Kata Pengantar
Komrad Aaron Dinesh,
Bekas Angkatan Rakyat Muda, Parti Rakyat Malaysia.
Setelah
lama tidak diterbitkan, Buku Hijau selama ini telah menjadi sebuah artifak
sejarah suatu zaman (tepatnya 28 tahun yang lalu) di mana ramai anak-anak muda
yang gemar mempelajari Falsafah Politik dan Ideologi belum lahir. Zaman itu
adalah Perang Dingin, dan banyak hal yang kita lihat sekarang di dunia adalah
hasil bentukan dan perkembangan dari satu pertentangan yang penuh dengan debat,
perisikan (espionage) dan perang proxi. Hitam dan Putih itu adalah
standar/orde (trend politik antarabangsa) yang kita perlihatkan dan persoalan ‘Siapakah
yang anda harus memihak?’ menjadi penentu kelangsungan dan kemapanan
sesebuah negara. Dunia politik moden pada masa itu seperti sebuah papan catur
yang luas dan tidak boleh lari dari hitam dan putih ini (Dunia sekarang hampir
sama cuma pemainnya sahaja yang berbeza). Tetapi kita harus tahu bahawa tidak
semua adalah hitam dan putih, sebenarnya banyak tokoh pemikir dan pemimpin
ketika itu yang ingin memilih jalan yang lain dengan cara ‘Mendapat yang
terbaik di antara kedua-duanya’, atau ‘menolak terus bahagian atau unsur
kedua-duanya’ dan menciptakan sesuatu yang sesuai dan relevan dalam
pembangunan masyarakatnya.
Buku Hijau menjadi satu
contoh (atau kelainan) di zaman itu yang juga merupakan sebuah medan perang
Idea, bahawa seorang sosok (Muammar Gaddafi) ingin menetapkan halatuju yang
lain dalam perebutan antara Helang (Amerika Syarikat) dan Beruang (Uni
Soviet). Paradigma Helang dan Beruang ini sesuatu yang dilihatnya dalam
lensa atau kanta yang lebih jelas untuk mengenalpasti kelemahan kedua Binatang
(ideologi) Politik ini. Ianya mengulang hal yang asas dahulu iaitu melihat pada
diri sendiri (konteks setempat) dan situasi dunia (ketika itu) di mana wujud
peminggiran negara-negara kecil yang tidak semaju atau kuat seperti Helang dan
Beruang ini dalam pembangunan fizikal mahupun mental. Di zaman Perang Dingin
ini sampailah saat-saat akhir wujudnya Negara Jamhariyah Libya (di bawah
pimpinan Muammar Gaddafi) Buku Hijau telah menjadi sebahagian kuasa lunaknya (Soft
Power) dan ianya diedarkan dengan meluas kepada aktivis-aktivis politik
untuk dijadikan sumber inspirasi dan pengajian di seluruh dunia.
Dalam artikel ini saya
akan memberikan penerangan atau beberapa pendapat ringkas tentang apa yang saya
ingat terhadap sosok Muammar Gaddafi terutamanya pada konteks semasa beliau
dijatuhkan (Tahun 2011) dari sudut pandangan peribadi yang disusuli pula dengan
penerangan saya tentang asal-usul dan konteks lahirnya idea utama Buku Hijau
itu sendiri iaitu Third Universal Theory.
1.
Satu Pengalaman Peribadi mengenal Sosok Muammar Gaddafi
Kebangkitan dunia Arab (Arab
Spring) adalah salah satu aksi perlawanan massa rakyat yang amat gagah,
berani dan menginspirasi yang pernah berlaku di dunia Arab dan juga sejarah
awal abad ke 21. Ia adalah satu kebangkitan rakyat yang tidak mungkin terjadi
tanpa pengorbanan dan keberanian orang ramai untuk meraih satu kehidupan yang
lebih baik tanpa rasa lapar untuk melangsungkan hidup dan tidak berasa takut
untuk bersuara atau mengkritik kuasa-kuasa dan struktur sedia ada (secara
politik, ekonomi dan ketenteraan) yang menekan mereka dengan kejam dan
memerintah atas ketamakan. Kuasa rakyat kelihatan begitu jelas dan
perkembangannya diikuti lewat media massa oleh rakyat serata dunia pada masa
itu (Disember 2010 - Oktober 2011).
Saya masih ingat
peristiwa ini dengan segar sekali dan sebenarnya inilah peristiwa yang memicu
satu minat yang lebih mendalam tentang Politik Antarabangsa dan perkembangan isu-isu
semasa di Timur Tengah ataupun secara lebih luasnya dipanggil Dunia Arab. Yang
sering didengar atau identik dengan Timur Tengah dalam pemikiran saya sepanjang
waktu membesar sampai peristiwa itu hanyalah
Konflik Israel - Palestin dan tempat-tempat yang tercatat di dalam
Al-Kitab (Bible) dan Injil seperti Yerusalem dan Damsyik. Saya juga
harus berterima kasih kepada sekumpulan pelajar Arab yang saya pernah kenal dan
berkawan, dari merekalah sifat ingin tahu saya tentang politik, sejarah dan
isu-isu semasa dunia Arab dan agama Islam itu dijawab dan dikongsi oleh mereka
secara rambang dan juga kadang-kadang rinci. Pandangan-pandangan mereka
terutamanya pelajar-pelajar Saudi yang saya kenal agak pro/berpihak kepada
Kerajaan Saudi tetapi masih menjadi salah satu sumber yang masih diingati dan
berbekas pada minda saya sehingga hari ini.
Sepanjang Kebangkitan
Dunia Arab saya telah membeli Majalah Times setiap minggu dengan harganya yang
mahal iaitu RM 10 senaskah (Harga tahun 2010 - 2011) untuk mendapatkan segala
maklumat tentang perkembangan Kebangkitan Rakyat Arab terutamanya di Mesir.
Slogan utama pada masa itu adalah “The People want to overthrow the regime!”
dan inilah yang menjadi laungan rakyat yang marah tetapi penuh bertenaga demi
mengubah keadaan. Pengaruh kebangkitan ini juga ‘menjangkiti’ rakyat
Iran yang baru selepas dua tahun (2009) turun berdemo dan tidak puas hati
membantah pilihanraya tahun 2009 turun sekali lagi untuk menunjuk perasaan
dengan hebat.
Fenomena kebangkitan
rakyat ini marak dari penghujung dunia Arab di Barat iaitu Maghribi sampailah
ke penghujung paling Timurnya iaitu Iraq tetapi sebenarnya tidak hanya terbatas
di Dunia Arab tapi juga telah mempengaruhi Rakyat Iran untuk bangkit dan
protes. Semua negara yang dilandai fenomena kebangkitan ini tidak mengalami
kesudahan yang sama tetapi kebanyakannya berjaya membuang
dictator-diktator mereka dengan cara yang aman.
