Mungkin (ulang: mungkin) manusia paling bodoh itu manusia yang tidak rancak berfikir. Yang kedua terbodoh, manusia yang tidak membaca buku, sementara tempat ketiga jatuhnya kepada manusia yang tidak luas pergaulan dan beragam diskusinya. Dan ketiga-tiganya ada pada manusia usrah dan jemaah Islam yang saya kenali!
(Fathi Aris Omar, dalam esei di Bawah Mendung Usrah).
Buku SAF ini seperti disebutkan sebelum ini sangat tepu nilai keusrahannya. Boleh dikatakan aku agak kecewa juga membaca 100 ms pertamanya. Aku tak rasa ini yang aku nak dengar atau nak baca dari mahasiswa anak Melayu-Islam yang belajar di bandar Lenin (Leningrad). Jika sekadar hendak berusrah-usrah, di Malaysia sudah bersepah. Tak perlu belajar sejauh itu. Atau jika sekadar hendak membaca tentang Al-Banna, Qutb atau Maududi, di Malaysia juga ada, banyak dan semak. Begitu juga jika hendak mendengar ceramah Maza, buka sahaja Youtube. Mungkinkah mahasiswa-mahasiswa Melayu-Islam Malaysia, kebanyakannya apabila berada di luar negara hanya bercampur dalam kelompok sendiri?
Ada beberapa perenggan
menarik dalam esei Di Bawah Mendung Usrah yang sangat tepat dalam menggambarkan
khalayak usrah ini,
barangkali nama pena saya kini tercipta gara-gara kekaguman pada Fathi Yakan - saya dipropagandakan beliau sebagai seorang jurutera tetapi fasih dengan pengetahuan agama dan seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin.
"Igauan ngeri" saya katakan kerana pertemuan itu membongkar (sekali lagi!) kritikan-kritikan lama saya tentang kelemahan, kedangkalan dan kesempitan manusia usrah walaupun mereka itu datangnya daripada kelas menengah, sebahagiannya mungkin boleh berbahasa Inggeris dan bergaul dengan manusia profesional dengan bermacam-macam latar belakang, yang seharusnya mempunyai analisa atau maklumat jelas tentang pergolakan zaman ini - spirit of the age atau zeitgeist.Sepatutnya yang perlu dibaca, dibincang dan diperdebatkan oleh SAF dalam bukunya tentang buku-buku Lenin, Stalin, Trotsky, Plekhanov yang ditulis dalam bahasa Rusia. Itu yang komunis. Kemudian baca juga Dostoyoevsky juga Tolstoy. Itu yang sastera. Bincangkan buku-buku itu. Tak perlu setuju pun. Tapi harus dibaca-ulang dan dikritis semula. Mereka banyak membahaskan persoalan etika-moral, bagaimana dunia tanpa Tuhan (dalam karya sastera, yang jarang dibincangkan dalam usrah) walaupun mereka Kristian. Memetik kata-kata seseorang dan melempar ke sana-sini, tidak membantu. Rakyat Malaysia perlu dibangunkan lebih dari sekadar itu. Kerana itu aku melihat kegagalan usrah dan usrah sebagai sarang pembodohan.
Kritis pada usrah ini
tidak semestinya menjadikan kita seorang Kiri atau Komunis. Maka kerana itu
kritikan FAO dalam Di Bawah Mendung Usrah harus dipertimbangkan. Maka beliau
mencadangkan bacaan-bacaan yang bermutu tinggi. Begitu juga dengan Syed Hussein
Alatas yang anti pada komunis dan Tan Malaka, pembacaan beliau begitu mendalam
dan tidak sepele. Beliau memfokuskan kritikan tajam beliau pada Tan Malaka –terlepas
kita bersetuju ataupun tidak- dengan mendalam. Kritikan yang tajam juga beliau
halakan pada Maududi dan Muhammad Qutb dalam Islam dan Sosialisme. Beliau nampak
mahir dalam ideologi Sosialisme lantas memilih Tjokroaminoto-Serikat Islam
Putih sebagai panutan dan wira yang kembali didendang. Syed Hussein Alatas yang
belajar sehingga ke Amsterdam dan memimpin majalah Progressive Islam ini
pastilah tidak menyertai apa-apa gerakan usrah yang melalaikan.
Bab
2 Berfikir Tentang Pemikiran dimulakan dengan Peranan Tuhan dalam Kehidupan.
Jika kita baca sekali
lalu, pastilah kita nampak macam menarik. Tetapi jika kita benar-benar
kritikal, Tuhan yang mana? Atau Konsep Ketuhanan yang mana?
