Oleh: Apis Cuer
Ini adalah satu esei untuk menjawab balik
kritikan dan respon kepada buku yang dihasilkan oleh penulis buku Wanita
Songsang. Sebagai seorang lelaki, rasanya saya juga layak untuk menyatakan
pendapat terhadap apa yang mereka katakan di dalam buku tersebut. Menjadi
seorang lelaki tidak bermaksud saya tidak faham langsung penderitaan yang
dilalui oleh wanita. Dengan terlahirnya saya dari seorang ibu yang penyayang,
saya boleh merasai penderitaan yang dialami biarpun berlainan jantina walaupun
saya bukan di dalam situasi tersebut kerana saya seorang manusia.
Pertama sekali saya mengakui ia adalah usaha
yang bagus menghasilkan satu penulisan yang berkontroversi. Ia akan sering
menjadi perbualan orang ramai, biarpun yang suka ataupun benci kerana buku ini
memberi kritikan ke atas feminis yang ingin mengubah beberapa peraturan agama
Islam. Secara tidak langsung terhasillah beberapa pembincangan yang bermanfaat,
sekurang-kurangnya bukan borak kosong. Ini tidak bermaksud saya bersetuju untuk
adakan pergaduhan atau perpecahan, tetapi sekarang boleh tengok berapa ramai
yang ambil kisah dengan kewujudan longgokan berbagai-bagai jenis fahaman yang
wujud di bumi ini. Buku ini menunjukkan adanya orang yang berlainan haluan,
perjuangan dan kepercayaan walaupun sama jantina.
Namun, saya merasakan buku ini adalah satu penulisan lepas geram yang terhasil dari
perbalahan atau percanggahan pendapat dari penulis. Sepertinya mereka menulis
di dalam diari. Ia boleh dirasai dari gaya penulisan yang seakan mengatakan
semua feminis itu bersifat gedik, orang kaya, dan tidak pegang kuat kepada
agama. Mengapa mereka menggunakan gaya bahasa yang gedik dalam pemberian contoh
setiap perbualan yang ada? Itu persoalan yang pertama bermain di minda. Dan
terdapat kemungkinan juga mereka fikir yang feminis sering memperjuangkan hak
samarata secara membabi buta tanpa rasionalnya tersendiri.
Dengan memberikan pandangan yang subjektif,
mereka seperti ingin pembaca berpihak kepada mereka. Mereka tidak memberi apa
rasional di sebalik perjuangan feminis terhadap sesuatu perkara. Sebagai
contoh, di dalam buku tersebut ada menyatakan bahawa feminis ingin mendapatkan
hak cerai, dan poligami.
Jika difikirkan, memang wajar bagi suami
untuk memberi keputusan sama ada mereka patut cerai atau tidak. Kalau diberikan
kepada wanita, bagaimana pula jika mereka berbalah sewaktu wanita itu dalam
tempoh emosi yang tidak menentu? Tidakkah lebih banyak penceraian yang akan
terjadi? Maka saya rasa itu adalah sebab kenapa hak cerai diberikan kepada satu
pihak sahaja. Bukan untuk mengatakan bahawa emosi lelaki sentiasa stabil,
tetapi secara biologinya, saya berpendapat bahawa bila wanita dalam tempoh
datang haid, emosi mereka mudah terganggu dan ini boleh memberi kesan kepada
tindakan yang mereka bakal ambil lagi-lagi jika berlakunya perbalahan antara
suami isteri pada waktu itu. Saya rasa itulah rasional mengapa hak penceraian
lebih kepada suami supaya kurangnya berlaku perceraian.
Masalah dalam perkahwinan adalah isu yang
besar kita boleh kupas dari buku tersebut. Isu yang sering timbul adalah isu
poligami dan hak cerai. Feminis merasakan mereka tertindas bila mereka tidak
memiliki hak yang sama seperti lelaki. Tidak boleh kahwin ramai dan tidak
memiliki kuasa menceraikan suami mereka. Memang ada berlakunya penindasan bila
lelaki tersebut tidak mengikuti ajaran Islam.
Dalam perkahwinan Islam terdapat beberapa
hukum ditetapkan. Bermula dari sunat, harus, wajib, makruh, dan haram. Yang
saya ingin bincangkan adalah haram. Haram bagi lelaki tersebut untuk mengahwini
wanita itu jika ia mendatangkan kemudaratan ke atas wanita. Contohnya adalah
wanita itu ada potensi untuk dijadikan tempat lepas geram, hanya sebagai
pelepas nafsu, tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak.
Ramai yang terlepas
pandang dengan perkara ini. Secara tidak langsung kerana terlampau ‘bersangka
baik’, mereka membiarkan lelaki itu berkahwin. Ada yang langsung tidak tahu
bagaimana sifat lelaki itu dan menganggap perkahwinan mereka akan berjaya dan
penghujungnya hanya mampu mendoakan yang terbaik.