Mereka yang tumbang
adalah Ali Abdullah Saleh di Yaman yang kemudiannya diganti dengan Mansor Hadi
sebagai Presiden Yaman, Hosni Mubarak yang menjadi tumpuan utama antara semua
negara Arab meletak jawatan setelah 3 bulan ditekan secara konsisten. Di antara
semua ‘Diktator-diktator’ ini yang telah dibuang (digantikan atau dilucutkan
kuasanya) Muammar Gaddafi pemimpin Libya yang sangat kontroversial ini telah
dibunuh pada 20 Oktober 2011 setelah berbulan-bulan (dari bulan Mac)
negaranya dilumpuhkan oleh Perang
Saudara. Tidak seperti nasib ‘Diktator-diktator’ lain yang mengundur secara
aman dan sukerela atau melarikan diri seperti Zine El Abidine Ben Ali (bekas
presiden Tunisia), Muammar Gaddafi mati dengan cara yang sangat kejam iaitu
disula oleh orang-orang yang menangkapnya dan sebelum Kolonel ini dibunuh
dengan sebegitu rupa dia sempat bertanya ‘Apa yang saya telah buat pada
anda?’ dan saya masih ingat bila video itu menular di SosMed banyak yang
komen dan kata bahawa itu padah yang patut diterimanya dan inilah hukuman yang
layak diterima seorang Penindas!
Selepas dibunuh dengan
sebegitu ngeri, saya berfikir dan menanya diri saya yang naif dan kurang
berpengetahuan itu beberapa soalan. Yang terkeluar dari benak fikiran saya pada
masa itu adalah ‘kenapa dia harus mati dengan sebegitu rupa?’ dan ‘Apakah
ini adil untuk dilakukan pada seorang walaupun dia telah melakukan kesalahan
yang paling dasyhat sekalipun?’, ‘Di mana letaknya hak seseorang didakwa
menurut proses mahkamah?’ dan ‘kenapa mereka tidak mempunyai kesedaran
itu?’. Kesedaran atau amalan bahawa pembicaraan itu adalah satu keperluan
dan menyerahkan ini kepada mahkamah
untuk menentukan sama ada beliau harus mati atau tidak, itu langsung tidak
terlintas di fikiran pembunuh-pembunuhnya.
Emosi dan sifat
kebinatangan kita (sebagai manusia) mungkin yang menjadi sebab kenapa mereka
bertindak begitu. Perang membuat manusia rakus, benci dan sifat ingin kekal
hidup sahaja yang menjadi keutamaan dan kadang atas nama ‘keadilan dan
kesejahteraan’ dan matlamat-matlamat politik mereka. Saddam Hussin, 8 tahun
sebelum itu ditangkap dengan cara hormat dan diberi layanan yang baik oleh
tentera Amerika Syarikat. Dia kemudiannya dibicarakan di mahkamah sehingga
dijatuhkan hukuman mati pada tahun 2006 oleh ICC (International Criminal
Court) tetapi pemberontak-pemberontak dan pengkhianat-pengkhianat ini tidak
mematuhi undang-undang Internasional. Jika mereka tidak mengakui atau diakui
oleh Konvensi Geneva tentang Perang kenapa mereka tidak sekurang-kurangnya
bertindak atas ajaran agama (saya andai mereka ini beragama), dan sudah tentu
tidak ada mana-mana ajaran agama pada hari ini menghalalkan tindakan seperti
ini. Ya, dalam perang dan politik membunuh lawan itu satu tindakan yang betul
dan harus dibuat untuk mengurangkan pertentangan dan mendominasi!
Kali pertama saya
mendengar tentang Libya itu sendiri adalah dari permainan Command and Conquer
Red Alert dan dari situlah saya mencari pengetahuan dan membaca sedikit
tentang seorang pemimpin yang bernama Muammar Gaddafi. Pernah juga saya
memotong gambarnya dari majalah National Geographic, gambar beliau
mengenakan gaya biasanya iaitu memakai cermin mata hitam, berserban dan memakai
jubah hijau atau cokelat. Saya pasti ramai yang tahu gayanya ini, saya juga
menjadi tertarik dengan gayanya dan apabila mengetahui tentang kelantangannya
saya menjadi lebih berminat mengkaji tentang politik dan dasarnya di kemudian
hari (sedekad atau lebih selepas itu). Seperti mana saya perkatakan awal tadi
kebangkitan Arab ini tidak terbatas di dunia Arab dan Iran yang terkeluar dari
sebuah kawasan sosio-budaya dan geografi Arab juga mengalami gegarannya. Di
sebelah Utara dari Libya menyeberangi lautan Mediterania negara Itali bekas
penjajah Libya telah ‘mendapat’ semangat kebangkitan anak muda dan
rakyat. Dunia Arab hasil daripada liputannya yang luas dan kecanggihan
teknologi media. Rakyat Itali turut keluar beramai-ramai dan turun protes
menuntut dan menekan Silvio Berlusconi untuk meletak jawatan atas berbagai
sebab dari penglibatannya dalam bermacam kes korupsi sampailah skandal seksnya
dengan seorang budak perempuan bawah umur.
Pada masa yang sama
(Februari 2011) di Wisconsin, Amerika Syarikat dilandai juga dengan aksi protes
yang besar-besaran. Warga pekerja di sana turun melawan dan membantah satu
undang2 (Wisconsin Act 10 - Wisconsin Budget Repair Bill) dan menyatakan sikap setiakawan mereka pada
massa rakyat Dunia Arab yang bangkit dan terus maju dalam membuang para
penindas mereka! Pada bulan-bulan yang mengasyikan dan mendebarkan inilah satu
berita telah diterbitkan tentang satu pesta Bunga - Bunga yang selalu
diadakan dan dilayan dengan seronok sekali oleh Silvio Berlusconi dan apa yang
dilaporkan dalam berita yang saya baca pada masa itu adalah Muammar Gaddafi
juga pernah menjadi tamu dan berseronok-seronok ketika menghadirinya. Pesta Bunga
- Bunga ini adalah mirip dengan imej-imej Pool Party yang di dalam
Filem Hollywood atau Elite Industri Filem di LA, berseronok dengan ramai wanita
cantik dalam keadaan separuh telanjang ini hangat di media dan seperti biasa
menjatuhkan kedua-dua pemimpin negara ini (Itali dan Libya) sebagai
manusia-manusia yang tidak bermoral walaupun isunya adalah hal yang peribadi.
Tetapi Muammar Gaddafi ini bukanlah manusia yang tidak pernah ada kontroversi.
