Langkau ke kandungan utama

Agong Tanpa Tengkolok (Esei Pertama)



Oleh: Sisemu Pancaksara

Usai membaca buku kecil yang ditulis oleh panitera besar ini, entah kenapa saya selalu bernostalgiakan gerakan Reformasi 1998. Terpapar dalam kepala ber-soundtrack-kan gema semboyan keramat ‘Reformasi’, slaid deretan motokar dan demonstran yang bersesakkan di Jalan Kebun dan slaid Dataran Merdeka dicurahi demonstran yang dicurahi air serta gas pemedih mata oleh FRU. 

Mungkin apa yang difahami oleh khalayak di pihak pemerintah atau di pihak bughah, gerakan Reformasi cuma hendak melengserkan Dr. Mahathir Mohamad dan menabalkan Anwar Ibrahim, simbol gerakan itu yang diliwat maruahnya dengan tuduhan meliwat, di singgahsana Perdana Menteri. Maka, masalah Korupsi-Kronisme-Nepotisme (KKN) yang dikatakan berpunca dari Mahathir akan pupus terus setelah Anwar bersemayam di Seri Perdana. 

Mendekati milad ke-20 gerakan Reformasi, kita lihat situasi siasah di negara ini bertambah lucu, mungkin untuk menghiburkan diri yang disepit ketidaktentuan ekonomi yang makin rancu. Andai hendak mengalahkan Mahathir itu gerakan Reformasi punya nawaitu, saya rasa sekarang koalisi Barisan Nasional (BN) yang didominasi oleh parti PEKEMBAR-lah yang sedang mengibarkan panji Reformasi. Media massa arus perdana yang tambah tercengkam dari era Mahathir seperti Utusan dan TV3 kini giat mengikis reputasi bekas quasi-tirani itu, sesuatu yang tak terbayangkan di fikiran kecuali jikalau pembangkang dan kerajaan dialihkan posisi sedia ada mereka sesama sendiri. 

Tambah kelakar lagi, sosok-sosok yang pernah ditahan tanpa bicara oleh Malikul Sembab itu seperti Tukar Tiub (Hishamuddin Rais), Kit Siang dan Mat Sabu boleh duduk begitu mesra dengan dia sebelah-menyebelah sambil tersengih gelak ketawa. Mungkin mereka sudah tiada rasa dan jiwa, tidak seperti mereka-mereka yang hampir mampus dibantai cota polis dan hampir mereng ditimpa hidupnya dengan kesusahan kerana dibuang kerja atau dipenjara sepanjang lebih 20 tahun Orde Lama Mahathir. 


Usah risau, saya masih sedar bahawa saya sedang menulis ulasan berkenaan sebuah buku bukan sekadar murka campur nista yang tak tentu hala. Jadi, apa yang sedap sangat dengan buku ini sampai saya terpaksa tulis ulasan? Anehnya, jujur saya kata, buku ini tak muak dibaca berulang-ulang kali. 

Mungkin kandungannya yang masih relevan dengan keadaan semasa, terutamanya berkaitan politik dan agama. Tentang agama dalam buku ini, menurut Bung Paris, juga harus di-Reformasi-kan, bukan urus tadbir dan media saja. Agama sememangnya punya jarum yang sangat berbisa, menyuntik bius yang membekukan akal dari berfikir dan mempersoal. Kebekuan akal disebabkan oleh pembiusan agama ini menerikkan lagi lilitan hegemoni pada diri kita, lebih-lebih lagi jika Penguasa itu tampak warak atau digelar ulama’. Namun, reformasi agama ini bukanlah mahu menokok-tambah ayat atau surah dalam al-Quran, tapi hendak meraikan variasi tafsiran tentang agama yang berevolusi mengikut zaman serta keadaan dan menggalakkan pemikiran kritis terhadap agama seperti yang diseru dalam firman ‘Afala ta’qilun?’ Andai Islam itu kebenaran mutlak, haqiqatul haqaiq, sudah pasti ia bersedia untuk dipertanyakan apatah lagi dipersoal, kan?

Kebebasan berfikir amat ditekankan oleh Bung Paris dalam buku ini. Tanpa kebebasan berfikir, takkan wujud kebebasan bersuara kerana suara itu dipengaruhi oleh fikiran. Implementasi hegemoni bukan saja datang dari tangan dan keputusan Penguasa malah boleh juga datang dari kehendak sesama individu yang dililit hegemoni itu sendiri yang berasa selesa dengan kongkongan pemikiran dan keadaan yang dianggapnya biasa sudah dan fitrah. Campur tangan Penguasa ke atas individu berasal dari ketakutan. Penguasa yang takut kehilangan kuasa dan individu yang takut dengan implikasi kebebasan yang ada padanya seperti yang disabdakan Sartre, “Man is condemned to be free’. Takut kehilangan haknya pada individu lain yang sama-sama tak terdaya sepertinya maka bermatian-matian dia mengetatkan rantai hegemoni yang mencekik kebebasannya kerana hidup dan matinya telah diserahkan pada keputusan Penguasa Maha Thirisme yang dirasakannya Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Tak hairanlah PEKEMBAR-BN mampu mengekalkan kekuasaannya di negara ini sejak dari sebelum Merdeka lagi. Dulu, kini, selamanya. 