Apa yang berlaku di rumah
tidak akan diketahui oleh pihak lain kalau wanita itu tidak menceritakan kepada
sesiapa. Kononnya takut si isteri menderhaka suami jika menceritakan masalah
rumahtangga kepada orang lain, sedangkan fizikal atau mental atau kedua-duanya
terseksa. Kalau orang lain dapat tahu sekali pun, seperti jiran tetangga atau
keluarga berdekatan, ada yang tidak mahu mengambil berat. Takut dikatakan
terlalu menjaga tepi kain orang. Apa penyelesaian untuk masalah rumah tangga
ini?
Maka dengan itu saya rasa ini adalah
sumbangan feminis. Mereka membangkitkan rasa ingin melawan penindasan. Melawan
ini perlu bila kita ditindas. Tetapi, kalau difikirkan bagi pihak feminis,
memang ada lelaki yang mengambil kesempatan dengan mengahwini wanita lain tanpa
izin atau kerelaan dari isteri atas nama agama. Sampaikan
ada yang menjadikan mereka sebagai pelepas nafsu sahaja. Ada yang membiarkan
isteri mereka menanggung beban anak tanpa bantuan. Kalau yang bertanggungjawab,
mungkin tidak mengapa. Bagaimana pula yang tidak memikirkan langsung
kesengsaraan yang terpaksa dilalui oleh isteri mereka? Dengan itu mereka rasa
ianya tidak adil bagi lelaki sahaja untuk memiliki hak berpoligami dan kuasa
jatuh talak, dan mereka pula terpaksa kekal dengan suami yang sebegitu. Sebab
itulah mereka ingin lelaki merasai apa yang mereka lalui. Tidakkah adil kalau
sama-sama merasa kesengsaraan dan kesenangan?
Namun dengan rasional sebegini, ada lagi
rasional yang lebih tinggi. Bagaimana kalau wanita mampu poliandri (terma yang
lebih tepat bagi perempuan kahwin lebih dari seorang lelaki) untuk berkongsi
hidup dengan empat orang suami? Agak sukar untuk saya fikirkan perkara
sebegini. Macam mana pula dengan kalau wanita tersebut mengandung, tetapi tidak
dapat melayan keinginan hubungan intim suami-suami yang lain? Tidakkah terseksa
batin suami yang lain? Macam mana pula jika suami itu juga berpoligami, dan isterinya
yang lain pun poliandri? Hasilnya terjadilah kecelaruan di sini, menjadikan
masalah-masalah ini lebih kompleks. Maka dengan wajarlah poliandri untuk wanita
ditolak kerana ianya agak tidak masuk akal bagi saya untuk wanita mengahwini
empat orang suami.
Bagi seorang Muslim, saya faham apa yang
dirasakan oleh penulis bila orang cuba untuk mengubah peraturan agama Islam dan
menjadi tanggungjawab kita untuk menyatakan apa yang dilakukan oleh mereka itu
salah jika ia bertentangan. Secara logiknya, tidak semua wanita itu bersetuju
dengan perjuangan feminis. Menjadi feminis itu tidak perlu datang dari jantina
wanita, lelaki pun boleh. Ini adalah perjuangan yang asalnya untuk mendapatkan
hak-hak wanita dalam mengundi, bekerja, melawan penindasan lelaki ke atas
wanita dan beberapa perjuangan yang lain.
Namun semakin lama, gerakan ini mengorak
langkah mereka lebih jauh. Di saat itu, bila mereka sampai ke peraturan agama,
ia menghasilkan perbalahan dalam kalangan orang beragama dan feminis. Mana-mana
fahaman akan ada percanggahan walaupun tidak secara keseluruhan. Persoalan yang
ingin dikemukan adalah, apakah semua benda yang diperjuangkan oleh feminis itu
dipersetujui oleh semua wanita, atau cuma beberapa pihak sahaja?
Tidak hairanlah mengapa dalam gerakan
feminis itu sendiri ada pembahagiannya sendiri kerana berbeza pendapat. Ada
yang ‘liberal feminism’, ‘radical feminism’, ‘difference feminism’, dan
‘postmodern feminism’. Ada beberapa kriteria yang menjadikan perjuangan mereka
itu berbeza.
Satu kekeliruan yang sering terhasil dari
perkara ini, kadang-kadang ada wanita dalam dilema samaada mereka harus
mengikuti perjuangan feminis kerana mereka wanita. Ini sepatutnya tidak patut terjadi.
Gerakan itu akan mati tanpa perjuangan dan perjuangan masih boleh hidup tanpa
gerakan. Boleh sahaja kalau kita tidak bersatu dengan gerakan feminis, tetapi
memperjuangkan nasib wanita tertindas atas nama lain. Tidak mengikut gerakan
feminis tidak bermaksud kita bersetuju bahawa penindasan itu perkara biasa dan
mesti diterima. Sebelum wujudnya terma feminisme itu sendiri sudah terwujudnya
perjuangan seperti ini pada masa silam.
Banyak lagi isu yang lain dibincangkan.