Libya di bawah pimpinannya sering dicap sebagai sebuah International Pariah
State dan pada masa yang sama beliau juga adalah seorang lantang ketika di
persidangan rantau Arab (Arab League) dan Perhimpunan PBB.
Sepanjang pemerintahannya
masih berjalan, dia telah menjadi seorang Political Superstar bertaraf
antarabangsa dengan kelantangan dan kepelikan pada sikap dan gaya. Beliau telah
dituduh oleh Pihak Barat (Amerika dan sekutu-sekutunya) sebagai pendana yang
besar dalam isu International Terrorism untuk waktu yang lama. Libya
pada waktu itu dikatakan sebuah negara yang terlibat sebagai pendana dan
pengedar utama senjata kepada beberapa kumpulan penganas seperti IRA (Irish
Republican Army) iaitu satu kumpulan gerila kiri yang menginginkan Ireland
Utara membebaskan diri dari cengkaman United Kingdom yang masih memegang
wilayah itu untuk beratus tahun, Al Rukun di Amerika Syarikat yang merupakan
satu geng jalanan yang berancang untuk melemahkan Pemerintah Amerika secara internal/domestic.
Hal yang biasa di dengar atau diketahui secara umum oleh pemimpin-pemimpin di
rantau ini (Asia Tenggara) adalah MNLF (Moro National Liberation Front)
yang di kepalai oleh Nur Misuari dikatakan mendapat bekalan senjata dan
kewangan dari Muammar Gaddafi untuk Bangsa Moro berdiri bebas dari kekuasaan
Manila. Pada 1986, Libya telah diserang oleh Jet Pesawat Amerika yang
menjatuhkan bom ke atas Tripoli (Ibu Negara Libya) sebagai balasan ke atas apa
yang dituduh sebagai penglibatan Libya dalam pengebomban Discotheque ‘La
Belle’ di Berlin pada tahun yang sama. Libya terus dicap terlibat dengan
satu lagi pengemboman pesawat Pan Am Flight 103 yang meragut 243 nyawa, Muammar
Gaddafi menafikan penglibatannya dalam memberi arahan meletupkan pesawat itu
tetapi akhirnya beliau sendiri ambil tanggungjawab atas syarat UN untuk
mencabut sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negaranya dan membayar pampasan
sebanyak 2.7 $ US Billion pada keluarga mangsa-mangsa letupan itu.
Saya masih ingat dua
perkara yang lawak dan menarik mengenai beliau sewaktu menghadiri Perhimpunan
Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu lama dulu. Berbanding pemimpin-pemimpin
negara lain yang semua disediakan penginapan rasmi oleh kedutaan masing-masing,
beliau memilih untuk mengarahkan delegasinya memacak khemah di Tanahnya Donald
Trump (Presiden Amerika Syarikat sekarang) sebagai penginapan rasmi mereka
sepanjang Perhimpunan itu. Dia sebagai seorang anak watan Arab yang dari latar
belakang Badwi (Bedouin) tidak melupakan asal usulnya dan lebih selesa
tidur di dalam sebuah khemah. Hal yang lucu itu juga seperti satu promosi pada
budaya Arab Badwi dengan gaya hidupnya yang tradisional itu. Hal yang lagi satu
itu yang saya ingat sepertinya telah menjadi satu strategi pengiklanan yang
baik iaitu membuatkan dirinya diiringi sekumpulan wanita Ethiopia sebagai
kakitangan dan pengawal keselamatannya. Tindakan ini membuatkan dia seperti
seorang hero agenda Womens Empowerment dan hal ini adalah sesuatu yang
melawan norma seorang pemimpin Arab pada masa itu.
Semua ini yang saya
ceritakan adalah suasana dunia Arab ketika beliau masa memerintah Negara Libya
di ambang kejatuhannya. Perhatian tentang Buku Hijau itu sendiri pernah
mendapat liputan di media dalam bentuk Interview di awal pemerintahannya
(tahun 70an, 80an dan 90an). Selepas itu Libya dan Gaddafi banyak dikaitkan
sebagai sebuah Pariah State yang membantu kekejaman Global Terrorism
yang mengorbankan orang ramai yang tidak bersalah untuk mencapai objektif
politik sesuatu kumpulan yang didanainya itu. Itu yang selalui dipaparkan
tentangnya tetapi bagi saya itu tidak sehebat kelantangan dia memarahi pemimpin
Arab yang terlalu dekat dengan Amerika Syarikat. Dia berkata dengan tegas
bahawa mungkin Amerika adalah kawan mereka pada hari ini tetapi nasib mereka
juga boleh berubah seperti apa yang terjadi pada Saddam Hussien.
Inilah suasana dunia dan
peristiwa-peristiwa yang dikaitkan dengan dirinya di ambang maut sepanjang
Januari sehingga Oktober 2011. Media arus perdana di Barat dan Timur telah
memainkan peranan yang besar untuk membunuh karakternya dan melancarkan
propaganda untuk menaikan semangat rakyat Libya dibelah Timur (Benghazi) untuk
memulakan pemberontakan. Pihak NATO (North Alliance Treaty Orgazation) telah
menetapkan ‘No Fly Zone’ untuk memastikan bahawa satu intervensi
(campurtangan) ketenteraan akan dilancarkan oleh mereka (NATO). Campurtangan
NATO pada bulan Mac 2011 telah dibenarkan oleh PBB untuk menghalang Gaddafi
terus melakukan apa yang dikatakan pencabulan hak asasi secara besar-besaran
dengan mengunakan kekerasan seperti menembak dan mengebom rakyat sendiri
mengunakan Pesawat Perang (jet). NATO yang diketuai Sarkozy dan Obama pada masa
itu telah melancarkan serangan ke atas Libya dengan intensif sekali,
pemberontak di Libya juga mendapat bantuan senjata untuk mengalahkan Gaddafi.
Seperti yang telah
dikatakan di awal, Libya adalah kes yang malang. Terjunam ke dalam perang
saudara kemudiannya campurtangan oleh Nato dan pemberontak yang mengkhianat
untuk membawa ‘Demokrasi’ kepada Libya. Mereka tidak tahu bahawa apa yang
mereka sedang buat akan memerangkap Libya dalam keadaan tidak stabil dan
bergolak untuk waktu yang lama. 8 tahun dari tahun Gaddafi dijatuhkan dengan cara ketenteraan, Libya masih tidak
dapat membangun dan sedang direbutkan. Libya dibahagi pada dua wilayah secara
penguasaan politik. Rakyat Libya yang menikmati infrastruktur yang terbaik di
benua Afrika dan kualiti hidup yang jauh lebih baik terpaksa mengambil semacam
satu pertaruhan untuk mendatangkan ‘Demokrasi’ dan ‘kebebasan’
itu terpaksa meringkuk dengan harapan bahawa semua ini akan berakhir. Saya
tidak berkata bahawa Gaddafi ini semuanya baik, mungkin ada pelanggaran hak asasi
tetapi kini hak yang paling asasi (fundamental ) itu tidak ada, telah pergi
begitu sahaja. Libya selepas pemerintahan Gaddafi adalah satu contoh tentang
apa yang kononnya kebangkitan rakyat telah memakan rakyat.