Jika kita berlaku
jujur, pastilah ianya tidak semudah itu. Jika kita mengatakan awwaluddin
makrifatullah, awal agama adalah mengenal Allah, adakah awal itu bermaksud di peringkat kanak-kanak? Kerana pada usia muda, jika kita (selaku orang dewasa/ibu bapa) mahu
mengenalkan Tuhan atau Konsep Ketuhanan kepada anak-anak kita, pastilah Tuhan
atau Konsep Ketuhanan yang ibu bapa itu percaya. Maka ia adalah doktrinisasi. Ibu
bapa tipikal pastilah tidak akan mengajarkan Tuhan atau Konsep Ketuhanan yang
berbeza, yang tidak dipegangnya, atau mengajar seluruh Konsep Ketuhanan yang
ada di muka bumi ini. Pastilah hanya satu Konsep Ketuhanan yang dipegang oleh
ibu bapa itu.
Dan jika anak-anak
tersalah Tuhan atau Konsep Ketuhanan di peringkat anak-anak remaja (belum
baligh) dalam pemahaman Islam Konvensional, mereka akan ke syurga jika mati nanti. Jadi tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan.
Dalam hal ini, aku seperti Fathi Aris Omar, mahu menyarankan agar tv series Young Sheldon harus
dijadikan tontonan wajib anak-anak usrah saya berbanding buku-buku usrah yang
sudah lama patut ditinggalkan. Anak-anak harus diajarkan berfikir kritis, bukan
dogmatis. Mereka harus dibenarkan belajar dan membaca apa sahaja, sementara ibu
bapa berperanan menerangkan – bukan didaktik – biarkan anak itu sendiri mahu
memilih apa di kala besar nanti.
SAF menulis seterusnya,
Sebenarnya perkara ini terbukti dengan fakta sejarah. Kita melihat bagaimana bangsa Arab yang dahulunya satu bangsa yang mempunyai pelbagai masalah. Masalah sosial yang teruk apabila zina dan arak berleluasa. Tiada perpaduan dalam masyarakat, sentiasa bergaduh dan berperang sesama sendiri.
Hari ini negara Islam
lebih luas daripada sekadar Mekah dan Madinah. Bahkan umat Islam lebih ramai daripada
zaman Nabi Muhammad. Mereka sudah mengenal Tuhan, mengenal Nabi, ada ulama’-ulama’
yang masih hidup bersama mereka, ada usrah lagi. Ada yang telah pergi haji berkali-kali. Adakah kualiti umat Islam
lebih baik? Atau kualiti orang putih/orang bukan Islam yang lebih baik?
SAF memetik Graham E.
Fuller dalam bukunya A World Without Islam,
Bencana sebenar di abad keduapuluh ini hampir tidak ada kena mengena dengan agama: dua perang dunia, Franco, Mussolini, Hitler, Lenin, Stalin, Mao, Pol Pot, Rwanda – kematian ratusan juta manusia semuanya melibatkan regim yang sekular, bahkan atheist yang menguasai dengan idea-idea dogmatik dan secara brutal memaksa perlaksanaannya dengan segala cara.
Aku tidak akan
mempertahankan apa yang tak betul. Jika tak betul, maka tak betullah. Usahlah dipertahankan.
Mungkin SAF sendiri kena menghaluskan semula perbezaan antara Lenin dan Stalin,
dan jika lebih bagus menilai perkembangan Rusia era Stalin yang berjaya
menyekat kemaraan Hitler dan seterusnya menamatkan Perang Dunia Kedua. Ini yang aku harapkan dan nak dengar dari pelajar
Melayu yang belajar di Rusia.
Dalam masa yang sama
ketika Graham E. Fuller mencela segala-gala yang disebutnya, bekas orang besar
CIA ini lupa menyebutkan kejahatan dan kezaliman yang dilakukan Amerika ke
negara-negara yang tak mahu tunduk kepada Amerika seperti Afghanistan, Iraq, Syria,
Vietnam, Indonesia dan banyak lagi yang memakan jumlah jutaan korban.
Mungkin di akhirnya aku
boleh bersetuju di sini bahawa apa-apa sahaja yang diterapkan secara dogmatik akan
mengakibatkan masalah lebih besar. Baik ia namanya ideologi, kepercayaan,
keimanan, bahkan usrah jua. Mungkin di lain masa aku akan mengulas lagi tentang
usrah. Mungkin usrah harus diberi peluang juga, tapi pastilah bukan sekadar
membincangkan buku-buku yang melalaikan para pembacanya tentang realiti
kehidupan.
Mungkin boleh tuka template blog, yang lebih skema, dan guna font default.
BalasPadam