Antara sekian artikel dalam buku ini, yang paling menarik saya rasa adalah berkenaan persembahan puisi yang dideklamasikan dalam bahasa isyarat orang kelainan upaya (OKU) pendengaran. Secara tak langsung, ditonjolkan pada kita isu-isu yang dihadapi oleh saudara-saudari kita yang kelainan upaya pendengaran ini seperti kekurangan jurubahasa dan perjuangan mereka agar bahasa isyarat diiktiraf duduk sama rendah, berdiri sama tinggi bersama bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Walaupun muka depan buku ini menayangkan potret Mahathir dengan lakaran tengkolok di kepalanya namun buku ini pasti membuatkan pendukung-pendukung Orde Baru Najib berasa tidak selesa apabila membacanya. Kerana musuh yang ditentang oleh gerakan Reformasi masa Orde Lama serta faksi pembangkang pada Orde Baru ini tetaplah sama iatu Mahathirisme yang masih merasuk pemerintahan waima telah berganti jasad dan rupa. Umpama saka yang diwariskan dan membuatkan pemakainya ‘panjang umur’, begitulah Mahathirisme, yang ironinya mendatangkan mudarat pada bekas pemakainya sesudah itu. Saka Mahathirisme ini harus kita buang jauh-jauh dari terus bersarang dalam jasad Negara. 

Konklusinya, buku ini isinya takkan luput selagi Mahathirisme masih maujud. Membuat kita insaf akan timbunan kerja yang harus diusahakan demi membawa masharakat ke arah pembaharuan yang sejahtera; bidaah hasanah, bukan pembaharuan yang celaka; bidaah dholalah. Reformasi takkan tanzil laksana wahyu dari puncak kuasa di atas kepada individu di bawah tapi harus diraih sendiri oleh individu, bermula dengan pembebasan fikiran. Jika berfikir itu tidak lagi dilarang, pasti suara jadi lebih berani untuk berkumandang.  Memetik kata Cikgu Zul di muka belakang buku ini, “Buku ini ialah bacaan wajib,’ kerana “Menyedarkan kita politik, budaya dan agama sahaja tidak boleh dipisah-pisahkan, tetapi dipermainkan kepada kita oleh tangan-tangan bernama kuasa ini’. Saksikanlah, waktu pun mengaminkan doa Ustaz Fadzil Nor. Mahathir sedang diperkosa Mahathirisme-nya sendiri. Tragik berselit ironik, kahkahkah!  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sinopsis Tivi, Karya SN Shahnon Ahmad

  Oleh: Afaf Syukriyah Seperti mana yang telah dijanjikan, saya akan ceritakan serba sedikit sinopsis berkaitan buku ini. Benar, berdasarkan tajuk, memang buku ini berkisar tentang TV – televisyen. Tetapi penulis bijak, beliau lebih kerap mengistilahkan tv sebagai tetamu. Untuk membaca karya ini, pembaca mesti mengkhayalkan latar tempat dan zaman dalam novel ini. Cuba bayangkan suasana cerita adalah di kawasan kampung, kita ambil contoh di daerah Sik atau Yan, Kedah. Sebab kawasan ini lebih dekat dengan jiwa penulis sendiri. Kerana suasana kampung yang terlalu pekat, maka mereka seakan-akan tidak mengenali dunia luar yang sebenarnya, sehinggalah anak kepada pasangan Mat Isa dan Jeha iaitu Chah telah merantau ke bandar besar untuk bekerja di sana. Segala gambaran dunia bandar telah diimport oleh Chah untuk dibawa masuk kepada ahli keluarganya. Berbekal kekayaan hasil bekerja sebagai pekerja kilang skru, Chah telah melimpahkan kekayaan kepada ahli keluarganya dan kekayaan yang pali...

LANGIT PETANG – Manusia Dan Hidupnya

LANGIT PETANG – Manusia Dan Hid upnya oleh: Hamka Mohamad Tidak banyak penerbit buku yang cuba mengangkat kembali karya-karya sasterawan negara yang pernah menjulang hati rakyat suatu ketika dahulu. Tidak ada lagi penerbit yang cuba mengembalikan sastera ke peringkat yang lebih tinggi martabatnya, selain mengharapkan DBP yang kian hari kian lari dari landasan asal matlamatnya. Tidak ada lagi penerbit yang cuba melaungkan karya-karya Usman Awang, Keris Mas, Pak Sako, Arenawati, Samad Ahmad, Masuri S.N dan ramai lagi karyawan negara suatu ketika dahulu yang berdiri teguh dalam arena sastera negara. Mungkin ada, namun jumlahnya tidak banyak. Tertarik dengan Lejen Press, yang jarang sekali aku membeli mahupun membaca karya penulisnya, namun kali ini, Langit Petang yang berjaya diterbitkan mereka hasil nukilan A Samad Said telah membawa aku satu pengharapan untuk aku melihat karya sastera tidak lagi dilacurkan oleh sesetangah penerbit kini. Tidak seperti buku-buku puisinya, Pak S...

'Kitab Tamadun Melayu' : Kitab Sempurna yang Bercacat Cela.

'Kitab Tamadun Melayu' : Kitab Sempurna yang Bercacat Cela. oleh: Farahani R. Saya bukan orang yang mudah diyakini tentang penulisan-penulisan yang membanggakan suatu kaum, khasnya yang ditulis oleh The Patriots memandangkan penulisan mereka terkadang seakan bersifat etnosentrik - Melayu, Melayu dan Melayu. Jangan dulu mengamuk, sabar; saya bukan rasis. Cuma saya mencuba untuk bebas dari menjadi rasis dengan tidak membiasakan diri mengenal hanya perihal Melayu sahaja. Apatah lagi untuk orang yang lahirnya di Borneo, suasana perkauman dan anti-agama selain dari Islam agak asing dalam masyarakatnya. Tapi resensi saya tidaklah menyimpang sepenuhnya kepada Melayu dan kekerapannya dibicarakan di media sosial mahupun media mainstream, tapi lebih menjurus kepada persoalan siapa itu Melayu, dan kesilapan masyarakat kini mengertikan label 'Melayu' itu. Mula-mula saya sangat menolak untuk digolongkan dalam 'bangsa Melayu', dan begitu menjaga perletak...