Libya sebelum di
peringkat awal sebelum kejatuhannya telah disusupi oleh agen-agen asing, diberi
sokongan oleh NATO untuk memberikan Libya kepada mereka yang kononnya lebih
layak mengurusnya dan mengawal sumber minyaknya. Libya yang sudah lama memiliki
segala hasil bumi dan minyak di wilayahnya terpaksa menyerahkan semua aset-aset
ini pada kepentingan asing. Kalau anda melihat bendera Libya sekarang itu
adalah sebenarnya bendera lama Libya sebelum Pemerintah Jumuhriyanya Gaddafi
berkuasa, ini bagi saya adalah langkah keterbelakang! Dan amat parah,
kehilangan semua hak kebajikan yang pernah disediakan!. Libya sekarang terpaksa
bergantung pada bantuan kewangan dari Amerika Syarikat dan negara lain. Sewaktu
Arab Spring di Libya itu sedang berlaku rakyat yang marah dengan Gaddafi tidak
dapat meruntuhkan dan memecahkan Tugu Gaddafi kerana tugunya tidak pernah
dibuat dimana-mana. Mereka sebaliknya membakar Buku Hijau dan merosakan
pusat-pusat pengajian Buku Hijau di seluruh negara. Buku Hijau ini yang
merupakan satu panduan bagi Revolusi Libya telah dibakar tetapi masih ada yang
ingin mempelajarinya dengan kritis dan ini menjadi asas untuk Saif Al Islam
Gaddafi (anak kedua Gaddafi) dalam
percubaannya untuk bertanding dalam Pemilihan Presiden Libya pada bulan Disember
2019.
2.
Asal Usul dan konteks lahirnya Buku Hijau
Perang Dingin seperti
yang dipelajari di sekolah atau mana-mana kelas Pendidikan Am adalah satu zaman
di abad ke 20 yang berlangsung setelah habisnya Perang Dunia Kedua sehinggalah
tumbangnya Soviet Union dan Blok Timur pada 1991. Dunia pada zaman ini terbelah
menjadi dua kutub, dua blok dan dua aliran pemikiran yang amat dominan. Dua
negara yang mewakili berkejaran dan bersaing dengan sengit dalam fasa sejarah
dunia moden ini adalah Amerika Syarikat yang mewakili Sistem Ekonomi Kapitalis
dan Uni Sovyet (Soviet Union) yang membawa Corak Pembangunan Sosialisme.
Menurut Bapak Noam
Chomsky dari sudut yang lain Amerika Syarikat dan Uni Sovyet ini adalah dua
sistem propaganda yang mengunakan label Komunisme dan Kapitalisme untuk
kepentingan Daulah Pemerintah (State Machinery) merebut apa sahaja yang penting
dari segi Geopolitik dan Ekonomi. Pihak Sovyet Union dan Amerika menurutnya
lagi hanya mengunakan ideologi untuk kepentingan kelas berkuasa atau
Pemerintah, contohnya Amerika mengunakan ‘Komunisme’ untuk menakutkan
rakyatnya dengan hujah berkaitan penolakan Hak kebebasan dan Anti Agama (Godless
Communists) yang mengancam kehidupan dan budaya Amerika Syarikat dan dunia
bebas. Kebebasan bagi Amerika Syarikat adalah anugerah yang paling agung yang
manusia perlu ada setelah beratus tahun menjadi hamba. Rusia (Uni Sovyet pada
masa itu) menganggap Amerika ini adalah negara yang ingin meluaskan ekonomi
Kapitalis yang mengekploitasi kelas pekerja dan mengalakan rasisme.
Internasionalisme menjadi slogan pada masa itu iaitu bagi pandangan saya satu
bentuk globalisasi yang rancangan dan falsafahnya adalah untuk mencipta satu
dunia dimana manusia tidak kira bangsa dan agama adalah sama dari segi dirinya
menjadi subjek kepada eksploitasi Kapitalisme dan perubahan yang berbentuk
revolusiner harus berlaku untuk mengubah keadaan ini. Kedua-dua mereka ini
(Amerika Syarikat dan Uni Sovyet) telah bertungkus lumus menyebarkan soft
power-nya (Kuasa Lunak) dalam bentuk, mesej-mesej politik, acara seni dan
budaya. CIA sendiri misalnya telah mendanai dengan baik beberapa institusi
budaya untuk mempromosikan seni Abstract Impressionism sebagai tanda
pencapaian kreativiti dan kebebasan artis-artis dan rakyat Amerika.
Perang Dingin diingati
juga oleh orang yang hidup di zaman itu sebagai ‘The Nuclear Age’. Hasil
daripada kemenangan Pihak Sekutu dalam Perang Dunia Kedua telah memulakan satu Nuclear
Arms Race di antara Uni Sovyet dan Amerika Syarikat kerana ia adalah superweapon
terbaru dan sangat berbahaya dari segi kemampuannya untuk menghancurkan sebuah
bandaraya berjuta orang dan menghancur
ulang tamadun manusia untuk beberapa kali jika menjadi satu Perang ‘panas’ .
Efeknya pada alam sekitar sangat teruk dan ujian nuklear sering dikecam kerana
hal ini. Kesannya bukan sahaja membunuh ekosistem dalam beratus kilometer
persegi ia juga membuatkan kawasan-kawasan itu susah untuk diduduki dan menelan
berbillion-bilion dari bajet pertahanan kedua negara ini.
