Oleh: Benz Ali
Aku mendapatkan buku ini sudah
lama. PBAKL 2019. Cuma baru sekarang berkesempatan membeleknya dan baru sahaja
selesai membaca 100 ms (tanpa dinafikan ada banyak juga yang aku skip). Terasa mahu
mengulasnya, apatah lagi bila signature Syed Ahmad Fathi (SAF) selain
menandatangan buku ini mengharap dapat aku reviu buku sulungnya ini. Dan SAF
juga sudah melakukan reviu untuk zine-zine keluaran #kuliahbuku dan
#republikzine iaitu KUBUZINE 1, KUBUZINE 2 dan Rambut Panjang Simbol
Perlawanan. Aku fikir sudahlah sampai masanya, aku ‘membalas’ semula
reviu-reviu yang beliau lakukan. Dan untuk catatan juga, rasanya aku
diperkenalkan dengan SAF ini buat pertama kalinya oleh teman FBku (yang aku
pernah bermalam di rumahnya kurang lebih seminggu semasa di Penang awal 2019). Aku
rasa SAF juga hadir ke acara tour itu, sama ada orang lain atau aku tak sempat
nak bersembang panjang dan bukunya ini telah kehabisan pada waktu itu.
Pertama sekali, aku sebenarnya
sudah lama ingin membaca buku ini. Sebab ada buku-buku yang dibeli bersekali
dengan buku SAF ini seperti buku Persoalan Nasional (Hisyamuddin Rais) dan
Seksa, Rock dan Dada (Radhi OAG) telah selesai dilumati tahun lepas. Ya,
membaca juga memerlukan masa yang sesuai. Kadang kita beli dulu, bertahun-tahun
kemudian baru kita akan membacanya. Tapi kalau tak beli, belum tentu kita akan
dapat membacanya.
Buku ini berketebalan 285 ms, dan
aku telah memberitahu kepada SAF sebentar tadi bahawa reviu buku ini akan
dilakukan sebanyak 3 siri, iaitu siri 1 untuk 100 ms pertama, siri 2 untuk 100
ms kedua dan siri 3 untuk bakinya. Baiklah aku cuba untuk memberikan
pandanganku tentang 100 ms pertama buku Berfikir Tentang Pemikiran, karya SAF
ini.
Sebelum membaca buku ini, aku
sengaja membelek-belek dulu bahagian belakang, sama ada SAF meletakkan rujukan,
indeks atau apa sahaja yang akan lebih menggodaku untuk membaca. Ya, di
belakang buku ini disertakan lunggukan nama penulis-pemikir-tokoh yang
terkenal. Cuma untuk aku sudah tak cukup steam, seperti Maududi, Syed Qutb,
Maza dll. Ada juga tokoh dakwah lain, yang hanya bersifat amilin. Tanpa dinafikan
ada juga buku-buku menarik yang diletakkan seperti buku A World Without Islam
karya Graham E Fuller, The God Delusion karya Richard Dawkins, A Brief History
of Time karya Stephen Hawking, Communist Manifesto karya Marx dan Engels, dan
karya Mandela, yang patut dibincangkan lebih.
Padaku dari indeks atau
bibliografi, kita boleh mengesan kecenderungan penulis ke arah mana. Indeks atau
rujukan di belakang juga bisa menggoda sesiapa untuk masuk ke dalam buku yang
ditulis pengarang.
SAF memulakan buku ini dengan
memetik kata-kata Thomas Friedman, “Pekerja
yang mempunyai kebolehan mempelajari perkara baru akan terus kekal relevan.”
Kata SAF seterusnya, “Anda mungkin bagus
pada pekerjaan anda sekarang, tetapi jika anda tidak mampu belajar perkara
baru, anda akan menjadi tidak relevan beberapa tahun lagi.” “Pemikiran adalah
sesuatu yang berubah-ubah. Ia akan sentiasa berubah, sesuai dengan peredaran
zaman, penambahan ilmu serta informasi baru. Sekiranya kita gagal berubah, atau
tidak berani berubah, kita akan menjadi sejarah dan ditinggalkan.” Begitu kurang
lebih kata beliau. Dalam ertikata lain SAF ini bercakap di permulaan bukunya
tentang perubahan, tentang adaptasi, manusia kena berubah. Pastinya bukan
perubahan prinsip, aku menyangka sebegitu.