Adalah lebih adil jika pembaca membaca buku itu sendiri kerana apa yang saya
nyatakan di sini tidak merangkumi semuanya. Buku ini masih lagi ada cacatnya
kerana tidak penulis memberi bukti kukuh yang teguh. Tidak wajar hanya
mengatakan sesuatu kenyataan tanpa memberi bukti. Ia kelihatan tidak
professional. Saya yakin agama Islam
menggalakkan umatnya untuk membuktikan sesuatu dengan bukti kukuh dan bukannya tuduhan
emosional yang melulu.
Sepatutnya satu buku kritikan memiliki
pembincangan yang kritikal dan saya rasa buku ini sebaliknya. Ini menjadikan
penulisan dari orang Islam kelihatan remeh dan kurang mantap isinya. Saya yakin
penulis tidak mahu agama Islam dipandang serong kerana penulisan sebegini.
Tidak hairanlah mengapa orang lain akan berfikiran buku ini hanya untuk
mendapatkan keuntungan semata-mata atas sebab pembentangan hujah yang kurang
kukuh, tuduhan yang agak melulu, dan tidak begitu kritikal.
Saya
begitu menekankan tentang rasionaliti dalam penulisan kerana ramai orang yang
inginkan hujah yang rasional. Dengan menjadi rasional, tidak bermaksud kita
menolak tepi agama. Pentingnya rasional kerana dalam agama Islam setiap ibadat
itu pasti ada rasionalnya tersendiri. Syed Hussein Alatas juga menekankan
perkara ini dalam penulisannya.
“Rasionalisme, yakni perincian berdasarkan
akal, perlu sekali bagi membina sistem hidup keagamaan. Rasionalisme itu
semacam cawan. Boleh kita gunakan untuk meminum air ataupun racun. Yang harus
dicegah bukan cawannya tetapi racunnya. Yang kerana takut racun tidak mahu
menggunakan cawan boleh sahaja minum macam anjing menjulurkan lidahnya ke
dalam parit. Yang ditelannya itu air parit yang busuk baunya dan penuh kuman.
Inilah mereka yang wataknya mesum”. - Syed Hussein Alatas. Bab 9 Rasionalisme,
Kita Dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah.
Bila orang mahukan hujah yang rasional, kita
beri mereka hujah yang lebih rasional dari yang mereka kemukakan. Cara inilah
kita mampu mengubah persepktif seseorang terhadap agama Islam yang kononnya
mundur dan kuno sedangkan sebaliknya. Rasional ini adalah tentang akal. Akal
itu penting bagi orang beragama, hanya orang gila yang terlepas dari agama.
Tidak menggunakan akal sepertinya kita tidak menghargai pemberian yang terlalu
tinggi nilainya dari Tuhan. Bila mengkritik, mestilah dilakukan dengan secara
kritikal, memahami mengapa pihak yang bertentangan memperjuangkan sesuatu
perkara dengan lebih mendalam dan teliti. Selepas itu, bidaslah dengan hujah
yang diyakini lebih benar dan rasional.
Jika benar mereka betul-betul meyakini
bahawa agama Islam adalah agama yang menjaga hak manusia (bukan bermaksud saya
mempersoalkan keyakinan mereka terhadap agama Islam), maka bentangkanlah dengan
cara yang lebih baik. Bukan dengan cara membuat kritikan begitu sahaja.
Sepertinya mereka memiliki senjata yang tumpul, tidak diasah namun masih lagi
yakin bahawa senjata mereka adalah yang terbaik kerana ia diperbuat dari bahan
asas yang paling kukuh. Bagaimana mereka ingin berjuang tetapi peralatan perang
pun tidak sesuai untuk digunakan kerana ketumpulannya?
Sebagai konklusinya, perjuangan feminis itu
mestilah menghormati peraturan agama yang telah ditetapkan kerana tidak semua
perkara harus menjadi samarata. Saya percaya samarata itu tidak bermaksud adil
secara keseluruhannya, dan dalam keadilan ada unsur samarata. Namun, sumbangan
feminis dalam melawan penindasan lelaki ke atas wanita juga tidak boleh ditolak
ke tepi dan harus dihargai. Sekurang-kurangnya mereka memangkinkan semangat
wanita untuk melawan penindasan. Yang perlu dilakukan adalah memastikan setiap
perkara yang diperjuangkan itu difikirkan dengan lebih mendalam, dan ditimbang
balik mana-mana tindakan yang bakal diambil agar hasil perjuangan itu berbaloi,
bebas dari kepentingan pihak tertentu sahaja, dan memberi kesan yang baik
kepada masyarakat. Saya mengharapkan ada perdamaian antara feminis dan orang
beragama Islam agar kita tidak terleka dengan perbalahan yang berpanjangan.
Suasana seperti akan menjadikan sesetengah wanita yang ingin memperjuangkan
nasib wanita tertindas jatuh ke dalam dilema samaada mereka harus pergi dengan
perjuangan feminis tanpa agama atau terus beragama tanpa perjuangan untuk
wanita.
Setuju...😭👏👏
BalasPadamNi kritikan paling ikhlas . Aku stuju dgn penulisan buku tu cuma ada beberapa bnda aku x puas hati .. Benda nya dh dihurai oleh blog ini
BalasPadamterima kasih atas komentarnya :)
Padam