Ketakutan itu dialami
oleh ramai orang dan bermulalah satu obsesi tentang Perang Nuklear sehingga
kebanyakan kota utama di dunia ada tempat melindung diri bawah tanah jika
diserang bom nuklear. Ada yang mengatakan Mutually Assured Destruction ( MAD
) itu akan membuat dunia lebih aman kerana
kedua-dua kuasa besar itu ada superweapon tersebut maka
pertentangan kuasa itu hanyalah akan dingin dan tidak mungkin suhunya menjadi
panas (Perang secara langsung)! Doktrin Mutually Assured Destruction (MAD)
ini dikritik oleh John McCoy sebagai satu perkara yang tidak dapat menghentikan
kemungkinan untuk menjadi satu Nuclear Holocaust (Kemusnahan
besar-besaran). Dunia pada masa itu telah telah hampir 9 kali dihancurkan oleh
Perang Nuklear dan yang paling diingati oleh ramai adalah Cuban Missile
Crisis tahun 1962. Doktrin itu kemudiannya digantikan dengan Star Wars
atau nama formalnya iaitu Strategic Defense Initiative. Doktrin baru ini
adalah dasarnya Presiden Ronald Reagen
dn ia berfokus pada pelaburan teknologi senjata pertahanan yang beraras
tinggi seperti menempatkan sistem pertahanannya di Angkasa lepas bagi
mengelakkannya dari dihancurkan Uni Sovyet dan bereksprimen dengan teknologi
Laser seperti pedang-pedang (Light Saber) dalam filem Star Wars. Kegilaan
terakhir inilah yang dikatakan melemahkan ekonomi kerana menelan kewangan
negara Uni Sovyet sebelum tumbang selain daripada Perang Afghanistan yang
memakan masa 9 tahun untuk berakhir setelah Uni Sovyet mengundur diri.
Pada peringkat awal
Perang Dingin banyak negara bekas Tanah Jajahan telah mendapat kemerdekaannya,
proses ini dinamakan Decolonialization. Proses Decolonialization
adalah hasil usaha dua faktor yang penting iaitu perjuangan gerakan rakyat di
negara-negara untuk dimerdekakan dan komitmen negara penjajah seperti Inggeris
dan Perancis walaupun tidak semuanya berhasil merdeka secara aman kerana pihak
penjajah ingin melambatkan proses itu untuk menjamin siapa yang akan berkuasa
dan memerintah dan menjamin aset-aset mereka di bekas tanah jajahan. Proses ini
juga telah mengubah komposisi PBB yang baru ditubuhkan pada masa itu dan
memulakan satu era hubungan kuasa yang baru di mana pemenang-pemenang Perang
Dua Kedua ingin mencorak dunia mengikut kepentingan mereka. Negara-negara yang
baru merdeka ini dinamakan Third World (Dunia Ketiga) dan hubungan
mereka dengan Dunia Pertama agak lain sedikit yang disebut sebagai
Neo-Kolonialisme. Teori Neo-Kolonialisme ini yang hangat disebut oleh Presiden
Soekarno dan intipatinya adalah hubungan menjajah secara langsung dalam
keseluruhan atau semua aspek sudah tidak ada lagi. Yang ada sekarang ada bentuk
hubungan kuasa yang berbeza iaitu kekuasaan ekonomi dan pengaruh politik dalam
bentuk hegemoni. Penjaga baru aset bekas-bekas penjajah merupakan pemerintah negara-negara yang baru
wujud ini dan ini bermaksud semua pelaburan dalam bentuk ladang dan lain-lain
masih dimiliki mereka (Bekas Penjajah).
Pada tahun 1955,
Persidangan Bandung berlangsung di Indonesia, ramai pemimpin negara-negara baru
merdeka ini telah berkumpul di Bandung untuk berjumpa (bersidang) dan
berbincang mengenai hala tuju mereka dalam dunia yang baru ini iaitu satu dunia
yang sudah hampir tidak ada Kolonialisme tetapi apa yang sedang berlangsung
adalah persaingan dua kuasa baru iaitu Amerika Syarikat dan Sovyet Union.
Perjumpaan mereka lebih kurang seminggu ini telah dihadiri oleh tokoh-tokoh
besar pada masa itu contohnya Jawaharlal Nehru (Presiden India), Gamal Abdel
Nasser (Presiden Mesir), Kwame Nkrumah (Presiden Ghana), dan Josef Broz Tito
(Presiden Yugoslavia). Persidangan Bandung telah dihadiri oleh lebih 30 negara
yang sudah merdeka dan ada yang juga separa-merdeka (masih berstatus jajahan
tetapi menguruskan hal ehwalnya sendiri), perhimpunan itu telah mencatat
sejarah sebagai yang pertama mengumpulkan semua negara Asia dan Afrika ini
untuk berbincang dan menjana idea-idea yang baru untuk mengubah nasib mereka
dengan sifat masih dominan dan tidak seimbang Dunia Pasca-Perang dunia kedua.
Persidangan ini telah mencapai beberapa komitmen yang penting iaitu kerjasama
antara negara (Inter – cooperation) dunia ketiga dari aspek pembangunan
(ekonomi), melindungi HAM (Hak Asasi Manusia) dan menghormati kedaulatan negara
masing-masing, menghentam diskriminasi berdasarkan kaum secara internasional
dan menekankan keamanan dalam dunia antara semua bangsa dan negara.
Persidangan ini tidak
berakhir sebagai begitu sahaja, ‘The Spirit Of Bandung’ ini menjadi
langkah pertama sebelum tertubuhnya N.A.M (Non Aligned Movement) di Belgrade,
Yugoslavia pada tahun 1961. N.A.M sepanjang Perang Dingin menjadi Jalan Ketiga
berdasarkan kerjasama yang erat antara Negara-negara dunia ketiga dan menjadi
satu forum perbincangan negara-negara ini dalam isu-isu berkenaan masalah
Bi-polarisasi kuasa dan pembangunan dari segi sosio-ekonomi bagi mencapai
kemakmuran dan kesamarataan. Badan ini (N.A.M) tetap wujud hingga ke hari ini
(2019) walaupun Perang Dingin sudah lama berakhir. Sebab masih wujudnya N.A.M
ini adalah adalah dunia Pasca Perang Dingin adalah bersifat Unipolar iaitu
hanya satu Negara atau Kuasa yang menjadi hakim, pendakwaraya dan polis dalam
dunia iaitu Amerika Syarikat. Negara-negara bekas koloni ini masih terpinggir
dan tidak dapat membangun dengan lancar dan berdikari kerana masih ada model
kebergantungan ini dengan pusat kuasa (iaitu Amerika Syarikat).