Sebelum diteruskan lagi latar SAF
juga boleh tahan. Rupanya dia adalah anak usrah atau ahli gerakan Islam
HALUAN, yang belajar di MATRI. Aku pernah mendengar tentang ini suatu masa
dulu. Dan kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke Rusia. Suatu hal yang sangat
menarik.
Cuma buku ini agak tepu dengan
nilai-nilai keusrahan, yang kuat unsur didaktiknya (boleh Google apa itu
didactic). Jika boleh kusarankan kepada SAF selain buku Asghar, beliau boleh
juga cuba membaca buku Pergolakan Pemikiran Islam Ahmad Wahib (terbitan
Indonesia) juga esei tulisan Fathi Aris Omar berjudul Di Bawah Mendung Usrah. Rasanya
jika digoogle juga akan ketemu tulisan itu. Esei Fathi tentang usrah adalah
esei paling merenung ke dalam, sebuah kontemplasi dari hati tentang pengalaman
peribadi dengan usrah. Eseinya ringkas dan ringan sahaja. Tanpa ayat al-Qur’an,
tanpa hadith, tapi sangat brilian dan nampak kejujuran.
Kembali ke buku SAF ini, katanya
di ms 2, buku ini ditulis pada 17 Jun 2014 dan beberapa kali berevolusi
sepanjang penulisannya, bermula dengan perkongsian berkenaan dengan dakwah dan
tarbiyah.
Aku berharap SAF akan terus
berevolusi dan jangan berhenti. Atau jika mahu berhenti pun pada usia 60-70
tahun. Bukan di usia muda ini untuk menoktahkan evolusi. Adalah merugikan jika
pencarian tentang makna kehidupan ini telah diselesaikan pada usia awal. Kita tak
perlu malu menyatakan kita pernah terlibat dalam usrah, atau gerakan dakwah,
bagi sesiapa yang ex-Islamis (maksudnya ex-gerakan Islam, bukan ex-Muslim). Itu
adalah sebahagian dari pengalaman hidup masing-masing.
Enjoy the ‘little things’.
Seterusnya buku SAF ini bercerita
tentang anugerah mata yang sangat besar dalam kehidupan. Betul, yang ini aku
sedikit terkesan. Ini adalah peringatan ringkas, tetapi mendalam. Tanpa mata
yang lebih kecil berbanding tangan, kaki dan kepala, pastilah telah hilang
separuh lebih nikmat kehidupan. SAF meneruskan lagi cerita tentang anugerah
iaitu perihal diari Anne Frank yang terkenal. Anne Frank ketika menyorok di
dalam bangunan dari tentera Nazi menceritakan bahawa apa yang dia rindukan
setelah berbulan-bulan menyorok bukan baju baru, bukan makanan mewah, tetapi
betapa seronoknya jika boleh melihat cahaya matahari, merasai kehangatannya. Begitu
juga dengan tulisan Jang Jin-sung yang menulis dalam bukunya tentang
pengalamannya menjadi pelarian dari Korea Utara. Apabila ada orang di
perkampungan China yang membantunya beliau menulis betapa nikmatnya dapat mandi
dan membersihkan diri. Tulis SAF lagi, “kebahagiaan
datang apabila kita menghargai apa yang kita ada, menghargai insan-insan di
sekeliling kita, menghargai keindahan di sekeliling kita. Berhenti dari
berfikir tentang masa lampau dan masa depan. Sebaliknya kita perlu temenung
kagum melihat alam. Merasai air sungai yang mengalir. Melihat burung terbang
bebas. Melihat daun gugur ditiup angin. Menghayati kemanisan(?) secawan kopi. Sekiranya
kita hendak bahagia, kita perlu bahagia sekarang, bukan semalam atau esok.”
Aku rasa aku berhenti dulu di bab
1, mungkin siri kupasan atau reviu ini akan jadi lebih dari sekadar 3 bahagian.
Kerana ada banyak juga benda dalam karya SAF ini yang menarik dan elok untuk
dibahaskan atau diperdebatkan semula.
Ya benar, aku mengharapkan lebih
dari buku ini. Aku harap dapat berjumpa yang lebih itu di bahagian-bahagian
seterusnya.
Ulasan
Catat Ulasan