku ini ialah:
1. Persembahan
pengalaman seorang mantan Perdana Menteri Malaysia yang paling lama memerintah
ini berjaya membuka mata aku tentang cara fikir seorang tokoh yang mendepani
zaman (mengikut pandangan penulis buku). Pengalaman ini, jika hilang daripada
buku-buku atau coretan, akan membuatkan rakyat Malaysia kerugian besar kerana
mungkin pengalaman itu merupakan kejayaan yang perlu diulang atau mungkin juga
pengalaman itu merupakan kesalahan yang perlu dihentikan buat bakal pemimpin
pada masa akan datang.
2. Kata-kata
atau quote yang tepat mengikut topik
yang cuba diketengahkan. Apabila diteliti dengan lebih mendalam, kata-kata yang
pernah dilontarkan oleh Tun Dr.M di banyak majlis atau dalam penulisan blognya
dipetik dengan tepat dan tidak keluar konteks. Hal ini memudahkan pembaca
memahami corak pemikiran Tun Dr.M ketika menjadi Perdana Menteri. Misalnya
dalam membicarakan rasional disebalik pembinaan MSC, Litar F1 Sepang, KLIA dan
Putrajaya yang dikatakan satu pembaziran, terdapat kata-kata yang tepat untuk
menggambarkan daya penolak yang membuatkan Tun Dr.M mengambil keputusan untuk
membina fasiliti-fasiliti tersebut.
3. Fakta-fakta
yang disusun mempunyai tarikh yang bercampur di dalam buku ini membuatkan
pembaca dapat menilai semula, adakah terdapat sebarang percanggahan dalam
pendirian Tun Dr.M semasa menjadi Perdana Menteri jika dibandingkan dengan
kenyataannya yang terbaru pada tahun 2016 (mengikut garis masa penulisan dan
penerbitan buku ini). Dengan menilai kronologi daripada kata-kata Tun Dr.M
daripada tarikh-tarikh yang berbeza, pembaca dapat membuat kesimpulan yang pada
sesuatu ketika, mantan Perdana Menteri ini masih konsisten dengan pendiriannya
manakala pada sesuatu ketika yang lain, kata-kata beliau dahulu dan sekarang
kelihatan bercanggah. Pada pandangan aku, ketelitian amat diperlukan dalam
konteks melihat adakah wujud perubahan pendirian ataupun tidak melalui
kata-kata tokoh ini.
Beberapa
perkara yang aku tidak sukai (baca : tidak setuju)
berkenaan buku ini:
1. Isu
Memali tidak disentuh LANGSUNG. Padahal, bagi aku, buku ini merupakan peluang
yang baik untuk menjelaskan rasional disebalik tragedi yang berlaku di Memali
yang melibatkan Ibrahim Libya yang dikaitkan dengan Tun Dr.M. Aku agak terkilan
kerana isu ini tidak disentuh langsung. Mungkin aku perlu memperbanyakkan lagi
pembacaan tentang tokoh ini untuk memperoleh pandangannya berkenaan isu ini
dalam erti kata yang sebenar. Aku menimbulkan isu ini kerana, jika dilihat, isu
AUKU disebut dan diperjelaskan, tetapi mengapa tidak isu Memali, isu
penangkapan Anwar Ibrahim dan isu-isu lain yang merupakan deretan kejadian
besar dalam negara melibatkan Tun Dr.M atau paling tidak, dikaitkan dengan
beliau turut diperjelaskan?
2. Aku
kurang gemar dengan tajuk yang ditonjolkan. Penggunaan frasa “Orang Muda”
membuatkan buku ini mungkin tidak mendapat liputan menyeluruh oleh rakyat
Malaysia daripada latar umur yang pelbagai. Ya, memang diakui, sepatutnya orang
muda yang lebih bersemangat ingin membaca tentang pengalaman pemerintahan tokoh
ini (bukan sekadar membaca kata-kata Fattah) tetapi harus diingat, mesej yang
ditonjolkan melalui kata-kata Tun Dr.M sepatutnya dinilai
bukan hanya oleh generasi muda tetapi perlu juga dinilai oleh generasi tua yang
pernah hidup di zaman pemerintahan Tun Dr.M atau mungkin sebelum beliau menjadi
Perdana Menteri. Dengan adanya penilaian oleh kedua-dua generasi ini, maka
mesej yang cuba ditutup atau kesilapan beliau semasa memerintah dahulu dapat
dijelaskan supaya anak muda tidak sekadar mengagumi Tun Dr.M tetapi turut berwaspada
dengan kesilapan yang mungkin akan beliau ulangi dalam misi politiknya
sekarang.
Penilaian
yang mapan amat diperlukan untuk menghadam buku serba ringkas ini. Mungkin
sebagai muqaddimah kepada siri pembacaan yang lebih mendalam, buku ini sesuai
dibaca dan dihadam. Tidak perlu risau sama ada fikrah politik atau ideologi
kita akan berubah jika kita membaca buku-buku yang bertentangan pegangan
falsafah dengan kita, kerana dalam perbezaan itu mungkin terselit kebenaran
yang dicari sekian lama.
Ulasan
Catat Ulasan