Gaddafi lahir di dalam
sebuah khemah luar sedikit dari kota Sirte pada tahun 1942, tanggal dan bulan
lahirnya tidak diketahui. Beliau lahir pada zaman Penjajahan Itali dan Libya
pada masa itu merupakan antara 4 Tanah Jajahannya di Afrika (yang lagi tiga
adalah Ethiopia, Somaliland dan Eriteria). Itali sebagai negara yang lambat
dalam perlumbaan menjadi sebuah kuasa Kolonial Imperial menyerang Libya pada
tahun 1911 dan memegangnya sehingga kekalahannya Itali dalam Perang Dunia
kedua. Libya dipecahkan menjadi 3 zon, Tripolitania dan Cyrenaica di bawah urus
tadbir oleh Inggeris dan Fezzan diurus Perancis. Selepas beberapa tahun
ditadbir oleh dua negara ini, Idris Sanussi mengistiharkan dirinya sebagai Emr
bagi wilayah Cyrenaica tetapi pihak PBB menasihatinya supaya digabungkan
ketiga-tiga wilayah tersebut menjadi sebuah Kerajaan pada 1952. Sejurus selepas
kemerdekaannya Libya pihak Anglo-Amerika ingin membuka kem tentera di sana atas
sebab-sebab strategik iaitu Wheelus Airbase yang pada zaman itu merupakan kem
tentera Amerika yang terbesar di luar Amerika Syarikat. Bendera Libya yang
dikibarkan sekarang adalah bendera Libya pada masa zaman Idris Sanussi sebelum
ia ditukar pada awal pemerintahan Gaddafi. Libya pada masa itu adalah antara
Negara yang paling miskin di dunia Arab dan Afrika, tanahnya tidak diteroka
sampailah tahun 1956 apabila konsesi penerokaan atau cari gali minyak diberikan
pada syarikat luar negara. Galian bawah tanah untuk menjumpai minyak telah
berjaya pada tahun 1959 dan inilah permulaan industri minyak di Libya.
Ekonomi Libya pada waktu
itu mula meningkat dari tahun 1961 setelah siap terbinanya saluran paip yang
mengalirkan minyak sejauh 167 km. Libya sudah mula menjadi kaya tetapi hasil
kekayaan ini tidak menitis ke bawah. Pengagihan kekayaan dan kekurangan
kemudahan awam yang asas membuatkan orang ramai terpinggir. Muammar Gaddafi
adalah seorang pelajar Kolej Kadet Tentera di Benghazi dan dunia Arab pada
waktu itu juga terkena tempiasnya perang dingin. Dunia Arab sudah terkenal pada
waktu itu dengan Gamal Abdel Nasir, pemimpin negara Mesir menjadi seorang
gergasi Anti-Imperialis bagi orang Arab dan Dunia Ketiga. Nama beliau (Gamal
Abdel Nasser) melonjak naik kerana pendiriannya untuk merampas Terusan Suez
dari pihak Inggeris dan Perancis. Terusan ini dimiliknegarakan dan beberapa
langkah ala ekonomi Sosialis telah diimplementasikan pada zamannya seperti land
reform. Semangat Nasionalisme Arab pada zaman itu telah diikut dengan luas
oleh ramai orang pada masa itu dan tidak hairanlah bahawa Muammar Gaddafi juga
terpengaruh oleh semangat dan idea ini. Beliau (Muammar Gaddafi) menjadi
pendengar Radio Cairo-Voice Of The People dan dikatakan menghafal
pidato-pidato Nasser. Itu sudah tentu pada zamannya di Kolej Tentera
mempengaruhinya untuk memikirkan masa depan atau visi pembangunan yang adil
untuk rakyat Libya. Sama seperti Nasser yang berlatarbelakangan tentera beliau
melancarkan pengambilalihan kuasa pada tahun 1969 pada usia yang muda iaitu 28
tahun.
Pemuda yang berani
mencabar realiti ini telah memiliknegarakan industri minyak dan menutup kem
tentera Amerika Syarikat di Libya. Tindakan yang berani ini telah membuatkannya
mendapat perhatian Uni Sovyet dan Libya pun menjadi sekutunya. Hal ini mula
membuat Gaddafi dan Libya dipandang dengan serius. Sosialismenya Gaddafi ini adalah
satu yang sangat berteraskan kepada nilai-nilai masyarakat setempat dan agama
Islam dijadikan agama rasmi. Gaddafi yang dikatakan terinspirasi oleh Mao Tse
Tung yang mempunyai Buku Merah (Maos Little Red Book), dia pula
menerbitkan sebuah buku yang formatnya hampir sama yang bernama Buku Hijau (Green
Book) dan didalam buku ini terkandunglah idea utama Muammar Gaddafi iaitu Third
Universal Theory. Idea ini adalah inovasi politik hasil dari pemikiran
Muammar Gaddafi. Ia merupakan sintesa antara Kapitalisme dan Komunisme tetapi
mempunyai kelaina daripada kebanyakan sintesa atau idea-idea alternatif yang
ada pada zaman itu seperti Nasionalisme dan Sosialisme Arab dan Dunia Ketiga.
Third
Universal Theory ini adalah satu cara dalam soal bagaimana kita
hendak membangunkan satu masyarakat atau sistem sosio-politik dan ekonomik yang
berdasarkan pada prinsip atau konsepsi Jamahriya. Jamahriya
adalah satu terma yang diciptakan oleh Muammar Gaddafi yang membawa maksud ‘Peoples
Authority’ atau ‘The State of the Masses’.
Beliau menjelaskan bahawa
sejarah dunia telah melalui dua fasa umum yang penting dari segi perkembangan
politik. Fasa pertama adalah zaman Monarki dimana Raja (atau Sultan) memilik
segala tanah dan dan apa-apa sahaja di tanah itu dengan bantuan bangsawan. Pada
zaman itu ketaatan menjadi dogma yang utama dan Raja dianggap atau diterima
oleh orang ramai sebagai ‘God`s gift to earth’. Fasa kedua pula adalah
zaman Republic yang menjadi kenyataan selepas berlakunya dua revolusi
yang besar ini, iaitu Revolusi Amerika 1776 dan Revolusi Perancis 1789.
Kedua-dua revolusi ini adalah pertentangan rakyat dan bangsawan. Di zaman ini
idea-idea pencerahan tentang kemampuan manusia berfikir dan mempunyai kuasa
inherennya sendiri menjadi ideologi pergerakan. Keterikatan pada bangsawan dan
raja telah dikalahkan tetapi segolongan kelas yang lain telah menjadi penguasa
sebenar Republic ini. Pendirian
Struktur Politik Republic ini adalah sebenarnya kejayaan kaum Pemodal yang
memperkudakan rakyat petani untuk membuang Monarki. Pada awalnya Republic
ini hanyalah kekuasaan segolongan manusia-manusia yang bijak dan mempunyai
harta. Manusia yang tercerah ini yang selalunya akan memikir dan mengurus
rakyat. Rakyat seperti telah memilih ‘Raja-raja’ baru ini yang akhirnya lebih berkuasa
untuk rakyat. Di dunia sekarang Demokrasi Liberal telah melalui satu
perubahan yang lebih terbuka dan lebih konsultatif (Lebih mengambil kira suara
dan pendapat rakyat), mekanisme ini ditambah baik kata penyokong-penyokongnya
tetapi apa yang bagi Gaddafi menjadi masalah sebenar adalah masalah perwakilan
dalam demokrasi sendiri. Rakyat di sebuah kawasan parlimen yang berpuluh atau
beratus ribu pengundi atau orang terpaksa diwakili oleh seseorang untuk
menyuarakan dan berdebat buat diri mereka, apa yang diajukan oleh Gaddafi
adalah kekuasaan itu harusnya diletakkan langsung pada tangan rakyat untuk
bersuara dan menentukan halatuju mereka daripada membiarkan ahli-ahli politik
dan wakil rakyat menentukan semua yang berkaitan isu tempatan, nasional dan internasional.
Menurut Third Universal
Theory ini daripada memilih wakil-wakil rakyat mereka untuk menjadi otak dan
suara, manusia harus menjangkau dua fasa (tahap) Monarki dan Republic
(Demokrasi perwakilan) sebagai solusi kehidupan dan struktur politik yang
selalu menjadi masalah. Sebelum semua ini dibuat asas ekonomi dan sosial itu
haruslah di tangan rakyat seperti contoh dalam kes Libya minyak (Petroleum)
sepenuhnya dimilik rakyat dan hasil pendapatan minyak itu digunakan secara
langsung untuk menyediakan asas yang memberikan rakyat atau masyarakat kuasa
untuk bebas menguruskan diri mereka sendiri tanpa kerisauan bahawa mereka akan
lapar atau terbeban. Dalam ertikata yang lain Third Universal Theory ini
adalah satu demokrasi yang tidak ada parti politik yang memerintah negara
tetapi rakyat yang benar-benar memerintah melalui Jamahirya. Jamahirya (Peoples
Congresses)adalah satu musyawarah rakyat setempat mendiskusikan semua hal
dan boleh dibuat di mana-mana sahaja dalam kawasan itu. Badan pelaksana kehendak
rakyat ini yang dinamakan Peoples Committee membahagikan tugas kepada
beberapa sub committee yang akan fokus pada aspek tertentu dalam
masyarakat seperti sosial dan ekonomi. Setiap usul itu akan menjadi panduan
asas dan amanah untuk dilaksanakan Popular committes, mereka yang
dipilih oleh peoples congresses boleh dilucutkan atau dipersoalkan untuk
memastikan bahawa proses pelaksanaan itu mencapai hasil yang baik.
Konsep
dan amalan Jamahiriya ini adalah sebuah demokrasi yang menekankan penglibatan
orang ramai dalam membuat keputusan daripada memberikan kuasa eksekutif kuasa
menentukan dasar (Direct and participatory Democracy). Ini berlainan
dengan Sosialisme ala Soviet yang merupakan satu kediktatoran sebuah parti
politik yang tidak mengekspresikan semangat demokrasi sebenar. Sosialisme
Soviet itu juga terlalu berpusat di atas manakala hierarki kuasa yang bermula
di Libya pada tahun 70an bermula dari bawah, segala luahan dan idea
diekspresikan di Peoples Congresses yang boleh bertempat dimana sahaja
(masjid atau mana-mana ruang awam) dan keputusan dari ini dibawa ke atas untuk
diperincikan dan dilaksanakan oleh Peoples Committee dan peringkat yang
paling atas iaitu General Peoples Congresses. Keputusan di peringkat
yang paling atas kemudiannya secara automatik haruslah mengalir ke bawah dengan
dilaksanakan oleh badan-badan yang anggotanya dipilih tadi dan terikat pada
amanah dan undang-undang (Duties of the popular committes). Gaddafi
disini tidak ada sebarang jawatan yang rasmi. Dia hanya mempunyai gelaran yang
dipanggil Pemimpin revolusi tetapi kuasa atas sesebuah tempat itu tidak boleh
mencampuri urusan tempat itu. Dia hanya mewakili Libya di peringkat
antarabangsa sebagai formaliti yang selaras dengan sistem dunia sekarang yang
berbentuk negara bangsa. Hakikatnya dia tidak mempunyai apa-apa hak atas
keputusan masyarakat setempat dan tugas kepimpinannya sangat terbatas dan
mungkin dalam hal formaliti pengurusan sebuah wilayah yang mempunyai sempadan
dan komander dalam hal pertahanan dan ketenteraan.
Third Universal
Theory yang juga dinyatakan sebagai visi antarabangsa untuk mencapai keamanan
sejagat. Di dalam aspek sosial Third Universal Theory menerangkan bahawa setiap
masyarakat mempunyai rantaian-rantaian sosialnya (Social Chain) yang
sedia ada iaitu dari keluarga sampailah ke peringkat negara. Negara yang
bermula dari keluarga sebenarnya adalah sebuah keluarga yang besar dan harus
mempunyai semangat solidariti atau kekeluargaan pada orang ramai dalam
peringkat nasional ini. Dari segi sosial, teori ini menekankan bahawa wanita
dan lelaki itu bezanya cuma haid dan boleh mengandungkan anak. Hal ini nampak
jelas dan seperti sesuatu yang pasti semua orang akan mengetahui dengan umum,
hal yang nyata ini baginya adalah hakikat menjadi manusia dan pembahagian gender.
Baginya ini tidak meniadakan kesamarataan di antara dua gender ini dan kedua
wanita dan lelaki mempunyai akses kepada kebajikan sosial yang sama
(Pendidikan, Hak bersuara dalam Jamahariya dan kesihatan). Baginya lagi menjaga
anak adalah tanggungjawab ibu dan tanggungjawab itu adalah satu tanggungjawab
yang semulajadi dan menafikan hal ini adalah menafikan hak dan peranan ibu
sebagai penjaga kepada anak-anak. Libya tidak mempunyai tadika atau tempat
asuhan kanak-kanak kerana ia menekankan bahawa keluarga yang harus
bertanggungjawab ke atas anak-anak mereka pada umur mereka masih kecil untuk
merapatkan hubungan kasih sayang dan waktu bersama. Hal ini di dalam Buku Hijau
adalah bab yang selalu menerima kritikan kerana telah menekankan sebab-sebab
biologikal sebagai penentuan kelakuan atau sikap seorang manusia. Dari segi
ekonomi pula tempat kerja menjadi milik bersama menggunakan dan segala
keputusan dibuat oleh mereka. Segala hasil tenaga kerja mereka hanya diperahkan
untuk kepentingan bersama dan pengukuhan kekayaan kepentingan bersama. Setiap
pekerja di dalam satu perusahaan adalah rakan kongsi dan bukan lagi pekerja.
Inisiatif ini tidak hanya belaku dari tempat produksi barangan (kilang) tetapi
juga di sektor pelayanan, pemilik-pemilik lama perusahaan ini diberi pampasan
dan menjadi sebagai sebahagian pengurusan kilang-kilang dan syarikat-syarikat
ini untuk mengkayakan negara dan mengukuhan kekayaan sosial masyarakat dan
warganegara Libya.
Di
dalam Buku Hijau terdapat banyak hal atau aspek disentuh yang menjadi panduan
tetapi di dalam pengantar ini disentuh pada dasar teori ini iaitu Jamhariyah
atau ‘State of the masses’. Apa yang diceritakan tadi dijalankan di Libya dan
selalu diberikan penekanan. Mungkin sebab Libya menjadi pengeluar minyak yang
membuatkan eksperimen-eksperimen ini berjaya dijalankan atau populasinya yang
kecil membuatkan ianya mudah disusun dengan sebegitu rupa. Apa yang penting
adalah kritik dan jawapan idea ini bagi kita memikirkan sesuatu yang baru untuk
kita capai di dunia ini bagi menyelesaikan sebahagian besar masalah pengurusan
ekonomi dan wadah individu bagi menentu kepentingan bersama dan melaksanakan
kepentingan bersama.
3.
Penutup
Idea dalam kehidupan
manusia tidak boleh dipisahkan dari realti yang kita alami di dunia ini. Realiti
ini sistem moden ini adalah ketiga situasi atau konteks yang besar iaitu
peringkat Internasional, Nasional dan lokal. Ketiga hal ini secara umum adalah
hal yang akan diketahui atau diambil tahu manusia dan di tafsirkannya dari
bacaan dan pemerhatian ini boleh dirumuskan dalam satu prinsip iaitu ‘Konteks
yang membentuk manusia dan manusia yang membentuk konteks’. Pada masa Third
Universal Theory ini dirangkumkan dalam Buku Hijau dunia sedang berada
dalam Perang Dingin, persoalan ideologi menjadi satu perdebatan yang besar oleh
semua orang dari negara yang ekonominya mengikut aliran Sosialis atau Kapitalis
sehinggalah masyarakat biasa. Kepentingan ideologi ini menjadi persoalan asas
dalam dua hal menurut saya iaitu ‘Bagaimana manusia hendak menguruskan
kelompoknya dan kekayaan ( resources )? ’ dan ‘siapa yang hendak
menguruskannya?’. Setiap orang manusia adalah seorang pemikir politik
secara langsung atau tidak langsung sebenarnya.
Ideologi tidak boleh lari
daripada persoalan kuasa, setiap masyarakat mempunyai kuasanya tersendiri
tetapi aspek kuasa politik, sosial dan ekonomi yang dimanifestasikan dalam
apa-apa institusi yang ada dalam Negara
atau masyarakat tersebut. Kuasa itu pula datang dari dua hal iaitu posisi (di
mana letaknya anda dalam masyarakat) untuk menjadi agent of change, atau
pelaku perubahan. Dalam contoh Muammar Gaddafi dan Buku Panduan (Buku Hijau)
hasil renungan dan pemikirannya ini sendiri adalah satu kajian sejarah idea
atau asal usul kepada idea tersebut. Satu corak yang istimewa saya lihat di
dunia arah adalah Nasionalisme dan Pegawai-pegawai tentera yang patriotik
seperti contoh Naser di Mesir yang menjadi idea yang dominan kerana dunia baru
sahaja melalui apa yang dinamakan dekolonialisasi (Decolonization). Hasil
pendidikan yang moden telah menjadikan ramai dari pemimpin ini mempelajari
sejarah hubungan kuasa antara Penjajahan dan jajahan. Mereka juga telah melihat
bagaimana terpinggirnya masyarakat mereka di zaman kolonial dan pasca kolonial
dari segi pembangunan dan pendidikan. Pada masa itu Uni Sovyet menyokong
gerakan anti kolonial sebagai satu fasa pembebasan daripada penjajah untuk
menguruskan hal ehwal dan ekonomi mereka sendiri tetapi walaupun sudah bebas
negara-negara ini tetap mempunyai hubungan yang tidak seimbang kerana kurang
orang-orang yang berpengetahuan dan masih bergantung pada negara-negara bekas
penjajah mereka dari segi ekonomi. Negara seperti Uni Sovyet menyalurkan banyak
bantuan untuk pembangunan bekas-bekas koloni yang menyebelahinya dalam
perlumbaan besar yang dinamakan Perang dingin ini dan banyak dari negara-negara
ini yang pembebasannya digerakkan oleh kaum Kiri Komunis mengikut model
pembangunannya tanpa mengambil kira dengan lebih kritis keadaan tempatan yang
mempunyai keunikannya sendiri.
Muammar Gaddafi sebagai
pemikir telah melihat kepentingan peranan agama dan budaya di Libya sebagai
satu keunikan yang berakar dan menjadi penyatuan dasar masyarakat Libya dan
pada masa yang sama melihat model ‘ Single Party Rule’ sebagai sesuatu
yang bermasalah kerana sifat top-down -nya yang tidak demokratik dan menyatakan
aspirasi massa rakyat. Dengan Gabungan Nasionalisme Arab yang awal, Kritikan
kepada Sosialisme yang dipimpin Parti dan akar budaya sosio-agama telah
melahirkan Third Universal Theory sebagai satu alternatif kepada
alternatf yang sedia ada ( Sosialisme Sovyet) yang dikatakan lebih sesuai untuk
sesuai masyarakat Dunia ketiga. Selain Buku Hijau, terdapat idea-idea lain yang
menjadi Sosialisme atau Pembangunanisme Jalan Ketiga yang juga boleh dikaji secara
perbandingan dengan Marhaenism di rantau ini.
Kepentingan mengkaji
idea-idea pada masa yang lalu adalah tugas yang harus dibuat untuk melihat
pencapaian dan batas sesuatu idea itu di zamannya dan mengutip intipati atau
esensi (prinsip)nya untuk dikembangkan pada masa kini. Muammar Gaddafi sudah
tiada tetapi idea-ideanya masih ada, idea-idea ini sesuatu yang sudah tentu
mengancam elit-elit penguasa kalau dimobilisasi dan dijadikan popular untuk
menghentam dan merobohkan kuasa mereka dalam sistem yang sedia ada. Kuasa
rakyat melalui jamahariyah ini tidak akan membenarkan elit mengawal atau
mempermainkan hidup mereka.
http://hotbetqq.com/ Merupakan Situs Sbobet Bola Online Terpercaya, Agen Judi Taruhan Bola Terpercaya Di Indonesia dan Permainan Live Casino Online Terbaik Dengan Memberikan Segala Fasilitas Bonus Menarik Kepada Semua Pemain Dengan Pelayanan Yang Cepat Dan Ramah
BalasPadamhttp://agenorientalcasino.rocks/ Merupakan Agen Oriental Casino, Agen Live Casino Terbaik dan Terpercaya Se Indonesia dengan menggunakan Server Oriental Game